Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pengalaman & Panduan Jaga Bayi Demam Malam Hari (Anak Night Fever On Off)

Pengalaman Jaga Bayi Demam Malam Hari (Anak Night Fever On Off) | Bayi demam panas pada waktu malam hari. Aku dah pernah lalui perkara ini beberapa kali. Apabila ini terjadi pada anak, sangat risau bila suhunya naik tinggi mendadak. Takut sangat kerana aku tahu, suhu badan terlalu tinggi ini boleh menyebabkan sawan tarik. 

Bayi demam malam hari tak seperti demam biasa. Dari apa yang pernah ku lalui, pengalaman sendiri jaga anak demam malam hari ni, anak pada waktu siangnya nampak biasa saja. Aktif boleh bermain seperti biasa, makan minum juga okay tetapi, apabila tiba tengah malam suhu badannya terus mendadak naik ke tahap yang amat tinggi. 

Bayi Demam Malam Hari

Kanak-kanak dan bayi demam malam hari ini memang mencabar hingga tak boleh nak tidur. Risau memanjang selagi suhu tak turun!

Anak lain bila demam, tak adalah suhu naik mendadak. Berbeza dengan bayi demam malam hari (night fever) kerana suhu badannya tu on off. Siang aktif malam terus demam dengan suhu panas mendadak. Memang sangat mendebarkan. Langsung tak boleh tidur malam, kena terus usaha turunkan suhu anak ke tahap sederhana segera.

Tengoklah ni, dah pukul 3 pagi tapi masih tak boleh tidur. Merengek-rengek kerana tak selesa. Nak tidur pun rasa susah, ibu perlu terus usaha turunkan suhu badan anak dengan langkah kaedah yang selamat. 

Bayi Demam Malam Hari


Maksud Demam Malam Di Kalangan Kanak-Kanak

Melalui perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad , demam merupakan suatu perkara umum dalam kalangan kanak-kanak sekarang. Suhu tubuh badan yang normal adalah dalam 36⁰C-37⁰C. Sebarang kenaikan atau penurunan suhu merupakan suatu keadaan yang serius dan perlu pemerhatian doktor dengan segera.

Demam malam merupakan sebuah fenomena di mana anak tersebut akan aktif dan riang pada waktu pagi dan pada waktu malam pula akan mempunyai darjah kepanasan yang sangat tinggi pada tubuh badan.

Fenomena ini sememangnya perlu diambil serius oleh para ibu kerana jika tidak dirawat dengan segera untuk menurunkan demam tersebut maka boleh mengundangkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti maut.

Bayi Demam Malam Hari

Penyebab Demam Malam Dikalangan Kanak-Kanak dan Bayi

Penyebab utama demam malam ini semestinya merupakan jangkitan kuman bakteria atau virus. Hal ini kerana kanak-kanak lebih senang mendapat jangkitan ini kerana mereka tidak pandai membezakan yang bersih dan kotor.

Oleh itu, ia semestinya menjadi tanggungjawab para ibu untuk menghindari anak mereka daripada benda kotor untuk mengelakkan jangkitan ini.

Jangkitan kuman yang dihidapi oleh anak-anak boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan yang teruk seperti infeksi saluran pernafasan, penyakit asma, keradangan, infeksi saluran kencing dan banyak lagi yang boleh memudaratkan kesihatan.

Selain itu, kita juga harus memahami bahawa ia sudah menjadi kebiasaan badan kita untuk meningkatkan suhu badan pada waktu petang.

Anak kemungkinan mempunyai demam yang biasa pada waktu siang dan apabila suhu badan meningkat pada waktu petang ia semestinya akan menyebebakan demam ini naik dengan mendadak sekali gus mengakibatkan badan anak menjadi sangat panas.

Penyebab lain bagi masalah ini ialah kemungkinan kekurangan vitamin yang diperlukan. Hal ini kerana vitamin amatlah penting terutamanya untuk anak-anak yang sedang membesar. Ini adalah kerana vitamin sangatlah penting dan efektif untuk membina sistem imun yang kuat untuk mempertahankan diri dari serangan bakteria.

Oleh itu, para ibu haruslah ambil serius hal ini dan memastikan anak mereka mendapat vitamin yang secukupnya semasa pembesaran.

