Resepi Mudah Jem Nenas Untuk Roti Ikut Sukatan Cawan | Kali ini nak share cara buat jem nenas untuk roti. Asyik beli je kan! Apa kata kali ni kita pakat buat sendiri pula kat rumah. Haa bukan saja jimat belanja malah dapat siapkan jem nenas sendiri yang jauh lebih sihat, fresh dan menyelerakan.


Bila sebut cara buat jem nenas untuk roti ni terus rasa terliur. Aduh sedapnya. Lagi-lagi kalau dapat makan waktu pagi sebagai breakfast bersama teh o panas. Oh nikmatnya! Kalau nak tahu bahan dan cara untuk buat resepi jem nenas ni mudah sangat! Sekali buat boleh dapat banyak botol la juga so agak menjimatkan dari beli kat kedai.

Bila dah berjaya buat jem nenas sendiri, bolehlah olah sikit resepi untuk membuat inti tart nenas pula. Resepi jem nenas untuk tart gulung beza sikit je pun dengan resepi jem nenas untuk sapu kat roti. Yang penting untuk jem nenas inti tart kena buat ikut resepi jem nenas yang bukan saja sedap tapi tahan lama. Bila sebut tentang resepi jem tart nenas terus rasa rindu nak sambut raya. 



Cara Buat Jem Nenas Untuk Sapu Di Roti

Bahan-Bahan :

1 biji nenas saiz sederhana yang sudah masak
2 cawan gula pasir
2 cawan air masak
1 batang kulit kayu manis
1/2 biji lemon


Cara Untuk Membuat Jem Nenas Sendiri Di Rumah :

1 - Kisar buah nenas dengan blander bersama 2 cawan air masak sehingga halus

2 - Panaskan kuali kosong, kemudian tuang nenas yang telah dikisar halus ke dalam kuali.

3 - Biarkan ia di atas api yang sederhana sehingga jusnya menjadi hampir kering.

4 - Setelah itu, masukkan gula pasir bersama dengan kulit kayu manis dan kacau hingga gula menjadi larut sepenuhnya. Jika nak lebih manis boleh masukkan lebih banyak gula. (Ops, jangan banyak sangat kan dapat diabetes pulak)

5 - Apabila nenas nampak agak jernih dan mula menggelegak, perahkan lemon (separuh saja) untuk memberi rasa dan sebagai pengawet. Lemon ni memang sering dijadikan sebagai bahan pengawet jem nenas. 

6 -  Teruskan di kacau hingga betul-betul masak. Jem nenas yang sudah masak sepenuhnya akan kelihatan likat dan berkilat.

7 - Setelah siap, buangkan kulit kayu manis tadi dan bolehlah di simpan jem nenas ini ke dalam botol kaca atau bekas kedap udara yang sesuai. Kalau nak ngap terus ngan roti masa jem tengah panas pun best jugak!


Selamat mencuba......









Terima kasih kerana membaca. Apa pendapat anda tentang artikel ini? Jemput komen di bawah.