Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PANDUAN LENGKAP DAN 10 RESEPI MENU MAKANAN UNTUK BAYI 6 BULAN DAN KE ATAS

Sekarang baby Kasih sudah berusia 5 bulan maka bulan hadapan dah boleh start berinya makanan pejal yang pertama. Disebabkan sudah punya pengalaman sebegini dengan lima anak sebelum ini, maka daku takde lah susah hati sangat untuk jalankan 'operasi' memberi makanan pejal pertama pada bayi seperti Kasih. Namun, mungkin ada ibu ayah lain di luarsana yang masih keliru dan was-was tentang cara dan kaedah yang betul untuk dilakukan berkaitan dengan pemberian makanan pejal pertama pada si manja ni.



Takpe, di sini ku kongsikan beberapa info yang telah digunapakai sejak anak pertama hingga kini anak ke enam. Semoga ianya dapat membantu memberi sedikit sebanyak info tentang apa yang perlu dan wajib ibu ayah tahu untuk bantu bantu si manja menerima makanan pejal pertamanya dengan betul.

Sebelum berkongsi tentang panduan untuk beri makanan solid pertama pada bayi, suka untuk ku ingatkan beberapa perkara penting yang perlu di beri perhatian oleh setiap ibu ayah. Antaranya adalah :

PENTING !! JANGAN BERI MAKANAN SOLID SEBELUM USIA BAYI 6 BULAN !

Ingat ya ibu ayah, jangan jangan jangan jangan jangan!! Jangan beri makanan pejal pertama ini pada bayi selagi usianya belum mencapai usia 6 bulan walaupun bayi dah menunjukkan tanda dan reaksi terhadap makanan. Terus terang, daku sendiri sering di beri pendapat oleh orang lain bahawa bayi sudah okay untuk di beri makanan ketika usianya 4 bulan tetapi daku sama sekali tak follow pendapat tu. NO!



BAYI SUDAH TUNJUK REAKSI...

Memang diakui, bayi yang sudah berusia antara 4 hingga 5 bulan akan mula menunjukkan reaksi terhadap makanan. Sebagai contoh, mereka akan menunjuk minat terhadap apa saja makanan yang sedang ibu ayah makan. Mereka juga akan sering memasukkan tangan ke mulut dan menghisapnya dengan kuat seperti sedang lapar.

Kasih sendiri sekarang asyik hisapppp je jarinya tu. Bila orang lain sedang makan sambil mendukungnya, dia akan mula tarik makanan tu nak masukkan ke mulutnya sendiri. Namun, selagi belum berusia 6 bulan, hanya  boleh berikan dirinya dengan susu sahaja. so sejauh mana pun Kasih 'teringin' nak makan, tetap tak akan beri selagi usianya belum genap 6 bulan.

Bagi diriku, apabila bayi yang belum mencapai usia 6 bulan menunjuk minat terhadap makanan, itu adalah seperti sebuah 'peringatan' untuk si ibu supaya perlu segera menyiapkan diri kerana masa untuk baby menerima makanan pejal akan bermula tidak lama lagi. Masa ini, jika ibu belum punya pengalaman maka segeralah mencari info dan sebagainya supaya dapat memberi makanan pejal yang terbaik untuk si manja masing-masing.


KENAPA TIDAK BOLEH BERI BAYI MAKAN SEBELUM USIA 6 BULAN?

Makanan pejal tidak boleh diberikan sebelum umur 6 bulan kerana:
• Bayi belum dapat mengunyah dan menggigit dengan berkesan
• Makanan yang paling seimbang dan lengkap adalah susu badan.
• Meningkatkan risiko alahan makanan dan jangkitan kuman.
 Usus belum matang dan terdapat risiko kecederaan 
 Usus boleh menjadi tersumbat, bengkak dan pecah
• Buah pinggang belum cukup matang untuk mengendalikan beban berlebihan dengan makanan pejal.

ANTARA KES YANG SUDAH PERNAH TERJADI :(



APAKAH TANDA UNTUK BAYI YANG SUDAH LAYAK ?

Apabila bayi telah mencapai usia 6 bulan, maka anda bolehlah mula memberi makanan solid yang pertama ini padanya terutama apabila si comel anda sudah mula menunjukkan tanda-tanda seperti di bawah ini seperti :
• Boleh mengawal lidah dan pergerakan tengkok dengan lebih baik.
• Mula membuat pergerakan mengunyah ke atas-ke bawah.
• Boleh duduk sendiri dengan sokongan yang minimum.
• Suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut.
• Menunjuk minat pada apa yang anda makan.




