Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pengalaman & Panduan Rawat Kudis Buta Anak Hingga Sembuh

Pengalaman & Panduan Rawat Kudis Buta Anak Hingga Sembuh | Penyakit kudis buta, bahasa para doktor dikenali sebagai 'scabies'. Kudis buta atau skabies ini adalah sejenis penyakit kulit yang boleh menjangkiti individu pada semua peringkat umur. 

Scabies boleh berlaku pada sesiapa saja dan ia merupakan sejenis penyakit kulit yang boleh berjangkit dengan cepat. Kudis buta ini sejenis jangkitan kulit berjangkit yang disebabkan oleh gigitan kutu hama Sarcoptes Scabies.


Penyakit kudis buta akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit. Siapa yang terkena akan mula mengaru sini dan sana. Bila garu, penyakit kudis buta akan mula terkena pada bahagian kulit yang lain. Ianya juga sangat mudah berjangkit jika berlaku sentuhan seperti bersalaman. 

Daku sendiri pernah ada pengalaman untuk ubati anak dari penyakit kudis buta ini. Punca boleh muncul penyakit kudis buta pada anak yang ke dua (usia 15 tahun), setelah dia tinggal di asrama penuh. 

Bila balik semasa cuti sekolah tu, tengok dah dapat penyakit ni. Terkejut jugalah! Terus bermula operasiku dan suami mencari keadah bagaimana untuk rawat anak dan dalam masa yang sama, bagaimana untuk elak ahli keluarga lain dari dijangkiti. 

Dalam artikel ini daku akan kongsikan secara lengkap info berkaitan punca kudis buta, simptom dan tanda-tandanya termasuk panduan bagaimana untuk rawat kudis buta anak hingga sembuh. 

Apakah punca kudis buta ini, siapa golongan paling kerap kena?  


Kudis buta terjadi disebabkan oleh jangkitan kutu/hama kecil yang dipanggil sebagai “Sarcoptes Scabiei”. Kudis buta atau ‘scabies’ ini lazimnya berlaku pada kanak-kanak dan anak. 

Wabak jangkitan ‘Scabies’ biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti asrama, taska, tadika, sekolah, dan pusat-pusat penjagaan di mana orang ramai kerap berhubungan dan berinteraksi antara satu sama lain. Penyakit kudis buta ini sangat mudah untuk berjangkit. 

gambar tangan anak kecil yang dijangkiti Scabies - sumber Google 



Penyakit ini hanya boleh dijangkiti dengan sentuhan langsung antara kulit ke kulit kerana kutu kudis yang berada di permukaan kulit tidak mampu terbang atau melompat dari permukaan kulit seseorang. Bahagian tangan (telapak tangan dan celah-celah jari) merupakan bahagian yang pertama akan dijangkiti kutu kudis buta ini. 

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010, dianggarkan 130 juta penduduk dunia mengalami kudis buta atau skabies dan 1.5 juta pesakit mengalami komplikasi tidak langsung seperti masalah jantung dan buah pinggang kesan daripada jangkitan kudis buta.

Ia bukan saja menjangkiti manusia malah mampu menjangkiti haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.


Apakah ubat mujarab untuk scabies (kudis buta) ini? 

Ubat mujarab, sapu sapu terus hilang penyakit kudis buta ni, daku tak tahu. Yang ku tahu, panduan bagaimana nak sembuhkan scabies, InshaAllah. 

Langkah awal sebaik saja nampak tangan anak ada tanda kemunculan jangkitan kudis buta, kena terus bawa anak ke hospital atau klinik swasta untuk rawatan. Ubat perlu segera di ambil kerana penyakit ini boleh menjangkiti orang lain di dalam rumah.

Nampak ada biji dengan air di dalamnya begini, jangan dibiarkan! 

tanda awal penyakit kudis buta 


 
Ubat-ubatan yang boleh membunuh kutu dinamakan scabicides ini selalunya dalam bentuk krim atau losyen. Doktor memang akan membekalkan ubat sapu ini setelah selesai buat pemeriksaan. Ubat ni tidak memedihkan dan dalam masa yang sama boleh bantu kurangkan rasa gatal juga. 

Losyen untuk kudis buta ini ada juga dijual di farmasi. Memang kena beli lebih untuk di sapu pada seluruh ahli keluarga lain yang masih belum dijangkiti. Ini sebagai langkah penjagaan awal. Jangan tunggu nampak ada tanda baru nak beli ubat dan sapu, sebaliknya terus sapu losyen ni awal-awal. 

Krim perlu disapu ke badan ahli keluarga (yang dijangkiti dan belum) pada seluruh tubuh kecuali muka dan tumpuan perlu diberikan di bahagian celah-celah jari tangan dan kaki. Biarkan lama (semalaman jika boleh) sebelum di basuh dan lakukan secara berulang selama beberapa hari. 

