Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kenangan Hadiri Hari Anugerah Kecemerlangan 2018 Untuk Angah !

Kenangan Hadiri Hari Anugerah Kecemerlangan 2018 Untuk Angah | Alhamdulillah, sebagaimana tahun-tahun yang lepas , kali ini Angah berjaya menjadi salah seorang daripada pelajar terbaik di sekolahnya lagi. Sebenarnya memang dah boleh di jangka cuma agak terkejut kerana kali ini Angah berjaya menjadi pelajar ke 4 terbaik di sekolah untuk seluruh pelajar tahun 6. Tahniah sekali lagi Angah!!



Artikel ini mama tulis khas untuk Angah supaya dapat di simpan sebagai salah satu memori terindah di dalam hidup Angah memandangkan tahun ini adalah tahun terakhir Angah menjadi pelajar di sekolah tersebut. Jika Angah ingat, Angah bersekolah di sini sejak Angah di usia tadika lagi. Ketika itu kita baru berpindah dari utara ke sini dan untuk bersekolah di sekolah itu adalah atas pilihan Angah sendiri selepas puas kita mencari sekolah yang sesuai dek kerana diri Angah sendiri yang amat cerewet. Mujurlah... mujur Angah dapat terima sekolah ini tatkala kali pertama mama bawa Angah melawat kawasan. 

Di sekolah ini juga Along pernah bersekolah dulu. Kala itu, setiap kali pada hari bersekolah mama sering pesan pada Along untuk tolong tengok-tengokkan Angah dek kerana sikap Angah sendiri yang amat memilih kawan. Masih mama ingat lagi tatkala Along sering pulang ke rumah memberitahu yang cikgu panggil Along kerana Angah. Kata Along cikgu berpesan supaya tegur Angah yang agak culas di dalam menyiapkan kerjarumah. 



Angah tak sama dengan anak mama yang lain. Angah tidak suka sama sekali membuat perkara yang Angah rasakan tidak suka untuk di buat. Angah lebih suka bergerak aktif di dalam bidang sukan berbanding dengan akademik namun rezeki Angah kerana Allah SWT memberi kelebihan akal yang cerdas dan bijak sejak daripada Angah kecil lagi.

Namun, sebagai ibu yang sentiasa sayangkan Angah ini, mama sentiasa berharap moga Angah akan menjadi seorang insan yang lebih berjaya di depan hari walaupun hakikatnya tika di rumah mama sering menegur Angah itu dan ini. Mama menegur demi untuk Angah tidak leka yang dunia ini hanya sementara saja. Tiba masa kita semua akan kembali di jemput Ilahi jua.


Angah pasti tahu tahap kesusahan kita kan? Angah pasti boleh ingat tatkala abah tak punya pekerjaan selama beberapa bulan dulu kan? Kala itu keluarga kita hanya makan nasi berlaukkan telur semata-mata tiap hari dan tika itu juga anak-anak mama ( termasuk Angah) hanya boleh ke sekolah dengan wang saku sebanyak RM1 saja seorang. Kala rakan sebaya bawa beringgit-ringgit namun anak-anak mama mampu survive hanya dengan sekeping not warna biru selama 5 hari seminggu, mama bangga... mama bangga dengan kalian semua wahai anak-anak mama!

Tiada yang tahu kesusahan kita saat itu termasuk ahli keluarga kita yang lain dan mama serta abah amat bersyukur kerana anak-anak mama tidak pernah meminta-minta, tidak pernah memohon simpati, tidak pernah merasa dengki, dan juga tidak pernah marah pada mama dan abah walau ketika itu mama dan abah tidak dapat memberikan kesenangan sebagaimana anak-anak orang lain. Agaknya ini adalah berkat asuhan abah pada kita semua yang jangan sesekali mengamalkan sikap suka meminjam dan berhutang sejak daripada hari pertama kalian semua dilahirkan dulu.


Mama mana tak sayangkan anak! Menitik airmata mama tatkala lihat abah hanya boleh hulurkan RM1 seorang untuk di bawa ke sekolah setiap hari tika tu. Dek kerana itu saat orang lain sibuk hantar anak masing-masing ke tuisyen terbaik mama dan abah hanya boleh memohon maaf kerana kami tidak mampu. Tatkala mama abah minta maaf kerana hanya mampu sediakan nasi putih bersama telur setiap hari , dengan senyum anak-anak mama balas balik dengan kata tidak mengapa. Yang pasti mama rasa sangat bertuah kerana di hadiahkan anak-anak mama ini yang ramai tapi cekal.

