Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Rumah Ronald McDonald HUSM Kubang Kerian Kini Telah Di Buka Untuk Peneman Pesakit (Syukur Alhamdulillah)

Hari ini dalam sejarah, akhirnya tarikh 23 Jun 2019 menjadi pilihan untuk di buka pintu Rumah Ronald McDonald di Hospital USM Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan dengan seluas-luasnya. Daku sendiri sebagai salah seorang yang telah melihat rumah ini sejak dari 'butir pasir halus' hingga jadi sebuah kediaman idaman membuatkan hati sangat tersentuh!


Manakan tidak, kali pertama daku hadir adalah untuk majlis tandatangan memorandum di antara pihak RMHC (Ronald McDonald House Charity) dengan pihak Hospital USM. Setelah itu daku juga ikut serta dalam majlis bacaan doa selamat supaya semuanya berjalan dengan lancar.


Dan ini kali ke tiga daku hadir dengan tersergam megahnya sebuah rumah yang kelihatan seperti sedang tersenyum mesra menungguku datang. Dah macam lihat rumah sendiri pula lagaknya!


Apa Itu RMHC?

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) ditubuhkan pada Februari  1990 sebagai sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan. Organisasi ini dijalankan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak. 



Buat masa ini terdapat empat jenis program utama untuk terus menyokong teras Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. Empat program tersebut adalah :

  • Rumah Ronald McDonald
  • Bilik Sensori McDonald
  • Gift Of Smile (Sumbing Bibir)
  • Back To School (Program Kembali Ke Sekolah)


Sedikit Pengenalan Mengenai Hospital USM Kubang Kerian

Rumah Ronald McDonald (RHMC) kedua kini mula beroperasi di Hospital Universiti Sains Malaysia. Bagiku HUSM memang layak untuk dijadikan lokasi kerana Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) ini sudah mula beroperasi sebagai hospital pengajar yang memberi perkhidmatan awam sejak tahun 1983 lagi. HUSM diterajui oleh Profesor Dr. Kamaruzaman Wan Su, Pengarah pertama Hospital USM bersama dua orang timbalan serta 570 orang staf pelopor. 

Hospital USM ini telah dirasmikan oleh KDYMM AAl-Sultan Kelantan, Sultan Ismaiil Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 26 Ogos 1984. Tujuan utama penubuhan Hospital USM ini adalah untuk menjadi hospital pengajar bagi bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan. Ia juga menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di samping memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjlakan aktiviti penyelidikan.



Kini selama lebih daripada 30 tahun berkhidmat pada masyarakat, HUSM bukan hanya pakar dalam memberikan perkhidmatan untuk penduduk setempat malah pesakit dari seluruh Malaysia. Ya! Walau HUSM ini terletak di Kubang Kerian Kelantan namun ia turut sedia menerima pesakit dari negeri malah asia tenggera juga. Niat utama HUSM tidak lain dan tidak bukan adalah untuk bantu berikan khidmat perubatan pada siapa saja yang memerlukan. 

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald & Hospital USM Bergabung Demi Meringankan Beban Waris Pesakit Yang Memerlukan

Tuan Azmir Jaafar, Presiden RMHC dan Pengarah Urusan McDonald's Malaysia juga turut ada dan apabila di tanya pada beliau berkenaan Rumah Ronald McDonald, inilah jawapan yang di beri oleh beliau. ,

“Rumah Ronald McDonald ini ditubuhkan kerana terdapat keperluannya yang amat tinggi di HUSM yang merupakan hospital rujukan yang menerima lebih daripada 20,000 pesakit setahun. Kemudahan seperti ini penting kerana ia bukan sahaja menyediakan kemudahan dan penginapan untuk meringankan beban keluarga pesakit, malah ia juga sedikit sebanyak memberi keluarga-keluarga ini kekuatan emosi dengan sokongan daripada keluarga-keluarga lain yang bersama-sama menemani anak mereka yang sakit.”



Manakala YBhg. Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berjawatan sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pula berkata , 

“Dengan adanya Rumah Ronald McDonald di kampus Hospital USM, ahli keluarga akan sentiasa dapat bersama anak-anak mereka sepanjang tempoh mereka menerima rawatan di hospital. Ini adalah penting kerana secara tak langsung, ia akan menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit-pesakit pediaktik dengan kadar yang pantas kerana sokongan fizikal dan emosi dari ahli keluarga.”  