Untuk anak yang dijangkiti itu juga, daku suruh anak mandi air suam bercampur Dettol. Memang agak pedih, tapi secara tak langsung dapat bantu kurangkan kegatalan dan hama di badan tu. Jika tak ada Dettol boleh guna air garam. 
 

Kenapa kudis buta gatal hingga tahap boleh bernanah?

Hama (Sarcoptes scabiei) untuk penyakit kudis buta ini mendapat sumber makanan dari darah yang dihisap dari mangsanya. Ia seperti serangga yang akan membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luar kulit manusia setelah hinggap padanya. 

Hama ini tidak boleh hidup lebih dari 48jam-72jam tanpa sentuhan dari manusia tetapi ia mampu hidup sehingga lebih dari sebulan jika berjaya memasuki kulit manusia. Telur-telur akan menetas menjadi kutu dan hidup selama 30 hari.

Bayangkan bila dah selesa tinggal di bawah kulit, hama itu akan membiak dengan bertelur, makan dan minum sambil terus beranak pinak dan kemudian berak di bawah kulit kita. Hasil dari najis hama serta tindak balas kulit itu telah menyebabkan kesan rasa gatal yang teramat sangat! 

cara hama membiak di bawah lapisan kulit 



Apakah tanda-tanda sudah dijangkiti?


i. Pada awalnya ia kelihatan seperti tompokan ruam kecil warna merah 

ii. Seterusnya, ruam itu akan jadi biji-biji lebih besar, berair dan bernanah. 

iii. Jika digaru, kawasan jangkitan akan jadi semakin merebak ke bahagian tubuh badan lain.

iv. waktu malam, cukup susah nak tidur kerana gatal yang teramat sangat! 

Bagaimana cara nak hilangkan hama kudis buta ini dengan cepat?

Petua mencegah dan elak scabies (kudis buta) ini ada kaitan dengan penjagaan kebersihan dan untuk matikan hama kudis buta ini, perlukan sedikit tugas yang penting dan perlu dilakukan! 

Ini adalah panduan cara rawat scabies mengikut pengalaman peribadiku sendiri. 

1. Setelah dapatkan ubat dari klinik, kudis yang ada nanah dipecahkan (guna kapas lembut), nanah itu pula dipicit keluar dan permukaannya di sapu dengan Dettol. Biarkan sekejap kemudian terus sapu ubat yang diberi doktor.

2. Tak tunggu lama, terus asingkan semua pakaian anak yang telah dijangkiti dari pakaian orang lain. Pakaian anak yang dijangkiti kudis buta ini tidak boleh disekalikan dengan ahli keluarga lain. 

3. Semua pakaian harian anak yang dibawa balik dari asrama, daku rendam dengan Dettol dan air panas kemudian di basuh. Walau pakaian tu dia dah basuh semasa di asrama, tetap rendam dan basuh semula sekali lagi. Terus buat begini hingga dia sembuh! Jika nak berjimat, pakaian kudis buta rendam dengan air garam pun boleh. 

4. Untuk ahli keluarga yang lain, pakaian kami turut di rendam dengan Dettol dan air panas menggunakan baldi yang berasingan. Masa basuh, semuanya dilakukan secara berasingan juga. Untuk pakaian ahli keluarga yang tidak dijangkiti, boleh buat untuk tempoh jangka masa sebulan lebih kurang.  

5. Alas tidur seperti tilam, toto dan bantal dijemur bawah matahari terik untuk bantu matikan hama kudis buta ini. Cadar dan selimut perlu di rendam dengan air panas dan Dettol kemudian dibasuh. 


6. Perabut dan tempat tidur dibersihkan dengan vakum. Mana yang boleh lap, daku lap dengan Dettol. Sofa sama yang digunakan dengan individu yang ada kudis buta ini boleh meningkatkan risiko mendapat kudis buta juga tau. 

7. Semua pintu dan tingkap di buka supaya cahaya matahari boleh masuk untuk elakkan kelembapan dalam rumah. Hama ni suka tempat yang lembap. 

8. Barangan, tuala, pakaian dan apa saja milik anak yang telah dijangkiti, semuanya diletakkan pada sudut yang lain. Untuk barangan jarang guna, daku masukkan ke dalam beg plastik dan biarkan selama seminggu. 

 

APA ITU KUDIS BUTA (SCABIES) ? Ubat dan Cara Merawat Kudis Buta

Kenapa anak di asrama sering mendapat penyakit kudis buta?

Antara sebab musabab kenapa anak atau kanak-kanak ini sering mendapat penyakit kudis buta adalah :

  • berkongsi tuala mandi
  • main di tempat yang kotor seperti tempat berselut dan sebagainya
  • tidak mandi dengan bersih menggunakan sabun dan lain-lain

Apakah makanan pantang untuk kudis buta?

