Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hak-Hak Isteri Ke Atas Suami Menurut Perkahwinan Islam

Sebagai wanita, aku mahu di cintai dan menyayangi. Bukan hanya aku seorang malah aku yakin semua wanita begitu. Bertambah seronoknya rasa hati jika di kurniakan seorang suami yang dapat mencurahkan kasih sayang secara ikhlas dan jujur setia. 

Setelah berkahwin, jangan ingat hanya suami ada hak ke atas isteri. Sebaliknya, isteri juga punya hak ke atas suami. Agama Islam ini sangat indah dalam menjaga keadilan dan adab berkasih sayang kepada setiap pasangan suami isteri itu. 

Hak-Hak Isteri Ke Atas Suami Menurut Perkahwinan Islam

Setelah berkahwin, wanita yang telah bergelar isteri ini akan mempunyai hak ke atas sang suami. Hak yang di tegaskan di dalam agama Islam tergolong kepada dua kategori iaitu hak yang berkaitan dengan masalah harta dan hak yang tidak berkaitan dengan masalah harta.

Hak yang berkaitan dengan masalah harta ini adalah mahar dan nafkah

Manakala bagi hak yang tidak berkaitan dengan masalah harta pula adalah dari aspek layanan suami terhadap si isteri.

hak-isteri-atas-suami

1. MAHAR

Mahar adalah hak isteri yang telah di tetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Ia bukannya satu rekaan semata-mata. Malah Allah SWT sendiri telah berfirman dalam surah An-Nisaa' ayat 4 yang bermaksud:
Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.
Antara benda yang boleh di jadikan sebagai mahar di dalam sesebuah perkahwinan adalah:
  • Matawang
  • Barangan perhiasan diri seperti cincin, gelang tangan, pakaian dan sebagainya
  • Pekerjaan seperti menghafaz AlQuran
  • Makanan
  • Dengan memerdekakan

Mahar adalah hak mutlak seorang isteri dan si suami tidak boleh mengambilnya sesuka hati melainkan jika si isteri itu sendiri sudi memberikannya secara relahati tanpa ada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak. 

Walaubagaimanapun, si suami boleh berhutang mahar kepada isterinya dengan syarat si suami wajib melunaskan hutang tersebut. 

Suami yang tidak mahu melangsaikan hutang mahar ini terhadap isterinya akan di ancam oleh Allah SWT dengan ancaman yang sama terhadap orang lain yang berhutang dengan niat tidak mahu membayarnya padahal mampu untuk membayar.

Mungkin ada suami yang terlupa setelah berhutang mahar ini kerana sudah hidup sebagai suami isteri dalam satu jangka masa. Dalam situasi ini si isteri boleh memperingati si suami tentang hutang tersebut.

Mahar yang rendah adalah lebih baik dan menurut Saidatina Aisyah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda; 

"Nikah yang paling besar barokahnya itu adalah yang murah maharnya." (HR Ahmad 6/145) 

 

2. NAFKAH

Nafkah juga tergolong kepada dua kategori iaitu:
  • Nafkah Zahir
  • Nafkah Batin 

Syarat-syarat mendapatkan nafkah adalah :
  • Akad nikahnya sah
  • Isteri menyerahkan dirinya kepada suami
  • Isteri melayan suami
  • Isteri tidak menolak di ajak berpindah ke tempat yang di pilih suami
  • Isteri memiliki kemampuan untuk melayani suami

a. NAFKAH ZAHIR

Nafkah zahir adalah tanggungjawab yang perlu suami  sediakan untuk isterinya. Nafkah zahir ini merangkumi tempat tinggal, pakaian dan makan minum. Nafkah ini bergantung pada tahap kemampuan si suami. 

Suami juga tidak boleh memberi makanan dan pakaian isterinya lebih buruk daripada apa yang di makan dan di pakainya.

Walaubagaimanapun, seorang isteri tidak boleh meminta-minta apa yang di luar kemampuan suaminya. Tetapi sekiranya si suami itu mampu memberi lebih tetapi sengaja tidak tidak di berikan (kedekut dan sebagainya) maka si isteri boleh mengambil harta suaminya sekadar yang cukup untuk kegunaannya.