Namun, sebagaimana yang sering mama katakan, setiap ujian Allah SWT terhadap kita pasti ada hikmahnya. Yang penting anak-anak mama semuanya kena tahu yang kita sama sekali tidak boleh meminta minta dan tidak boleh memohon simpati pada sesiapa melainkan DIA. Walau ada yang mencemuh kita dengan alasan mama sibuk berkerja menghadap laptop siang dan malam namun dalam masa yang sama mama amat gembira kerana anak-anak mama semuanya memberi sokongan pada mama. 


Akhirnya berkat kesabaran kita bersama, abah sudah mula mendapat kerja semula dan mama minta pada anak-anak mama moga terus sokong abah kalian. Yang penting ikut jejak langkah abah yang sama sekali tidak memilih kerja meskipun dia mempunyai kelulusan. Ikut jugak langkah abah yang sering membantu isterinya ( mama kalian) menguruskan hal rumah demi untuk memberi mama masa untuk tidur sekurang-kurang 4 ke 5 jam sehari ini selepas terpaksa bersengkang mata di hadapan laptop saban masa. 

Bukannya tidak ada rakan yang menegur mengapa perlu terlalu ekstrem untuk mama berkerja ketika itu, tapi mengapa perlu mama ceritakan semuanya kerana yang berhak untuk mama adu adalah pada DIA Yang Maha Berkuasa. Rakan hanya mampu bertanya tetapi belum tentu dia boleh merasa apa yang kita rasa kerana dia bukannya Tuhan yang dapat selam perasaan kita yang sebenar-benarnya. Terus terang mama tidak kisah dengan apa yang orang lain kata kerana bagi mama mereka tidak akan boleh mengerti apa sebenarnya yang sedang kita lalui. Untuk cemburu tidak sesekali, kerana  bagi mama merekalah yang perlu cemburu pada mama kerana mempunyai 6 orang anak yang sekental ini. 


Pada Cikgu Mie yang ada di dalam foto ini, terima kasih banyak kerana sudi faham kondisi keluarga kami di ketika itu. Budi baik Cikgu Mie yang sudi faham hingga terus memberi sedikit kelonggaran untuk pembayaran berkaitan sekolah dulu amat kami hargai namun tatkala Cikgu bertanya mengapa tidak beritahu dari awal, sekali lagi kami minta maaf kerana kami bukan orang yang suka memohon simpati. Saat Cikgu memberitahu yang anak-anak kami sama sekali tidak bercerita apa-apa, secara tidak langsung itu telah menjadi bukti bahawa kami selaku ibu dan ayah telah berjaya mendidik anak-anak supaya saling hidup dalam keadaan susah dan senang bersama ibu dan ayah mereka di dalam apa jua kondisi sebagai salah satu ujian dari Allah Taala.


Seperkara lagi, mama ucapkan terima kasih juga pada Angah kerana sama sekali tidak bersungut tatkala abah perlu ke tempat kerja tanpa menghadiri hari bahagia untuk Angah ini. Tapi Angah tahu kan yang abah amat bangga dengan Angah! Along dan adik-adik juga amat bangga dengan Angah. 


Nah terimalah tanda cubitan dari mama. Bukan kerana mama tidak sayang tetapi kerana itu adalah sikap sebenar mama dalam mendidik anak-anak mama. Lembut mama ada tahapnya, sabar mama ada limitnya dan garang mama ada puncanya. Walau mama tampak lembut namun di dalam lembut itu ada ketegasan cuma sikap sebenar mama ini hanya anak-anak saja yang tahu kan? 


Yang penting, ingat!! Ingat baik-baik yang kita semua perlu sentiasa susah senang bersama. Kita semua perlu bersatu bersama. Kita semua jangan bercerai perasaan. Kala susah biarlah kita susah bersama dan kala senang biarlah kita senang bersama. 

Ingat juga!! Jangan sesekali minta budi orang, jangan juga minta ikhsan orang, jangan juga minta simpati orang kerana kita adalah satu family yang kuat!! Setidaknya kita perlu bersyukur kerana Allah SWT hanya menguji kita dengan kepayahan wang pada ketika itu berbanding dengan kepayahan dari segi kesihatan. Jangan kalian malu untuk mengakui semua ini kerana pengalaman lalu itulah yang telah mengajar kita untuk menjadi insan-insan yang lebih baik.


Mama juga faham kehendak anak-anak mama yang ingin memiliki segalanya, ingin bersosial dengan rakan, ingin ke sana sini berkawan tetapi terpaksa berada di rumah untuk bantu mama jaga adik-adik terutamanya Along kerana Along sudah di didik dari awal yang dia akan menjadi pelindung dan penjaga pada semua anak-anak mama tatkala mama dan abah telah tiada nanti. 

Mama juga faham dengan keinginan Along dan Angah yang sudah remaja ini, mahukan itu dan ini persis remaja lain namun syukur sangat anak-anak mama faham dengan hanya menerima apa yang mama dan abah hulur tanpa ada sebarang penolakan.


