Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Aktiviti Berkebun Di Rumah, Seronok Kutip Hasil Dengan Anak-anak Di Waktu Petang

Aktiviti Berkebun Di Rumah, Seronok Kutip Hasil Dengan Anak-anak Di Waktu Petang | Di rumah kita boleh mengamalkan aktiviti riadah bersama-sama keluarga tanpa perlu ke gim, kolam renang mahupun taman rekreasi. Antara aktiviti yang trending sekarang adalah aktiviti berkebun. Maksud berkebun ini adalah tahap kerajinan seperti tukang kebun yang mahu bercucuk tanam dan menjaganya.  

Ramai yang berpendapat, aktiviti berkebun ini sangat bagus untuk isi masa lapang terutama sepanjang PKP. Makin hari, makin ramai yang berkebun di halaman rumah sendiri. Aktiviti berkebun membantu tubuh mengeluarkan peluh daripada hanya duduk saja di dalam rumah setiap hari. 

Ini satu perkembangan yang bagus kerana aktiviti berkebun ini bukan saja dapat bantu sihatkan tubuh badan malah boleh jimatkan duit belanja dapur juga. Bagi yang belum pernah berkebun, boleh cari tips berkebun untuk pemula. 

Tips terbaik, pilih jenis sayur yang mudah ditanam dengan jangka masa yang cepat untuk beri hasil sebagai langkah awal. Dengan cara ini minat berkebun boleh mula dipupuk sedikit demi sedikit dan boleh juga tanam jenis sayuran yang menjadi kegemaran. Sebagai contoh, daku sukakan sayur petola jadi daku tanam petola di tepi pagar. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
pokok sayur petola yang menjalar di pagar 

Sayur petola ini daku tanam sudah sebulan dan sekarang telah mula berbunga. Cuma, sekarang ini di pantai timur asyik hujan saja (dah masuk musim tengkujuh), itu yang susah sikit nak jenguk si petola ni selalu. 

Selain petola, ada juga beberapa pokok kacang panjang. Petola tadi daku tanam sendiri dan kacang panjang ini pula ditanam oleh ibu mertua saat dia datang bermalam dirumahku bulan lepas. Kacang panjang ni elok juga ditanam kerana boleh di buat ulam. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
pokok kacang panjang yang sedang membesar 

Daku ada juga semai anak kacang buncis. Tapi sayangnya anak pokok kacang buncis yang ku semai tu dah 'mati'. Mungkin dimakan dek siput barangkali. Tak apalah, nanti boleh cuba tanam lagi. Inilah antara cabaran utama ketika melakukan aktiviti berkebun di rumah, adakalanya pokok akan mati dan kerana itu kena tahu jenis tanah yang sesuai untuk tanaman dan sebagainya. 

Banyak jenis sayur yang mudah hidup untuk ditanam sebagai permulaan. Antaranya kangkung, sawi, cili padi, daun bawang, serai, bayam brazil, bendi, terung dan banyak lagi. Cuma, kesabaran untuk menjaga tanaman ini memang perlu kerana setiap jenis sayuran ini ada tempoh jangka masa yang berbeza-beza untuknya memberikan hasil. 

Berkebun Di Halaman Rumah Memang Seronok 

Berkebun di rumah memang menyeronokkan lagi-lagi untuk kediaman dengan halaman yang agak luas. Semua benda nak ditanam. Tapi untuk yang baru hendak mula berkebun di rumah ni, sepatutnya kena tanam jenis sayur dan tanaman herba yang berguna dulu. Barulah betul-betul boleh jimat belanja dapur tanpa perlu membeli di pasar lagi. 

Sebagai contoh tanam pokok jenis tanaman herba seperti serai, kunyit, halia, lengkuas, daun pandan dan sebagainya yang selalu diguna dalam masakan. Daku ni agak bernasib baik kerana ibu mertuaku juga sangat suka berkebun. Jadi masa berpindah ke rumah ini beberapa bulan yang lalu, terus ibu mertua ambil benih dirumahnya dan tolong tanam di belakang rumah yang daku tinggal ni.  

Berperdu-perdu jugalah serai yang daku dan mertua tanam. Serai saja ada tujuh perdu kesemuanya dan dalam gambar di bawah ni hanya sebahagiannya saja.  