Terdapat juga penyakit yang serius yang boleh mendatangkan demam seperti ini. Penyakit tersebut merupakan penyakit leukemia. Ini merupakan sebuah penyakit di mana sel putih di badan melebihi kadar normal.

Penyakit ini juga akan mendatangkan lebam pada badan bersertakan demam malam. Para ibu juga haruslah mengambil serius hal ini dan berkejar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dalam tempoh yang awal.

Hypothalamus dalam bahagian otak bertanggungjawab mengawal kenaikan atau penurunan suhu dalam badan.

Sekiranya berlaku sebarang kecederaan pada organ tersebut maka ianya boleh menjejaskan kesihatan badan kita. Seseorang itu juga perlulah menjaga diri supaya tidak berlaku sebarang masalah yang tidak diingini.

Gejala Demam Malam Bagi Kanak-Kanak

1. Suhu badan yang tinggi
2. Kurang selera makan
3. Muntah
4. Cirit-birit
5. Anak tidak aktif
6. Tidak boleh tidur malam
7. Kurang berat badan

tanda anak demam malam

Sekiranya tanda-tanda ini dijumpai pada anak, maka para ibu haruslah mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa mereka kepada doktor supaya dapat dirawat dengan segera.

Hal ini kerana sekiranya perkara seperti ini berlarutan maka ianya akan menjejaskan kesihatan anak dengan lebih teruk serta boleh mengundang perkara yang tidak diingini.

Cara Mengatasi Demam Di Malam Hari (Anak Demam On Off)

Biasanya, ubat paracetamol atau lebih dikenali sebagai panadol merupakan ubat untuk melegakan demam, menahan sakit dan mengurangkan radang. Boleh dapatkan ubat demam ini di klinik dan pastikan mendapat nasihat daripada doktor terlebih dahulu mengenai dos dan waktu yang sesuai mengikut umur anak.

Bagi kanak-kanak yang kecil, terdapat ubat sirap yang boleh diambil untuk memudahkan pengambilan. Hal ini kerana sesetengah anak tersebut akan menangis untuk mengambil ubat kerana rasa ubat yang pahit.

Selain itu, terdapat sesetengah budak kecil yang tidak boleh mengambil ubat sirap tersebut kerana tidak pandai menelannya. Terdapat satu lagi cara yang akan diajar kepada para ibu. Kaedah ini ialah dengan memasukkan ubat dengan cara suppositori. Dengan cara ini juga, demam malam anak tersebut akan dapat diredakan.

Para ibu juga harus memastikan anak mereka mendapat nutrien badan yang mencukupi untuk tumbesaran yang sihat dan cergas. Hal ini kerana nutrien badan yang mencukupi akan membantu membina sistem imun yang kuat dan boleh mencegah jangkitan bakteria atau virus dalam badan.

Pernah Bawa Anak Ke Emergancy Kerana Suhu Naik Mendadak! 

Anak atau bayi demam malam, ibu bapa boleh jadi panik kerana tidak bersedia. Hal ini seringkali berlaku kerana anak pada siang harinya nampak sangat okay dan aktif. Bila tiba waktu malam, secara tiba-tiba suhu badannya naik mendadak ke paras yang agak tinggi. 

Aku sendiri pernah rasa panik. Yelah, jika anak demam pada waktu siang, masih ada masa untuk bawa anak ke klinik tapi apabila anak demam malam begini, datangnya pula secara tiba-tiba, mana nak dapatkan ubat? 

Tak ada jalan lain, terus bawa ke bahagian kecemasan di hospital. Lepas check suhu, doktor terus beri rawatan segera kerana suhu badan anak dah berada di tahap tinggi sangat. Aku tahu demam biasanya dikaitkan dengan masalah jangkitan kuman yang boleh membahayakan kesihatan anak, maka tak boleh dipandang ringan. 

Sebab tu, jika demam anak tiba-tiba demam malam dan tak ada stok ubat di rumah atau dah beri ubat tapi suhu masih juga tak turun-turun, ada baiknya terus bawa anak ke bahagian kecemasan di hospital. Dari terjadi perkara tak diingini, baik segera dapatkan bantuan dari mereka yang lebih arif. 

