Bendera Malaysia Jalur Gemilang, Maksud Warna Dan Lambang | Setiap negara ada benderanya. Bendera merupakan simbol untuk sesebuah negara. Bendera ini membawa lambang penghormatan, martabat, daulat, kepimpinan dan penyatuan rakyat negeranya.
Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Tak terkecuali negara kita Malaysia.
Keunikan bendera kita, ia turut membawa asal usul sejarah negara ini sendiri yang bermula sebagai Tanah Melayu bersama kedudukan golongan Diraja yang memerintah sejak dulu.
Bendera Malaysia Jalur Gemilang
Ciri-Ciri Penting Yang Terdapat Pada Bendera Malaysia
1. Warna bendera Malaysia putih merah biru kuning.
2. Terdapat jalur merah dan putih melintang yang sama ukuran lebarnya.
3. Jalur pada bendera Malaysia bermula dengan warna merah pada bahagian atas dan berakhir dengan warna putih pada bahagian bawah.
4. Jalur-jalur ini menandakan kewujudan negeri-negeri yang bersatu untuk membentuk sebuah negara Malaysia.
5. Ada anak bulan dan bintang.
Jumlah Negeri Malaysia Membentuk Bendera Jalur Gemilang
Berapa jalur bendera Malaysia?
Bendera Malaysia mempunyai sebanyak 14 jalur. Jumlah jalur ini bagi mewakili jumlah negeri yang ada di dalam negara Malaysia.
Malaysia
Kedah
Pahang
Terengganu
Perlis
Selangor
Negeri Sembilan
Johor
Perak
Kelantan
Pulau Pinang
Melaka
Sabah
Sarawak
Kini Malaysia di tambah dengan tiga Wilayah Persekutuan.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Wilayah Persekutuan Labuan
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Sejarah Bendera Malaysia Jalur Gemilang
1. Pemilihan Reka Bentuk Bendera
Sebelum mengecapi kemerdekaan, Majlis Raja-Raja telah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk mereka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu. Hasil dari perbincangan kata sepakat diambil untuk mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan bagi memilih reka bentuk bendera untuk kerajaan yang bakal dibentuk.
Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan.
Hasilnya pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir.
Keputusan berpihak kepada ciptaan bendera karya Encik Mohamed bin Hamzah telah dipilih sebagai pemenang. Beliau merupakan arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor pada waktu itu.
2. Pindaan Dibuat Pada Bendera
Reka bentuk bendera yang dimenangi itu, telah dibuat beberapa pindaan pada bahagian anak bulan dan bintang. Asalnya bulan sabit dan bintang ini berwarna putih.
Hasil pindaan ditukar kepada warna kuning. Pindaan ini telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.
Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.
Reka bentuk bendera tersebut turut mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Sejarah Bendera Malaysia
Pengibaran Bendera Persekutuan Tanah Melayu Buat Kali Pertama
Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor. Bendera ini dikibarkan seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang diperdengarkan buat kali pertama kepada umum.
Pindaan Bendera Dibuat Sekali Lagi
Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur.
Penambahan jalur ini dilakukan sebaik sahaja Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada tarikh 16 September 1963. Penambahan tiga jalur ini bagi mewakili tiga negeri tersebut.
Pada bulan Ogos 1965, Singapura dikeluarkan dari Malaysia namun jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada padanya.
Sejarah Perubahan Nama Bendera
Pada awalnya, bendera ini dikenali sebagai bendera Malaysia.
Setelah berkibar sejak tahun 1950, akhirnya nama bendera Malaysia ini ditukar kepada nama panggilan yang baru. Penukaran nama ini dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Bilakah Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan nama Jalur Gemilang?
Pengisytiharan nama Jalur Gemilang ini dilakukan pada 31 Ogos 1997. Nama Bendera Malaysia diubah kepada Jalur Gemilang pada tahun 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara ke-40.
Maksud Gemilang pada bendera Malaysia
Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang.
Bendera Malaysia Jalur Gemilang itu pula memberi maksud bahawa jalur ataupun bendera itu adalah simbol kecemerlangan negara Malaysia dan rakyatnya dalam melibatkan apa jua bidang kehidupan.
Sama ada di dalam atau di luar negara, ada sifat kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk mengangkat imej negara, sesungguhnya sentiasa diberi petunjuk dan juga pedoman yang terang lagi jelas.