Hindari makanan yang boleh memberi reaksi alergi. Makanan memang bukan penyebab untuk penyakit kudis, tetapi kulit yang sudah dijangkiti dengan rasa gatal yang teruk, akan semakin melarat jika makanan tidak dijaga dengan baik. 

Mengikut nasihat orang tua, antara jenis-jenis ikan pantang dan makanan lain bagi mereka yang ada alami penyakit gatal kulit adalah :

  • ikan kembung
  • ikan pari
  • ikan bawal hitam
  • ikan cencaru 
  • ikan tongkol
  • makanan laut (sotong, udang, kerang)
  • telur
  • kekacang



Berapa lama kudis buta akan sembuh?

Kudis buta mengambil masa yang agak lama untuk sembuh. Apabila mendapat jangkitan berkenaan, ia akan menembusi lapisan kulit manusia dan disebabkan itu agak lambat untuk baik. 

Untuk anak kedua ku itu, ambil masa berbulan juga untuk baik sepenuhnya. Mujurlah dia pulang untuk cuti sekolah panjang hujung tahun masa tu, dapatlah diikhtiarkan semuanya hingga sembuh. 


PENTING :

- dari kecil, amalkan sikap TIDAK BOLEH BERKONGSI TUALA pada semua anak-anak. Ini penting supaya bila mereka besar, mereka tahu perkara ini penting, tak boleh buat sama sekali. 

- kanak-kanak yang dijangkit kudis buta perlu elakkan diri dari pergi ke taska, tadika, sekolah. 

- ubat losyen sapu mesti guna untuk seluruh ahli keluarga termasuk yang belum dijangkiti. 

- ada terbaca perkongsian, ubat herba kudis buta boleh buat guna daum semambu tapi daku lebih fokus guna ubat moden di samping penggunaan Dettol untuk bantu matikan kuman. Untuk pesakit yang benar-benar teruk, tak tahan dengan gatal, boleh dapatkan suntikan kudis buta di hospital. 

- kuku tidak boleh dibiarkan panjang. Daku amalkan potong seminggu sekali untuk semua ahli keluarga pada hari yang sama.  

- ubat mujarab untuk kudis buta daku tak pasti kerana kudis buta ini setelah hilang, masih boleh berjangkit semula, sebab tu kena sentiasa amalkan kebersihan. Buat masa ni, alhamdulillah satu family okay. 

Anak yang telah dijangkiti tu, kena pesan berkali-kali supaya elakkan diri dari bermain cara bersentuhan dengan adik-adik yang lain. Memang kesian tak boleh nak peluk cium adik-adik tapi lagi kasihan jika adik-adik yang masih kecil , tiba-tiba dijangkiti dengan penyakit kudis buta ni.

krim sapu, beli lebih untuk ahli keluarga tak dijangkiti sekali guna


Dettol Untuk Kudis Buta - Dettol Brown Antiseptic Liquid

Inilah rupa Dettol untuk kudis buta. Dettol ni memang dah sentiasa ada di rumah, guna untuk pelbagai tujuan termasuk untuk cuci tempat luka. Dapatlah bantu hindari kuman dan bakteria kat tempat luka tu. Ada pelbagai saiz, boleh beli ikut kemampuan.

Dan kalau beli sekarang di Shopee, ada tawaran diskaun khas [ DI SINI].  Tapi masa untuk tawaran ni terhad, jadi siapa cepat dia dapatlah kiranya. 



Sejak berlakunya perkara ini, anak ke dua yang tinggal di asrama, kini dibekalkan dengan krim sapu sebagai pencegahan awal. Syukur alhamdulillah, semuanya dah baik. 

Pengalaman berdepan dengan scabies ini juga, walau sudah lama berlalu, secara tak langsung ianya telah membantu daku dan suami supaya lebih bersedia dengan kemunculan virus corona. 

Semoga perkongsian pengalaman termasuk panduan dan tips bagaimana untuk rawat kudis buta hingga sembuh ini dapat membantu ibu ayah di luar sana. 

Jumpa lagi di lain artikel. Assalamualaikum. 


4 comments for "Pengalaman & Panduan Rawat Kudis Buta Anak Hingga Sembuh "

  1. dulu masa kecik mmg ada kudis buta ni, selalu naik kat kaki. kaki buruk sgt :( sebaik dah besar dah ok tapi kulit sensitif huhu

    ReplyDelete
  2. Dah lama tak baca tak dengar pasal kudis buta ni. Sis sharing baru teringat smula. Yelah bahaya kan terutama dekat kanak2. Zaman dedulu mse kecik ada kwn2 yang kena. Mintak dijauhkan pd anak2 skrg. Tq sharing sis.

    ReplyDelete
  3. Anak sulung saya pulak ada masalah eczema dari kecik lagi sampai sekarang dah darjah 4. Macam-macam pakar dah bawak tapi sekejap je la lepas tu jadi balik. Harap dapat sembuh la kesian tengok bila cuaca panas sikit mula lah dia tak selesa.

    ReplyDelete