Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Beza Purdah Niqab Burqa, Syarat, Hukum & Pengalaman Pakai

Beza Purdah Niqab Burqa, Syarat, Hukum & Pengalaman Pakai | Alhamdulillah, sekarang sudah lebih daripada 4 tahun aku bertudung labuh dan berpurdah. Ada juga yang memanggilnya sebagai niqab. Penghijrahan memakai purdah ini pada awalnya tidak dirancang sebaliknya dengan sendiri datang niat untuk berpenampilan seperti ini.

Cabaran dan pengalaman pakai purdah ini boleh dikatakan agak mencabar pada awalnya dan syukurlah masih tetap bertahan memakai purdah dan niqab ini hingga sekarang. 

Bagi yang ingin mengetahui apakah beza di antara purdah, niqab dan burqa, di sini akan aku kongsikan info mengenai perbezaan dan syarat-syarat untuk memakainya. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Beza Purdah, Niqab dan Burqa 

Apa beza antara purdah, niqab dan burqa? Perbezaan antara purdah, niqab dan burqa adalah pada cara pemakaiannya untuk menutup bahagian wajah seseorang wanita. 

#1 - PURDAH

Purdah ini hanya mata dan dahi sahaja yang boleh di lihat oleh orang lain. 

beza purdah niqab dan burqa

#2 - NIQAB

Niqab ini pula hanya pada bahagian mata sahaja yang boleh dilihat oleh orang lain.

beza purdah niqab dan burqa

#3 - BURQA 

Burqa turut di sebut sebagai 'burka'. Apa itu Burqa? Burqa merupakan cara pemakaian purdah dengan cara menutup seluruh wajah. Kiranya wajah di tutup sepenuhnya tanpa boleh dilihat oleh orang lain sama sekali. 

beza purdah niqab dan burqa

Gambar Pakai Purdah 

Gambar perempuan muslimah berpurdah ini ada banyak jika di Google. Di bawah ini beberapa gambar daku sendiri memakai purdah. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Beza Purdah Niqab Burqa

Mungkin ada yang akan berkata, "Pakai purdah tapi pakai jeans? Pakai shawl? Boleh ke macam tu?" 

Jawapannya BOLEH tetapi pastikan kenal dulu nilai yang ada di sebalik sekeping purdah niqab atau burqa yang dikenakan itu supaya tidak timbul fitnah.

Kenali Nilai Purdah @ Niqab Sebelum Memulakan Penghijrahan Memakai Purdah 

Purdah atau niqab ini adalah pakaian sunnah para isteri Rasulullah SAW. Jadi, kita wajib untuk memeliharanya. Jangan jadikan pakaian sunnah ini sebagai fitnah dengan hanya memakainya sekadar untuk berfesyen. Cara itu sama sekali salah! 

Cara yang betul adalah, sebelum memulakan penghijrahan memakai purdah atau niqab ini, sila ambil tahu dulu apakah syarat dan hukum untuk memakai purdah atau niqab ini. 

Aku sentuh tentang purdah dan niqab saja kerana rata-rata yang memakai burqa itu, ilmu agamanya sudah di tahap yang lebih baik. Lagi pula, keputusan untuk memakai purdah dan niqab ini sering disalah erti dengan berfesyen tidak untuk burqa yang memang telah di tutup seluruh wajahnya.  

Wajib Ambil Tahu Syarat & Hukum Pakai Purdah Sebelum Mula Berhijrah 

#1 - Tujuan Pakai Purdah atau Berniqab 

Saat terdetik hati untuk pakai purdah atau niqab itu, sila selami betul-betul apakah tujuan sebenar untuk berbuat demikian. Dalam bahasa yang lebih mudah faham, terasa mahu pakai purdah atau niqab itu atas dasar apa? 

Tanya semula soalan tujuan untuk pakai purdah atau niqab ini kenapa pada diri sendiri dan hati secara berulang kali. Adakah kerana mahu nampak cantik? Mahu nampak alim? Mahu nampak sopan? Mahu jauhkan diri dari dosa-dosa lampau? Mahu dekatkan diri dengan Allah SWT atau apa? 

