Bubur Asyura Kedah / Perlis a.k.a Bubur Asyura Utara setiap tahun mak akan masak di kampung bersama penduduk setempat secara bergotong royong demi untuk memasan Bubur Asyura ini. Jika dulu semasa tinggal di utara bersama family sememangnya waktu memasak bubur asyura bersempena dengan bulan Muharram ini amat di tunggu-tunggu demi untuk makan bubur asyura yang masih panas-panas tapi sejak dah berpindah ke pantai timur ni , agak sukar lagi untuk mendapatkan bubur asyura versi utara. 


Perbezaan Bubur Asyura Pantai Timur Dengan Bubur Asyura Utara 

Bubur asyura pantai timur tidak sama dengan bubur asyura utara kerana bubur asyura utara lebih manis, mudah dan simple daripada bubur asyura pantai timur. Ini kerana bubur asyura lebih menggunakan bahan-bahan seperti tepung, ubi, pisang, jagung dan juga kekacang sebaliknya bubur asyura pantai timur agak kurang manis berbanding bubur asyura utara dek kerana bahan utama mereka yang melibatkan beras, daging dan rempah sebagai bahan utama.



Mudah faham, bubur asyura utara seperti desert ( pencuci mulut ) dan bubur asyura pantai timur seperti menu makan malam yang agak mengenyangkan. Tak dinafikan ramai yang menganggap bubur asyura pantai timur agak manis namun sebenarnya telahan itu sama sekali silap kerana bubur asyura utara dan pantai timur lebih kurang sama saja tahap manisnya.


Dari segi warna juga bubur asyura pantai timur jauh lebih gelap daripada bubur asyura utara. Meskipun bahan untuk membuat bubur asyura pantai timur agak renyah namun bahan-bahan untuk memasak bubur asyura pantai timur ini boleh di dapati dengan mudah di kedai bahan kering dalam pasar-pasar. Namun rempah yang akan digunakan untuk memasak bubur asyura pantai timur ini memang agak sukar untuk didapati di luar  dari kawasan pantai timur itu sendiri.

Masak Bubur Asyura Utara Sendiri Dek Kerana Mengidam !

Meskipun telah sering disajikan dengan bubur asyura pantai timur namun tekak tetap berhajat untuk menikmati bubur asyura utara. Lama tak makan, maunya tak mengidam. Maka, akhirnya aku nekad untuk masak sendiri bubur asyura utara ini dengan menggunakan sukatan cawan. Kiranya, hasil selepas masak nanti takdelah terlajak banyak sangat hingga tak habis makan. Sedang elok untuk makan bersama satu famili dengan sepuas-puas hati. Dari tadi asyik berceloteh je, jom belajar cara membuat atau cara memasak bubur asyura utara ini untuk makan bersama famili. 



Bahan-Bahan Yang Diperlukan :
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan gula merah
  • 3/4 cawan gula
  • 1 cawan kacang hijau*
  • 1/2 cawan kacang tanah*
  • 1 biji ubi keledek* 
*direbus sehingga lembut kecuali ubi keledek separuh masak
  • 1 cawan jagung / lobak merah
  • 6 cawan santan
  • 6 biji pisang masak dipotong

Cara-Cara Untuk Memasaknya :
1. Bancuh tepung beras bersama santan, gula merah, gula serta garam.
2. Tapiskan bahan tersebut ke dalam kuali dan masak sehingga mendidih dengan menggunakan api yang kecil.
3. Kemudian, masukkan bahan yang telah direbus tadi dan kacau lagi sehingga bubur pekat (kental) dan adunan berkilat. 
4. Masukan pisang di akhir sekali .
5. Tuangkan dalam loyang atau bekas dan ratakan.
6. Biar sejuk sebelum dipotong untuk dihidangkan.


- SELAMAT MENCUBA -