Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Konvo Green Screen - Ada Yang Bantah Dan Ada Yang Redha, Tapi Lain Pula Dengan Adik Arifah Husna

Konvo Green Screen - Ada Yang Bantah Dan Ada Yang Redha, Tapi Lain Pula Dengan Adik Arifah Husna | Sebagai seorang ibu, pastinya tak sabar nak lihat anak naik pentas sempena konvokesyen. Bangganya rasa hati hanya Tuhan saja yang tahu. Bagi pelajar pula saat konvokesyen adalah sebuah moment manis yang menjadi saksi untuk segala penat lelah mereka selama ini. Menjadi seorang pelajar untuk mendapat kelulusan begini semestinya bukan satu tugas yang mudah!

Walaubagaimanapun, corona virus telah membawa satu impak sampingan untuk golongan pelajar yang bakal melalui majlis konvokesyen ini. Antaranya adalah dikalangan pelajar-pelajar UiTM, di mana pihak UiTM mencadangkan untuk membuat konvokesyen stail 'green screen'. Pengumuman ini membuatkan rata-rata pelajar meluahkan rasa sedih. 

Berbeza pula dengan adik manis yang bernama Arifah Husna Badlishah. Dengan perasaan sedih tambah simpati untuk 'junior' yang sedang dalam di lema antara majlis konvo yang ditangguh dengan majlis konvo guna green screen sekarang ini, beliau pula pernah sama sekali tidak dapat untuk menghadiri majlis konvokesyen yang dinanti-nanti kerana sedang menyambung pelajarannya di luar negara. 


konvo guna green screen


Bersama perasaan sayu dan sedih tatkala memikirkan majlis konvokesyen diplomanya sendiri yang tidak dapat dihadiri, hati terus meruntun untuk memberikan sebuah kenangan manis untuk diri sendiri dan ahli keluarga. Makin terasa tatkala membayangkan betapa gembiranya jika dapat berjumpa dan bergambar dengan penuh ceria bersama rakan-rakan seperjuangannya yang lain. Namun adik Arifah redha atas apa yang perlu beliau lalui di saat ini. 

Disebabkan itu, Arifah mula bertindak untuk melakukan photoshoot sendiri walaupun tanpa 'uniform' konvo yang sebenar. Inilah antara luahan hati Arifah yang telah dikongsikan melalui akaun LinkedIn miliknya. 

Ramai pelajar UiTM telah menyuarakan bantahan terhadap konsep konvokesyen ‘green screen’. Malah ada yang sanggup menangguh tarikh konvokesyen. Dan saya sangat memahami perasaan mereka, kerana saya juga tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen diploma saya sendiri kerana menyambung ijazah sarjana muda di luar negara.

Hati saya teramat sayu kerana tidak berpeluang untuk menaiki pentas, mendengar bunyi gamelan, menyanyi lagu UiTM Di Hatiku, atau mengambil gambar bersama keluarga ataupun rakan-rakan pada hujung tahun 2018.

Maka saya membuat keputusan untuk membuat ‘photoshoot’ sendiri di Newcastle, United Kingdom. Saya menggunakan kemahiran Photoshop saya untuk melukis jubah, topi, fail, dan selempang merah jambu UiTM.

Walaupun tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen, saya tetap berusaha untuk meraikan graduasi dan pencapaian akademik saya dengan cara tersendiri 😊

Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Lendu & Rembau, 2015-2018

konvo green screen

Tanpa ada pentas konvo asli mahupun 'green screen', Arifah nekad untuk menggunakan latar belakang Newcastle, United Kingdom sebagai 'pentas' konvokesyen untuknya. Waktu itu pada tahun 2018.  

Setelah selesai bergambar, Arifah seterusnya menggunakan kemahiran Photoshop yang beliau ada untuk melukis jubah, topi, fail, dan selempang merah jambu UiTM sebagai pelengkap gambar tersebut. 

Jika lihat secara sekali imbas, memang tidak perasan yang jubah, topi, fail dan selempang itu hanyalah sekadar sebuah hasil editan ke atas foto dirinya sendiri.

konvo guna green screen

Untuk adik Arifah, tahniah diucapkan. Selamat berjuang demi cita-cita di bumi orang. Dan, untuk para pelajar IPTA yang sudahpun selamat tamat pengajian di dalam musim covid19 ini, janganlah patah semangat dan bawa-bawa bersabar ya. 

Semoga para graduan akan dapat kembali mood yang hilang untuk konvo tersebut. Dan semoga istiadat konvokesyen dapat berjalan dengan baik. Soal green screen dan sebagainya, daku tak boleh nak ulas lanjut kerana daku tidak menyebelahi mana-mana pihak. 

Kita kena selam perasaan para pelajar yang ingin meraikan salah satu saat terpenting sebagai seorang graduan dan dalam masa yang sama kena selam juga perasaan pihak pengurusan yang harus memikirkan soal keselamatan dan sebagainya. Ternyata virus covid ini benar-benar memberi kesan untuk pelbagai pihak.

Walaubagaimanapun, semangat dan idea adik Arifah yang tetap berusaha untuk merealisasikan sebuah kenangan sempena konvokesyen ini memang patut di beri pujian. 

konvo guna green screen

Secara tidak langsung, gambar gembira adik Arifah ini turut membawa maksud tersirat yang tersendiri iaitu walaupun sedang menyambung pelajaran di bumi orang untuk peringkat yang lebih tinggi namun asal usulnya yang bermula dari UiTM Malaysia akan tetap tersemat dengan kuat di dalam hati. Statusnya sebagai salah seorang pelajar UiTM Malaysia turut dipandang tinggi dengan sebuah kebanggaan. 

Semoga adik Arifah akan beroleh kejayaan yang diimpikan dan semoga dapat kembali semula ke tanah air untuk menyumbang bakti kepada negara tumpah darah sendiri di suatu masa kelak. 

Aamiin. 

Sumber : akaun LinkedIn Arifah Husna 

Post a Comment for "Konvo Green Screen - Ada Yang Bantah Dan Ada Yang Redha, Tapi Lain Pula Dengan Adik Arifah Husna"