Beza Purdah Niqab Burqa

Tanya, tanya dan tanya soalan itu berulang kali. Jika jawapan yang diperoleh itu setelah berulang kali di tanya selama berhari-hari pada diri sendiri, jawapan itu juga benar-benar positif,  tidak salah di sisi agama dan tidak mendatangkan dosa, maka bolehlah diteruskan hasrat. 

Tetapi sebelum boleh mula memulakan penghijrahan memakai purdah ini, kena ambil tahu pula apakah hukum dan syarat untuk pemakaian purdah dan niqab ini. 

#2 - Kenali Aurat Seorang Wanita Terhadap Lelaki

Sebelum kita membincangkan hukum berpurdah atau niqab, perlu diketahui dahulu apakah aurat bagi wanita terhadap lelaki. Seorang wanita kena tahu yang auratnya terhadap lelaki hanya boleh dilihat pada bahagian wajah dan telapak tangannya saja. Bahagian lain seperti lengan, kaki, betis dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. 

Beza Purdah Niqab Burqa

#2 - Terdapat Perbezaan Pendapat Tentang Wajah Itu Aurat 

Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31 
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ 
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. 

Berpandukan  ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara: 

Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: 
إِلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا 
(maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan.

Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. 

Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya الرد المفحم membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.

Kedua : ayat di atas menyatakan: 
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ 
(maksudnya) “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. 

Allah hanya memerintahkan agar ditutup جيوب  iaitu jamak kepada جيب ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. 

Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.

Jawapan Ustaz Azhar Idrus Mengenai Hukum Pakai Purdah / Niqab 


#3 - Jika Wajah Bukan Aurat Kenapa Pakai Purdah atau Niqab?

Soalan ini berbalik semula pada tujuan sebagaimana yang telah aku terangkan pada bahagian Tujuan Pakai Purdah atau Berniqab tadi. Jawapannya ada pada diri si pemakai purdah atau niqab itu sendiri. 

Untuk diriku ini, aku pakai purdah berdasarkan beberapa sebab iaitu :
  • - untuk ingat bahawa aku adalah seorang hamba Allah 
  • - untuk ingat bahawa aku ini adalah seorang isteri 
  • - untuk ingat bahawa aku adalah seorang ibu
  • - untuk jauhkan diri dari pergi ke tempat maksiat
  • - untuk sentiasa malu pada Allah jika tidak menunaikan solat 

#2 - Hukum Pakai Purdah On Off 

Apakah hukum menanggalkan niqab bagi wanita yang sebelum ini sentiasa memakai tetapi menanggalkannya? Untuk soalan begini, kita berbalik pada asal bahawa wajah itu bukannya aurat bagi seorang wanita. Maka memakai purdah atau niqab ini adalah bergantung pada niat si pemakai itu sendiri.

Mudah faham, ia bergantung pada HUKUM yang dipegang oleh si pemakai purdah atau niqab itu sendiri! 

Andai si pemakai menganggapnya sebagai harus, maka ia boleh di buka tetapi jika si pemakai menganggapnya sebagai wajib maka ia tidak boleh ditanggalkan setelah membuat keputusan untuk memakainya. Jadi, hukum pakai purdah on off ini berdasarkan kepada perkara itu. 

#3 - Hukum Pakai Purdah Sekali Sekala 

Menurut pendapatku sendiri, untuk pakai purdah sekali sekala ini, kejap kejap pakai dan kejap kejap tak pakai secara berulangkali, seeloknya dijauhkanlah. Kerana cara pemakaian sekali sekala ini boleh mendatangkan rasa persoalan di kalangan orang lain yang melihatnya. 

Walaupun pemakaian on off ada kaitan dengan hukum pemakaian yang dipegang oleh si pemakai tetapi janganlah sampai menjatuhkan nilai yang ada pada purdah atau niqab itu sendiri. 