Rumah Ronald McDonald Membawa Aura Sebuah Keluarga Yang Besar

Semakin daku rasa emosi adalah disebabkan oleh warga kerja dan staf dari pihak McDonalds dan juga Hospital USM yang mula dikenali sejak pertama kali bertemu dulu hingga kini. Semakin jumpa semakin akrab. Terasa sangat yang Rumah Ronald McDonald ini seperti sebuah tempat penyatuan dengan konsep keluarga yang sangat utuh.



Segala sentuhan yang dimulakan dengan hanya idea di atas kertas terus ditukar menjadi usaha demi usaha sejak dulu hingga kini. Tanpa mengira kaum mahupun status, semuaya saling berkerjasama. Dan untuk pastikan segalanya dalam keadaan penuh bersedia maka sehari sebelum tarikh pembukaan, masing-masing telah turun padang untuk sesi gotong-royong.


Penanaman 'pokok doa' turut dilakukan pada bahagian halaman tengah rumah ini. Simboliknya adalah sebagai tanda kasih penuh harapan dengan kalungan doa dari semua untuk para pesakit dan penghuni di sini. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul dan inilah sedikit sebanyak usaha yang mampu pihak McDonald hulurkan pada masyarakat.


Majlis gotong royong ini telah dihadiri oleh ramai orang secara sukarela. Antara yang turut hadir Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim dan beliau adalah Pengarah Kampus Kesihatan USM itu sendiri. Tidak lupa juga rakan pengusaha premis McDonald's dari negeri di luar Kelantan.

Kiranya masing-masing sama-sama berganding bahu sehingga ke saat yang terakhir. Ternyata Rumah Ronald McDonald yang dibina bertujuan untuk meringankan beban keluarga sememangnya adalah sangat tepat sekali.


Kos Pembinaan Telah Menelan Belanja Sebanyak RM4 Juta 

Dengan kos pembinaan bernilai RM4 juta, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM ini dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan. Antara keistimewaan tersebut adalah :

1. Terdapat 18 Buah Bilik Tidur Yang Selesa 

Jumlah semua bilik yang ada di Rumah Ronald McDonald ini adalah sebanyak 18 buah. Setiap bilik di lengkapi dengan katil double bed dan juga sebuah bilik air. Semuanya dalam keadaan bersih dan dilengkapi juga dengan sistem penghawa dingin.


Bila melihat adik yang mendapat rawatan di sini mencubanya untuk tidur, terpancar wajah malu-malu campur gembira.  Seronok kan adik? Daku sempat bersembang dengan adik ni. Maaf ku terlupa nama penyakitnya tapi yang ku ingat ia berkaitan dengan enzim dan dia ada masalah pendengaran. Nak sembang dengan dia kena cakap kuat sikit. Bila ku tanya umur katanya sedang belajar darjah 5. 


Untuk mendpat rawatan adik ini akan perlu ke HUSM dengan menaiki bas mahupun teksi bersama ibunya dek kerana tiada pengangkutan sendiri. Manakala jarak dari rumahnya ke HUSM adalah lebih kurang sejam lebih. Setiap kali pergi dan balik mesti akan belanjakan wang untuk tambang dan terpaksa juga menapak untuk mencari pengangkutan untuk pulang. Lepas ni nampaknya ibu adik ini dapat rehat dengan lebih selesa sambil tunggu adik selesai dapatkan rawatan. 

2. Ruang Menonton TV

TV juga turut ada. Kat sini para penghuni boleh berehat sambil lepaskan lelah. Apa? Ingat jaga pesakit ni tak penat ke? Sebenarnya orang yang menjaga si pesakitlah perlu rehat yang cukup. Barulah tenaga dan baktinya dapat digunakan untuk si pesakit. Ini tidak bila ada yang sakit secara tidak langsung si waris yang menjaga ikut rasa lemah dan penat.


3. Dapur

Besar! Lengkap! Bersih! Sekali lihat dah macam dapur peribadi milik tukang masak terkenal. Canggih dengan segala kelengkapan. Di sini semua penghuni dapat masak dengan bebas. Di dalam peti sejuk turut disediakan bekas mengisi bahan basah dengan nombor. Maka tak adalah masalah susah nak simpan bahan basah dan tiada juga berlaku tersalah mengambil bahan orang lain.



