"Kenapa kau panggil aku bodoh?" 

"Apa salah aku pada kau?"

"Kita kenal ker?"



BODOH! Satu perkataan yang aku rasakan tak patut ada dalam kamus. Silap sikit dengan mudah di panggil bodoh. Tak sama jer dengan orang lain di panggilnya kita bodoh! Hellooo....

Sebagai ibu dan bapa, sekiranya anak kami agak lemah di sekolah, adakah dengan begitu mudah kau boleh panggil anak kami bodoh?  Apakah kau yakin anak kami tak akan berjaya suatu hari nanti?

Terus terang, walau pun ayat penulisan aku pagi ini kelihatan sedikit 'emo' tapi sebenarnya aku menulis dalam keadaan yang sangat tenang. Tenang setenang tenangnya kerana aku tak kisah walau ada yang menganggap anak aku seorang yang kurang cerdik dan lembab jika dibandingkan dengan murid lain di sekolahnya.

Ya, anak aku yang ke empat berusia 6 tahun (tabika) agak lembab sikit, aku mengaku kekurangan anak aku.  Tahun depan dia akan melangkah ke darjah 1 tapi sayangnya sehingga kini dia masih belum dapat membaca. Malah kenal huruf pun susah. Aku sedar semua itu.

Tapi, tolonglah jangan sengaja membandingkan anak aku dengan anak orang lain. Tak perlulah berulang kali menegurku tentang hal ini. Sebagai seorang ibu yang membesarkannya sudah pasti aku tahu kekurangannya itu.

Bahkan aku tahu sikap ke semua anak-anakku. Aku tahu apakah minat mereka, apakah kelebihan mereka dan apakah kekurangan mereka. Aku bukan seorang yang tidak mahu menerima teguran cuma bak kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Jadi, sebelum kita bercakap tentang keburukan seseorang ada baiknya kita pandang dulu pada diri kita sendiri. Untuk lebih memudahkan keadaan ada baiknya kalau kita sama sekali tidak pedulikan kekurangan orang lain. Kalau nak bercakap juga cakaplah akan kebaikan seseorang itu daripada bercakap tentang keburukan dan kekurangannya supaya kita dapat menjaga lidah dengan baik.

Sebagai ibu memang aku mahu semua anak aku menjadi bijak. Tapi sebagai seorang hambaNya, pasti ada sesuatu yang kita tidak tahu. Jika kita telah berusaha tetapi apa yang kita inginkan tidak di beri, bermakna mungkin perkara tersebut tidak sesuai dengan kita. Mungkin kalau ada agaknya akan membuatkan kita lebih bermasalah, siapa tahu? Jadi sebab itu kita kena redha. Jangan marah dan mengeluh kalau apa yang kita hajatkan tidak kesampaian. Macam aku, semua anak aku lelaki, ada yang bertanya... "tak mau anak perempuan ker?" Eh mestilah aku nak! Tapi oleh kerana Allah tak izinkan, jadi aku redha sajalah. Aku dan asben tak de masalah pun walau tak de anak perempuan. Kami happy jer :D

Berbalik pada anak ku yang agak lembab dalam pelajarannya. Ada yang menegur aku berkali-kali untuk lebih mengajarnya di rumah. Aku hanya senyum... bukan senyum sebab orang yang menegur itu prihatin pada aku dan anak tetapi senyum sebab orang yang menegur ku itu tidak kenal pun aku secara rapat.

Sebelum dia menegur, adakah dia kenal bagaimana corak pemikiranku?



Walau dia tidak membaca tulisanku ini tapi suka aku beritahu, kami (aku dan asben) bukan ibu dan ayah yang suka memaksa anak-anak dalam pelajaran. Memang kami tegas soal pendidikan, memang kami peruntukan dua jam sehari memerhatikan anak-anak buat kerja rumah dan ulangkaji, memang kami sanggup mengikuti pelbagai aktiviti di sekolah untuk support anak-anak tapi jika salah seorang darinya menunjukkan prestasi yang tidak sepatutnya, tak kan kami nak pukul, ikat dan buang dia ke laut?

Alhamdulillah, anak ku yang pertama (14 tahun) seorang pelajar di salah sebuah Maahad, anak aku yang ke dua (11 tahun) seorang pelajar di sekolah kebangsaan dan antara murid yang paling cemerlang di sekolahnya sejak dari darjah 1 (pegang jawatan pengawas), anak aku yang ke tiga (8 tahun) pelajar di sekolah rendah aliran agama yang sentiasa berada di dalam kelas teratas dan mendapat kedudukan yang teratas juga di sekolahnya.

Kalau awak perasan, anak pertama dan ke tiga di dalam aliran agama tetapi anak ke dua di sekolah kebangsaan, tiga anak dengan tiga sekolah berbeza, kerana apa? Kerana aku dan asben tahu apa minat mereka, walau agak susah hantar dan pick up tiga anak dari tiga sekolah berbeza setiap hari tapi itulah cara aku dan asben untuk support anak-anak. Di sebabkan ini jugalah aku buat keputusan jadi ibu sepenuh masa supaya mudah uruskan semua anak-anak.

Kini, anak aku yang ke empat tidak menunjukkan prestasi ke arah itu. Dimanakah silapnya? Apakah cara aku mendidik salah dan kerana itu aku sering di ingatkan tentang kekurangan anak aku tu?

Hmmm... itulah dia sikap sesetengah manusia kan? It's okay. Takpe.. aku dah lali kot.

Lagipun aku dan asben memang sudah ada perancangan untuk anak ke empat ku ini. Kami tetap akan hantar dia ke sekolah rendah untuk beberapa tahun. Tapi, sekiranya dia masih menunjukkan tahap yang lemah dalam akedemik maka kami akan hantarkan dia ke sekolah pondok. Kami akan fokuskan dia ke arah agama supaya menjadi seorang insan yang lebih berguna.

Memanglah di zaman sekarang ni semuanya mementingkan akedemik. Aku dan suami juga tidak pandang rendah soal itu (sebab tu kami tegas soal pelajaran terhadap anak-anak), tapi soal rezeki bukannya kita tentukan. Contoh paling terdekat asben aku sendiri, walau dia punya sijil dan kelulusan dalam bidang aircond dan elektrik tapi dia boleh buat income dalam bidang pertukangan yang sama sekali dia tidak belajar di mana-mana (hanya bermula kerana minat).

Contoh seterusnya, Dato' Aliff Shukri walau dia fail dalam SPM tapi cuba tengok kedudukan dia sekarang. Aku sendiri tidak mampu untuk bersaing dengan dia.

Walaubagaimana sekalipun, aku dan asben tak pernah membezakan anak kami. Kami terima semuanya dengan seadanya. Mungkin anak ke 4 kami kurang bijak dari segi pelajaran akademik sebab dia lah yang akan terus hidup di samping aku dan suami. Dia yang akan menjaga kebajikan aku dan suami apabila kami semakin tua nanti. Semua itu kita tidak tahu lagi sebab kita bukannya boleh lihat masa depan macam si Doreamon dan Nobita tu.



Apa yang penting, anak-anak aku tidak melakukan perkara-perkara yang di murkai Allah, ameen. Betul tak apa yang aku fikir ni? Apa pendapat awak semua?

Janganlah  terlalu mudah meletakkan seseorang pada suatu tahap yang buruk kerana dunia ini bukannya untuk selama-lamanya. Tiba masa kita semua akan mati menghadap ilahi.