#4 - Hukum Pakai Purdah Berwarna 

Tidak ku nafikan, sebaik-baik niqab purdah itu warna hitam. Isteri Nabi pakai bukan untuk elak pasir debu mekah tapi untuk elak fitnah kerana itu lebih afdal jika memakai warna hitam. 

Tetapi tidak ada salahnya untuk memakai niqab atau purdah yang berwarna asalkan jangan keterlaluan warnanya dek kerana ingin tarik perhatian orang. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Aku sendiri suka pakai niqab yang berwarna gelap dan juga pastel sesuai dengan warna pakaian yang dikenakan. Warna sebegini juga membuatkan diri sendiri rasa lebih berkeyakinan dan selesa. Itu saja. 

Penerangan Mengenai Hukum Pakai Purdah Niqab Warna Warni 


#5 - Cabaran Pakai Purdah 

Cabaran pakai purdah ini agak banyak juga sebenarnya. Antara cabaran yang paling besar adalah pada tahap penerimaan orang lain. 

Aku ni pula jenis yang cukup risau kalau-kalau orang anggap aku pakai dek kerana nak tunjuk alim ataupun sekadar untuk berfesyen sedangkan niat sebenar adalah untuk membantu diri sendiri untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Masih banyak perkara yang aku kena belajar. Bahkan, ku rasakan diri aku ini jauh lebih 'buruk' dibandingkan dengan orang lain yang berpurdah dan tidak berpurdah di luar sana kerana ku tahu, tahap agamaku tidak setinggi mana.

Banyak juga dosa-dosa silam yang hanya Allah SWT saja tahu betapa aku banyak berbuat kesilapan. 

#6 - Izin Suami Jangan Dilupa (Penting!!!)

Walaupun hati telah terbuka dan nekad untuk memulakan penghijrahan memakai purdah dan niqab tetapi izin suami jangan sesekali dilupa. Ini amat penting kerana dosa yang isteri lakukan boleh terpalit pada si suami. Aku sendiri saat menyuarakan hasrat hati untuk mula berpurdah dan berniqab, suami tanya apa tujuan sebenar. 

Setelah bercakap dari hati ke hati, alhamdulillah suami izinkan. Malah suami turut menegur andai aku tersilap dalam cara berpakaian juga. Biasalah, kadangkala kita tak perasan tetapi orang yang melihatnya akan perasan. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Hasilnya, walaupun suamiku seorang rockers dengan rambut panjang tetapi isteri disampingnya berpakaian menutup aurat dan berpurdah. Memang tak dinafikan, tatkala keluar ada mata yang memandang dan berpaling memandang kami untuk kali ke dua.

Begitu juga dikalangan rakan-rakan suami yang sama sekali tak menyangka bahawa isteri kepada rakan mereka ini berpakaian seperti ini. Dalam masa yang sama aku bersyukur kerana layanan yang ku terima jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Cara Pakai Purdah dan Niqab 

Cara untuk memakai purdah dan niqab ini tidak hanya tertumpu pada cara ikatan purdah atau niqab itu sendiri. Sebaliknya cara pakai purdah dan niqab ini bersifat menyeluruh dari atas ke bawah. 

Untuk lebih mudah, tatkala sudah ambil keputusan untuk berpurdah atau berniqab ini, bahagikan diri kepada beberapa bahagian saat ingin siapkan diri. 

A) Cara Ikatan Purdah 

Nak pakai purdah atau niqab ini mudah saja. Hanya perlu pakai anak tudung kemudian ikat tali purdah atau niqab ke belakang. Seterusnya bolehlah memakai tudung labuh seperti biasa.

Beza Purdah Niqab Burqa

B) Cara Penampilan Keseluruhan 

Pastikan pakaian yang dipilih itu longgar (tidak ketat dan tidak melekap di tubuh). Pastikan juga memakai hand sock untuk tutup lengan dan juga memakai sarung kaki untuk menutup bahagian kaki. Tudung juga hendaklah dilabuhkan hingga menutup paras dada. 