10 PANDUAN UNTUK MEMBERI MAKANAN PEJAL PERTAMA PADA BAYI


1- Perkenalkan bahan makanan satu- satu secara berperingkat 
Maksudnya, jangan terlalu teruja nak beri semua jenis makanan pada anak. Walau di sediakan dengan cara yang betul dan sesuai untuk di makan oleh bayi namun cara yang tepat adalah perlu biasakan dulu makanan terbabit selama beberapa hari sebelum di tukar dengan menu yang baru dan ibu haruslah sabar menambah bahan makanan secara berperingkat.

2- Tentukan menu makanan yang ingin diberikan
Cara yang terbaik adalah dengan membuat catatan samada dalam bentuk nota biasa mahupun carta atau jadual supaya mudah untuk menentukan apakah bahan makanan yang ingin diperkenalkan kepada bayi. Almaklumlah sekarang ni terdapat banyak resepi yang boleh di beri. Dalam masa yang sama mudah untuk ibu ingat kembali apakah bahan makanan telah diperkenalkan pada bayi sebelum itu. Dengan cara ini kita dapat memantau setiap bahan makanan yang telah di beri pada bayi sejak awal.

3- Lewatkan makanan yang bersifat alergenik 
Pemberian makanan yang bersifat alergenik atau mudah menimbulkan reaksi seperti soya, telur, gandum, ikan, dan makanan yang berasaskan kacang mungkin boleh dilewatkan sedikit, terutamanya jika bayi anda mempunyai masalah eczema, alahan, atau mempunyai adik beradik yang pernah mengalaminya. Namun, jika anda telah melihat keserasian bayi dengan makanan-makanan yang lain, tiada masalah untuk anda memberikan makanan ini.
4- Masak dengan kaedah yang sihat
Kaedah yang terbaik untuk masak makanan bayi adalah dengan cara mengukus dan merebus. Jika bubur nasi, boleh guna kaedah merebus dan bayi makanan lain seperti buah-buahan yang boleh di jadikan sebagai puree boleh menggunakan kaedah mengukus. Lepas tu barulah di kisar dan di tapis supaya menjadi betul-betul halus untuk disesuaikan dengan keadaan usus bayi yang masih 'muda'

5- Jangan letak sebarang minyak, perasa, gula dan garam 
Kita semua tahu yang minyak, perasa gula dan garam kurang elok untuk kesihatan. Maka cara yang terbaik adalah supaya tidak meletakkan sebarang rasa tambahan ini ke dalam makanan bayi. Dengan cara ini juga kita bukan hanya boleh mengawal tahap kesihatannya malah kita juga dapat mengajar bayi untuk mengenal rasa sebenar asli yang Allah SWT ciptakan untuk setiap makanan terbabit.

6- Berikan makanan yang bersih, segar dan selamat
Makanan yang terbaik untuk si manja adalah makanan yang di masak sendiri. Dengan cara ini kita dapat memastikan bahawa setiap bahan yang digunakan adalah bersh, segar dan selamat. Namun di sebabkan ada ramai ibu yang berkerja maka terjadilah pilihan makanan segera seperti bijian halus untuk bayi dan sebagainya demi untuk memudahkan cara, menjimatkan masa dan tenaga. Namun, sebenarnya ibu-ibu masih boleh memberi makanan yang sama seperti di masak oleh tangan sendiri dengan adanya lambakan produk seumpama ini di pasaran. Antara produk yang di maksudkan itu adalah makanan bayi organik jenama BABY SADOO.

7- Jangan paksa bayi untuk makan
Sebagaimana kita orang dewasa punya makanan yang kita suka dan tidak suka, begitu juga dengan baby. Di tambah lagi, baby baru je nak kenal rasa dunia makanan jadi semestinya kita tidak boleh memaksanya untuk makan. Cuba dan beri, jika baby suka maknanya makanan itu kena dengan seleranya dan boleh di masak lagi nanti di lain masa. Jika baby tidak suka keluarkan cadangan makanan terbabit dari jurnalnya dan perkenalkan baby dengan menu lain yang baru. Biarkan juga bayi menentukan sendiri kuantiti yang dapat di terimanya pada satu-satu masa, jangan cuba di sumbat juga bayi dengan makanan hingga habis.