Aktiviti Berkebun Di Rumah
pokok serai yang selalu kena beli untuk masak


Cuma, untuk pokok kunyit yang ibu mertuaku tanam ini, agak susah sikit untuk hidup. Banyak benih kunyit ditanam tetapi hanya sepokok ni saja yang betul-betul hidup subur.

Aktiviti Berkebun Di Rumah
anak pokok kunyit yang sedang dipantau tumbesarannya 


5 Sebab Aktiviti Berkebun Bagus Untuk Dilakukan Bersama Anak

Aktiviti berkebun ini bagus dilakukan bersama dengan kanak-kanak kerana ia boleh membantu :

1. Meningkatkan minat anak dalam pemakanan yang sihat 
2. Meningkatkan ketahanan 
3. Mengasah motor kanak-kanak 
4. Ajarkan tentang tanggungjawab 
5. Mengasah memori dan tumpuan

Pohon Jiran Masuk Ke Laman, Bolehkah Di Makan Buahnya?  

Jiran sebelah rumah yang daku duduki ini merupakan seorang guru dan dia juga seorang yang suka berkebun termasuklah menanam pokok buah-buahan. Dalam masa yang sama, salah satu pohon pokok berbuah yang ditanamnya suatu ketika dulu (mungkin semasa baru pindah ke kawasan ini), pokok tersebut telah membesar hingga melepasi pagar. 

Waktu mula pindah ke sini, risau jugalah kalau-kalau jiran sebelah tak okay. Tetapi mujurlah beliau seorang yang dapat diajak berbual dan dalam masa yang sama beliau sendiri telah beri izin untuk makan buah yang masuk ke dalam kawasan daku tinggal tanpa perlu minta kebenaran beliau lagi. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
pohon jiran sebelah dah lepasi pagar sempadan rumah


Bagi yang tertanya-tanya tentang hukum makan buah jiran dalam pagar rumah kita, hukum asalnya adalah haram untuk mengambil dan memakan buah tersebut kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izin tuannya. 

Ini berdasarkan firman Allah yang berbunyi : 

Firman Allah :
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Artinya : “Dan jangan kamu makan akan harta setengah kamu dengan cara yang batil.” (Al-Baqarah : 188)
Dan jika buah dari pokok jiran itu jatuh di atas tanah kita maka harus kita ambilnya tetapi haram kita makan kerana wajib dipulangkan kepada jiran yang memiliki buah tersebut.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
وَيَحْرُمُ أَخْذُ ثَمَرٍ مُتَسَاقِطٍ إنْ حُوِّطَ عَلَيْهِ وَسَقَطَ دَاخِلَ الْجِدَارِ وَكَذَا إِنْ لَمْ يُحَوَّطْ عَلَيْهِ أَوْ سَقَطَ خَارِجَهُ لَكِنْ لَمْ تُعْتَدِ الْمُسَامَحَةُ بِأَخْذِهِ
Artinya : “Dan haram mengambil buah yang jatuh jika dipagari dan jatuh ia di dalam tembok. Demikian juga jika tidak dipagari atau jatuh buah di luar tembok jika biasanya pemilik tidak memberi izin.” (Tuhfah Syarah Minhaj)

Dan berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari :
فَلاَ يُبَاحُ لَهُ بِغَيْرِ إذْنِ مَالِكِهَا إِلاَّ عِنْدَ اضْطِرَارِهِ فَيَأْكُلُ وَيَضْمَنُ
Artinya : “Maka tidak diharuskan (buah tersebut) baginya (yakni orang yang jumpa) yaitu haram tanpa izin pemiliknya melainkan ketika darurat maka harus ia makan dan wajib ia ganti.” (Kitab Asnal Matalib)

Jadi, jelas dan nyata hukum asal adalah haram untuk mengambil atau memakan buah tersebut kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya. 

Ohya, pohon yang jiranku tanam hingga masuk ke dalam pagar ni adalah pokok buah MATA KUCING. Baru saja lepas musimnya berbuah, jadi dapat jugalah daku sekeluarga kutip dan makan sambil tonton tv. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
biji dari buah mata kucing yang gugur ke tanah 


Kutip Hasil Dari Kawasan Keliling Rumah 

Daku tinggal menyewa dan kebetulan rumah yang daku sewa ini memang sudah ada pokok-pokok yang sudah mula berbuah hasil dari titik peluh tuan rumah. 

