Assalamualaikum para pembaca blog kesayanganku. Alhamdulillah di ketika ini bulan Ramadhan sudah hampir. Terasa bagai baru semalam menyambut Syawal lepas sedangkan kini bakal meraikan bulan puasa sekali lagi. Bersempena dengan hari baik yang bakal menjelma daku jadi terpanggil untuk berkongsi kisah hidupku yang lebih mudah di anggap sebagai pengalaman jadi mak anak ramai pada kalian yang sudi membacanya dari sana.

Bagi yang belum tahu siapa aku, daku merupakan seorang 'mama' kepada 6 orang anak. Dari sulung sehingga ke lima adalah lelaki dan yang terakhir sekali adalah perempuan. Alhamdulillah, setelah lama menanti akhirnya Allah SWT kurniakan juga padaku seorang anak perempuan buat peneman jiwa untuk berkongsi kisah sesama wanita kelak.



Jadi Ibu Anak Ramai Bukan Kerja Mudah

YA! Terus terang bukan satu kerja yang mudah. Membesarkan anak-anak yang ramai dengan pelbagai tarikan luar ternyata sangat mendebarkan. Selaku seorang surirumah sepenuh masa daku perlu sentiasa pantau dengan siapa anakku berkawan dan ke manakah dia selepas waktu persekolahan. Namun syukurlah anakku yang sulung dapat memahami tanggungjawabnya.


Kasihan juga aku pada 'Along' yang tidak keluar waktu petang hu ha hu ha dengan kengkawan tetapi dalam masa yang sama aku bersyukur kerana Along sentiasa di depan mata. Adanya Along dapatlah ringankan bahu aku untuk urusan kerja rumah dan adanya Along dapat juga tolong tenggokkan adik.

Namun, dengan usia 16 tahun yakni seorang remaja pastinya Along ada rasa mahu bebas. Menyedari hakikat itu maka internet di rumah ku 'Unifi' kan bersama sebuah smart TV supaya anak-anak dapat sedikit hiburan dengan pantauan.



Belanja Rumah Banyak - Perlu Ikhtiar Bersama Suami

Soal belanja juga turut membuatkan aku dan suami pening kepala. Bayangkan ada 6 mulut yang perlu disuapkan dengan makanan setiap hari. Itu belum lagi termasuk dengan mulut sendiri suami isteri.

Pakaian juga turut perlu di beri perhatian, tak kan nak anak pakai baju sama sampai lusuh dan koyak rabak. Tetapi mujurlah Along jenis seorang yang tahu hargai barang maka banyak barang peribadi miliknya termasuk pakaian dapat diperturunkan kepada adik yang berikutnya di dalam tangga carta.


Jika di hitung jumlah belanja yang perlu dijelaskan setiap bulan, hmmm susah nak cakap tetapi alhamdulillah ada saja rezeki yang tiba dari Allah SWT. Kini jumlah anak yang bersekolah adalah seramai 4 orang dan masih boleh dibiayai walau tidak di tahap kaya raya.

Tips paling ampuh, setiap bulan semua hal ehwal belanja rumah tidak boleh ada sebarang tunggakan kerana dengan tunggakan akan menyebabkan budget belanja menjadi tidak stabil dan huru hara. Syukurlah daku dianugerahkan suami yang tidak suka berjoli dan dialah yang sering mengingatkanku untuk waspada tentang perbelanjaan duit selalu.


Rumah Selerak Itu Biasa, Tak Usah Heran Apa Orang Kata

Jujur! Rumahku banyak dalam keadaan selerak dari kemas domba. Dalam sinki seringkali penuh dengan pinggan mangkuk yang belum dibasuh. Itu belum lagi berkaitan mainan anak-anak yang akan berselerak seluruh rumah. Sepah sana sepah sini, hinggakan kadangkala dirasakan bagai tidak berada di dalam sebuah rumah. Dalam zoo barangkali? Tak percaya? Kalian boleh lihat sendiri apa yang anakku perbuat.


Kerusi meja makan dicantumnya, selimut di hampar sebagai bumbung dengan penuh bantal kecil di susun sebagai support untuk 'rumah kecil ala khemah Malaya' untuk mereka main sama-sama.

Jika diikutkan hati mahu saja daku rotan berdas das namun untuk apa? Adakah dengan merotan itu akan terus selesai masalah? Yang aku tahu rotan dalam keadaan marah ini hanya akan memberikan rasa sakit pada anak dan dalam masa yang sama akan memberikan impak 'ibu jahat' pada anak. Aku tak mahu di anggap begitu! Disebabkan itu aku biarkan saja mereka mahu 'berimaginasi'. Yang penting setelah main perlu ada usaha untuk kemas semula.



Stress Itu Biasa Tapi Tak Boleh Mengadu Domba

Sering jugalah daku rasa stress! Stress dengan rumah yang tak dapat diurus dengan baik. Stress dengan anak-anak yang tidak tahu duduk diam, stress dengan persekitaran yang adakalanya agak mendukacitakan.