Pengalaman Dapatkan Rawatan Anak Demam Malam Dari Bahagian Kecemasan di Hospital 

Rawatan yang diterima dari bahagian kecemasan hospital untuk bayi demam malam, sampai saja di hospital terus di bawa ke dalam bilik rawatan bahagian kecemasan zon kuning dan anak terus ditanggalkan baju seluar sepenuhnya. Hanya tinggal pampers saja!

Setelah ditinggalkan semua pakaian, doktor mengambil sebekas air dan juga sehelai tuala. Seterusnya anak di ulang lap seluruh tubuhnya hingga basah lencun. Nampak air di badan mula kering, terus di lap lagi berulang-ulang kali. 

Dengan badan yang basah, di tambah dengan suasana aircond dalam zon rawatan tu, memang agak sejuk! Tapi itulah cara rawatan awal yang doktor berikan. 

Doktor turut memberitahu yang kaedah begini boleh digunapakai sebagai kaedah rawatan mengatasi anak demam panas di malam hari. Berjam-jam jugalah aku berada di zon kecemasan tu, lap seluruh tubuh anak dengan air sambil dipantau selalu suhu badan anak oleh doktor yang bertugas. 

Bila suhu badan anak dah makin okay, doktor bekalkan ubat antibiotik dan ubat demam, kemudian barulah dibenarkan pulang ke rumah. Alhamdulillah. 

Bayi Demam Malam Hari

Tips Jaga Bayi Demam Malam Hari Untuk - Panduan Ibubapa Langkah Demi Langkah

Sebagaimana yang telah diberitahu tadi, demam pada anak umumnya disebabkan oleh infeksi di dalam tubuh. Jika kondisi ini terjadi saat malam hari, cuba lakukan panduan di bawah ini langkah demi langkah. 

Langkah 1 :

Sediakan kain tuala kecil bersih dan basahkan tuala dengan AIR SUAM (Lukewarm water: 32.2°C - 35°C)


Langkah 2 :

Lakukan Tepid Sponging / Jeram Jelum iaitu diletak kain tuala basahan tu di dahi, perut, leher, ketiak dan celah paha atau sapu selapisan di seluruh badan bayi tersebut.

Air suam ni bantu pembuluh darah di kulit mengembang lalu membuka pori-pori untuk memudahkan suhu panas badan keluar dari dalam tubuh bayi ke udara.


Langkah 3 :

Lakukan Tepid Sponging / Jeram Jelum selama 20 ke 30 minit. Hentikan jika suhu bayi sudah kembali normal atau bayi ada tanda menggigil (shiver).


Langkah 4 :

Jangan selimutkan bayi dan jangan juga pakaikan anak dengan pakaian yang ketat dan tebal. Pakaian yang tebal seperti jaket boleh memerangkap suhu.

Cara terbaik pakaikan anak dengan pakaian yang nipis longgar dan dapat menyerap peluh supaya suhu badan anak lebih cepat turun.


Langkah 5 :

Pastikan sistem pengudaraan bilik dlm keadaan baik. Biar udara keluar masuk melalui tingkap.

Kipas atau penghawa dingin boleh dipasang bagi membantu menurunkan suhu badan tapi jangan di arah angin kipas tu tepat pada bayi.


Langkah 6 :

Selain mengelap seluruh tubuh, boleh juga memandikan anak bertujuan untuk menurunkan suhu badan anak ke tahap sederhana dari terus berada para paras tinggi.


Langkah 7 :

Letak cool fever. Tempat paling bagus mengikut saranan doktor yang diberitahu padaku sendiri, bukannya di bahagian dahi. Bila ku tanya kenapa?

Kata doktor, nanti panas akan tertarik dan berkumpul di situ. Doktor nasihatkan aku tampal cool fever pada bahagian tengah belakang dan juga bawah ketiak. Kalau tak ada cool fever, boleh gantikan dengan kain tuala kecil yang dibasahkan.


Langkah 8 :

Demam paksa badan mengeluarkan cairan lebih banyak seperti peluh dan kencing. Maka rajin-rajinlah menyusu atau beri air yang banyak kepada bayi untuk elak dehidrasi.

Lagi banyak cairan diberi maka lagi banyak cairan keluar melalui urin atau peluh yang juga boleh menolong untuk menurunkan suhu badan yang panas.


