Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Adab Makan Minum Islam Ikut Sunnah Rasullullah

Adab Makan Dan Minum Dalam Islam Ikut Sunnah Rasullullah Adab Ketika Makan adalah satu perkara penting yang perlu dipraktikkan oleh semua orangDaripada Ibn Abbas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Keberkatan turun di tengah makanan maka kamu makanlah terlebih dahulu dari kedua tepinya dan janganlah kamu makan dari tengahnya.” (Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi, katanya Hadith Hasan Sahih)

Sebagai seorang muslim, semestinya kita semua sudah tahu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah idola yang paling hebat untuk kita semua. Mengikuti sunnah Rasulullah SAW adalah sangat penting bagi setiap muslim.

Rasulullah SAW bukan hanya memberi panduan pada kita bagaimana untuk hidup selamat dunia akhirat malah juga cara untuk jalani kehidupan seharian dengan gaya yang betul dan sihat. Sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian sangat bagus untuk kita amalkan.

Dalam bab makan pun ada adab yang perlu kita ikut. Makan berjamaah di atas hamparan dengan dengan menggunakan Shahfah/Qash'ah (talam/dulang) merupakan salah satu sunnah Nabi. Makan bersama dalam Islam begini turut dapat eratkan hubungan sesama kita.



Ajaran Baginda dengan adab semasa makan dan minum ini bukan sekadar bagus untuk akhlak malah adab-adab makan yang diajar ini juga sangat berkesan untuk penjagaan kesihatan dan keberkatan sepanjang zaman. 

Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi SAW yang bagus untuk kita semua amalkan semasa sedang berhadapan dengan makanan. Di sini akan dikongsikan adab-adab tersebut dan semoga kita semua sama-sama boleh praktikkan.

Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
“Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Al-Bazzar pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (HR At-Tirmidzi)

Cara Nabi Duduk Ketika Makan 

Rasulullah SAW hanya makan ketika lapar dan Baginda berhenti sebelum perut berasa kenyang. Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. 

Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian. 
  • 1/3 ruang untuk makanan
  • 1/3 bahagian untuk udara dan 
  • 1/3 untuk air. 



Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekaligus adalah amalan yang buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah dan tidak mampu mencerna dengan baik.

Sabda Baginda SAW: 

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi)

Di samping itu, Baginda SAW juga tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.” 


Cara Nabi Menyuap Makanan

Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda: 

“Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim). 



Baginda SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. 

Hikmahnya, kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. 

Rasulullah SAW bersabda: 
“Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya.” (HR Muslim) 


Nabi Basuh Tangan Dan Berkumur Lepas Makan

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. 

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandungi lemak.” (HR Ibnu Majah) 


Nabi Suka Makan Secara Berjemaah Bagi Mengelakkan Pembaziran

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar berkongsi makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Secara tidak langsung ianya mewujudkan kemesraan dan meningkatkan kasih sayang terhadap sesama Muslim. 

Selain itu, amalan berkongsi makanan dalam satu dulang juga dapat mengelakkan pembaziran. 

Sabda Rasulullah SAW: 
“Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan, kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian.” (HR Abu Dawud) 

Makan Sambil Berbual Perkara Yang Baik Adalah Dibolehkan

Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang soleh ketika makan. 

Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim rahimahullah, Rasulullah SAW bercakap dan berbual ketika makan. 

“Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah makanan pada hari ini dan memuji makanan itu.” (HR Muslim). “Dan ada kalanya Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya. Ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR Al-Bukhari). 

Namun begitu, ketika makan ini jangan pula terlalu banyak bercakap dan jangan juga bercakap dengan makanan penuh dalam mulut. Topik perbualan yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya ketika sedang menghadap makanan juga tidak dibenarkan. 


Umat Islam Dilarang Menggunakan Bekas Makanan Dari Emas Dan Perak

Umat Islam juga dilarang menggunakan bekas makanan yang diperbuat dari emas dan perak. Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak. 

Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, melambangkan kesombongan, sedangkan sifat sombong adalah hak mutlak Allah SWT sahaja.

Senarai Tata Tertib Cara Makan Dan Minum Yang Betul Mengikut Cara Nabi

Ada beberapa panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, antaranya adalah agar memulai dengan ‘Bismillah’ ketika hendak makan dan diakhiri dengan ‘Alhamdulillah’. 

Hikmah membaca Basmalah dan Alhamdulillah bagi seorang Islam adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT yang semestinya disyukuri.

1. Basuh Tangan Sebelum Makan  

Nabi SAW  bersabda maksudnya : 
"Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya." (Hadis Riwayat Abu Daud).

2. Membaca Bismillah / Doa Makan 

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : 
"Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." 

Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : 
"Aku akan bermalam dengan kamu." Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)" (Hadis Riwayat Muslim)

3. Berkumpul Semasa Makan 

Makan bersama terutama dengan keluarga bukan hanya dapat mengelakkan pembaziran malah dapat memupuk rasa kasih antara sebuah keluarga. 

Masa makan ini walau nampak remeh namun sebenarnya ia adalah salah satu kunci utama untuk mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia.




4. Menyuap Makanan Dengan Tangan Kanan 


ketika makan, wajib makan dengan menggunakan tangan kanan walaupun makan dengan menggunakan sudu. 

