Resepi Puding Karamel Mudah Tanpa Susu Cair Yang Sedap | Baru-baru ni tetiba je terasa nak makan puding karamel yang lemak manis. Memang dah lama pun sebenarnya tak buat resepi puding karamel ni. Kalau emak kat kampung dia tak panggil sebagai 'puding karamel' tapi disebutnya 'puding gula hangus'. Nama je lain tapi dua-duanya resepi menu yang sama.

Kalau nak tahu juga, puding karamel boleh di masak dalam pelbagai gaya. Sebagai contoh, jika tak suka telur boleh masak pusing karamel dengan gantikan telur kepada serbuk agar-agar. Jika tak suka gula pasir boleh gantikan dengan gula perang. Jika nak makan dengan sos coklat pun boleh sebagai ganti karamel.


Dan untuk situasi daku kali ini, dalam nak masak tu tengok-tengok susu cair habis.

Eh, susu cair tak ada pun tak apa. Masih lagi boleh buat puding karamel dengan bahan lain.


Rupa Puding Karamel Tanpa Susu Cair 


Bagi kalian yang berminat untuk buat resepi puding karamel tetapi kehabisan susu cair kat rumah, bolehlah di buat puding karamel dengan resepi yang akan dikongsikan ni.

Manalah tahu, tetiba terasa teringin nak makan dan malas pula nak keluar ke kedai untuk beli susu cair tu. Sama macam situasi daku sekarang ni la. Malasnya nak ke kedai hanya kerana nak beli setin susu cair.

Inilah rupa untuk resepi puding karamel tanpa susu cair yang mudah dan cepat untuk dibuat. Rasanya lemak-lemak manis cuma untuk yang kurang sukakan telur mungkin tak berapa gemar kot. Yang pasti, daku dan anak-anak kalau dengan resepi puding karamel gula hangus ni, hmmm memang layan habis. 




Resepi Dan Cara Membuat Puding Karamel Tanpa Susu Cair 


Dah tak sabar makan puding karamel? Jemput cuba resepi puding karamel tanpa susu cair ni untuk dinikmati bersama keluarga. Walaupun tak ada susu cair dan hanya ada susu pekat saja, InshaAllah tetap boleh jadi. Jika ada masa yang lain, InshaAllah nanti akan dikongsikan pula resepi puding karamel tanpa telur yang juga sedap dan best! 


Bahan-Bahan Untuk Buat Resepi Puding Karamel Tanpa Susu Cair ;


A : KARAMEL

  • 5 sudu besar gula pasir
  • 2 sudu besar air


B : PUDING

  • 4 biji telur gred A
  • 1/2 tin susu pekat
  • 150ml air 
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1 sudu teh esen vanila
  • secubit garam

Cara Membuat Puding Karamel Tanpa Susu ;

1. Mula-mula satukan Bahan A dan masak dengan api yang perlahan di dalam kuali atau periuk kecil. Terus di kacau hingga warnanya bertukar menjadi perang. Kemudian masukkan ke dalam bekas dan biarkan ia sejuk sendiri. Kalau nak lebih cepat sejuk boleh letakkan di dalam bekas yang berisi air seperti dalam gambar. 



2. Sekarang ni satukan semua Bahan B di dalam sebuah bekas. 

3. Kacau semua bahan tersebut secara perlahan-lahan. Kacau biasa manja-manja gitu je tau. Bukannya kacau hingga naik buih macam nak buat telur dadar tu. 

4. Bila semua adunan dah sebati, sekarang tapis ke dalam sebuah bekas yang lain. 



5. Sediakan periuk pengukus. Masukkan air lebih kurang separuh dari saiz periuk pengukus tu dan buka api untuk panaskan periuk. 


6. Masukkan 'gula karamel' yang tadi sebagai dasar dan diikuti pula dengan adunan telur dan susu. Terpulanglah sama ada nak gunakan loyang ataupun acuan yang lain. 


Untuk acuan puding karamel ni daku gunakan bekas kecil biasa saja. Dengan gunakan bekas kecil macam ni lebih senang nak masak dan masa makan juga akan jadi lebih mudah untuk dihidangkan. Tak payah nak susah payah potong dan lebih mudah untuk disimpan juga. 


7. Tempoh memasak lebih kurang 30 ke 45 minit bergantung kepada saiz. Kalau nak tahu masak sepenuhnya atau belum, boleh cucuk sedikit dengan lidi ataupun garfu. 


8. Bila dah masak, biarkan ia sejuk dulu pada suhu bilik dan kemudian bolehlah dialihkan ke dalam peti sejuk.


Hidangan Puding Karamel merupakan antara pencuci mulut yang menjadi kegemaran ramai. Makan pula sejuk-sejuk di waktu petang memang best! Anak-anak kat rumah kalau mamanya sebut nak buat puding karamel, hmmmm alamatnya asyik dok ulang alik dapur tengok dah siap ke belum. Sebab itu, tiap kali buat resepi puding karamel kena buat diam-diam. 

Bila bercerita tentang puding karamel nih, dulu masa tak reti nak buat terpaksalah beli ajer. Hmm leh tahan jugalah harganya tu. Sepotong puding karamel harganya beringgit-ringgit. Itu baru sepotong! Sebab itu nekad buat sendiri dan tak sangka, alahai mudah sangat rupanya resepi puding karamel ni. 


Jadi, pada sesiapa yang teringin nak nikmati hidangan puding karamel, bolehlah cuba. Jika kebetulan ada tetamu nak datang, boleh juga dihidangkan puding karamel ni sebagai pencuci mulut. Lagipun masa nak sediakan bahan pun tak lama. Masa mengukus pun tak perlu nak ulang alik tengok.  

Okaylah, selamat mencuba dan selamat menikmati resepi puding karamel yang simple, mudah, gebu dan sedap ni.. tata =D







Terima kasih kerana membaca. Apa pendapat anda tentang artikel ini? Jemput komen di bawah.