Langkah 9 :

Jika anak tak nak tidur, jangan paksa anak untuk tidur. Demam di malam hari ini suhu badan anak akan menjadi sangat tinggi dan menyebabkan bayi rasa sukar untuk tidur.

Biarkan anak kekal aktif dan bermain kerana berpeluh itu dapat bantu menurunkan suhu badan yang tinggi.


Langkah 10 :

Letak ubat dalam makanan lain jika anak susah mahu makan ubat. 


bayi demam malam panas
Bila suhu terlalu tinggi, daku tanggalkan semua pakaian anak dan tutup badannya dengan tuala basah 

“Doc, boleh tak saya mandikan anak ketika demam?”

Tak dinafikan ramai ibubapa musykil dengan perkara ini. Boleh atau tak boleh mandikan anak ketika demam?

Jawapannya boleh. Aku sendiri ada mandikan anak ketika demam untuk turunkan suhu badan anak. Jika tak yakin, boleh baca jawapan yang diberikan oleh Doc Abdul Rahim Nor

Soal Jawab Berkaitan Mandikan Anak Ketika Demam

1. Apa itu demam?

Suhu normal badan bayi antara 36-37.5 °C. Kalau lebih daripada 37.5 °C itu bermakna bayi sedang demam. Demam terjadi sebagai pertahanan badan si bayi jika ada serangan bakteria / virus. Suhu badan naik automatik kerana darah/antibodi si comel sedang bergusti sendiri melawan infeksi tu.

2. Bila perlu beri ubat demam untuk turunkan panas?

Jika demam anak tu sedikit saja, maksudnya bayi masih tetap aktif bermain, minum dan makan juga okay seperti biasa, maka tak perlu berinya makan ubat demam penurun panas.

Biarkan saja tubuhnya bekerja secara alami melawan infeksi, InshaAllah demamnya akan kebah dan suhu badan boleh normal semula.

Tapi, seandainya anak kelihatan kurang aktif, kurang makan dan minum, lebih banyak tidur dan suhu badannya juga agak panas, perlu beri anak ubat demam mengikut dos sukatan yang betul.

3. Anak demam boleh dimandikan tak?

Anggapan mengatakan anak demam JANGAN dimandikan adalah sesuatu yang SALAH. Ini kerana ketika suhu anak meningkat mereka perlu dimandi atau badan perlu disejukkan. Tapi mestilah dengan CARA yg betul.

3. Bagaimana nak mandikan bayi ketika demam untuk turunkan suru badan?

Boleh mandikan bayi demam hanya dengan air paip dengan air paip yang tengahari. Air paip pada waktu ini dalam keadaan sejuk suam (COOL/WARM). Jangan mandikan bayi atau anak yang demam dengan air paip waktu pagi yang amat sejuk menggigil (COLD).

4. Perlu mandi lama atau sekejap saja?

Mandi ketika demam hanya untuk bantu turunkan suhu, tak perlu mandi lama-lama seperti selalu. Nak mandikan anak tu, mulakan dengan basahkan kaki diikuti dengan bahagian tubuh lain dari paras bawah naik ke atas. Jangan terus basahkan bahagian kepala. 

5. Selepas mandi, perlu dikeringkan terus atau biarkan saja air pada badan anak?

Selepas mandi perlu segera keringkan badan anak dengan tuala secepat mungkin dan terus cepat-cepat pakaian anak dengan baju. Ini penting untuk elak bayi demam dari menggigil!

Cara begini tubuh jadi segar dan nyaman sebab suhu badan dapat diturunkan dengan segera.

