Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Info Lengkap Mengenai Bantuan Sara Hidup ( BSH 2019 ) - Adakah Ianya Berbaloi?

Assalamualaikum semua. Pejam celik tahun 2018 sudahpun berlalu dan daku rasakan bagai baru semalam daku melangkah masuk ke tahun 2018 tetapi hakikat sebenarnya telahpun setahun masa berlalu. Kini 2019 telah menjelma namun segala suka duka pada tahun 2018 akan tetap daku kenang sampai bila-bila. Jika di tanya apakah perancangan paling awal yang ingin ku lakukan untuk tahun ini? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan untuk cuba memohon Bantuan Sara Hidup yang bakal di buka permohonannya pada bulan Januari 2019 ini.


Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bantuan sara hidup 2019 ini? Siapakah sebenarnya yang layak memohon BSH 2019? Berapa pula jumlah yang boleh diperolehi? Daku juga pernah tertanya-tanya soalan yang sama dan dek kerana punya persoalan yang banyak itulah maka daku nekad untuk mencari seberapa banyak info yang boleh berkaitan dengan perkara ini. Mahu tanya apakah info yang ku dapat dan apakah pendapat peribadiku mengenai perkara ini? Mari teruskan pembacaan melalui artikelku ini.

Maksud Sebenar Bantuan Sara Hidup (BSH 2019)

Bantuan Sara Hidup ini sebenarnya merupakan satu bentuk pertolongan yang akan di beri oleh kerajaan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah B40 yang agak mengantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Dalam erti kata lain, bermula pada Januari 2019 sudah tidak ada lagi BR1M sebaliknya akan digantikan dengan BSH.


Permohonan dianggarkan bermula pada bulan Januari 2019 namun tarikh sebenar untuk boleh mula memohon masih belum diumumkan secara rasmi lagi. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk bersedia supaya dapat turut sama memohon apabila tiba masanya nanti. Yang pasti bantuan ini hanya layak untuk warganegara Malaysia yang sedang menetap di dalam negara sahaja! Jika kebetulan berpendapatan rendah tetapi menetap di negara jiran, harap maaf kalian sama sekali tidak boleh memohonnya.

Ohya menurut info lanjut lain yang ku baca, Bantuan Sara Hidup (BSH) ini tidak lagi memperuntukan sumbangan untuk mana-mana individu yang berstatus bujang dalam kategori usia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan RM2,000 ke bawah sebagaimana yang pernah dilakukan melalui BR1M suatu masa dulu. Dalam erti kata lain, bantuan ini benar-benar untuk mereka yang berkeluarga dengan jumlah pendapatan yang agak rendah.




Adakah Bantuan Sara Hidup Ini Berbaloi Untuk Dipohon?

Bagi pendapat peribadiku YA, bantuan BSH 2019 ini memang berbaloi untuk dipohon untuk orang yang kurang berkemampuan sepertiku. Malah daku sendiri memang berniat untuk memohon melalui nama suami memandangkan kami sendiri punya anak yang ramai untuk di tanggung. Apa tidaknya, anak yang masih bersekolah masih ada seramai 4 orang. Ramai okay. Inipun rasa bagai nak pengsan bila perlu sediakan semua barangan persekolahan termasuk yuran untuk semua anak.


Tahun ini juga rezeki agak berpihak apabila salah seorang anakku di terima masuk ke sekolah berasrama penuh tapi saat melihat semua keperluan yang perlu di beli hmmmm terus tertepuk dahi sendiri. Sebagai ibu dan ayah aku akan cuba bersama suami untuk sedaya upaya kami asalkan impian untuk anak untuk melangkah sehingga ke menara gading akan menjadi sebuah kenyataan.

Tetapi dalam masa yang sama, dengan adanya bantuan sebegini secara tidak langsung ianya amat berkesan untuk meringankan beban rakyat dari golongan yang kurang berkemampuan sepertiku. Manalah tahu nasib menyebelahi, dapatlah juga diringankan sedikit galasan bebanan kewangan di bahu daku dan suami untuk tahun ini.


Tidak Salah Untuk Memohon Tapi Pastikan Diguna Dengan Cara Yang Berhemah 

Jika dirasakan layak adalah tidak salah untuk memohon. Cuma apa yang perlu dipastikan adalah dengan menggunakan bantuan tersebut dengan cara yang berhemah. Wang yang diterima itu adalah dengan tujuan untuk membiayai perkara yang penting bukannya untuk berjoli itu dan ini. Andai ditakdirkan daku berjaya menerima bantuan ini, antara perkara yang akan ku lakukan dengan wang tersebut adalah seperti :

  • menjelaskan yuran persekolahan anak-anak supaya tidak tertunggak
  • membeli barangan persekolahan anak yang masih kurang
  • membeli stok makanan dengan kadar yang sepatutnya untuk kami sekeluarga
  • menjelaskan sebarang bil jika ada yang belum dijelaskan


Semua Ketua Isi Rumah Harus Mempunyai Pengetahuan Berkaitan Pengurusan Wang 

Inilah perkara yang paling penting untuk semua ketua rumah yang layak menerima bantuan. Tidak kiralah bantuan apa sekalipun tetapi jika ianya melibatkan wang maka ketua isi rumah haruslah mempunyai pengetahuan berkaitan dengan pengurusan wang supaya tidak tersalah belanja. Bantuan bukan untuk di joli tetapi untuk diguna ke atas perkara yang hakiki.

Daku paling risau andainya ada di kalangan ketua isi rumah yang bersifat penting diri. Akibatnya yang menjadi mangsa adalah anak dan isteri sedangkan si suami seronok berbelanja itu dan ini. Ya Allah minta dijauhkanlah dengan orang yang sebegini. Para ketua isi rumah harus sedar yang bantuan ini adalah untuk meringankan beban dan cara terbaik yang perlu dilakukan adalah dengan mencari kaedah tambahan lain untuk terus menambah pendapatan dan jangan lupa juga untuk mendidik ahli keluarga untuk lebih berjimat cermat.


Antara perkara yang boleh membantu meringankan lagi belanja keluarga adalah seperti:
  • berhenti segera daripada tabiat merokok
  • menanam sendiri sayur-sayuran di kawasan rumah untuk di makan
  • menyediakan bekal makanan untuk ke sekolah dan tempat kerja bagi mengelakkan makan di kedai
  • masak hanya sekadar cukup untuk mengelakkan pembaziran makanan
  • beli pakaian baru hanya sekadar perlu tanpa mengikut trend fesyen terkini
  • mengutamakan sifat kitar semula untuk barangan terbuang dan lama


Kesimpulannya, daku amat bersyukur dengan adanya bantuan sebegini. Korang turut berminat dengan Bantuan Sara Hidup BSH 2019 ini? Jika ya pastikan jangan terlepas peluang untuk turut sama memohon. Jika ada sebarang pendapat, boleh tinggalkan pada ruangan komen di bawah. Terima kasih.


2 comments for "Info Lengkap Mengenai Bantuan Sara Hidup ( BSH 2019 ) - Adakah Ianya Berbaloi? "