McDonald's Malaysia Bayar Zakat Perniagaan Tertinggi RM2 Juta Untuk Tahun 2021
McDonald's Malaysia Bayar Zakat Perniagaan Tertinggi RM2 Juta Untuk Tahun 2021 | Bila bercerita tentang zakat perniagaan, McDonald's Malaysia tidak pernah culas. Dalam erti kata lain, setiap tahun McDonald's Malaysia tidak alpa untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Berbeza dengan tahun-tahun yang lalu, kali ini McDonald's Malaysia membayar zakat perniagaan berjumlah RM 2 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia.
McDonald's Malaysia membayar sebanyak RM2 juta zakat perniagaan bagi tahun 2021 diserahkan kepada 14 negeri dalam Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan McDonald's Malaysia bertarikh di Putrajaya Presint 2 pada 16 November 2021 yang lalu.
McDonald's Malaysia menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada agensi pungutan zakat negeri di seluruh negara untuk rakyat Malaysia sendiri khususnya.
Pembayaran zakat bagi tahun 2021 ini merupakan jumlah terbesar semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar Zakat perniagaan lima tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary menyaksikan sumbangan Zakat oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar kepada wakil daripada kesemua 14 Agensi Pungutan Zakat.
“Sumbangan Zakat adalah penting dalam menyokong kebajikan sosial masyarakat yang kurang berkemampuan. Dengan pembayaran Zakat perniagaan oleh McDonald’s Malaysia, diharap ia dapat membantu Agensi Pungutan Zakat di seluruh Malaysia untuk menyediakan bantuan kewangan kepada masyarakat yang memerlukan, serta meneruskan penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan pendidikan,” kata Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan merupakan nilai teras
McDonald’s, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan Zakat. Inisiatif sebegini tetap menjadi komitmen syarikat kami sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang sebanyak RM2 juta dalam Zakat yang juga merupakan jumlah tertinggi kami sehingga kini bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
“Sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ia adalah tuntutan keagamaan untuk kami membayar zakat untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan. Zakat adalah salah satu daripada lima rukun Islam, dan sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi di lebih 300 restoran di seluruh negara ini, menyantuni komuniti di tempat kami beroperasi sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berharap sumbangan kami kepada semua 14 negeri akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam keadaan hidup semasa yang penuh dugaan ini,” tambah Azmir.
Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP. Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan. Selain itu, pada bulan Oktober 2020, McDonald’s Malaysia juga telah menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor.
Sijil-sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat melengkapi Pensijilan Halal yang sedia dimiliki
McDonald’s Malaysia.
“Halal di McDonald’s Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal, hingga kebersihan restoran dan program komuniti yang syarikat turut serta,” kata Azmir.
McDonald’s Malaysia merupakan antara restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Penglibatan aktif syarikat ini dalam pelbagai program Halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST, dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.
Untuk memastikan standard Halal yang ketat sentiasa dipatuhi di McDonald’s Malaysia, syarikat ini telah membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013 untuk memantau pematuhan sepenuh secara menyeluruh.
Sebagai salah seorang pelanggan setia McDonald’s Malaysia, semestinya aku turut merasa puas hati dengan keprihatinan pihak McDonald’s. McDonald’s adalah rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara.
Sepanjang 39 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 300 restoran di seluruh negara. McDonald’s Malaysia mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya di seluruh negara dengan mewujudkan pelbagai peluang perkembangan karier, latihan dan pembangunan.
McDonald’s Malaysia sememangnya bukan setakat menghidangkan makanan dengan penuh keriangan, akan tetapi turut mengambil kira apakah bakti yang boleh disalurkan kepada masyarakat seluruh negara.
Semoga McDonald’s Malaysia terus maju jaya dan aku doakan semoga Zakat yang dibayar McDonald’s Malaysia ini dapat membantu agensi pungutan zakat di seluruh negara untuk menyediakan bantuan kewangan kepada mereka-mereka yang memerlukan.
Aamiin
Post a Comment for "McDonald's Malaysia Bayar Zakat Perniagaan Tertinggi RM2 Juta Untuk Tahun 2021"