8- Cetuskan Suasana Masa Makan Yang Seronok
Pastikan suasana makan antara waktu yang amat menyeronokkan. Mungkin kita boleh ajak baby makan di kawasan halaman sambil ambil angin petang... dan kita juga boleh menyuapkan makanan sambil berbual dan mengagahnya. Dengan cara ini baby akan sentiasa teruja menunggu masa untuk makan bersama ibu ayah tersayang. Biar comot takpe asalkan baby dapat melalui pengalaman menikmati makanan yang sedap dan seronok.

9- Pantau penerimaan bayi terhadap makanan 
Apabila memperkenalkan sesuatu menu makanan, ianya perlu di teruskan selama 4 hingga 7 hari hanya dengan memberi menu yang sama saja. Ini bukan untuk mendera bayi supaya berasa bosan dengan makanan terbabit sebaliknya untuk memantau samada bayi terbabit akan mengalami masalah yang tidak sepatutnya ataupun tidak. Sekiranya bayi menunjukkan tanda cirit-birit, ruam, muntah dan sebagainya maka segera hentikan menu terbabit kerana ada kemungkinan bayi anda arlergik dengan makanan tersebut. Ingat! Berikan satu-satu resepi saja sebelum bertukar resepi yang lain.

10- Jangan lewatkan jadual masa makan
Jadual masa makan anak perlu diselaraskan dan di ikut dengan betul. Berikan makanan pejal 2 – 3 kali sehariIni bagi memastikan pola pemakanannya terjaga dan betul. Cadangan masa terbaik untuk beri bayi makan adalah :

  • Sekali pada waktu pagi : antara jam 9 - 10 am
  • Sekali pada waktu petang : antara jam 4 - 5 petang


CARA MENYUAP MAKANAN BAYI DENGAN BETUL

Cara yang betul adalah dengan menggunakan sudu plastik yang kecil dan nipis supaya bayi boleh mengambil makanan dengan bibir  supaya tidak hanya menjilat sudu dengan lidah.

Cara yang kurang tepat untuk dilakukan....

Cara yang betul dan sepatutnya..... 

10 RESEPI MENU MAKANAN UNTUK BAYI USIA 6 BULAN

Mulakan dengan makanan pejal yang dikisar menjadi puri bersama susu ibu. Buah-buahan dan sayuran yang sesuai termasuk epal, pisang, labu, lobak merah, kentang, bayam dan brokoli. Antara 10 menu yang boleh disediakan untuk santapan bayi adalah....

1- Puri buah-buahan (6m+)
Bagi buah-buahan yang lembut seperti pisang dan betik, boleh dilecek dan diberi terus. Untuk buah-buahan yang keras seperti pir dan epal, boleh dikukus sebelum dikisar halus menjadi puri.  Caranya, 1 biji epal merah, dibersihkan, dikupas, dibuang kulit, bijinya dan dipotong kepada saiz sederhana kemudian tuang 1 cawan air ke dalam periuk dan didihkan. Masukkan buah epal ke dalam periuk. Tutup dan renehkan selama 10 minit atau sehingga buah epal menjadi lembut. Lenyek epal dengan menggunakan garpu sehingga menjadi puri. Sesetengah ibu menambah susu untuk mencairkan dan menambah nasi untuk memekatkan, semasa mengisar. 

Antara buah-buahan yang boleh di buat sebagai puri ini adalah seperti pisang, mangga manis, epal, lai, pear, betik, aprikot dan kurma. Setelah pasti buah tersebut dapat di terima, kita boleh campurkan dua jenis buah supaya mendapat rasa yang lebih sedap. At least, takde la anak boring kan?

Selain daripada itu sayur juga boleh di jadikan sebagai puri. Antara makanan kategori sayur yang boleh dijadikan sebagai puri ini adalah seperti ubi kentang, ubi keledek, lobak merah (Carrot), kobis bunga, labu, bayam, dan brokoli.
2- Bubur Nasi Kosong (6m+)
Makanan pertama yang selalu ku berikan pada anak adalah bubur nasi kosong. Ini kerana makanan ruji masyarakat Malaysia adalah nasi kerana itu daku nekad untuk mulakannya dengan bubur nasi putih yang kosong.



