Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Aku Rantai Kebebasan Anak Dengan 5 Perkara

Kali ni aku nak kupas isu anak. Bukan aku nak kupas isu ni untuk tunjuk lagak ke apa cuma sekadar nak berkongsi pendapat dan tips. Manalah tahu ada satu dua perkara yang boleh di jadikan panduan oleh ibu bapa yang lain.

Sebelum aku teruskan penulisan suka untuk aku berikan sedikit pengenalan. Aku ni ibu pada 5 anak lelaki. Anak sulung berusia 14tahun, anak ke dua berusia 10 tahun, anak ke tiga berusia 8 tahun, anak ke empat berusia 6 tahun dan anak yang ke lima berusia 16 bulan.

Image result for rantai anak

Menjadi ibu pada anak-anak yang ke semuanya lelaki bukan satu kerja yang mudah. Tambahan pula sikap anak-anak bukannya semua sama. Ada masa mereka akan bergurau senda, ada masa mereka akan bertikam lidah dan ada masa pula mereka akan mula naik kaki tangan.

Kerana itu aku nekad melepaskan kerjaya untuk menjadi seorang surirumah sepenuh masa saja demi keluarga. Walau bagaimanapun aku masih tetap bersyukur kerana mereka masih boleh menghormati aku dan suami sebagai ibu dan bapa. Apa saja yang di suruh walau mereka rasa malas namun tetap terus bangun untuk menyiapkannya.

Di sini aku kongsikan serba sedikit 5 perkara yang aku dan suami pentingkan pada anak-anak kami sejak dari lahirnya anak pertama hingga kini.

1- Tidak beri kepercayaan 100%
Mungkin ada yang tidak setuju akan hal ini tapi itulah yang aku dan suami lakukan. Sebagai contoh, jika ada antara anak-anak kami beritahu tidak mahu ke sekolah kerana sakit kepala, kami dengar aduan anak tetapi kami tetap menyuruh mereka bersiap-siap untuk ke sekolah. Jika benar sakit pihak sekolah akan menelefon dan barulah aku atau suami terus bergegas menjemput mereka segera untuk terus di bawa ke klinik atau pulang ke rumah. Aku bersyukur kerana guru kelas anak-anak aku semua jenis cepat alert lagipun memang dari awal tahun aku sudah berkenalan dengan guru kelas anak-anak untuk mudah berinteraksi antara pihak aku dan pihak sekolah. Ada apa-apa hal watsapp jer... 

2- Biar lewat janji pergi.
Biasalah sesekali memang anak aku akan buat perangai. Ada lah sesetengah hari yang membuatkan mereka cukup malas untuk ke sekolah. Puas di kejut tapi sengaja tidak mahu bangun. Aku tetap akan kejut mereka selang 10 minit. Aku tak pakai rotan cumanya aku cakap walau lambat tetap kena pergi sekolah. Biar sudah pukul 10 pagi sekalipun tetapi tetap kena pergi ke sekolah. Jadi sendiri pilihlah sama ada nak pergi ke sekolah awal atau lewat? Pernah sekali anak ke dua buat perangai tak nak ke sekolah sebab takut kena marah dengan cikgu sebab tak sempat siapkan kerja sekolah. Dia menangis dan berkeras tak nak ke sekolah tapi aku tetap juga hantar sampai pintu pagar. Masalahnya bila dah sampai dia boleh pulak tak nak turun dari kereta. Akhirnya aku nekad panggil pak guard dan minta di escort anak aku tu sampai ke pintu kelas.

3- Tidak beri banyak kebebasan
Anak sulung walau lelaki dan sudah remaja namun dia belum pernah sekalipun tidur di rumah mana-mana rakannya. Keluar malam sendiri tanpa arah tujuan pun belum pernah. Sebelum maghrib semua sudah berkumpul semula di rumah termasuk encik suami sendiri.

Setiap hari suami akan hantar empat anak kami ke sekolah walau mereka berempat bersekolah di sekolah yang lain-lain. Apabila pulang aku yang akan jemput mereka. Waktu pulang juga lain-lain jadi ini bermakna setiap hari akan ada 4 trip untuk jemput anak dari sekolah tapi untuk biarkan mereka pulang sendiri memang tidak akan sesekali. Malah kelas tambahan dan kelas ngaji juga kami hantar dan jemput setiap hari. Biar penat! Janji kami puashati kerana tahu di mana anak-anak berada setiap masa.

Sekarang anak aku kadangkala ada buat study group. Sesekali di rumah rakannya dan sesekali di rumah aku. Jika tiba masa ada study group di rumah rakannya maka aku akan hantar, bukan hantar saja-saja tapi siap kenal dengan mak ayah rakannya. Secara tidak langsung aku tahu dengan siap anak aku berkawan baik.

