Perjalanan Ke Perak Demi Untuk Bercuti Bersama Team BPT ( Blogger Pantai Timur ) | Assalamualaikum ualls... alhamdulillah, kali ini TeamBPT ( Blogger Pantai Timur ) yang ku naungi telah berjaya melakukan aktiviti percutian bersama ahli team termasuk ahli keluarga ( suami dan anak-anak masing-masing) untuk kali yang ke-2 selepas selesai melakukan  aktiviti percutian yang pertama di Bukit Gambang Resort City dulu. Dan untuk destinasi percutian untuk kali ini, daku membuat keputusan untuk berjalan-jalan ke UTARA bermula daripada Perak Darul Ridzuan.

Percutian bermula pada 26 November 2018 dengan berkumpulnya kami di The Cedar @ Bidor untuk penginapan beramai-ramai selama 2 hari 1 malam. Daku memilih The Cedar @ Bidor kerana keadaan villanya yang sangat unik dan amat mendamaikan. Cuma sebelum ini hanya sempat lihat dalam gambar je so memang excited habislah nak jejak dengan kaki sendiri tambah-tambah with family and friends. Nak dijadikan cerita juga, esoknya ( 27 Nov ) adalah hari ulangtahun kelahiran salah seorang anakku yang ke 4. Maka terus tercetus idea untuk celebrate sama-sama, yelah peluang untuk jumpa begini bukannya mudah.

www.sishawa.com
berbiji biji bag!! 

Melakukan aktiviti percutian bersama ahli keluarga sebegini tidaklah mencabar mana cuma sebelum bertolak perlu di rangka dulu jadual perjalanan termasuk anggaran masa dan sebagainya supaya tidak berlaku percanggahan waktu dan dalam masa sama agar terisi jadual masa yang ada dengan aktiviti yang sepatutnya.

Bertolak Dari Kelantan Ke Perak Melalui Grik

Alang-alang daku dah ke Perak ini, bagi korang yang dari arah Pantai Timur ada beberapa jalan yang boleh dilalui untuk ke jajahan Darul Ridzuan dan daku sendiri bersama suami asyik berkira-kira samada ingin melalui laluan Gua Musang mahupun laluan Grik tetapi fikir punya fikir, disebabkan daku ini ingin menghala ke Utara maka adalah lebih baik jika melalui laluan Grik. Alhamdulillah, rezeki daku sekeluarga agaknya kerana cuti panjang sekolah baru bermula dan kebetulan bukan di hujung minggi maka sepanjang perjalanan semuanya berjalan lancar dengan kelegangan kereta yang amat ketara. Bawa relaks jer, tak yah nak terkejar-kejar masa... kenderaan berat pun tak banyak.
www.sishawa.com
1st time Kasih Sufi jejak kaki ke hentian ni

Berhenti Breakfast Di Puncak Banjaran

Kalau korang nak tahu, daku ni memang susah nak makan breakfast di waktu awal pagi. Selalunya kalau awal pagi tu bila bangun just minum air je dan perut memang tak leh nak isi ngan apa-apa makanan lagi hinggalah jam 9 pagi dan disebabkan kami bertolak jam 7 pagi dari Kelantan so suami (Mr.Qamar) terus bantu gorengkan nasi dan diisinya ke dalam bekas untuk di makan bersama nanti.

Kami tiba di atas puncak lebih kurang jam 9.30 pagi dan ketika tu hanya ada sebuah kereta dan beberapa buah lori je... aman damai tanpa perlu nak sesak susah payah parking kereta. Sampai katt situ memang sejukkkk giler sebabnya cuaca pagi tersebut agak berkabus dengan tebal mungkin kerana cuaca dan suhu di hujung tahun begini yang asyik hujan. Sejukkk macam kat Cameron pulak rasanya.

www.sishawa.com
makan nasi goreng terlajak sedappppp (bodek jangan tak bodek)

Makan dengan di temani pemandangan gini memang umphhhh.... tak sedar asyik bertambah hingga habis nasi sebekas! Mr.Qamar cakap habis sebab nasi gorengnya sedap, hek eleh masuk bakul angkat sendiri betoi... tapi dek disebabkan rasa berterima kasih sebab dia sudi buatkan so ngaku la sedap sedap sedap. Kalau tak puji nanti buatnya dia mogok merajuk tak nak tolong masakkan dah daku juga yang susah! Ye tak?

Walaubagaimanapun dalam happy dapat berhenti bersarapan pagi kat situ, daku turut rasa sakit hati! Sakit hati dengan perangai sikap sesetengah pengunjung lain yang suka suka je buang sampah merata. Napa? Susah sangat ke nak kumpul sampah sendiri tu buang dalam tong sampah. Kalau ye pun malas berjalan, haaa simpan dalam plastik pastu masukkan dalam kereta sendiri. Nak longgok sampah banyak mana dalam kereta tu lantaklah ( kereta sendiri pun banyak sampah )... jangan di buang merata begini je. Sakit mata betoi. Alam ciptaan Allah SWT buat cantik cantik, lawa lawa dengan warna dan cuaca sebegini indah tapi dengan mudah tercemar dengan tin-tin minuman, plastik dan sebagainya. 

www.sishawa.com
makan sambil jamu mata dengan kecantikan ciptaan Allah SWT

Selesai makan semua, kami duduk kejap ambil angin dengan cuaca sejuk ni sambil melayan suhu matahari yang semakin bersinar di celah awan. Tak lama selepas tu kami teruskan perjalanan menuju ke arah Bidor untuk segera sampai ke The Cedar Villa, almaklumlah tak sabar ni nak jumpa laga pipi peluk erat lepaskan rindu pada team members yang lain.

www.sishawa.com
PENUNGGU PUNCAK BANJARAN YANG KESEJUKAN