Jika dulu Sultan Muhammad V pernah menjadi viral kerana berani turun membantu rakyatnya yang terkena musibah banjir dengan memandu sendiri pacuan empat roda tanpa sebarang pengiring hingga sanggup berkaki ayam, kini Baginda telah berjaya mencetus viral sekali lagi dengan ayat 'Sila duduk, Jangan lari!'.

Sila duduk dan jangan lari ini merupakan ayat yang membuatkan semua hadirin tertawa. Apa tidaknya, di dalam sebuah majlis rasmi yang agak serius, dengan wajah senyum manis Sultan Kelantan siapa lagi jika bukan Sultan Muhammad V dengan mudah membuatkan semua orang tersenyum.


"Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sila duduk dan jangan lari," titah baginda sambil tersenyum sebelum duduk mengambil tempat.
Serentak itu, ia disambut dengan gelak ketawa Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kabinet.
Turut ketawa ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain.
Selepas keadaan kembali reda, Sultan Muhammad V memulakan ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-14.



Seronok pula melihat keadaan Dewan Rakyat yang selalunya asyik genting saja, telah boleh bertukar menjadi gamat dengan gelak ketawa berkat titah Baginda yang tampak 'comel' itu. Tidak dinafikan juga sejak Sultan Muhammad V menjadi Agong, ramai yang semakin ingin mengikuti kisah Baginda yang semakin terkenal dengan sikap yang suka merendah diri itu.

Di sini daku kongsikan beberapa perkara untuk kita lebih mengenali Baginda :

1. ANTARA SULTAN TERMUDA

Sultan Muhammad V adalah salah seorang sultan di dalam sejarah Malaysia setakat ini yang telah menjadi Agong dengan usia 47 tahun.


2. MEMERINTAH TANPA SEORANG PERMAISURI

Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V adalah yang pertama dalam sejarah untuk memerintah tanpa Ratu (permaisuri). Baginda bagaimanapun menyimpan beberapa haiwan terutamanya kuda, burung, kucing dan ayam sebagai haiwan peliharaan. Ia telah mampu mempamerkan sifat lembutnya yang sangat penyayang.

[ Gambar Hiasan : Adinda Baginda yang bernama Tengku Amalin Aishah Putri dan suami ]

Yang pasti, ramai makcik-makcik bawang era baru dan lama asyik berbual sesama mereka dengan membayangkan siapakah agaknya yang paling layak dan menjadi insan bertuah untuk duduk di sebelah Baginda. Ada antara makcik bawang menyebut nama penyanyi, pelakon, model muslimah malah ada juga yang memberi cadangan di kalangan orang biasa yang berpendidikan tinggi dan cantik. Eh tidak kurang ada juga yang rasa anak gadis mereka sendiri layak. Oh makcik.....

3. MEMPUNYAI PENDIDIKAN YANG BAIK

Meskipun tampak 'biasa dan bersahaja' namun hakikatnya Sultan Muhammad V telah mendapat pendidikan yang terbaik dengan menghadiri Kolej St Cross, Oxford dan Pusat Pengajian Islam Oxford untuk kajian diplomatik, dengan telah menamatkan pengajian pada tahun 1991.


Seterusnya Baginda telah melanjutkan pengajian diplomatik dan pentadbiran perniagaan di Huron University College, London. Sultan bahkan menyelidiki lebih dalam hubungan diplomatik di Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin, dan mengambil Pentadbiran Perniagaan Eropah di Sekolah Perniagaan Eropah London.

4. SUKAKAN AKTIVITI LASAK

Baginda dikatakan sangat sukakan aktiviti mencabar dan sering menunggang kuda, memandu di luar jalan dan bermain sukan lasak. Selain itu, Baginda juga turut menikmati sukan golf, go-kart, menembak, memanah, badminton, boling, dan bola sepak.

5. SENTIASA CUBA MERAPATKAN DIRI DENGAN RAKYAT

Sultan Muhammad V juga telah telah mengadakan Program Walkathon D'Raja Kelantan untuk membawa rakyat negerinya untuk lebih dekat ke institusi diraja dan juga untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan perpaduan pada setiap tahun.


Pada tahun 2011 misalnya, dengan 21,111 peserta, perjalanan sejauh 10 km di sekitar Kota Bharu telah masuk ke dalam Malaysia Book Of Records sebagai walkathon dengan jumlah peserta tertinggi.


6. SANGAT DI SAYANGI RAKYAT

Sultan sangat dikasihi oleh rakyatnya. Baginda mempunyai pelbagai cara untuk menaikkan kebajikan kepada rakyatnya.


Dan sebagai penaung Yayasan Sultan Kelantan, beliau membantu segmen masyarakat yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, miskin dan orang kurang upaya. Yayasan itu juga menyediakan bantuan pendidikan bagi pihak yang malang. Malah Baginda sendiri telah turun menghulur tenaga tanpa sebarang protokal untuk kejadian banjir besar di Kelantan beberapa tahun yang lalu.


7. ADA MASA SERIUS, ADA MASA KETAWA



Seriously, daku tak boleh tahan dari tersenyum ketika melihat wajah Baginda ketika sedang serius kerana daku tetap juga akan terbayang wajah Baginda ketika gelak dan tersenyum.. ampun Tuanku!! =D


Meskipun Baginda seorang yang punya kedudukan namun sifat Baginda yang sering berpakaian mengikut cara 'orang biasa' terutama untuk majlis yang melibatkan masjid dan keagamaan. Ini telah membuatkan ramai yang memuji kerana secara tidak langsung soal pemakaian ini telah memperlihatkan sebuah 'mesej' bahawa Baginda juga sebenarnya hanyalah seorang hamba Allah SWT yang sama seperti kita semua.



Walau pada mula pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dulu ada segelintir daripada nitizen yang cuba mempertikaikan Baginda dalam urusan pemerintahan namun nampaknya semakin hari sudah semakin ramai yang menyayangi Baginda. Bagi daku, hal ini adalah biasa saja bak kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta.

Bagi daku yang juga merupakan salah seorang warga negeri Kelantan, ini semua adalah perkara biasa kerana rata-rata rakyat di bawah naungan titahan Baginda telah lama tahu tentang sikapnya yang amat merendah diri dan dalam masa yang sama cukup menghormati sesiapa saja meskipun Baginda bergelar seorang Sultan.


Ini kerana sejak dari dulu Baginda tidak terlalu memikirkan soal protokal sebaliknya hanya menganggap diri Baginda sama seperti yang lain. Dek kerana itu jugalah daku pernah membuat entry khas untuk berkongsi sikap sebenar Baginda >> DI SINI <<


Yang pasti kini #siladudukdanjanganlari telah berjaya menjadi trending! Wahhhhh..... pertama kali dalam sejarah betul ni... =D