Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Aneka Resepi Begedil Ayam, Daging, Tauhu, Kentang Yang Mudah Dan Sedap

Aneka Resepi Begedil Ayam, Daging, Tauhu, Kentang Yang Mudah Dan Sedap | Bagaimana cara nak buat begedil daging, ayam, kentang dan tauhu? Terus terang aku bukan seorang yang pandai buat begedil. Mungkin kerana jarang makan dan mungkin juga kerana sedikit malas. 

Tapi, bila kebetulan nampak gambar menu resepi begedil, eh sedaplah pula bila membayangkan rasanya tu.

Disebabkan itu, terus cari aneka resepi begedil dan alhamdulillah, jumpalah beberapa resepi begedil mudah yang nampak ringkas tak guna banyak bahan tetapi rasanya sedap! 

Bagi kalian yang sedang mencari resipi begedil ayam, resipi begedil daging, kentang dan tauhu, di sini aku kongsikan cara buat begedil untuk kita cuba bersama. 

Aneka Resepi Begedil


#1 - Resepi Begedil Daging 

Resepi Oleh : Kak Azie Kitchen

Aneka Resepi Begedil

Bahan bahan: 

  • 1/2 kg ubi kentang 
  • 200 gm daging/ayam kisar - goreng tanpa minyak 
  • 2 sudu teh lada sulah-tumbuk lumat 
  • 1 sudu besar bawang goreng 
  • 2 tangkai daun sup - dihiris halus 
  • 1/2 labu bawang besar - di potong dadu 
  • 2 biji telur ayam - asingkan kuning dan putih 
  • Garam secukup rasa 

Cara cara: 

Kupas kentang dan potong sederhana nipis. Cuci dan toskan. Goreng sehingga masak, angkat dan toskan. Lenyek/tumbuk sehingga lumat semasa masih panas. Ketepikan dulu.

Masukkan semua bahan kecuali telur di dalam satu bekas. Gaul rata dan dirasakan dulu garamnya. Setelah secukup rasanya, baru dimasukkan telur kuning. 

Ambik sedikit adunan dan dikepal kepalkan. Bentukkan bulat dan kemudian dileperkan sedikit. Buat sehingga habis

Dalam bekas lain, kocak kocakkan telur putih. Celupkan setiap ketulan begedil tadi dengan telur putih terlebih dahulu sebelum digoreng dengan minyak yang telah betul betul panas sehingga berwarna keemasan. 

Minyak tak perlu banyak sangat, agak agak tenggelam separuh begedil sahaja. Nota: boleh juga jika ingin menggunakan sebiji telur (putih dan kuning telur) untuk mencelup.

Guna api sederhana je. Teknik supaya bergedil tidak pecah ialah jangan dibalikkan begedil sehingga ia betul-betul garing. Agak agak sebelah bawah dah garing baru terbalikkan. 

Goreng sehingga warna keemasan dan angkat. Insyallah begedil tidak pecah, gorengnya pun lawa. Bila dah masak, angkat dan toskan atas tisu dapur. Sedia untuk di makan bersama soto atau di makan begitu saja.


#2 - Resepi Begedil Ayam Sedap 

Resepi Oleh : Cik Nom

Aneka Resepi Begedil

Resipi Begedil Ayam yang sangat mudah dimasak dan sangat sedap. Begedil ayam ni sangat sesuai untuk dihidangkan bersama soto ayam, sebabnya tak sedaplah soto kalau tak ada begedil kan. 

Untuk resipi ini, kentang yang digunakan ialah kentang yang biasa terdapat di kedai, bukannya kentang jenis yang diimport seperti kentang USA atau russet. 

Okay juga guna kentang biasa yang ada tu. Baru tahu, rupanya kentang tempatan atau asia yang murah tu lagi sedap buat begedil. Menurut Cik Nom, boleh juga letak cili kalau suka pedas.

 Satu lagi nota, jika nak gantikan daun sup dengan daun bawang pun ok, atau nak letak dua-dua pon boleh. Haa senang macam ni!

Bahan-Bahan: 

  • 500 gram (4-5 biji) ubi kentang, kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci 
  • 150 gram daging ayam kisar 
  • 1 biji bawang besar, didadu kecil 
  • 1 pokok daun sup, hiris halus 
  • 3 sudu besar bawang goreng 
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada putih 
  • 1 biji cili merah, cincang kasar (kalau nak sedikit pedas) 
  • garam secukup rasa 
  • 1 biji telur ayam 
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan: 

Cara untuk masak ayam : 

Panaskan 2 sudu besar minyak masak dan goreng bawang besar sehingga lembut. Masukkan ayam kisar dan goreng sehingga ayam masak. Perasakan dengan sedikit garam. 

Cara untuk masak begedil : 

Dalam kuali yang lain, panaskan minyak masak (anggaran 1 mangkuk). Goreng kentang sehingga kekuningan dan lembut. 

Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Ketika kentang masih panas, hancurkan kentang dengan cara melenyek kentang sehingga halus menggunakan potato masher atau garfu. 