Jika dulu aku menangis bila ada rasa stress tapi kini aku telah berubah. Bagi aku stress itu biasa tapi sila pastikan tidak sesekali mengadu domba kepada pihak yang lain. Jangan mudah percaya orang oi! Nanti tak pasal memakan diri. Daku sendiri kalau stress terus main dengan anak. Lihat keletahnya yang comel terus hilang segala masalah. Hehe...

KASIH tengah usaha pujuk mama dengan penuh suwit


Pernah Percayakan Sahabat Namun Sahabat Tikam Belakang

Bila menyebut perkataan sahabat, terus terang daku SANGAT FOBIA. Ini bermula sejak daku tersalah menilai seorang sahabat dengan menyangka beliau baik tetapi rupanya racun dalam nasi. Bayangkan, beliau bersifat baik dan penuh berhemah dengan niat untuk berkongsi rasa hati tetapi setelah daku taruh rasa percaya rupanya daku di pancung secara drastik.

Ini bermula bila beliau beritahu sedang berada dalam keadaan yang sama dengan apa yang sedang ku alami. Malah katanya apa yang beliau rasa jauh lebih dasyat dari apa yang ku rasa ketika itu. Sedihnya niat sebenarku untuk saling berkongsi masalah sambil cari jalan bagi pulihkan keadaan  dengan baik dan aman untuk semua pihak telah berlaku sebaliknya.


Apapun daku rasa sangat-sangat bersyukur kerana Allah SWT terus tunjukkan siapa beliau yang sebenar dengan cepat. Bagi daku itu adalah pengajaran yang Allah SWT sengaja berikan untuk aku jadikan iktibar. Dan daku bangga dengan diriku sendiri! Daku bangga kerana telah berjaya untuk terus sabar dan tetap menutup apa yang telah beliau perbuat hingga ke hari ini. Biarlah dia buka aibku demi untuk menutup segala aibnya, daku redha! Yang penting dia dan aku tahu apa sebenarnya yang berlaku dan setahap manakah kesalahan yang telah dia perbuat.

Biar Tak Ada Kawan Janji Ada Keluarga Kesayangan

Pengajaran dari kejadian itu, aku kini lebih rapat dengan keluarga. Aku kini juga lebih akrab dengan Tuhan. Aku sudah tidak mahu percaya sesiapa dengan mudah lagi kerana manusia ini akan menutup segala silapnya dengan sengaja membuka salah orang lain. Tak mengapa walau orang lain melihat daku tidak sempurna asalkan daku dapat semakin dekat denganNYA berbanding dulu. Aku tidak kisah dianggap 'jahat' kerana aku yakin apa yang berlaku ada hikmahnya.


Kini alhamdulillah daku rasa lebih tenang. Jika dulu kadangkala daku terpaksa menjadi hipokrit demi untuk menjaga hati dan perasaan para sahabat yang sangat aku sayang tetapi kini daku dah dapat kembali menjadi diriku yang sebenar. Walau sesekali ada terasa sedih hati kerana pengorbanan aku tak dihargai namun daku serahkan segalanya pada Ya Rabbi.

Dulu Fokus Pulun Cari Duit Tapi Kini Pulun Cari Masa

Dulu daku berusaha fokus untuk cari income untuk bantu suami demi anak-anak. Tetapi sejak apa yang berlaku dengan sendirinya sikapku turut ikut berubah. Kini daku tidak macam dulu lagi. Kini daku tidak fokus pulun cari duit sebaliknya daku pulun cari masa. 



Jika dulu daku selesaikan kerja yang ku rasakan penting dahulu tapi kini daku anggap segalanya penting. Bahkan kerja yang pernah tertangguh daku usaha untuk selesaikan segalanya sedaya yang termampu supaya akhirnya dapat cari masa untuk diri sendiri bersama suami, anak-anak dan Sang Pencipta.

Aku Bukan Orang Hebat! Syukur Allah SWT Buka Mata

Aku tidak mahu jadi gah tetapi aku mahu kembali menjadi hambaNya yang lahir tanpa ada apa-apa darjat. Kini daku semakin rendahkan diri, daku semakin rendahkan hati dan daku semakin dudukkan simpuh supaya kembali berpijak di bumi yang paling nyata.

Siapa yang memberiku semangat untuk terus berusaha ke arah yang lebih baik? Pastinya anak-anakku yang ramai ini. Tanpa mereka siapalah aku. Biarlah orang lain tidak ada hormat padaku, biarlah insan lain hanya nampak segala silapku dan biarlah manusia lain bercerita apa saja aibku yang penting daku dapat rasa kasih serta hormat sebagai seorang ibu dari anak-anak dan daku dapat rasa dihargai oleh suami yang punya isteri sepertiku. 



Jika ditanya, adakah anak ramai itu menyusahkan? Jawapanku sama sekali tidak! Anak ramai bukannya satu bebanan tetapi satu peringatan untukku terus berusaha menjaga segala amanah yang dipinjamkan. Anak-anak ini juga adalah penghibur dan penguat semangat di kala ibu mereka sedang berdukacita. 

Terima kasih anak-anakku... Semoga kita semua dapat terus bersama hingga ke jannah. Ameen 









Terima kasih kerana membaca. Jangan lupa untuk follow blog ini dan jemput datang lagi di lain masa.