PENTING : Jangan Lakukan Ini Ketika Anak / Bayi Demam 

a - JANGAN GUNA AIR SEJUK AIS

Air sejuk ais bukan menurunkan suhu tapi akan meningkatkan lagi suhu badan. Air sejuk ais ini akan menyebabkan pembuluh darah di kulit mengecut hingga panas yang di bawah darah ke kulit mengecut. Pegang kulit terasa sejuk tapi suhu badan yang tinggi sedang berkumpul dalam badan. 

b - JANGAN MANDIKAN ANAK DENGAN AIR SEJUK AIS 

Usaha menurunkan suhu badan anak penting bagi mengelak daripada berlaku demam sawan yang dikhuatiri meningkatkan risiko kesihatan serius. Nak mandikan anak ketika demam boleh. Aku sendiri ada mandikan anak ketika demam. Tapi hendaklah mandikan anak dengan air paip atau air suam panas. Nak mandi pun ada caranya. Kena basahkan badan dengan air sedikit sedikit bermula dari kaki naik ke atas. Jangan terus basahkan kepala. 

c - JANGAN HARAP ANAK BAIK SENDIRI JIKA SUHU BADANNYA TINGGI

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim, berkata demam sawan berlaku apabila suhu badan terlalu tinggi, bermula 38 darjah celsius dan ke atas, berbanding bacaan biasa antara 36 hingga 37 celsius. Ini bermakna semakin tinggi suhu badan , semakin serius keadaan anak. Demam malam suhunya tinggi berbanding demam biasa dan jika dibiarkan kena sawan dan membawa maut. 

d - JANGAN TAKUT BERTINDAK WALAU BUKAN SEORANG DOKTOR 

Ada juga dikalangan ibubapa yang takut untuk bertindak. Tak berani katanya, takut salah dan bahayakan anak. Tips paling mudah, letakkan diri sendiri di tempat anak. Bila diri sendiri demam, adakah kita rasa selesa jika mandi dengan air paip yang terlalu sejuk? Adakah juga badan kita rasa lebih baik bila di jelum dengan air berisi ais? Sudah tentu tidak.

Ketika demam, nak pijak lantai bilik air pun dah rasa menggeletar. Sejuk tak boleh bawa bincang! Begitulah juga dengan anak-anak yang demam.

e - JANGAN PENTINGKAN DIRI, JAGALAH ANAK SECARA BERGILIR-GILIR 

Serius, kalau anak demam kesannya si ibu yang tak lena tidur. Ramai suami yang hanya harapkan isteri jaga anak seorang diri dengan alasan esok pagi perlu bekerja. Aku dah lalui beberapa kali situasi bayi demam malam. Memang susah! 

Mujurlah suami boleh diharap, dapat jaga anak secara bergilir. Boleh tidur sekejap-sekejap lelapkan mata sebentar.

bayi demam malam
suami tolong jagakan Kasih Sufi yang demam 

Demam Dalam Pandangan Islam

Diriwayatkan dalam hadits Imam Ath Thabrani, Rasulullah SAW bersabda: "Demam adalah bagian dari panas Jahannam. Ia merupakan jatah bagi orang mukmin dari api neraka."

Dipetik dari 'Buku Pintar Sains dalam Al-Qur'an' oleh Nadiah Thayyarah, dalam beberapa hadits, Nabi menjelaskan teknik pengubatan nabawi dalam menurunkan tingginya suhu tubuh. Kita  disarankan untuk menggunakan air dingin dalam menurunkan panas demam. 

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda, "Demam adalah bagian dari keluasan Jahanam, karena itu dinginkan ia dengan air."

Bayi Demam Malam? Tak Tahu Apa Nak Buat? Moga Artikel Ini Dapat Membantu!

Selesailah sudah perkongsian berkaitan bayi demam malam. Bayi demam panas pada waktu begini, perlukan kerjasama suami isteri untuk sama-sama jaga anak. Ini kerana demam malam boleh berlaku secara on off. Siang nampak anak aktif, malam nampak anak demam teruk tak sihat. 

Ada juga dikalangan kanak-kanak kecil dan bayi, suhu yang sedikit tinggi mungkin berlaku daripada waktu pagi dan lebih tinggi pada lewat petang dan malamDengan tips panduan yang diberikan, moga anak demam suhunya boleh menurun dan tidur dengan lebih lena .  

Untuk ibubapa yang anak sedang demam panas terutama pada waktu malam ini, saya doakan semoga anak lekas sembuh. 

Aamiin. 

Jemput join :

Telegram Rasmi Sis Hawa Blog 👉  https://t.me/sishawadotcom

Telegram Rasmi Info Ibu Hamil & Baby 👉  https://t.me/ibuhamilmalaysia

2 comments for "Pengalaman & Panduan Jaga Bayi Demam Malam Hari (Anak Night Fever On Off) "