Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021 - Kisah Inspirasi Cikgu Hashimah Ikhlas Tabur Jasa Hingga Murid Menangis Terharu

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021 | Bakti seorang guru dalam mendidik anak bangsa sangat besar nilainya. Jasa mereka mendidik kita membuatkan diri menjadi seorang insan yang lebih berguna. Guru mendidik kita tanpa jemu tanpa mengharapkan sebarang balasan. Kerana itu, guru ini harus kita hormati dan kenang jasa mereka walaupun telah lama meninggalkan alam persekolahan. 
Menyedari betapa besarnya jasa seorang guru, McDonald's Malaysia telah meraikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 (AGI2021), sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan. Pengumuman semua pemenang telah dibuat pada 31 Mei 2021 yang lalu.
Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

McDonald’s Umum 25 Pemenang Untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Anugerah edisi kelima ini menerima lebih daripada 4,000 pencalonan dari seluruh rakyat Malaysia yang bermula dari 2 April sehingga 18 April 2021. Daripada pencalonan yang menonjolkan guru luar biasa di seluruh negara ini, 25 guru dipilih sebagai penerima anugerah.
Anugerah tahunan ini bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf guru yang melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki demi menghasilkan impak berpanjangan kepada pelajar. Kini, anugerah ini telah memasuki tahun kelima penganjurannya dengan menerima lebih 4,000 pencalonan daripada rakyat Malaysia sejak 2 April hingga 18 April 2021 dan seramai 25 orang guru luar biasa telah dipilih sebagai penerima anugerah.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata tahun ini pihaknya menerima pelbagai kisah menarik mengenai guru-guru yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau 'go the extra mile' untuk memupuk minda generasi muda dan membina asas kukuh yang akan membentuk masa depan mereka. Kisah-kisah yang diterima menceritakan dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi guru-guru dalam melaksanakan tugas harian mereka, sama ada besar atau kecil yang membentuk keseluruhan profesion mereka.
Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Menurut Azmir, banyak pencalonan tahun ini mengisahkan kekuatan dan ketabahan para guru dalam mendepani keadaan pandemik semasa, dengan menerapkan kreativiti dan kesungguhan untuk terus berhubung dengan pelajar mereka serta memastikan supaya tidak ada pelajar yang tercicir dalam pelajaran. Ini termasuk mewujudkan persekitaran yang interaktif dan menyediakan alat yang mencukupi untuk pelajar ketika mereka belajar dari jarak jauh. 
"Kisah-kisah ini hanyalah sebahagian daripada pengorbanan besar dan dedikasi golongan pendidik. Banyak persiapan dan buah fikiran diperlukan untuk menyampaikan idea-idea baharu, seperti bahan pengajaran yang berkesan untuk pembelajaran jarak jauh, dan pada masa sama mengekalkan minat anak-anak kita. Ini adalah tanggungjawab besar, dan guru-guru yang kita raikan hari ini menggalas tugas berat ini dengan bersemangat dan sepenuh jiwa raga,” kata Azmir.
Para penerima anugerah dipilih oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil-wakil dari McDonald's, Kementerian Pendidikan, dan media. Kisah-kisah pencalonan untuk 25 penerima anugerah boleh didapati di : www.mcdonalds.com.my/bm/anugerahguruinspirasi/winners/2021
Penerima anugerah dipilih oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil dari McDonald's, Kementerian Pendidikan dan media. Kriteria pemilihan dalam mengenalpasti guru yang dipilih termasuklah meningkatkan prestasi akademik para pelajar, menggunakan kaedah pengajaran yang inovatif dan berfikir di luar kotak, melaksanakan kerja yang diluar daripada tugas untuk membantu pelajar dan perubahan positif pelajar kesan daripada pengajaran dan pembelajaran oleh guru terhadap pelajar.

Setiap daripada 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 menerima hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil pengiktirafan, sementara pencalon guru tersebut menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

Tahniah aku ucapkan pada semua 25 pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s untuk 2021 ini. Sebelum ini aku ada ceritakan tentang kisah inspirasi Cikgu Safarman, Cikgu Mazelan dan Cikgu Norasma. Kali ini, aku mahu berkongsi kisah inspiraisi Cikgu Hashimah yang telah diumumkan sebagai salah seorang  penerima AGI2021 yang lalu.

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Kisah Inspirasi Cikgu Hashimah - Ikhlas Tabur Jasa Hingga Murid Menangis Terharu 

Seorang peramah dan disenangi semua guru, inilah ciri utama yang ada pada Puan Norhashimah Binti Abdul Rahman ini. Cikgu Hashimah mengajar di SMK Putri Saadong yang tesergam indah di Bukit Marak, Kelantan. Cikgu Hashimah mengajar subjek Sejarah. 