Cara penyediaan ada dua cara.... pertama ualls boleh masak nasi seperti biasa kemudian ambil sedikit nasi tersebut dan kisar hingga betul-betullll halus kemudian tapis. Cara kedua, ualls masak nasi dengan air yang lebih (nasi lembik). kemudian bolehlah di kisar sehingga betul-betul halus dan tapis. Daku guna cara ke dua kerana baby menyusu badan. Kalau dia x nak makan, baru letak sikit susu perah ke dalam nasi tersebut supaya ada campuran susu yang sering diminumnya hari-hari. Jumlah untuk masak adalah sebanyak 1⁄4 cawan beras berserta 1 3⁄4 cawan air.


3- Bubur Nasi Semanis Kurma (7m+)
Masakkan 4 sudu beras bersama secawan air berserta dengan sebiji kurma saiz besar. Jika kurma kecil jadikan dua biji. Kemudian biarkan kurma itu masak bersama bubur tersebut. Setelah itu bolehlah di kisar sehingga betul-betul halus dan tapis. 
gambar credit to : Diari Ashmira

4- Bubur Nasi Berlauk Ikan Bilis  (8m+)
Bubur nasi boleh juga dikisar bersama ikan bilis. Bagi ikan bilis, buangkan kepala dan tahinya terlebih dahulu dan pastikan ianya lembut dengan merendamnya sebelum digoreng atau disangan (goreng tanpa minyak). Ia kemudiannya dikisar kering dan dicampurkan ke dalam bubur nasi. Ikan bilis boleh juga direbus terus bersama bubur nasi, kemudian kisar terus bersama bubur nasi tersebut sebelum di beri pada si manja.



5- Sup Stok Ayam Dan Ikan Bilis (8m+)
Untuk menambah rasa kepada bubur atau makanan bayi, ibu boleh cuba sediakan stok ayam dan ikan bilis ini. Caranya adalah dengan menggunakan 800gram tulang ayam bahagian dada, 1 1⁄2 cawan ikan bilis dan 4 cawan air. 
Cara memasaknya adalah dengan membersihkan tulang ayam dan buangkan lemak, kulit dan darah beku. Buang kepala dan isi perut ikan bilis. Didihkan 4 cawan air dan masukkan tulang ayam dan ikan bilis. Sebaik sahaja mendidih, senduk keluar segala kotoran pada permukaan sup sehingga sup itu jernih. Reneh ayam selama 45 minit atau sehingga sup itu tinggal separuh daripada jumlah asal. Tapis dan biarkan sejuk.
Sup ayam ini boleh ditambahkan ke dalam bubur si manja. Kemudian baki sup ayam boleh disimpan dalam peti sejuk. Stok ayam boleh disimpan dalam peti sejuk selama seminggu ataupun dibekukan sehingga sebulan. Tetapi sebelum membekukan stok ayam, asingkan mengikut jumlah yang diperlukan untuk setiap hidangan.


6- Stok Sayuran (6m+)
Bahan yang digunakan adalah 1⁄2 cawan lobak merah, kupas kulitnya, 2 biji ubi kentang bersaiz sederhana dan dipotong dadu, 1 cawan daun sawi yang dipotong kasar serta 1 1⁄4 cawan air. 
Cara memasaknya pula, pertama sekali basuh sayur-sayuran dengan air yang bersih. Didihkan air dan rebuskan ubi kentang dan lobak sehingga lembut. Kemudian masukkan daun sawi dan masak selama 3 minit. Setelah itu, tapis air rebusan sayur-sayuran. (Tekan sayur-sayuran dengan menggunakan sudu untuk mengeluarkan lebihan air). Stok sayuran ini boleh di tambah ke dalam bubur nasi.


7- Bubur Nasi Berlauk Ayam dan Bayam (7m+)
Masak 1⁄4 cawan beras berserta 1 3⁄4 cawan air. Didihkan air. Masukkan beras dan sedikit isi dada ayam tanpa kulit dan kacau dari semasa ke semasa. Reneh selama 10 minit dan teruskan mengacau. Apabila sudah hampir masak, masukkan sedikit bayam dan ketepikan. Sebelum diberi kepada si manja, kisar dulu bubur itu hingga halus dan sila tapis jika bayi baru berusia 6 bulan.




8- Sup carrot campur labu (7m+)
Potong sebiji carrot saiz sederhana dan juga 1/3 labu (saiz kecil). Kukus semuanya sehingga lembut. Setelah lembut dan empuk, lenyek dengan garfu. Setelah itu panaskan sedikit cawan stok ayam dan satukan semuanya sebelum di dalam periuk. Setelah hampir masak, masukkan sedikit daun sup / daun bawang. Sebelum di hidang, sila kisar hingga halus betul-betul halus terlebih dahulu.