Jangan pula isteri pergi ambil duit dari kocek suami untuk pergi shopping barang kemas atau beri kepada orang lain, itu cari penyakit namanya. 

hak-isteri-atas-suami


b. NAFKAH BATIN

Nafkah batin adalah hubungan intim (persetubuhan).

Firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ وَقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ مُلَاقُوهُ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: isteri-isterimu adalah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat becucuk tanammu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah amal yang baik untuk dirimu dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu kelak akan menemui- Nya. Dan berilah khabar gembira orang-orang beriman. (al-Baqarah:223)


Di dalam Islam, si isteri boleh menolak permintaan suaminya dengan baik dan penuh sopan tetapi penolakan itu haruslah disebabkan keadaan darurat seperti dalam tempoh berpantang selepas melahirkan (nifas), haid, dalam ihram dan sebagainya. 

Selain daripada itu keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan turut boleh membolehkan si isteri menolak daripada melayan si suami. Sebagai contoh, penat berkerja, mengantuk yang teramat sangat dan stress.

Sekiranya si suami tidak boleh bertolak ansur sehingga ke tahap memukul dan memaksa si isteri dengan kekerasan maka si isteri boleh membawa perkara ini kepada pihak pengadilan dan pihak mahkamah akan memberikan hukuman yang sepatutnya.

Namun, harus di ingat! Isteri harus melayani suami kerana kegagalan isteri untuk memenuhi kehendak suaminya boleh menyebabkan berlakunya kecurangan di dalam rumahtangga. 

Isteri yang tidak menjaga kebersihan, daya penarik dan pesonanya boleh mendapat kemurkaan daripada Allah SWT.

 Jika pada suatu malam si isteri sengaja menolak permintaan suaminya untuk bersama sehingga suaminya marah, lalu suami meninggal pada malam itu maka si isteri akan di seksa di neraka meskipun si isteri terbabit seorang yang sangat rajin solat dan berpuasa.

Rasullullah SAW pernah bersabda:
"Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke bilik tidur lalu isterinya menolak, sehingga dia tidur dalam keadaan marah kepada isterinya, maka malaikat melaknat isterinya itu sehingga pagi" (HR. al-Thabrani dan Ibnu Khuzaimah)

3. LAYANAN

Layanan adalah perkara yang tidak kurang pentingnya di dalam sesebuah ikatan rumahtangga. Si suami perlu menghormati dan berlaku baik dengan isterinya. Si suami juga perlu memberikan perkara-perkara yang baik mengikut tahap kemampuannya dan bersabar atas kekurangan yang ada pada si isteri.

hak-isteri-atas-suami

Allah SWT berfirman:
"Bergaullah dengan mereka secara baik. Jika kamu tidak menyukai mereka, maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." (An-nisaa':19)

Berlaku baik, menyayangi dan mengambil berat akan isterinya adalah salah satu akhlah yang di puji dan dapat memupuk perasaan indah berumahtangga. Suami boleh memuliakan isterinya dengan cara bergurau senda dan bercanda. Rasullullah SAW sendiri suka bergurau senda dengan isterinya, Aisyah RA.

Para suami juga harus menasihati dan mengarahkan isterinya kepada kebenaran jika si isteri telah melakukan kesalahan. Wanita lebih di pengaruhi oleh emosi  daripada akalnya sedangkan lelaki lebih di pengaruhi oleh akal daripada emosinya. Ke dua-dua perwatakan ini harus saling melengkapi.

Nasihatilah isterimu dengan baik. Sebab, wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok, dan yang paling bengkk di tulang rusuk adalah bahagian paling atas. Jika engkau hendak meluruskannya, ia patah, dan jika engkau membiarkannya, ia tetap bengkok. Jadi, nikmatilah isterimu walaupun keadaannya demikian." (HR- Al-Bukhari dan Muslim)

 

Hak Isteri Ke Atas Suami Setelah Suami Meninggal Dunia 

Apabila kematian suami, isteri mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas semua harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri. Harta sepencarian adalah antara hak ke atas harta pusaka suami. Hak itu isteri diharuskan menuntutnya sebelum diselesaikan hak lain.

Apakah maksud harta sepencarian ini sebenarnya? 

Bagaimana jika si isteri itu tidak bekerja, hanya surirumah saja. Adakah berhak untuk tuntut harta sepencarian?