Sekiranya makan dengan tangan kanan dan ketika itu terasa seperti hendak minum air maka air di dalam gelas atau cawan tersebut boleh di minum dengan menggunakan tangan kiri tetapi haruslah dengan cara berlapik dengan tangan kanan.

5. Ambil Lauk Pauk Yang Mengiringi

Ambil lauk pauk yang mengiringi ini maksudnya adalah dengan mengambil lauk pauk yang paling hampir dengan kita terlebih dahulu kemudian barulah ambil lauk pauk yang lebih jauh pula.

Dalam satu hadis, yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah RA, beliau berkata: 
“Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. Tanganku melintasi (menjangkaui) segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW: “Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu.” 

6. Makan Bermula Dari Bahagian Tepi Pinggan

Sabda Nabi SAW. maksudnya : 
"Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pingan (bahagian tengah), akan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada dahagian di sebelah bawahnya (tepi yang berdekatan dengannya) kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (kebawah)" (Hadis Riwayat Abu Daud).



7. Jangan Tongkat Tangan Semasa Sedang Makan 
Nabi SAW bersabda kepada seorang lelaki di samping baginda: 
“Saya tidaklah makan sedangkan saya (di kala itu) bertongkat tangan.” (HR Bukhari)
Juga digalakkan makan di dalam keadaan cara duduk berlutut dan menghulurkan kedua telapak kaki atau mendirikan kaki kanan dan duduk di atas kaki kiri (separuh bertempoh) atau bersila. 
Kurang digalakkan makan di atas meja beserta duduk di atas kerusi kerana duduknya selesa dan tempoh makannya menjadi lama.



8. Jangan Sesekali Mencela Makanan 
Abu Hurairah r.a. pernah memberitakan: 
“Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan makanan (yang terhidang). Jika baginda berselera, baginda memakannya, dan jika baginda tidak ingin, baginda meninggalkannya.” (HR Bukhari)
9. Makan Suapan Yang Terjatuh
Mengikut Jaabir B. Abdullah RA. Rasulullah SAW pernah bersabda: 
“Apabila suapan seseorang kamu terjatuh maka hendaklah dia mengambilnya, hendaklah dia membuang kemudharatan padanya dan hendaklah dia memakannya dan janganlah dia meninggalkannya kepada syaitan (secara membazir).” (HR Muslim)
10. Air Hendaklah Di Minum Dengan Tangan Kanan
“Apabila salah seorang kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (HR Muslim)


Kita rakyat Malaysia makan dengan tangan. Maka, apabila makan tangan kanan akan kotor. Jika sedang makan, tiba-tiba tersedak... tak sempat nak basuh tangan untuk minum dengan tangan kanan. Jadi bagaimana?

Caranya, angkat gelas dengan tangan kiri, lapik bawah permukaan gelas dengan tangan kanan dan halakan ke mulut dengan cara menolak ke mulut dengan menggunakan tangan kanan yang di bawah itu. Jangan turunkan tangan kanan itu sepanjang sedang minum.


11. Minum Air Sedikit Demi Sedikit, Bukan Dengan Sekali Teguk Hingga Habis

Tidak kira minum secara terus atau dengan menggunakan straw, jangan terus di teguk atau menelan air tersebut secara berpanjangan dengan sekali teguk. Cara yang betul adalah, teguk sedikit air dan ucapknan Alhamdulillah.

Kemudian teguk lagi untuk kali yang ke dua dan ucapkan Alhamdulillah. Akhir sekali lakukan untuk tegukan ke tiga dengan cara yang sama. 

Untuk tegukan ke empat boleh lah di teguk air tersebut sehingga habis jika mahu. Mengikut saintifik bagus untuk paru-paru kerana paru-paru kita kembang dan kuncup. Jika terus minum sekaligus boleh menyebabkan sesak nafas.

12. Jangan Sesekali Minum Air Dari Bekas Yang Besar Saiz Permukaannya

Jangan minum secara terus daripada bekas yang besar seperti jag dan lain-lain. Terutama bekas dengan permukaan yang besar ini kerana Ibnu Abbas r.a. memberitakan: 
“Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas dalam bekas minuman atau menghembuskan ke dalamnya.” (HR At-Tirmidzi)


13. Ucap Alhamdulillah Selepas Makan Dan Minum
Pujilah Allah SWT dengan mengucapakan ucapan Alhamdulillah lepas makan. Terdapat juga beberapa doa selepas makan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW. 
Kita juga turut digalakkan untuk mendoakan untuk penjamu kita (yang menjamu hidangan kepada kita).



Kesimpulan

 Makan dan minum pun ada adab yang perlu kita umah Islam patuhi. Bukan untuk keburukan tetapi untuk kebaikan. Baik untuk kehidupan seharian dan juga baik untuk menambahkan pahala sebagai saham di akhirat kelak. 

Jom kita sama-sama cuba praktikkan untuk makan dan minum dengan mengikut cara Rasulullah SAW yang kita semua cintai ini. Barangsiapa yang mengikut sunnah adab makan ini, nescaya diberkati makanannya dan dikurniakan kesihatan tubuh badan, inshaAllah.

2 comments for "Adab Makan Minum Islam Ikut Sunnah Rasullullah"