Cara Solat Taubat Yang Mudah Dengan Bacaan Doa Dalam RumiBagaimana cara solat taubat yang betul? Tidak dinafikan masih ramai yang tidak pandai untuk lakukan solat taubat, mungkin kerana belum biasa. Tetapi sebenarnya untuk lakukan solat sunat taubat ini mudah saja dan di sini akan dikongsikan panduan lengkap bagaimana untuk melakukan solat sunat taubat secara langkah demi langkah. Panduan ini termasuk dengan contoh bacaan doa solat sunat taubat dalam sebutan rumi.





Sebelum itu, tahniah dan syukur kerana kalian telah disuntik rasa untuk bertaubat. Jangan di kira atas dosa apa kerana Allah SWT itu Maha Pengampun! Selagi nyawa dikandung badan, bertaubatlah secara nasuha dan InshaAllah, Allah SWT akan ampukan. Tentu dah tak sabar nak tahu cara solat sunai taubat ini kan? Jom teruskan pembacaan... 

Apakah Itu Solat Sunat Taubat? (Pengenalan Solat Taubat)

Solat Sunat Taubat dilakukan selepas seseorang itu melakukan dosa atau kesalahan ke atas mana-mana hukum dan dalam dirinya turut ada rasa bersalah di atas kesilapan yang telah dilakukan itu. Dengan rasa bersalah itu maka solat Sunat Taubat dilakukan bagi memohon keampunan dari Allah SWT. 


Apakah Syarat-Syarat Taubat?


Syarat utama untuk melakukan sembahyang sunat taubat ini, seseorang itu hendaklah :

1- benar-benar ikhlas untuk bertaubat
2 - menyelasi segala perbuatannya yang salah itu
3 - berazam untuk tidak mengulangi kesilapan atau dosa itu lagi
4 - Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya.
5 - Hendaklah dikerjakan hanya sebelum ajal tiba



Bilakah Waktu Solat Taubat Boleh Dilakukan?


Solat Taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki. Ia boleh dilakukan sebanyak dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang diinginkan. Sama sekali tidak sekatan waktu tertentu untuk melakukan solat sunat Taubat ini cuma adalah lebih baik jika melakukannya pada waktu tengah malam untuk berasa lebih damai dan khusyuk dalam memohon ampun ke atas segala dosa itu kepada Allah SWT. 

Akan tetapi, kena tahu juga akan beberapa waktu yang tak boleh dilaksanakan solat sunat. Waktu melakukan solat sunat taubat ialah bila-bila masa kecuali waktu yang diharamkan solat

Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:


1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.

2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.

3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).

4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.

5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.

Bagaimanakah Untuk Mengerjakan Solat Sunat Taubat Ini?

Untuk belajar cara solat sunat taubat ini tidak susah sebenarnya. Ya! Percaya ataupun tidak, solat taubat ini mudah dan ringkas saja caranya. Tidak kisahlah kesalahan apa yang dilakukan. 

Cara untuk lakukan solat sunat taubat ini adalah dengan :

  • membersihkan diri / mandi sepenuhnya untuk mencuci segala kekotoran pada tubuh badan
  • bersihkan diri dengan bersih dari hujung rambut ke hujung kaki dengan sabun dan shampoo
  • ambil wudhu'
  • pakai pakaian yang bersih 
  • berdiri di atas tikar sembahyang dan berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Taubat 
  •  istighfar dulu beberapa kali 

RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT TAUBAT

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Taubat
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah dari al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Selagi masih sempat bertaubat sebelum terlambat lakukan segera mungkin hari ini hari terakhir kita.


 Lafaz Niat bagi Solat Sunat 2 Rakaat 

صَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
Sahaja Aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah SWT.


Lafaz Doa Sewaktu Sujud terakhir (rakaat kedua)

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ. فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya aku telah menzalami diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak. Maka tiada siapa yang dapat mengampuni dosaku melainkan Engkau


Apakah Surah Yang Boleh Dibaca Semasa Solat Sunat Taubat?

Rakaat pertama : Al-Fatihah dan Al-Ikhlas atau sebarang surah lain yang diinginkan

Maksud untuk surah Al-Ikhlas : Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

Rakaat Ke dua : Al-Fatihah dan An-Nas atau sebarang surah lain yang diinginkan

Maksud untuk surah An-Nas : Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”

Boleh juga di baca surah al-Kafirun di rakaat pertama dan di rakaat kedua pula Surah al-Ikhlas sebanyak 3 kali.

Apakah Doa Yang Boleh Di Baca Dalam Solat Sunat Taubat?

Boleh baca apa jua doa yang dirasakan sesuai dan untuk kesan yang lebih baik, seeloknya baca Istighfar. Istighfar ini boleh dilakukan dengan mengucapkan lafaznya semasa dalam kedudukan selepas memberi salam. Ia boleh di baca hingga 1000 kali atau tanpa had mengikut kemampuan. Antara  bacaannya itu adalah : 

1. 1000 kali
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
Aku memohon keampunan Allah yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya. 

2. Tanpa Had
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَظِيمِ
Tiada keupayaan (untuk mentaati perintahMu) dan tiada kekuatan (untuk menjauhi laranganMu) melainkan dengan keizinan Allah yang Maha Besar. 

3. Ataupun dengan istighfar dan taubat yang ringkas ini
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ
Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku.


Bolehkah Baca Doa Solat Taubat Dalam Rumi?

Ya boleh! Kita boleh berdoa dengan meluahkan apa yang terbuku di hati secara bersungguh-sungguh dengan harapan Allah SWT dapat menerima taubat itu. Paling penting kena ingat dan bersungguh-sungguh untuk tidak ulangi dosa itu lagi. Taubat begini di sebut sebagai taubat nasuha.

Antara bacaan doa untuk Solat Sunat Taubat dalam bacaan rumi :

Daku memohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus!
Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tidak berdaya untuk menolak mudharat atau berbuat manfaat dan tidak mampu mematikan atau menghidupkan mahupun membangkitkan (di Padang Mahsyar kelak).
Daku mohon perlindungan-Mu daripada dosa, kemalasan, dugaan kubur dan seksanya. Daku mohon perlindungan-Mu daripada segala kesalahan dan hukuman.
Ya Allah! Bersihkanlah diriku daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Sesungguhnya daku bertaubat kepada-Mu di atas segala dosaku, dan daku berjanji tidak akan mengulanginya.
Ya Allah! Pengampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan pengampunan-Mu terhadapku adalah lebih tertunai daripada amalan baikku. Ya Allah! Sesungguhnya daku telah banyak sekali menganiaya diriku sendiri, tiada yang dapat mengampuni dosaku itu kecuali Dikau; Maka berikanlah daku keampunan-Mu, kasihanilah daku.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Terimalah taubatku, suci bersihkanlah segala dosaku dan kabulkanlah permohonanku. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!

Fadhilat Taubat :

  1. Diampunkan Allah SWT.
  2. Dimudahkan segala urusan.
  3. Menceriakan kehidupan seharian.
  4. Menghilangkan perasaan yang menekan.
  5. Mencegah dosa dan menghindari gangguan.

Alhamdulillah, sama-sama kita bersyukur kerana di beri hidayah untuk melakukan solat sunat taubat ini sebelum kita menutup mata. Memang bagus untuk belajar cara solat taubat yang mudah dan ringkas begini dan tidak kisahlah apa jua dosa yang dilakukan. Jika pernah mencuri, hentikan tabiat suka mencuri. Jika pernah berzina, hentikan tabiat suka berzina.  













Terima kasih kerana membaca. Apa pendapat anda tentang artikel ini? Jemput komen di bawah.