Antara pokok buah yang ada di dalam halaman rumahku buat masa ini adalah seperti betik dan juga pisang. Sayangnya pohon betik yang dah mula berbuah tumbang semasa hujan lebat jadi tak adalah rezeki untuk tu.

Walaubagaimanapun, beberapa pohon pisang semakin giat berbuah. Lagi-lagi bila semakin dijaga seperti sekarang ni. Suami ada masa nanti, bolehlah di cantas lagi daun di pohon pisang yang sudah kering tu. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
kebun pisang yang makin bercambah dan berbuah

Dan berdasarkan apa yang daku nampak, pisang yang ditanam ni dari dua jenis yang berbeza. Paling ku kenal pisang dalam gambar di bawah ni sebab daku memang selalu beli. Boleh tahan mahal juga harganya. 

Bila melihat pohon pisang sudah mula berbuah begini, rasa tak sabar pula nak tunggu ia masak. Sedapnya!!! 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
daku memang suka pisang... hehehe 


Selain dari pohon buah mata kucing milik jiran sebelah dan pokok-pokok pisang yang agak banyak ni, ada sejenis lagi pokok berbuah yang boleh kami makan tak henti-henti. Memang lebat betul pokok buah yang satu ni!

Pokok ini juga ditanam oleh tuan rumah dan telah mendapat izin untuk makan dengan sepuas-puasnya. Bukan setakat orang dalam rumah ni saja, sampaikan ibu mertua dan adik ipar datang ambil makan sekali. Sebabnya pokok ini sangat rajin berbuah dan kena dengan citarasa family sebelah suami. 

Pokok buah yang daku maksudkan ini adalah KEDONDONG atau di negeri utara tempat asalku, ianya disebut sebagai AMRA. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
pohon kedondong yang tak penat berbuah, Alhamdulillah 


Kedondong, Buah Kegemaran Anak Dan Suami Di Rumah 

Terus terang, daku tidak begitu gemar buah kedondong atau amra ini kerana daku bukan seorang yang suka makan buah-buahan bersifat keras. Untuk lebih mudah faham, daku suka buah yang berisi lembut, manis dan masak ranum seperti mempelam harum manis, mempelam siam, pisang, anggur, strawberi, tembikai dan yang sewaktu dengannya.

Berbeza dengan suami yang sangat sukakan buah keras dan rangup serta masam seperti pauh ringan, mempelam muda, salak, epal hijau, cermai dan buah katak puru (buah nam-nam). Disebabkan itu bila suami lihat ada pohon kedondong dengan pakej kebenaran makan tanpa had, terus suami rasa happy! 

Dan kegembiraan suami ni turut dikongsi bersama anakku Waiz (anak ke empat) dan juga Kasih Sufi. Waiz dan Kasih ni kalau soal makan memang mengikut pada selera abah mereka. Anak sejati Pantai Timur betul dua beradik ni! 

Inilah Waiz yang tak jemu-jemu datang ambil buah untuk makan selalu. Waiz akan panjat dan petik untuk diberikan kepada si pemungut buah kedondong yang telah siap sedia menunggu di bawah. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
Waiz, si tukang panjat kutip buah 


Siapa lagi si pemungut buah tu, kalau bukan Kasih Sufi yang dah terpacak kat bawah pohon tanpa mahu berganjak! 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
Kasih Sufi, si pemungut buah yang setia menunggu di bawah 

Aksi Waiz & Kasih, Si 2 Beradik Yang Sukakan Kedondong!

Bila melihat aksi Waiz bersama Kasih yang seronok mengutip buah kedondong di waktu petang, membuatkan daku ikut rasa happy. Jelas keakraban antara dua beradik ni yang sama-sama dapat berkerjasama. Lebih bernasib baik, pohon kedondong ini sangat special dengan ketinggian yang amat comel! =D 

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Tak tinggi sangatpun pohon pokok buah kedondong kat rumah ni. Jika daku berdiri, Waiz dengan mudah boleh kutip buah dari pokok dan masukkan ke dalam bekas yang daku pegang. 

Lebatnya buah tu boleh lihat pada gambar. Penuh bergayut-gayut. Pilih saja saiz yang besar-besar untuk makan dan biarkan dulu buah yang bersaiz kecil tu terus membesar bak juara sebelum di kutip.