4- Tidak terlalu berlembut hati
Anak sulung aku memang berulang kali minta aku ajarkan dia cara pandu motor tapi sampai sekarang aku tak pernah ajar. Kalau betul nak pandu motor tunggu sudah cukup umur dan pergi belajar di pusat ilmu pandu. Sekarang sudah makin ramai sahabat dia yang sudah pandai pandu motor dan ada yang sudah di beri keizinan untuk ke sekolah sendiri dengan motor walau tidak punya lesen. Anak aku pun mulalah pujuk rayu nak balik naik motor dengan kawannya but of course the answer is NO!! Bila anak aku tanya kenapa mama tak kasi abang balik sendiri? Soalannya tu aku jawab dengan mudah.

Aku : Abang tahu tak kalau naik motor tanpa lesen tu salah? Kalau jadi apa-apa polis bukan cari abang tau tapi polis akan cari abah. Polis akan sumbat abah tu dalam penjara bagi pihak abang. Abang nak macam tu??

Anak : Tapi ni abang naik je, bukan abang yang pandu

Aku : Abang dah tahu yang kawan abang tu pandu tanpa lesen tapi abang tetap naik juga, bukan tandanya abang subahat sama ke tu? Jadi dua-dua salah lah kan?

Alhamdulillah.. jawapan aku di terima dengan baik malah sampai ke hari ini dia tidak berani untuk pulang sendiri walau sudah berkali-kali di ajak oleh kawan-kawannya. Sehingga kini dia hanya pandai berbasikal saja. Kalau perasan aku jawab soalan anak dengan soalan juga. Kenapa? Kerana aku nak dia berfikir sendiri untuk membuat sebuah keputusan. :D

5 - Tidak jadikan diri sebagai hamba anak
Islam ada mengatakan yang salah satu ciri umat akhir zaman adalah apabila si ibu melahirkan tuannya sendiri. Maka di sebabkan tu suami aku cukup bertegas supaya aku jangan terlalu manjakan anak-anak. Sedari kecil sekiranya anak jatuh suami menyuruh aku biarkan anak kami itu bangun sendiri. Malah kalau aku panggil anak dan mereka tidak menyahut kerana leka menonton TV, suami aku akan terus bangun dan tutup TV tu.

Memang suami pegang kuat dengan peringatan ni dan suami cuba praktikan supaya anak-anak tahu erti hormat pada seorang ibu. Semua kerja dalam rumah ni kami lakukan dengan konsep bergotong royong. Sebagai contoh, suami tolong basuh pakaian semua orang, anak sulung akan sidai dan apabila kering anak no dua akan angkat dari ampaian. Setiap kali tiba cuti hujung minggu kami akan luangkan masa membasuh kereta dan bersihkan luar dan dalam rumah untuk lebih selesa. So far alhamdulillah kami bukan saja dapat jadi lebih akrab tapi juga dapat sama-sama rasa erti sebuah tanggungjawab kerana hakikatnya kami semua kan tinggal sebumbung.

Dalam hati teramat sayang
Mana mungkin aku tak sayang kalau aku yang mengandung dan melahirkan. Aku juga yang menyusukan dari baru lahir ke dunia hingga berusia 2 tahun. Bukan mahu mengungkit cuma ingin memberi gambaran sejauh mana kasih sayang aku terhadap anak-anak. Cumanya aku terpaksa perlu bertegas atas sesetengah perkara supaya anak-anak aku tidak hilang arah. Kadang-kadang aku rasa kasihan juga pada anak-anak dan aku juga risau sekiranya anak merasa agak terkongkong tapi masalahnya sekarang ini terlalu banyak masalah jegala sosial dan aku risau kalau anak aku ikut terjerumus. Untuk mengelakkan mereka dari rasa memberontak, aku dan suami akan berbual seperti sahabat. Suami juga sering bincangkan soal isu semasa dengan anak-anak secara santai.

Sebagai contoh, jika ada melihat berita kemalangan di tv maka suami aku akan cakap.. "Tengok tu? takut tak? Kalau adik duduk dalam kereta tak diam, boleh jadi macam tu lah. Adik nak?"

Contoh lain... jika lihat kes buang bayi maka kami akan cakap.. "Kalau mama dan abah tak sayang mesti mama dan abah dah buang macam tu jugak. Tapi sebab mama dan abah sayanglah kami tetap jaga sampai sekarang."

Mereka advance dan suka mahu ambil tahu
Selalu juga mereka tanya soalan yang aku sendiri tak boleh nak jawab. Pernah sekali anak aku yang berusia 6 tahun bertanya, "Mama... dulu adik keluar dari perut mama macamana?" Fuh. mujurlah aku pernah bersalin secara pembedahan pada anak yang ke dua. Maka aku tunjukkan parut lama ceaser sebagai jawapan.