Maksud Gemilang Pada Bendera Malaysia
Maksud Warna Bendera Malaysia Jalur Gemilang
1. Warna Merah
Warna merah pada bendera Malaysia membawa maksud gagah berani dan dan kesediaan dalam mengharungi segala jenis cabaran demi negara yang tercinta.
2. Warna Putih
Warna merah pada bendera Malaysia membawa maksud suci murni. Simbol kesucian dan keluhuran ini dikaitkan dengan hati rakyat dalam mengangkat nama negara ke persada dunia.
3. Warna Biru
Warna biru melambangkan apa?
Untuk pengetahuan, warna biru pada bendera Malaysia membawa maksud perpaduan.
Perpaduan ini dikaitkan dengan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain. Rakyat harus bersatu padu dan berusaha dalam mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam negara.
4. Warna Kuning
Warna kuning pada bendera Malaysia membawa maksud Diraja. Warna kuning pada anak bulan dan bintang ini secara khususnya melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang Berperlembagaan.
Maksud Bulan Bintang Dalam Bendera Malaysia
Maksud anak bulan dan bintang pada bendera Malaysia melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Pecahan bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan.
Lirik Lagu Negaraku Yang Selalu Mengiringi Bendera Malaysia
Negaraku Malaysia Lyrics
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup bersatu dan maju,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita selamat bertakhta.
Video Lagu Negaraku Dinyanyikan (Jalur Gemilang Song)
Sejarah Ringkas Lagu Negaraku Rasmi
Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Irama ‘Negaraku’ dipetik daripada irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu “Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles.
‘Negaraku’ menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air. Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari kemerdekaan.
Latarbelakang Pencipta Lirik Lagu Negaraku
Lirik lagu Negaraku ditulis oleh Encik Saiful Bahri bin Elyas. Encik Saiful Bahri merupakan pencipta lirik lagu Negaraku, lagu kebangsaan negara Malaysia.
Beliau telah memenangi RM1,000 yang kerajaan tawarkan ketika itu untuk mencipta seni kata dengan menggunakan irama lagu kebesaran negeri Perak.
Saiful Bahri telah menggubah lagu kebangsaan dalam tiga versi iaitu versi penuh, versi ringkas dan versi pendek. Saiful Bahri dilahirkan di Payakumbuh, Sumatera Barat pada 19 September 1924 dan bertugas di Filem Negara Malaysia.
Beliau meninggal dunia di Tokyo, Jepun pada 26 Disember 1976 ketika usianya 52 tahun. Allahyarham meninggalkan isteri Puan Noraini Ahmad serta lima orang anak dan jenazahnya dituntut isteri pertamanya untuk dikebumikan di Jakarta, Indonesia.
Selain daripada Lagu Negaraku, Saiful Bahri juga merupakan penggubah lagu-lagu yang membangkitkan jiwa anak watan seperti lagu Malaysia Berjaya, Barisan Kita, Samudra Raya, Gagah Perkasa dan Muhibbah.
Kesimpulan
Itulah dia maksud bendera Malaysia, Jalur Gemilang. Melalui perkongsian di atas kita dapat tahu sejarah berkaitan bendera Malaysia, maksud wana bendera Malaysia, maksud anak bulan dan bintang, maksud jalur dan lain-lain yang berkaitan.
Bendera Malaysia Jalur Gemilang wajib kita hormati. Jangan dipijak, dibakar dan dibuat tidak endah kerana negara ini melambangkan kehormatan dan martabat negara kita.
Tanggal 31 0gos 1957 menandakan berakhirnya jajahan kuasa asing ke atas Tanah Melayu. Susahnya saat itu hanya Allah SWT saja yang tahu.
Aku sendiri pernah mendengar kisah zaman pemerintahan dulu termasuk kehadiran penjajah dari mulut mak dan arwah ayah. Seksanya, takutnya, sedihnya waktu itu ayah cerita dengan penuh sedih duka. Masih ada kenangan-kenangan yang arwah ayah tetap tak boleh lupa.
Walau arwah ayah aku hanya rakyat biasa tanpa kuasa tapi dia cuba sedaya upaya untuk mempertahankan nyawa dan maruah keluarga untuk masa depan anak cucu cicitnya. Tanpa ayah, aku tak akan ada di tempat sekarang.
Baru tahu sejarah dan reka bentuk asal Jalur Gemilang. Macam tu rupanya
ReplyDeleteya. inspirasi dr bendera johor ngan uthmaniyyah. sis pun baru tahu byk benda lepas godek2 baca sejarah bendera malaysia ni. :)
Delete