Cikgu Hashimah merupakan seorang guru yang aktif dan sering dijadikan inspirasi oleh guru-guru yang lain. Guru ini juga telah pernah menyandang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2019 berserta banyak lagi anugerah lain. 

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Pada luaran mungkin Cikgu Hashimah ini nampak biasa saja seperti guru-guru yang lain, tetapi di sudut dalamannya, Cikgu Hashimah mempunyai niat yang sangat ikhlas. Kasih sayangnya terhadap murid membuatkan Cikgu Hashimah sanggup berbuat apa saja asalkan muridnya berjaya. Salah seorang murid yang sangat terkesan dengan kebaikan guru ini adalah Muhammad Afiq Aiman Bin Talik. 

Bertindak Seperti Seorang Ibu Yang Penuh Kasih Sayang 

Muhammad Afiq Aiman dibesarkan dalam keluarga yang agak susah dan itu dapat dilihat sendiri oleh Cikgu Hashimah. Hari demi hari guru ini sentiasa mengikuti perkembangan pelajar-pelajarnya termasuk Muhammad Afiq dan ini membuatkan Cikgu Hashimah kenal dengan sikap anak didiknya. 

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Persis seorang ibu yang ikhlas berbuat apa saja, Cikgu Hashimah melayan anak muridnya dengan penuh kasih sayang secara sama rata. Namun, keadaan kesihatan Muhammad Afiq yang memerlukan  rawatan susun saringan Talasemia telah membuatkan guru ini tampil untuk membantu. 

Walau hanya bergelar seorang guru, beliau sanggup berkorban masa untuk menghantar pelajar itu untuk rawatan susun saringan Talasemia ketika masih disekolah ke klinik setelah pelajar memberitahu batas pergerakan yang dilalui untuk bergerak dan berulang alik untuk rawatan setiap 3 bulan. 

Tidak hanya itu, ketika beliau masih mengajar Sejarah, beliau selalu menghantar pergi dan pulang dari kelas tambahan malam kerana pelajar tersebut berjalan kaki dari sekolah ke rumah. Beliau turut mencalonkan pelajar tersebut sebagai anak angkat sebuah kedai buku untuk mendapat buku rujukan dan modul secara percuma menjelang SPM 2018. 

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Muhammad Afiq Pernah Mahu Kuburkan Impian Tapi Cikgu Hashimah Tampil Hulur Pertolongan 

Habis SPM pelajar berjaya yang bernama Muhammad Afiq ini telah mendapat tawaran untuk menyambung pengajian ke matrikulasi namun kekangan kewangan selagi lagi membataskan niatnya. Setelah mendapat keputusan SPM, Muhammad Afiq ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Kelantan yang terletak di Pasir Puteh. 

Setelah memberitahu akan khabar tawaran pengajian ke matrikulasi kepada keluarga, malangnya nasib ketika itu, keluarga tidak mampu menyediakan dan menyempurnakan bayaran yuran serta kelengkapan lain untuk meneruskan pengajian kerana ibu dan ayah cuma bekerja menjual roti canai di tepi jalan sahaja. 

Namun, setelah diceritakan kepada Cikgu Hashimah, selang beberapa hari selepas itu, guru ini telah memberikan sejumlah wang yang secukupnya untuk pelajar ini membayar yuran dan membuat persediaan untuk menyambung pengajian.

Sanggup Jual Gelang Emas Bantu Murid , Pelajar Terharu Hingga Tahap Menangis 

Siapa yang tidak terharu jika ada orang lain yang sanggup berkorban segalanya untuk diri kita. Begitulah yang dirasai oleh Muhammad Afiq saat dirinya diberikan wang untuk membayar yuran untuk sambung pengajian. Keadaan keluarga yang tidak mampu membuatkan Muhammad Afiq ingin mengalah tetapi tidak untuk Cikgu Hashimah.

Wang dihulur tanpa balasan dan ia bukannya dari simpanan sebaliknya dari 1 daripada 2 utas rantai tangannya. Ya, jika pada hari-hari biasanya ada 2 utas gelang di tangan, kini salah satu dari gelang itu tidak ada lagi disarungkan di pergelangan tangannya. Tapi Cikgu Hashimah tidak mempedulikan itu semua sebaliknya tetap nekad untuk masa depan anak muridnya. 

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Kejayaan pelajar ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti membuatkan Cikgu Hashimah berasa sangat gembira. Harta dunia boleh dicari ganti tapi peluang untuk lanjutkan pelajaran jarang-jarang datang sekali. 