Masukkan bawang goreng, daun sup, ayam (yang dimasak tadi) dan serbuk lada putih. Perasakan dengan garam secukup rasa. Ambil sedikit adunan dan buat bulat. Kemudia leperkan sedikit dan susun di atas pinggan atau dulang. 

Panaskan minyak. Pecahkan telur dan kacau dengan garfu supaya sebati. Celup begedil di dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga kekuningan. Tunggu sehingga bahagian bawah begedil keras sedikit baru dialihkan untuk mengelak begedil dari hancur.


#3 - Resepi Begedil Daging

Resepi Oleh : Cik Nom

Resepi Begedil Daging yang sedap dimakan bersama soto atau bihun sup. Menggunakan ubi kentang dan daging sebagai bahan utama, Begedil daging cara nak buat tidaklah susah mana juga. 

Bahan-Bahan: 

  • 500 gram ubi kentang 
  • 150 gram daging kisar 
  • 1/2 biji bawang besar, didadu 
  • 2 biji cili merah, dihiris halus 
  • 2-3 tangkai daun sup, dihiris halus 
  • 2 sudu besar bawang goreng 
  • 1/2 sudu kecil lada sulah 
  • 1 biji telur ayam sedikit garam

Cara Penyediaan: 

Kupas kulit ubi kentang, potong dadu dan goreng sehingga empuk. Angkat dan toskan. Biarkan seketika hingga kurang panas. 

Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar yang didadu, kemudian masukan daging kisar dan masak seketika. 

Di dalam mangkuk, hancurkan ubi kentang menggunakan "masher" dan kemudian gaulkan dengan cili merah, daging kisar, daun sup, lada sulah, bawang goreng dan garam secukup rasa. 

Buatkan bentuk bulat dan leperkan sedikit. Pecahkan sebiji telur dan kacaukan sebati menggunakan garfu. 

Celup begedil dan goreng di dalam minyak yg sudah dipanaskan di dalam kuali. 

Angkat dan toskan di atas kertas tisu untuk menyerap lebihan minyak Tips: Masa menggoreng, jangan alih begedil sehingga bahagian bawah betul-betul masak supaya begedil tidak menjadi hancur semasa menggoreng.

#4 - Resepi Begedil Kentang Simple Tapi Power

Resepi Oleh : Faezah Tarmezi 

Kalau makan soto atau bihun sup, ada begedil barulah best. Tapi bukan semua orang rajin nak buat begedil ni. 

Siapa sangka, mudah je rupanya. Makan dengan bihun sup memang sedap. Jika nak makan ratah sis sos macam tu je pun dah okay, boleh ralit makan begedil ni sebab asyik mengunyah je kerjanya.

Begedil kentang walaupun nampak simple tapi mungkin masih belum tahu resepi dan cara untuk membuatnya. 

Kadang-kadang tu rasa malas nak buat begedil bila percubaan awal tu berlaku masalah seperti serap banyak minyak, terlalu lembek, atau cepat basi dan sebagainya. 

Kalau nak tahu rahsia dan resepi begedil kentang simple tapi power, jom kita tengok tips daripada Puan Faezah Tarmezi. Ada step-by-step membuatnya dari awal sampai siap masak. 


Bahan-bahan :

  • kentang lada putih (tumbuk halus) 
  • udang kering 
  • daun sup, daun bawang (racik halus) 
  • bawang goreng garam gula (untuk hilangkan rasa kelat kentang) 
  • *semua bahan di atas disukat mengikut rasa masing-masing.

Cara-cara :

1. Mula-mula kupas, potong, goreng  kentang terlebih dulu. Langkah ni penting untuk elakkan begedil cepat basi. Kemudian tumbuk kentang yang dah digoreng tadi hingga lembut.

2. Saya perasakan begedil ni dengan udang kering. Mula-mula rendam dulu sekejap, kemudian celur dengan minyak panas. Kemudian tumbuk separa halus.

3. Lada putih ditumbuk halus.

4. Satukan kesemua yang dah ditumbuk dan diracik halus termasuk bahan perasa. Kira semua sekalilah bahan di atas. Kemudian gaul rata. Lepas tu boleh bentukkan ikut suka.

5. Kemudian pecahkan telur untuk disalut pada begedil sebelum digoreng.

6. Akhir sekali panaskan kuali dan bubuh minyak untuk menggoreng. Goreng macam biasa hingga nampak kekuningan. 

Tak perlu lama sangat sebab kentang dah dimasak tadi. Bila dah masak, toskan dan angkat.  Sedia untuk dihidang. Dah siap tu bolehlah nak makan dengan soto atau sup. Mesti makin berselera dibuatnya.


#5 - Resepi Begedil Tauhu Paling Mudah Sedap & Jimat

Resepi Oleh : Puan Norzieana Mior Norahan

aneka resepi begedil

Teringin nak makan tauhu begedil, lagi-lagi bila ianya pernah viral. Ramai orang cakap sedap, tapi sedanya tu tahap mana? Hmmm... sampai hari ni tak pernah lagi rasa. 

Sebab tu gigih cari resepi supaya boleh cuba buat sendiri nanti. Lagipun, dah pernah nak beli tapi tak nampak pulak orang yang jual begedil tauhu ni. 

