Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Rumah Ronad McDonald Kini Dengan Rasminya Sudah Sedia Menerima Tetamu

Rumah Ronad McDonald Kini Dengan Rasminya Sudah Sedia Menerima Tetamu  | Baru-baru ni, daku sempat menghadiri satu majlis yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan McDonald's Malaysia yang bertempat di Hospital USM Kubang Kerian Kelantan. 



Kalau nak tahu sebenarnya di waktu ini telahpun ada Rumah Ronald McDonald (RRM) kedua yang bernilai RM4 juta di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan. 

Pembukaan Rumah Ronald McDonald yang megah berdiri di Hospital USM ini turut menjadikannya sebagai Rumah Ronald McDonald kedua di Malaysia, selepas yang pertama dibuka di  Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Kuala Lumpur Kuala Lumpur pada tahun 1999. Dahulu Dahulu, hospital ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).


Rumah Ronald McDonald pertama yang telah dibina di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) Kuala Lumpur itu bakal menyambut ulangtahun ke-20 tidak lama lagi. Di peringkat global, Rumah Ronald McDonald oleh RMHC kini telah mencecah 370 buah di seluruh dunia. Wow! Hebat betul!




Sebagai salah seorang pelanggan setia McDonald's sudah semestinya daku turut ikut berbangga. Siapa sangka walau hanya berperanan sebagai salah satu jenama restoran khidmat segera di Malaysia tetapi terbukti McDonald's telah memandang lebih jauh dari itu. Ini bukan satu projek main-main dan ini juga bukan satu projek sia-sia. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana telah dipermudahkan segalanya. 


Majlis Disempurnakan Oleh YB Dato' Mohamad Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan


Makin teruja rasa hati ni bila dapat lihat Dato’ Mohd Amar secara berhadapan. Kehadiran beliau sedikit sebanyak telah dapat memberi gambaran betapa gembiranya warga Kelantan dengan kewujudan Rumah Ronald McDonald ini. 

Dalam ucapannya, beliau turut berkata, "Kerajaan Negeri Kelantan amat gembira melihat inisiatif sebegini yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia. Konsep rumah penginapan sementara seperti ini amat unik kerana ia membolehkan keluarga pesakit yang datang dari jauh untuk berada dekat dengan anak-anak mereka ketika menjalani sesi rawatan yang berpanjangan. Sudah pasti rumah ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang datang ke Hospital USM atau hospital-hospital lain di bandar Kota Bahru ini."

Tuan Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia berkata, “RMHC Malaysia komited untuk menyediakan lebih banyak kemudahan seperti ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Kita berharap agar melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan negeri dan mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan khususnya hospital-hospital yang berkepadatan tinggi, kita dapat menepati janji RMHC iaitu ‘Keeping Families Close’ atau memastikan famili sentiasa dekat bersama melalui kemudahan Rumah Ronald McDonald ini.”  

Rumah Ronald McDonald Dibina Khusus Untuk Bantu Waris Pesakit Pediatrik Di Hospital HUSM 
Sebenarnya, RRM ditubuhkan di Hospital USM kerana terdapat keperluan yang amat tinggi di mana ia menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setiap tahun. Rumah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang kebanyakannya mendapatkan rawatan di sini, ia juga akan meringankan beban majoriti besar yang mengunjungi Hospital USM kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain.
Seiring dengan pengiktirafan USM sebagai Universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), ia telah memacu Hospital USM ke hadapan dengan kedudukannya sebagai hospital rujukan utama dan hub kesihatan komuniti di Pantai Timur melalui APEX fasa kedua (bermula tahun 2014 hingga tahun 2025). Kewujudan Rumah Ronald McDonald di sini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di Pantai Timur. 

Tuan Azmir juga menekankan bahawa belanja pembinaan Rumah Ronald McDonald ini yang bernilai kira-kira RM4 juta tidak mungkin berjaya direalisasikan tanpa sumbangan ikhlas daripada pelanggan-pelanggan McDonald’s melalui tabung RMHC Malaysia di semua restoran McDonald’s di seluruh negara, syarikat-syarikat korporat, para pekerja dan juga para francaisi McDonald’s.
“Kami berbesar hati dapat memberi kemudahan Rumah Ronald McDonald ini untuk kegunaan ramai, lebih-lebih lagi untuk rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Diharapkan dengan adanya rumah ini, ibu bapa lebih senang hati dan selesa menghantar anak mereka untuk menjalani rawatan di hospital,” tambah Tuan Azmir lagi.