Hari demi hari pelbagai soalan yang akan mereka tanyakan dan mungkin sebab itu anak-anak ni mudah terjerumus kerana mereka suka sangat untuk mencuba dan meneroka perkara yang baru tanpa mengambil berat akibat dari perbuatan tersebut. Kalau kita tidak tunjuk contoh memang akan bermasalah. Aku suka iklan dadah yang sebelum dan selepas di TV tu, bagus iklan macam tu sebabnya budak-budak ni perlu di tunjuk akibat yang 'dasyat-dasyat' jika mereka lakukan akan sesuatu perkara tersebut. Jika tak tunjuk contoh tak mustahil jika mereka sendiri yang akan buat dan dapatkan contoh tu sendiri. Masa tu dah agak susah untuk patah balik lagi.

Kita ini penjaga amanah.
Apa saja yang kita lakukan, aku pasti kita semua lakukan kerana mahu anak-anak kita menjadi orang yang berguna. Tidak penting suatu hari nanti mereka dapat kerja besar-besar atau tidak namun perkara pertama yang harus kita tekankan adalah supaya mereka membesar menjadi seorang anak yang soleh dan boleh taat pada Tuhan dan ibu bapa.

Ada perkara penting yang perlu kita marah dan rantai tapi janganlah sampai semua perkara mahu di tegah. Ingatlah yang mereka juga adalah manusia dan sebagai ibu dan bapa kita hanya di amanahkan untuk mendidik, menjaga dan membesarkan. Hakikat sebenarnya mereka semua adalah milik Dia sepenuhnya.

Seandainya kita sudah cuba yang terbaik tetapi hasilnya tidak seperti yang di harapkan, anggaplah yang ia adalah ujian dari Allah. Adalah hikmah yang kita tidak tahu. Janji kita sudah berjaya laksanakan amanah sebagai ibu dan ayah. Biarlah apa orang lain kata, biarlah jika orang mahu bandingkan anak mereka dengan anak kita, biarlah jika orang lain anggap kita tidak reti mendidik anak asalkan Allah tahu dan nampak apa yang kita lakukan. Mereka berkata merekalah yang akan dapat dosa bukannya kita. 

Apa pendapat awak tentang isu ni? Ada pakaikan 'rantai' pada anak juga tak? :D

14 comments for "Aku Rantai Kebebasan Anak Dengan 5 Perkara"

  1. Lain orang, lain cara mendidik anak :) Tapi cara sis Awa 88% sama macam parents sy. Yang penting, hasil didikan tu menjadikan sy sorang insan <3 Alhamdulillah, thanks Mama & Bapa

    ReplyDelete
  2. Awa, ada perkara yg mrs pip belajar dari entry ni ...
    Mrs pip terlalu berlembut dgn anak, manja kan mereka ...
    Thanks awa, so today mrs pip learned another things from here...
    Teruskan berkongsi ...
    Cheers.

    ReplyDelete
  3. saya tak ada ank lagi tapi insha Allah boleh kumpul ilmu dari ibu bapa yg dh mempunyai ank mcm sis. apa yg dilakukan mestii kena ada sebab dan alasan supaya anak faham

    ReplyDelete
  4. Tidak jadikan ibu bapa sebagai hamba anak tu sangat setuju 100%. Bimbang kalau kita selalu memper'raja'kan anak, sampai dorang dah dewasa pun dorang akan layan ibu bapa macamtu jugak. Layan macam orang gaji/hamba. (tanda2 kiamat, ibu bapa menjadi hamba kepada anak2). Naudzubillah..

    ReplyDelete
  5. Fae setuju ckp akak :) kalo fae dah kahwin dan ada anak mungkin fae akan lakukan apa akak buat. Fae tak nak future children fae hanyut.

    ReplyDelete
  6. Bagus entri ni akak sbb sekarang zaman mak ayah manjakan anak terlebih (tak salah nak manja).

    Banyak point yg kak awa sebut persis mak ayah shaf didik adik-beradik shaf. Moga tuhan rahmati hasil kerja mak ayah. 😊

    ReplyDelete
  7. ibubapa ni yg mencorakkan anak-anak dan kita juga sering diduga dengan kelakuan anak2..semoga kita menjadi ibubapa yang sabar dan cemerlang..

    ReplyDelete
  8. Saya dari kecik nenek yang didik. Mak Ayah meninggal umur 8 dan 11 tahun. Sis hawa ni persis sama macam nenek saya buat. Saya jugak akan didik anak saya mandiri dan hormat. Tu yang penting

    ReplyDelete
  9. alhamdulillah satu perkongsian yang sangat baik.. terima kasih sis

    ReplyDelete
  10. Saya setuju dengan cara sis hawa didik anak. Keep it up!

    ReplyDelete
  11. Boleh jadikan panduan untuk ibu2 dan ayah2 juga.

    ReplyDelete
  12. cara kita merantai lebih kurang, awa.
    lelebih, aida ni bkerja. merantai dgn kasih syg.
    cuba sedaya upaya...

    ReplyDelete
  13. Tips yang bagus, kita bertegas bukan sebab jahat, tapi untuk mengajar.

    ReplyDelete