Aktiviti Berkebun Di Rumah

 Tak sampai 10 minit, dah banyak buah Waiz kutip masukkan ke dalam bekas ni. Sebab itulah Kasih setia tunggu di bawah pokok kerana dia seronok lihat buah yang banyak sambil Waiz pilih mana yang dirasakannya sedap untuk di beri pada Kasih. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Sudah Kutip, Jom Makan! Bila Habis Boleh Ambil Lagi

Untuk elakkan dari membazir, daku sering pesan pada Waiz hanya ambil buah setakat rasa nak makan saja. Nanti bila dah habis boleh ambil lagi untuk makan sampai puas. Alhamdulillah, Waiz memang ingat pesanan daku yang satu ni. Mujurlah! 

Untuk makan, selalunya Waiz akan kupas sendiri. Dah besar katanya. Jadi daku hanya duduk sebelah jadi pemerhati dan Waiz akan kupas buah bukan untuk dirinya sendiri tapi juga untuk si Kasih Sufi. Penat jugalah sebab Kasih ni sekali dia makan memang berbiji-biji! 

Aktiviti Berkebun Di Rumah
dah beri alat kupas kulit buah tapi pisau ni juga digunanya :(


Abang kupas sebiji, Kasih terus ambil makan. Abang habis kupas buah yang kedua, Kasih dah habis makan dan minta lagi. Begitulah seterusnya. Tabahlah abang Waiz ye! 

Tengoklah sendiri gelagat Kasih bila dapat buah kedondong yang semakin menjadi kesukaannya sekarang ni. Sedap sangatlah tu sampai makan dengan penuh perasaan.  

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Berbudi Pada Tanah Boleh Dapat Hasil, Ini Juga Sejenis Rezeki 


Rezeki yang Allah SWT berikan ada bermacam-macam bentuk dan hasil berbudi pada tanah ini juga merupakan salah satu rezeki dariNya. Ada kawasan walaupun terhad, usahlah dibiarkan begitu saja. Berbudi kepada tanah tentu ada hasilnya. Ini manfaat berkebun di rumah. 

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Dalam masa yang sama, aktivti berkebun di rumah ini memang boleh beri kebaikan pada kesihatan tubuh badan disamping dapat eratkan hubungan kita sekeluarga jika dilakukan bersama-sama. 

Dengan berkebun di halaman keliling rumah juga, boleh peroleh buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari kebun sendiri. Jika tak ada halaman luas, boleh tanam dalam pasu. 

Kalau nak lebih jimat, boleh juga tanam dalam botol terbuang sebagai salah satu bentuk recycle. Bukan setakat rumah kampung dan rumah teres dengan laman saja boleh becucuk tanam ni, duduk kondo pun bisa berkebun!

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Aktiviti Berkebun Di Rumah

Pastikan Google info yang berkaitan dulu seperti jenis sayur yang mudah ditanam dalam pasu, contoh rupa kebun sayur mini di halaman rumah, cara nak mula kebun sayur di rumah teres dan jenis pokok herba yang mudah ditanam sebagai rujukan. 

Mulakan dengan skala kecil sekadar tanam untuk kegunaan dapur sendiri dan jika hasil selepas itu sudah menjadi banyak, boleh sedekahkan sekali pada jiran-jiran yang terdekat. Secara asasnya, berkebun merupakan aktiviti yang sangat berguna termasuk di tengah bandar dan sempit seperti rumah pangsa atau apartment.

Itulah serba sedikit perkongsian mengenai aktiviti berkebun di rumah dan rasa seronok saat kutip hasil dengan anak-anak di waktu petang. Untuk Waiz, kekalkan rasa kasih seorang abang sebagai pelindung kepada adik dan jadikan blog ini sebagai tempat mengamit kenangan setelah besar nanti. =D 


Jumpa lagi di lain artikel, Assalamualaikum...... 


4 comments for "Aktiviti Berkebun Di Rumah, Seronok Kutip Hasil Dengan Anak-anak Di Waktu Petang"

  1. bestnya ada hasil yang boleh dikutip hasil tanaman sendiri

    ReplyDelete
  2. meriahnya tanaman
    buah kedondong tu buat jeruk asam boi sedap

    ReplyDelete
  3. waa... byaknyaa jenis tanaman kak.. seronok kan berkebun nie.. boleh petik hasil sendiri..

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah seronok tengok pokok-pokok buah-buahan tu.

    Bagus anak-anak sis, jarang jumpa kanak-kanak suka makan buah amra ni :)

    ReplyDelete