Fungsi Rumah Ronald McDonald Ini Adalah Untuk Keperluan Keluarga Pesakit Pediatrik 

Untuk pengetahuan semua, Hospital USM memang telah ada sediakan rumah penginapan kepada keluarga pesakit pediatrik kanak-kanak. Namun ia tidak mampu menampung jumlah waris pesakit dari masa ke semasa. Kerana itu dengan adanya RRM ini ia telah dapat memberi sinar baru terhadap banyak pihak terutama di kalangan waris si pesakit itu sendiri. 

Tujuan utama Rumah Ronald McDonald Hospital USM ini adalah untuk meringankan beban keluarga si pesakit. Dan Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald ini turut menjadi bukti betapa ramainya orang yang turut memberi sokongan untuk perkara terbabit. Buktinya, Perasmian Rumah Ronald McDonald di Hospital USM ini baru saja dirasmikan oleh YB Dato' Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar dengan penuh rasa bersyukur dan gembira di saat upacara memotong riben dilakukan.



Ramai tetamu telah sudi hadir untuk menyaksikan sendiri majlis yang begitu bersejarah dan meriah ini. Rasa bersyukur sangat akhirnya wujud rumah ini di Kelantan, yang pertama di pantai timur dan juga merupakan rumah yang kedua di Malaysia. Terharu! Betul-betul terharu!





Kemudahan Yang Ada Di Rumah Ronald McDonald Di Hospital USM, Kelantan Dengan Bayaran RM 5 

1. Bilangan bilik tidur: 18 yang boleh memuatkan 18 keluarga dalam satu masa.
2. Mempunyai 72 katil.
3. Kemudahan Bilik Sensori Ronald McDonald yang lengkap dengan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak - kanak istimewa.
4. Kemudahan lain yang disediakan seperti ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi dan juga bilik permainan.

Percaya ataupun tidak, harga yang perlu di bayar hanyalah sebanyak RM5 saja semalam. Untuk info lanjut mengenai kemudahan yang ada, kalian boleh terus ke membacanya melalui link di bawah ini.

Baca Sini : Rumah Ronald McDonald Kubang Kerian Kini Dibuka


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tetapi dengan adanya sokongan sudah tentu rasa sakit yang ada itu akan terasa sedikit berkurangan. Malah rasa semangat untuk terus hidup juga akan semakin meningkat. Kerana itulah, sokongan ahli keluarga memainkan peranan yang besar sama ada fizikal atau emosi dan juga merupakan faktor yang penting bagi menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit kanak - kanak pediatrik.



Tanpa sokongan keluarga mana bisa pesakit kanak-kanak pediatrik ini boleh bertahan melawan ujian dalam bentuk penyakit ini. Dengan adanya keluarga berada dekat dengan mereka dalam kawasan hospital sudah tentu pesakit kanak - kanak ini akan lebih bersemangat dan gembira. Waris yang bertanggungjawab menjaga dan menemani juga akan dapat merasa lebih selesa, tenang dan kuat di sepanjang proses pemulihan.


Sebarang Sumbangan Sangat Dialu-Alukan

Tidak hanya tertumpu pada Rumah Ronald McDonald, pihak RMHC turut menjalankan pelbagai program lain demi untuk membantu lebih ramai kanak - kanak di luar sana. Salah satu daripadanya adalah untuk bantu ringankan kos untuk pembedahan pembetulan bagi bayi yang dilahirkan sumbing bibir dan lelangit.

Sekiranya ada yang berminat untuk menghulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk, kalian boleh hubungi pihak RMHC Malaysia. Banyak lagi perancangan RMHC di masa depan demi membantu kanak - kanak dan keluarga yang kurang bernasib baik ini. Orang awam juga boleh terus menikmati pelbagai menu di mana-mana restoran McDonald's yang terdekat sambil menderma. 


Jika ada sebarang pertanyaan lanjut yang berkaitan, sila hubungi cawangan Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur di talian 03-9173 5994 atau ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 jika anda berminat untuk menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.

2 comments for "Rumah Ronad McDonald Kini Dengan Rasminya Sudah Sedia Menerima Tetamu "

  1. Wow, this post is fastidious, my younger sister is analyzing these things, thus I am going to let know her.

    ReplyDelete
  2. Fun with a great cause. We would love to eat while donating sebab abang ipar saya memang hantu McD sikit hehe Thanks for this info, otherwise saya tak tahu langsung :)

    ReplyDelete