Kini keluarga kita dah kembali bersinar semula. Allah SWT dah pun makbulkan doa kita. Inilah yang dikatakan setiap berlaku itu ada hikmahnya. Jika sebelum ini kita terpaksa bersesak tapi kini kita telah mula melangkah keluar dari himpitan itu. Syukur alhamdulillah. Benarkan pesan mama...? Jika kita sabar, jika kita redha, pasti akan di beri ganjaran. Pedulikan mulut orang yang sama sekali tidak kenal siapa kita kerana mulut orang yang baik-baik hanya ada di tempat yang baik kerana itu walau apa yang terjadi mama dan abah tetap usaha untuk bayar yuran kelas agama untuk anak-anak mama hadiri selama 5 hari seminggu itu kerana mama dan abah ingin kalian sentiasa jejakkan kaki ke masjid saban hari.

Bercerita tentang masjid, berusahalah untuk menjadi seorang hamba Allah SWT yang lebih baik. Mama dan abah tidak punya ilmu agama setinggi Himalaya kerana kami sendiri masih dalam usaha perbaiki diri untuk lebih mendekatkan diri padaNya. Kerana itu seringkali mama berpesan jika bertemu dengan sesiapa yang tidak bersolat janganlah terus dijatuhkan hukuman. Selidik dulu mengapa dan kenapa. Jika kebetulan tidak solat kerana tidak pandai maka bantulah dia secara perlahan tanpa ada sebarang sikap prejudis. 


Akhir sekali, untuk Angah tahniah mama ucapkan.... untuk Along terima kasih banyak sudi jadi klon mama untuk bantu jaga adik-adik, untuk abah tiada calon lain yang paling terbaik untuk menjadi penjaga kepada kami ber-7 melainkan kamu... pada baki anak mama yang 4 orang lagi.... kala ini kalian masih kecil untuk mengerti semua ini namun cubalah untuk fahami segalanya menerusi apa yang mama abadikan kat sini tatkala kalian sudah besar nanti.

Bersahabatlah dengan mereka yang sudi menerima dan menghargai kita. Sentiasa hormatlah orang yang lebih tua walau hanya berbeza sehari saja usia. Bersedekahlah pada yang lebih susah walau kala itu hanya ada beberapa ringgit di dalam poket kita. Merendah dirilah walau dalam diri kita ada ilmu yang tinggi. Tetaplah menjaga rasa sabar dalam hati setinggi yang boleh kerana sabar itulah cermin yang boleh memperlihatkan tahap ketinggian iman di dalam diri seseorang. Jangan juga lupa untuk terus melindungi Kasih Sufi yang bakal memegang tampuk maruah terbesar di dalam keluarga kecil kita ini.


Selepas ini besar kemungkinan Angah akan mula berjauhan dari mama dan mama mohon Angah jaga diri baik-baik, cuba buat yang terbaik dan andai hasil adalah sebaliknya maka redhailah saja daripada perlu bermusuhan dengan sesiapa yang akan menyakitkan hati Angah itu. Mama berpesan begini bukan untuk orang pijak Angah tetapi supaya Angah kenal yang tidak semua orang yang Angah jumpa itu akan ikhlas sepenuh hati dengan Angah. Jika nanti Angah ada bertemu dengan orang sebegini, cuba berbaik dulu dan jika sudah tidak mampu untuk bersabar lagi maka jauhkanlah diri daripada terus sakit hati. Biarkanlah mereka dengan pemahaman mereka yang penting Angah tahu untuk buat keputusan yang dirasakan betul berpandukan apa yang telah kita lalui selama ini.

Ingat ya Angah akan pesan-pesan mama... Mama coretkan di sini sebagai peringatan.. Setidaknya anak-anak mama yang seramai 6 orang ini akan dapat membacanya semula sebagai panduan saat mama telah tiada nanti. Jika mama pergi dulu tolonglah jaga abah kalian dengan baik kerana dia adalah seorang insan yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan harta untuk kita semua. Tahniah sekali pada semua anak-anakku kerana kalian mampu memahami realiti kehidupan walau masih di ambang usia yang muda. 

Salam sayang peluk cium dunia akhirat ,
- MAMA -






4 comments for "Kenangan Hadiri Hari Anugerah Kecemerlangan 2018 Untuk Angah !"

  1. mengalir air mata nukilan sis awa ni... rindu ma n aboh kat kg tertiba ingat pergorbanan dia masa dulu2

    ReplyDelete
  2. Semoga angah Dan anak2 awa yg lain terus Maju Jaya.. alhamdulillah brrkay didikan baik mak ayahnya

    ReplyDelete
  3. Allhamdulillah... tahniah angah... mesti la angah anak soleh nak baik contoh pd adik2 yg lain...

    ReplyDelete