Nak pakai seluar jeans ke, skirt labuh ke, jubah ke, blous ke, itu semua tidak kisah, asalkan tidak jarang, tidak ketat hingga nampak sosok badan dan juga labuh hingga menutupi paras pinggul. 

Beza Purdah Niqab Burqa

C) Cara Make Up

Untuk bahagian mata dan kening, pastikan kening tidak di cukur kerana ini bercanggah dengan ajaran Islam. Pastikan juga pemakaian makeup itu tidak keterlaluan. 

Janganlah di pakai mascara, eye liner, brow liner dan juga eye shadow sampai nampak ingin menonjolkan bahagian itu untuk tampak sangat cantik. 

Jangan buat cara begitu, nak pakai itu semua tak mengapa tetapi berpada-padalah. Sekadar pakai untuk nampak lebih yakin berhadapan dengan orang tak apa, asalkan jangan di tahap 'mampu menggoda dan menaikkan rasa ingin tahu orang lain'.

Mata ini indah tau, silap haribulan lelaki boleh naik rasa teringin walau hanya bermula pada mata. Tak pasal suami boleh dapat dosa. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Pengalaman Mula-Mula Pakai Purdah dan Pakai Niqab

Pengalaman mula-mula pakai memang takut. Takut sangat kalau orang salah faham. Hinggakan pada hari pertama pakai tu, aku nak turun dari kereta jadi tidak berani. Ketar kaki nak melangkah keluar dari kereta hingga jantung rasa berdegup kencang. 

Waktu itu juga, aku belum ada pilihan tudung labuh yang banyak jadi aku labuhkan tudung yang sedia ada. Baju-baju yang bersifat tidak lepas paras punggung aku ketepikan hanya untuk pakai di rumah saja. Mujurlah waktu itu ada pakaian longgar yang dipakai semasa mengandung dulu, baju-baju itulah yang aku pakai saat mula-mula berhijrah dulu. 

Lama kelamaan baru mula beli pakaian yang lebih sesuai dan selepas itu baru rasa lebih yakin dan berani untuk tampil dengan penampilan seperti sekarang. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Penerimaan Keluarga 

Aku mula berpakaian begini ketika di Kelantan jadi saat mula-mula pulang ke kampung di Utara, memang perasan emak sedikit terkejut. 

Tapi tidak lama kemudian emak hanya tersenyum dan menerima keadaan aku seadanya. Adik-beradik yang lain juga tidak berkata apa-apa dan menerima dengan positif dengan layanan yang tetap sama seperti sebelum ini. Alhamdulillah. 

Beza Purdah Niqab Burqa

Berniqab Tapi Selfie?

Untuk situasi berniqab tapi selfie ini, aku sendiri ada buat juga. Kehidupanku sebagai salah seorang blogger yang boleh dianggap sebagai influencer ini, memang memerlukan aku bergambar (termasuk selfie). 

Maka antara cara yang aku lakukan, saat selfie tidak bergaya keterluan, jika boleh berselfie dengan anak-anak, jika selfie seorang diri tidak memandang kamera melainkan jika terpaksa (untuk tujuan review produk contohnya). 

Beza Purdah Niqab Burqa

Pakai Niqab Di Mekah 

Berdasarkan info dan pengalaman dari mereka yang sudah selamat mengerjakan ibadah haji atau umrah, rata-rata mengatakan pakai purdah atau niqab di sana perlu. Bukan untuk nampak cantik alim semata nak berselfie, tapi untuk elak gangguan pandangan dari orang lelaki yang sama sekali tak dikenali. 

Kita sendiri,  jika kebetulan lihat sesiapa bergambar di Tanah Suci dalam keadaan memakai purdah atau berniqab, janganlah terlalu cepat membuat keputusan. 

Pesanan Ikhlas Dari Ku Yang Masih Banyak Kekurangan Ini 

Memakai purdah niqab atau burqa, keputusannya adalah pada diri sendiri. Jangan pakai kerana nak ikut orang dan juga jangan pakai kerana nak tunjuk alim dan sekadar untuk nampak cantik. Perbezaan purdah niqab dan burqa tidak terlalu berbeza tetapi perbezaan tujuan si pemakai itu ada banyak dan hendaklah dipastikan dulu sebelum boleh membuat keputusan. Jangan terburu-buru juga. 