4. Tempat Makan Yang Selesa 

Berdekatan dengan dapur ada ruang makan yang juga luas dan selesa. Ianya bebas untuk digunakan oleh mana-mana penghuni yang ada. Di sini dapatlah dinikmati makanan yang di masak bersama-sama. Kan senang gitu. Dapat jimatkan lebih banyak belanja.



5. Ruang Rehat Konsep Terbuka Yang Luas

Ini adalah halaman yang terletak di antara semua bilik-bilik. Di sini masing-masing dapat duduk bersantai berbual dan mengambil angin untuk lepaskan penat yang ada. Kerusi-kerusi turut disediakan untuk memudahkan lagi para penghuni beriadah. Di tengah kawasan inilah 'pokok doa' di tanam.


6. Sudut BBQ

Daku sendiri bagaikan tak percaya bila terlihat beberapa dapur untuk membakar di sudut taman mini riadah ini. Seteliti ini rupanya pihak McDonalds berfikir. Ini memudahkan para waris untuk membakar makanan. Manalah tahu si pesakit yang di jaga secara tiba-tiba berhajat untuk makanan makanan yang di bakar. Maka dapatlah di masak makanan ala grill dengan senang tanpa masalah.



7. Surau

Surau untuk lelaki dan perempuan juga ada. Kedua-duanya telah diasingkan mengikut bilik yang diletakkan secara bersebelahan. Bagi kaum adam yang ingin solat berjemaah senanglah. Segala kelengkapan untuk solat seperti telekung dan sejadah telahpun siap sedia di dalamnya. Begitu juga dengan AlQuran bagi sesiapa yang ingin dekatkan diri dengan Allah sambil berdoa. Manalah tahu mustajab doa maka si anak boleh lebih sihat berbanding sebelumnya. InshaAllah.



8. Bilik Permainan

Selain daripada taman permainan di halaman, bilik permainan secara indoor juga ada. Mudahlah untuk adik-adik bermain. Kat sini turut disediakan sebuah TV untuk tontonan adik-adik. Anak-anakku sendiri rasa happy berada di dalam bilik ini. Apa tidaknya berwarna warni.. cantik sangat!



9. Taman Permainan

Inilah taman permainan mini yang ku sebutkan tadi. Di sini ditempatkan sebuah gelongsor sederhana tinggi untuk dinikmati oleh adik-adik. Anakku si Awwal dah tak boleh tahan. Asyik nak ulang naik turun je kerjanya. Nama pun kanak-kanak kan? Berdasarkan tindakbalas anak-anakku ternyata apa yang pihak McDonalds sediakan ini memang sangat menepati citarasa di kanak-kanak.



9. Bilik Dobi

Siapa cakap tidur kat Rumah Ronald McDonald ni tak boleh basuh baju? Bagusnya menginap di sini semua baju kotor boleh di basuh dengan mudah menggunakan mesin basuh yang telah disediakan. Tak payah lagi pening kelapa cari kedai dobi. Tak usah juga lagi bawa baju ganti terlajak banyak. Bawa saja sekadar yang mencukupi dan basuhlah nanti untuk dijadikan salin ganti. Tak perlu ke kedai dobi bermakna wang juga boleh dijimatkan. Syukur.



Rumah Ronald McDonald HUSM Turut Dilengkapi Dengan Bilik Sensori Yang Cantik!

Rumah ini juga ternyata lebih istimewa dengan adanya Bilik Sensori Ronald McDonald yang menyediakan peralatan multi deria khas yang disumbangkan kepada Hospital USM untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.


Daku sendiri sempat melangkah masuk ke dalam bilik ini. Wah cantik sangat! Ada lampu yang bersinar, ada permainan dalam bentuk bunyi, warna dan sebagainya. Kebetulan daku pergi dengan Awwal dan Kasih, hmmm apa lagi suka bukan mainlah dua orang budak kecil ni. 


Nampak tu? Teruja sangat! Jangan kata anak-anak, daku sendiri ikut teringin nak main. Tapi bila sedar yang diri ni dah tua bangka maka pendamkan sajalah. Yang pasti adik-adik istimewa yang perlu dibantu untuk tingkatkan perkembangan diri dapat gunakan segala perlatan yang ada ini dengan penuh rasa seronok sambil belajar.



