HIGHLIGHT

21 Feb 2018

NUKILAN HATI DI BENING SENJA - SIS HAWA


Semakin bulat azam di hati untuk berubah, semakin panjang pula ujian Allah ni utk ku. Semakin ku nekad untuk berhijrah, semakin sukar pula jalan yang nak kulalui tu. Semakin kuat ku fikir cara untuk betulkan diri semakin tinggi pula pagar halangan yang perlu ku lompat.

Ya Allah, kenapa Kau sukarkan semuanya? Aku tahu.... aku tahu.... ini mesti kerana Kau betul-betul nak uji tahap keazaman aku ni kan? Aku juga tahu kerana Kau nak aku semakin kuat berdoa supaya aku tak mudah gentar dan dapat balutkan hati dengan perisai supaya panah-panah penambah dosa akan patah.

Tapi Ya Allah, Kau janganlah uji aku dengan sangat lama kerana aku yakin Kau tahu setahap mana kemampuan aku untuk tanggung semua ini. Aku ini hanya umpama ulat kecil yang amat lemah. Aku tak punya taring, aku tak punya kuku,, aku juga tak punya racun. Apa yang aku ada hanya sekelumit azam untuk semakin dekat dengan Kau Ya Allah maka tolonglah.... tolonglah jangan Kau serabutkan wajah aku ini di mata orang-orang lain terutamanya di mata insan-insan yang aku sayang.

Sebagai perempuan, aku punya hati yang cukup goyah. Sebagai perempuan juga aku tak boleh lawan lelaki yang lebih banyak berpijak dengan akal logika dan fakta. Hati perempuan mudah terasa, mudah menangis, mudah tersentap tapi dalam masa yang sama juga mudah untuk di ubati kerana itu hati perempuan ini lebih cepat bersimpati. Tapi, Kau kan tahu sejauh mana azam aku untuk berubah?

Aku tahu cukup payah... payah yang teramat sangat namun sesungguhnya Kau Maha Pendengar  kerana itu Kau sangat istimewa. Aku ni tak layak untuk segalanya kerana aku ini hanya seorang makhluk ciptaan Mu semata-mata.

Aku bukan seorang ibu yang terbaik. Aku mengaku dan aku sedar. Kerana itu aku semakin cuba untuk berubah kerana Mu Ya Allah.

Aku juga bukan seorang isteri yang paling sempurna. Aku sedar dan faham. Kerana itu skarang ini aku sedang berusaha untuk memperbaiki diri juga kerana Mu Ya Allah.

Jika dulu aku pernah terjentik rasa mahu berubah menjadi insan yang lebih baik demi membahagiakan suami, anak-anak dan mak ayah tapi sekarang tiada yang lain boleh menjadi penyebab utama untuk aku berubah melainkan kerana Mu Ya Allah.

 Kaulah yang teratas di dalam carta kerana aku sedar Kau mampu mengambil aku semula pada bila-bila masa walau aku tak sanggup untuk berpisah dengan mereka semua dan meskipun di saat aku masih belum bersedia tetapi.... tolonglah Ya Allah.. tolong berikan aku kesempatan untuk mengikis semula dosa silam. Tolong bantu beri aku detik untuk aku cuci semula kesilapan lampau yang terlalu banyak ini.

Aku perlu gantikan solat yang sengaja aku tinggalkan dek kerana ego suatu masa dulu ketika usia remajanya. Maafkan aku dek kerana taksub dengan kecantikan hingga lupa untuk sujud terimakasih padaMu.

Aku juga perlu gantikan puasa yang sengaja aku lupakan dek kerana bangga ketika usia mudaku. Ampunkan aku dek kerana lalai dengan kesihatan yang penuh bertenaga hingga lupa untuk berkorban walau hanya sedikit untuk Mu.

Terlintas di fikiran aku yang pendek akal ini, apakah ini sebenarnya yang ingin Kau ingatkan aku. Jika benar, terimakasih Ya Allah. terimakasih. Tapi..... tolonglah Ya Allah... janganlah sesekali Kau renggangkan  rasa kasih antaraku dan insan-insan kesayangan yang ada di sekeliling diri ini.

Sesungguhnya hanya Kau yang bisa menyelamatkan aku. Ya hanya Kau!! Kerana Kaulah satu-satuNya penciptaku. Dari Mu aku datang dan hanya kepadaMu aku akan pulang.

Duhai senja, berlabuhlah di kau... biarkan malam menyelimuti alam dengan kelam... setidaknya ia mampu memberikan sedikit waktu untuk sang mentari beradu supaya esok ia boleh kembali menerangi alam sementara yang banyak ujian ini semula.


Nukilan Ikhlas Untuk Penciptaku,
Siti Awadah
Kelantan Darul Naim
21-Feb-2018






5 comments:

  1. bila teringatkan masa muda, banyak yg buat kita malu dengan masa muda. Allahu

    ReplyDelete
  2. Semoga terus istiqomah sis. Doakan saya sama ye

    ReplyDelete
  3. started to think about mine as well.

    ReplyDelete
  4. tiap hari memikirkan perkara yg sama tatkala hari nak sampai ke hujung, awa.
    aduhai...

    ReplyDelete