Bagaimana nak buat tauhu begedil yang viral popular famous amos ni? Haaa, ni dia resepinya! Lain macam juga kerana ini seakan tauhu sumbat menggunakan tauhu kering di bahagian luar tapi untuk bahagian dalamnya, intinya tu seakan-akan begedil (kentang lenyek yang dimasak bersama isi ayam atau daging).  

Ramai yang cakap sedap bila makan kerana bila digigit tauhu begedil ni, rasanya sangat rangup di luar dan lembut di dalam. 

Satu kombinasi yang sangat sepadan! Makin syok layan makan bila dicicah dengan sos cili ataupun sos kicap. 

Untuk sesiapa yang teringin nak cuba masak sendiri tauhu begedil ni kat rumah, bolehlah cuba resepi perkongsian Puan Norzieana Mior Norahan. Katanya, first time cuba terus menjadi. Bolehlah kita cuba pulak lepas ni.

BAHAN & CARA UNTUK BUAT TAUHU BERGEDIL 

Bahan-bahan :

  • 1 bungkus besar tauhu kering 
  • 3 biji kentang (rebus & lenyek) 
  • 1 cawan isi ayam dikisar 
  • 1 tin cendawan butang dicincang 
  • 10 ekor udang dicincang 
  • 1 biji cili merah besar dicincang 
  • 3 biji bawang merah digoreng 
  • daun bawang & daun sup 
  • serbuk lada putih & hitam secukupnya 
  • garam secukup rasa

Bahan celup tauhu : 3 biji telur & garam secukup rasa

Cara-cara membuatnya :

1. Mula-mula rebus kentang sehingga masak. Kemudian lenyekkan macam kita nak buat begedil.

2. Isi ayam dimasak sebentar hingga airnya kering. Kemudian campurkan dengan semua bahan di atas dan gaulkan bersama kentang yang dah dilenyek tadi. Boleh perasakan ikut citarasa masing-masing. 

3. Seterusnya ambil tauhu kering dan guntingkan di atasnya. Keluarkan isinya. Tapi jangan membazir pula, ambil isi ini dan masukkan bersama bahan inti tadi. Kemudian sumbatkan semula inti ke dalam tauhu.

4. Sebelum gorengkan tauhu begedil, celupkan dengan telur supaya kulitnya lebih rangup dan isinya pula tak tertanggal. Rasanya pun lagi sedap. Bahan Celup Tauhu 3 biji telur garam secukup rasa 

Caranya, kocak telur dan garam. Kemudian celupkan tauhu yang dah disumbat dengan begedil. Sambil tu panaskan minyak dalam kuali dan terus goreng hingga kekuningan.

5. Tak lengkaplah tauhu begedil kalau tak ada sos yang power kan? Jom kita tengok cara membuat sosnya pula.


Bahan Sos Cicah 

  • 6 tangkai cili kering digoreng & blend 
  • 4 tangkai cili padi siam digoreng & blend 
  • 2 ulas bawang putih 
  • 2 sudu gula perang 
  • 1 sudu sos tiram 
  • 2 sudu kicap manis
  • sedikit tepung gandum @ tepung kentang yang dibancuh air 


Caranya mudah saja, masak kesemua bahan hingga pekat. Lepas tu macam biasa, perasakan ikut citarasa masing-masing. 


Jom Cuba Masak Begedil Guna Semua Resepi Mudah Ringkas Tadi 

Itulah dia, 5 aneka resepi resepi begedil yang mudah tapi sedap. Bila nampak begedil yang sedap terus rasa terliur. Apapun, mudah sangat rupanya untuk buat begedil ayam, begedil daging dan begedil tauhu ni. Terima kasih sangat untuk tuan empunya resepi bergedil. 

Rasanya mungkin akan start buat resipi begedil ayam dulu kerana ianya sangat mudah dimasak dan sangat sedap. Jika makan dengan soto atau bihun sup pun best kan? Boleh juga jika buat bihun sup simple untuk makan bersama begedil ni. 

Aku ni, kalau makan soto atau bihun sup, selalunya memang akan cari begedil dulu. Cuma, nak buat begedil tu fikir banyak kali melainkan jika benar-benar rasa nak makan. Hehe

Sekarang dah tahu resepi begedil  dan rasanya dari kanak-kanak sampai orang dewasa menyukai begedil. Begedil tersedia dalam pelbagai rasa, atas kita nak cuba buat yang mana. Nak cuba semua resepi pun boleh kerana begedil di atas semuanya guna resepi ringkas dan mudah, sedap pulak tu rasanya.

Ada masa nanti jemput cuba resipi yang mudah dan sedap untuk begedil dan jika dirasakan sedap, jangan lupa hulur sikit pada jiran-jiran sebelah ye. 

Jemput join :

Telegram Rasmi Sis Hawa Blog 👉  https://t.me/sishawadotcom

Telegram Rasmi Info Ibu Hamil & Baby 👉  https://t.me/ibuhamilmalaysia


Post a Comment for "Aneka Resepi Begedil Ayam, Daging, Tauhu, Kentang Yang Mudah Dan Sedap "