9- Bubur Nasi Bayam , Kuah Ikan Manis (10m+)
Ini adalah antara resepi yang ku masak untuk anak. Caranya adalah dengan menggunakan  1⁄4 cawan beras berserta 1 3⁄4 cawan air. Caranya masukkan air berserta beras dan masak seperti ingin masak nasi lembut biasa. Setelah hampir masak, masukkan bayam. Di dalam periuk yang lain, didihkan air kemudian masukkan seulas bawang merah, setengah inci halia, sebatang serai dan dua ketul ikan tenggiri. Setelah masak, kisar ikan berserta dengan nasi dan makanlah bersama kuah ikan tadi. 


gambar credits : YAMIE ONLINE 

10 - Nasi Ayam Campur Labu (8m+)
Gunakan  1⁄4 cawan beras berserta 1 3⁄4 cawan air. Caranya masukkan air stok ayam berserta beras dan sedikit isi dada ayam kemudian masak seperti ingin masak nasi lembut biasa. Apabila nasi sudah hampir masak, masukkan ayam cincang berseta beberapa potongan labu. Setelah masak, bolehlah di kisar. Tapis jika mahu.




Jika teliti semula pada 10 resepi di atas, terdapat pelbagai jenis bahan yang di perkenalkan antaranya beras, kismis, ikan bilis, ayam, bayam. ubi keledek, carrot dan apple dan lain-lain lagi. Penambahan bahan masakan juga akan bertambah setelah mengenalpasti bahawa bahan terbabit sama sekali tidak memberi apa-apa kesan alergik pada bayi. 

Semakin lama boleh memberi bayi dengan bahan makanan yang baru supaya dirinya dapat merasa dan dalam masa yang sama kita sebagai ibu dapat melihat penerimaan tubuhnya terhadap bahan yang telah dijadikan sebagai makanan tersebut. Sebelum di beri makan, ibu tentukan samada hanya perlu kisar ataupun perlu di tapis juga, sesuai dengan keadaan semasa bayi masing-masing.

  • kisar hingga betul-betul halus DAN tapis
  • kisar halus TIDAK tapis
  • kisar biasa

CARA PENYIMPANAN MAKANAN BAYI

• Makanan yang anda hendak sejuk beku haruslah ditutup dengan baik untuk mengelakkan ia daripada kering. Ia juga membantu mengekalkan kualiti makanan.

• Bekas membuat ais kiub cukup bagus untuk asingkan mengikut kuantiti yang betul
• Simpan di dalam bahagian sejuk beku yang boleh membekukan makanan daripada -18°C ke 0°

Akhir sekali, ingatlah sebagai ibu ayah kita kena paham yang tugas kita memberi makanan kepada bayi bukan semata-mata hanya untuk mengenyangkannya supaya si manja dapat cepat membesar tetapi dalam masa yang sebagai kita perlu memantau dan memahami penerimaan tubuh badannya terhadap makanan yang di berikan. 

Masa inilah untuk kita tahu apa yang anak kita boleh makan, apa yang dia suka, apa yang dia tidak suka,apa yang dia alergik dan lain-lain lagi. Kerana itu, kita tidak boleh terlalu teruja untuk memberinya makanan supaya seiring dengan apa yang kita makan. Be slow and steady.... just follow the flow.... and make it a new great experiance for us with our lovely little one.

BIAR COMOT - BIAR KOTOR - JANJI KENYANG DAN HAPPY.... BETUL TAK MOMMY ??





6 comments for "PANDUAN LENGKAP DAN 10 RESEPI MENU MAKANAN UNTUK BAYI 6 BULAN DAN KE ATAS"

  1. Terima kasih sis awa share tips ni nanti ada anak boleh rujuk. Ni

    ReplyDelete
  2. gigih oii mek mase amzar 6 bulan buat puree. hari hari blend buah, blend nasi. dh masuk 9 bulan start bg finger food. nampak ok boleh la suap nasi yg lembik lembik. skang dah sthun ok la, gigi pun dh ad

    ReplyDelete
  3. Makanan atau puree yang telah disejuk bekukan boleh bertahan berapa lama di dalan peti sejuk?

    ReplyDelete
    Replies
    1. berdasarkan pengalaman sndiri.... jika simpan dalam bahagian peti sejuk biasa tak boleh lebih dr 48 jam dan jika simpan dlm bahagian beku tak boleh lebih dr sebulan :)

      Delete