Siapa yang tak nak sihat? Siapa juga yang tak nak cantik? Dek kerana faktor untuk menjadi semakin sihat dan cantik dalam satu masa inilah telah menyebabkan ramai orang terutama di kalangan wanita yang sangat suka untuk beli dan makan Vitamin C.


Vitamin C salah satu vitamin yang agak penting untuk tubuh badan kita. Ini kerana selain untuk tujuan kecantikan dan kesihatan salur darah, vitamin C juga sudah terbukti dapat meningkatkan sistem pertahanan badan yang seringkali terdedah kepada radikal bebas setiap hari.

Ketahui Info Asas Mengenai Vitamin C Sebelum Mengamalkannya

Pertama sekali , kita perlu tahu yang vitamin ini bersifat larut air. Kita juga perlu tahu yang vitamin ini bukanlah sejenis ubat ataupun penawar yang boleh menyembuhkan penyakit, sebaliknya vitamin C ini lebih kepada makanan tambahan ( supplement) yag akan dapat membantu meningkatkan kualiti kesihatan, mencegah dan mengurangkan risiko penyakit. Vitamin C ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti kapsul, tablet, tablet kunyah, tablet effervesen ataupun cecair.



Sebelum mengambil apa-apa produk untuk memberikan sumber Vitamin C pada tubuh, kita sepatutnya ambil tahu dulu apakah sebenarnya cara yang betul dan terbaik untuk mengamalkan vitamin C ini. Cara yang betul sekaligus dapat memberikan kesan yang terbaik tanpa perlu membazir. Takde lah jadi isu nanti, kenapa orang lain guna sekejap saja dah nampak kesan tapi diri sendiri masih juga belum ada sebarang perubahan yang ketara.

13 Tips Cara Pengambilan Vitamin C Yang Betul Untuk Kesan Yang Terbaik Tanpa Perlu Membazir

Dah beli vitamin C mahal-mahal, jadi perlulah tahu apakah sebenarnya cara yang betul dan terbaik untuk dapat menikmati kesan selepas mengamalkan vitamin C ini pada tahap yang sebetulnya. Jadi, tak adalah terjadi sebarang isu pembaziran. Bukannya membazir terus buang tanpa di makan tapi membazir kerana telah membelanjakan wang dan masa untuk makan semuanya tapi tidak ada kesan ketara sebagaimana yang diharapkan.


Antara perkara yang perlu di ambil tahu sekiranya ingin mendapatkan khasiat terbaik daripada vitamin C ini adalah :

1. Vitamin C ni sangat sensitif dan boleh bertindakbalas dengan udara, air dan suhu. 
Cara terbaik ialah mengambil makanan yang kaya vitamin C dalam keadaan mentah seperti buah-buhan segar yang baru dipetik, kerana proses merebus atau mengukus makanan akan mengurangkan kualiti vitamin sehingga 25 %. 

2. Menyimpan buah atau sayur-sayuran dalam jangka waktu yang lama juga boleh mengurangkan atau menyebabkan kehilangan vitamin C yang terkandung di dalamnya. Jadi jangan di simpan lama-lama, ada baiknya beli dan terus nikmati.

3. Memasak sayuran selama 20-30 minit akan menghilangkan separuh daripada kandungan nutrisinya. Proses pemanasan juga turut mengurangkan kandungan Vitamin C. Separuh tu sama dengan 50%. Jadi jangan masak sayur terlalu lama. 



4. Dos harian Vitamin C yang dicadangkan untuk lelaki adalah sebanyak 90 mg manakala 75 mg untuk wanita. Bagi ibu hamil dan menyusukan pula, mereka memerlukan sekitar 85-120 mg sehari. 

5. Sekalipun kita memang memasukkan vitamin C dalam pemakanan seharian, tubuh kita ini sentiasa terdedah dengan radikal bebas yang akan menyusutkan dan menyebabkan kehilangan vitamin C yang sangat penting untuk menjadi pelindung kepada asakan patogen jahat dan jangkitan penyakit.

6. Elakkan mengambil beberapa jenis supplement yang lebih kurang sama fungsinya pada satu-satu masa. Ini untuk mengelakkan kekeliruan mengenai yang mana satukah yang sesuai dan yang mana satu tidak.


7. Ambil banyak –banyak vitamin atau suplemen pada satu-satu masa juga tidak digalakkan untuk mengelakkan beban yang berlebihan pada organ buah pinggang dan hati. Jadi, sediakan jadual pengambilan. Bahagikan secara teratur – untuk pagi, petang dan malam.
8. Bagi yang sedang makan ubat dan perlu bantuan suplemen untuk membantu meningkatkan kualiti kesihatan, disarankan untuk menjarakkan pengambilan ubat-suplemen sekurangnya-kurangnya 2 jam.
9. Pastikan minum air kosong dengan cukup sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk melancarkan proses metabolism dan penyerapan nutrisi.
10. Kurangkan pengambilan kafein seperti kopi dan teh. Kafein bersifat diuretic dan ia menyebabkan kekerapan buang air kecil. Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan penyerapan suplemen dan kita mungkin tidak mendapat kesan seperti yang diharapkan.


11. Fahami bahawa suplemen itu bukan ubat. Ia juga bukan penganti rawatan untuk mana-mana penyakit. Namun, tidak dinafikan juga bantuan suplemen turut membantu menjayakan rawatan. Jadi jangan serta-merta meninggalkan ubat-ubatan sedia ada tanpa berbincang dengan doctor/ahli farmasi terlebih dahulu.
12. Disebabkan suplemen ini bukan ubat, maka kesannya agak lambat. Memandangkan sel-sel tubuh kita hidup antara 90-120 hari, disarankan untuk konsisten mengamalkan pengambilan suplemen sekurang-kurangnya 3 bulan untuk mendapat kesan optimum.
13. Akhir sekali, pastikan suplemen yang akan di ambil tu telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kelulusan dari KKM bermakna produk tersebut telah diuji dari segi keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.

Itulah serba sedikit info mengenai Vitamin C dan semoga dengan perkongsian ni dapat membantu menambahkan ilmu mengenai Vitamin C supaya lebih berjaya  mengambil vitamin C ini dengan lebih baik lagi berbanding sebelumnya.



Ohya, sebagaimana maklum vitamin C ni banyak dalam sayur dan buah-buahan. Korang sendiri suka makan sayur dan buah apa ye? Cer share kat ruangan komen tu.... terima kasih.



" Terima kasih banyak2 pada yang sudi tinggalkan jejak. InshaAllah saya akan pergi balas kunjungan anda semua nanti"