Jika ada niat nak ke arah ini, seeloknya mulakan secara perlahan-lahan dan jangan terlalu drastik. Sebaiknya pada peringkat permulaan, belajar labuhkan tudung dulu, kemudian mula pakai hand sock dan juga stokin. Setelah terbiasa dengan perkara sebegini baru mula kenakan purdah dan niqab ini. 

beza purdah niqab dan burqa


Sekarang ini alhamdulillah, dari hari ke hari makin ramai dari kalangan artis yang menghijrahkan diri hingga tahap memakai purdah dan niqab. Sememangnya itu adalah perkara yang baik. Allah SWT tahu apa yang kita tidak tahu jadi siapa kita untuk membuat penilaian. Sebaiknya kita nilai diri kita sebelum kita nilai diri orang lain. 

Cuma aku harap sangat-sangat, janganlah kerana pengacara dan dan usahawan, Neelofa berimej baharu dengan mengenakan niqab hingga membuatkan ramai orang lain ikut semata-mata kerana nak cantik seperti beliau.

Lakukan dulu perkara yang wajib, labuhkan pakaian, pakai hand sock dan stokin dulu. Jaga solat 5 waktu terlebih dulu. Jika lepas syarat-syarat ini barulah pertimbangkan hasrat untuk memakai purdah, niqab atau burqa ini. 

Akhir kata, semoga penjelasan mengenai perbezaan antara PURDAH, NIQAB & BURQA' berdasarkan pengalaman dan pendapatku ini boleh memberi sedikit sebanyak pemahaman untuk orang lain di luar sana. Bagi yang sedang mencari info mengenai beza purdah niqab dan burqa, sebelum pakai sila amati dulu segala info mengenainya.

Yang pasti, aku sendiri bukan seorang yang tinggi ilmu agama termasuk untuk penjelasan mengenai perbezaan purdah,niqab,dan burqa ini. Apa yang ku kongsi berdasarkan apa yang ku tahu dan jika ada tersalap silap di mana-mana, aku mohon maaf. Yang baik sudah tentunya dari Allah SWT dan yang buruk itu sudah pastinya dari penulisanku sendiri.

Jemput join :

Telegram Rasmi Sis Hawa Blog 👉  https://t.me/sishawadotcom

Telegram Rasmi Info Ibu Hamil & Baby 👉  https://t.me/ibuhamilmalaysia

5 comments for "Beza Purdah Niqab Burqa, Syarat, Hukum & Pengalaman Pakai "

  1. oh! baru faham niqab tu menutup dahi sekali

    ReplyDelete
  2. Asslm...purdah dan niqab adalah sama..purdah bahasa melayu..niqab bahasa arab..ustaz yang beritahu..

    ReplyDelete
  3. terima kasih sis atas perkongsian ini. sangat ringkas dan padat. baru saya faham. saya teringin nk berpurdah tp saya takut. buat masa ni saya rasa masa tidak mengizinkan. doakan saya agar niat saya ni terkabul selepas SPM. doakan juga saya supaya kekal istiqamah dalam memelihara aurat dan amal ibadah saya. saya harap sis boleh kongsikan lagi beberapa perincian supaya saya dapat mendalami dengan lebih mendalam. assalamualaikum <3

    ReplyDelete
  4. Saya masih ragu-ragu untuk memakai purdah. Saya tau saya masih remaja, tetapi selama ini saya bertudung labuh, pakai handsock dan stokin. Pemakaian ini semua telah menjadi rutin saya dan sudah beberapa minggu saya terfikir akan tujuan saya untuk berpurdah. Niat saya hendak berpurdah alhamdulillah positif. Walaupun saya telah mendapat pendapat tentang saya memakai purdah dari rakan, patut ke saya berpurdah.

    ReplyDelete