Bukan setakat itu sahaja, sepanjang Muhammad Afiq belajar di SMKPS sehinggalah berada di univerisiti juga, guru ini masih tidak bosan untuk memberikan sedikit wang saku untuk kegunaan pelajarnya ini pada waktu-waktu sukar. 

Nasihat Cikgu Hashimah “Afiq, belajar rajin-rajin. Nanti bila dah bekerja suatu hari nanti, tolonglah keluarga”. Jadi, mulai saat itu lah pelajar ini tidak pernah berputus asa untuk sentiasa berusaha belajar dan menamatkan pengajian di matrikulasi. 

Pengorbanan Diteruskan Tanpa Ada Rasa Menyesal

Setelah tamat pengajian di matrikulasi, sekali lagi pelajar ini mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dan kali ini di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dengan penuh berani, tanpa pengetahuan sesiapa, Cikgu Hashimah terus berunding sendiri dengan pihak kaunseling, pengetua serta pihak sekolah untuk mendapatkan dan menghimpunkan sumbangan untuk pelajar ini membayar yuran dan menyediakan kelangkapan untuk pergi meneruskan pengajian di Tanjung Malim, Perak. 

Saat dinanti pun tiba, dan Muhammad Afiq sekali lagi terkejut hingga tahap menangis dihadapan guru ini tatkala Cikgu Hashimah menghulurkan kepadanya satu sampul dokumen bersaiz sederhana besar.  

Pada awalnya dikira itu hanya dokumen sebaliknya itu merupakan hasil sumbangan pihak sekolah untuk pelajar ini terus menyambung pengajiannya. Di sampul surat itu turut tertulis,

"Afiq, selamat belajar rajin-rajin. Semoga berjaya dunia akhirat. Love you : Cikgu Shimah" 

Dan saat itu jua, pelajar ini dapat melihat tiada lagi 1 utas rantai tangan yang dahulunya sering dipakai guru itu. Buat kali kedua, Cikgu Hashimah sanggup kehilangan hartanya demi untuk bantu pelajarnya terus mendapat pendidikan di tangga yang lebih tinggi.  

Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021

Saat tanya apakah perasaan apabila diumumkan sebagai pemenang, Cikgu Hashimah menjawab, "Saya berasa  sungguh terkejut dan terharu. Terkejut kerana saya tak menyangka saya antara 25 pemenang daripada 4000 penyertaan dari seluruh negara. Anugerah ini adalah di luar jangkaan semata-mata. Tak pernah terfikir akan menang. Saya terharu kerana inilah anugerah paling bermakna buat saya. Apa yang dilakukan adalah ikhlas dari hati namun saya bersyukur kepada Allah SWT kerana McDonalds menganugerahkan anugerah yang terhebat ni kepada saya. Terima kasih McDonalds."

Anugerah ini adalah anugerah paling manis dan terindah dalam hidup saya dan tidak mungkin saya lupakannya sampai bila-bila. Anugerah ini sememangnya menjadi pembakar semangat untuk saya terus mendidik dan membantu pelajar -pelajar saya agar lebih berjaya pada masa akan datang. Semoga kerjaya saya sebagai guru menjadi saham terbaik untuk saya têrus membantu anak bangsa untuk berjaya.  Terima Kasih MacDonalds Malaysia,  Tn Haji Ramli bin Dollah. Pengetua SMK Putri Saadong. Saudara Afiq tersayang. Warga Sekolah , sahabat-sahabat dan keluarga.

 

Cikgu Hashimah Tak Ubah Seperti Bidadari Syurga 

Sekali lagi aku ucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021. Tahniah juga kepada semua guru-guru yang dicalonkan untuk AGI2021. Semua jasa dan semangat guru-guru mendidik pelajar-pelajar mereka akan dikenang sampai bila-bila. 

Untuk pihak McDonald's Malaysia tahniah kerana berjaya menganjurkan anugerah yang sangat bermanfaat ini. Secara tidak langsung kita semua dapat kenal dan kenang kisah guru yang penuh inspirasi ini. Secara tak langsung ia juga dapat memberi inspirasi, iktibar dan pengajaran untuk orang lain di luar sana. 

Tahniah Cikgu Hashimah.

Terima kasih McDonald's Malaysia



1 comment for "Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2021 - Kisah Inspirasi Cikgu Hashimah Ikhlas Tabur Jasa Hingga Murid Menangis Terharu "

  1. tahniah cikgu, tahnia McD juga ! Bagus ada kolab mcm ni

    ReplyDelete