Resepi : Gulai Kuning Ikan Tongkol Bersama Nenas Dan Terung | Sejak berkahwin dengan orang Pantai Timur ni, secara tak langsung daku dah mula kena masak resepi ikan tongkol. Kenapa? Sebabnya orang pantai timur memang suka kari ikan tongkol. Kat sini di gelar sebagai 'ikan ayo' dan sering di makan bersama nasi putih dan juga nasi dagang.

Walaubagaimanapun, disebabkan daku ini berasal dari utara dengan penangan kari ala mamak-mamak maka daku ambil inisiatif sendiri untuk balancekan antara favourite suami dengan favourite sendiri. Senang cakap resepi ni kat tengah-tengah la. Suami boleh makan dengan puashati dan diri sendiri pun boleh makan dengan rasa lapang dada. Takde la nak kena masak berjenis lauk!


Cara terbaik yang ku gunakan adalah dengan memasak ikan tongkol ini dengan resepi gulai kuning dan untuk menambahkan lagi tekstur dan rasa daku tambahkan sekali dengan nenas dan juga terung. Masam masam manis gitu. 

Seperkara lagi, untuk gulai ikan tongkol pantai timur mereka akan rebus dulu isi ikan ni tau sebabnya supaya isi ikan sedikit keras bagi mengelakkan daripada hancur semasa di masak. Manakala untuk versi gulai utara pula ikan terus di masak begitu saja untuk tekstur yang lebih lembut. Haa kan dah pening tu! So fikir punya fikir daku masukkan terus saja supaya rasa yang ada di kuah daripada air manis nenas boleh meresap masuk ke isi ikan dengan lebih baik.


Alhamdulillah, setelah masak suami makan tak cakap apa. So kiranya lulus lah tu. Phewww.... Eh nak tahu bagaimana cara daku masak resepi Gulai Kuning Ikan Tongkol Bersama Nenas Dan Terung ni? Haa ni dia resepi dan cara... ada masa bolehlah di cuba.


Bahan-bahan:
1 kg ikan tongkol - bersihkan dan potong ikut citarasa
1/2 isi nenas - potong ikut citarasa (awa guna nenas manis size kecik je) 
1 batang terung - bersihkan dan potong ikut citarasa
1 kotak santan Ayam Brand™
1 keping asam gelugur
1 sudu makan rempah gulai ikan 
garam 
serbuk perasa (jika suka)
sedikit minyak untuk menumis
air secukupnya

Bahan kisar:
4 ulas bawang merah
1-2 ulas bawang besar 
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi (boleh kurangkan jika tak suka pedas)
1 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
1/2 inci halia

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak bersama rempah gulai ikan di dalam kuali/periuk.
2. Masukkan 1/3 santan kotak Ayam Brand™ bersama 1 1/2 cawan air diikuti dengan terung dan nenas. Kacau sebati.

3. Biarkan mendidih seketika kemudian masukkan isi ikan yang telah dibersihkan. 
4. Masak sehingga isi ikan menjadi separuh masak.

5. Setelah itu masukkan baki lebihan santan Ayam Brand™ yang ada, asam keping, garam dan juga serbuk perasa. Jika kuah terasa pekat boleh tambah air dan jika rasa terlalu cair boleh tambah santan lagi. (Ada baiknya beli santan lebih untuk backup)
6. Kacau supaya santan tidak pecah minyak sehingga isi ikan benar-benar masak dan bolehlah dihidangkan panas-panas.  

Itu saja... selamat mencuba..... dan selamat menjamu selera.... 





Terima kasih kerana membaca. Jangan lupa untuk follow blog ini dan jemput datang lagi di lain masa.