Mengupas perkara ini, Peguam Syarie Khairul Fahmi Ramli berkata definisi harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan mereka. Bukannya harta yang di beli dengan guna duit ke dua belah pihak. 

Bahagian pihak suami atau isteri akan ditentukan berdasarkan jumlah sumbangan mereka ke atas harta sepencarian tersebut.

Maksud Harta Sepencarian Yang Lebih Mendalam 

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama. Harta sepencarian turut dikenali sebagai carian laki bini, pencarian, Gono-gina, hareuta sihreukat, harta Suarang dan lain-lain

Agama Islam mengiktiraf pemilikan setiap individu terhadap harta. Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam sama sekali tidak menafikan atau membataskan hak tersebut. 

Harta berkenaan juga adalah daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami dan isteri sepanjang mereka kekal sebagai suami isteri. 

Islam menganggap harta sepencarian sebagai satu cara pengiktirafan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang di atas daya usahanya untuk memiliki harta tersebut. Harta Sepencarian ialah harta yang dimiliki atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan usaha secara langsung atau tidak langsung.

Ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Nisa’, ayat 32; Maksudnya: 

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Undang-Undang dan Mahkamah Syariah di Malaysia mengiktiraf sumbangan isteri ke atas perolehan harta meskipun si isteri itu hanya surirumah sepenuh masa. 

Isteri yang tidak bekerja boleh dan mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian berdasarkan sumbangan tidak langsung. Sumbangan tidak langsung yang dimaksudkan merujuk kepada sumbangan isteri dalam menguruskan keluarga dan anak-anak sepanjang suami keluar bekerja. 

Jenis-Jenis Harta Sepencarian

Jenis harta sepencarian yang boleh dituntut terbahagi kepada dua jenis iaitu :
  1. harta alih 
  2. harta tidak alih

a) Contoh harta alih 

Harta Alih seperti wang tunai, barang kemas, barang-barang berharga, unit amanah, share syarikat, saham, insurans, KWSP,  kereta, motor,  dan sebagainya. 

b) Contoh harta tidak alih

Harta Tidak Alih seperti tanah, kepentingan atas harta, hak atau faedah yang akan didapati daripada tanah tersebut dan sebagainya.

suami-tuntut-harta-sepencarian-isteri

Hak Wanita Ke Atas Bekas Suami Selepas Penceraian 

Untuk hak isteri ke atas bekas suaminya selepas bercerai, si isteri yang telah diceraikan ini ada hak untuk beberapa tuntutan.

Tuntutan isteri ke atas bekas suami ini adalah :
  • Tuntutan Mutaah
  • Tuntutan Nafkah Eddah
  • Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)

1. Mutaah 

Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dari isteri dan bukan kematian suami. 

Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah: 

“Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah : 241)

2. Nafkah Eddah 

Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian.

3. Hadhanah 

Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, 

“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”. (Riwayat Abu Daud)

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan : 

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”. ( Surah at-Talak : 6 ) 

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Hak Suami Ke Atas Gaji Isteri 



Kesimpulan 

Hak-hak yang Islam tetapkan ke atas suami dan isteri bertujuan untuk menjaga kebajikan kedua-dua belah pihak. Jika tidak lagi bersama, ditakdirkan bercerai atau salah seorang meninggal dunia maka hak yang ditetapkan ini boleh meringankan beban membantu dalam situasi tersebut.

Hak suami selepas kematian isteri juga ada. Harta sepencarian yang boleh dituntut ini banyak seperti rumah, kereta dan lain-lain. Cara tuntut harta sepencarian suami meninggal hendaklah di rujuk kepada mana-mana Jabatan Kehakiman Syarikah Negeri yang terdekat. 

Tidak ramai pasangan suami isteri mengambil tahu atau faham konsep harta sepencarian yang diiktiraf di bawah Undang-Undang Keluarga Islam. Sebenarnya bila berlaku kematian kepada salah seorang pasangan, suami atau isteri mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian. 

Semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi info terhadap pasangan di luar sana. 


Rujukan : 





Jemput join  : 


Semoga bermanfaat. 



5 comments for "Hak-Hak Isteri Ke Atas Suami Menurut Perkahwinan Islam"