Rumah Ronald McDonald Mampu Berdiri Kerana Adanya Orang Seperti Anda


Untuk pengetahuan semua, Rumah Ronald McDonald ini berjaya direalisasikan berkat dari sumbangan RMHC Malaysia, McDonald’s Malaysia, rakan-rakan niaga, dan pelanggan-pelanggan McDonald’s yang menyumbang melalui tabung RMHC yang terletak di lebih daripada 275 restoran McDonald’s di seluruh negara. Seluruh pihak warga kerja McDonald's sememangnya sangat gembira apabila rumah ini berjaya di buka untuk menerima para bakal pengguna. 


Harga Penginapan Hanya RM5 Semalam Dan Ini  Antara Syaratnya

Percaya atau tidak, harga yang dikenakan hanyalah RM5 semalam dan antara syarat untuk membolehkan seseorang itu menggunakan Rumah Ronald McDonald ini adalah :

  • mestilah merupakan pesakit untukHospital USM untuk ward pediatrik (ward lain tidak boleh)
  • si pesakit yang mendapat rawatan dari ward pediatrik itu mestilah berumur 18 tahun dan ke bawah
  • si pesakit yang menerima rawatan ini hendaklah yang datang dari luar kawasan Kota Bharu
  • setelah mendapat rawatan boleh dapatkan borang dari ward pediatrik tersebut
  • isi borang tersebut dan terus hantarkan borang tersebut ke bahagian Kebajikan Perubatan HUSM
  • Pihak Kebajikan Perubatan HUSM akan menilai dan tentukan samada layak atau sebaliknya
  • Jika layak maka pihak Kebajikan Perubatan HUSM akan menghubungi Rumah Ronald McDonald untuk tujuan pendaftaran  





Tabung Kecil Merah Pemberi Harapan (Jom Terus Menderma!)

Jujur cakap selaku salah seorang pelanggan setia McDonald's, daku juga pernah terfikir kemanakah sebenarnya wang untuk tabung merah dihulurkan? Jangan-jangan kumpul-kumpul lepas tu buat perkara yang tak sepatutnya.. Manalah tahu tak nampak kan?

Tapi sejak bergelar blogger alhamdulilllah daku dah mula nampak segala macam benda yang dapat hasil daripada tabung merah kecil ini. Di Kelantan ini sendiri daku dah ikuti majlis Back To School di mana pihak RMHC telah beri kelengkapan barangan sekolah untuk adik-adik yang tidak berkemampuan. Tahun ini juga InshaAllah akan dilakukan benda yang sama. Rumah Ronald McDonald ini sendiri salah satu bukti yang wujud.

Bila di fikir semula, hmmm okaylah juga.. setidaknya si penderma akan ikut turut terkena tempias dalam mengumpul pahala. Tak payah susah payah nak derma banyak-banyak kalau tak mampu. Bila beli McDonalds tu ada lebihan wang kecil tak kisah ringgit mahupun siling, masukkan saja ke dalam tabung. Apapun terpulang pada diri sendiri... takde sapa boleh paksa kan? =D


Akhir sekali, orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital USM, Kelantan atau ingin menyumbang melalui sumbangan tunai atau bantuan sukarela boleh menghubungi cawangan RMH di PPUKM, Kuala Lumpur di talian 03-91735994 untuk keterangan lanjut.

Syukur ke hadrat Ilahi dan semoga lebih banyak Rumah Ronald McDonald begini boleh muncul di Malaysia. Ameen.

10 comments for "Rumah Ronald McDonald HUSM Kubang Kerian Kini Telah Di Buka Untuk Peneman Pesakit (Syukur Alhamdulillah)"

  1. Best nyeee.. Kemaa cantik dan teratur dengan fasilities untuk kemudahan penghuni.

    ReplyDelete
  2. mashaallah, cantik sangat lah nii..
    pasti nyaman yaa tuk ditinggali

    ReplyDelete
  3. meriahnya rumah mcdonalds ni.Nampak sangat selesa...best kan

    ReplyDelete
  4. Wahhh lawanya sis.. rugi tak pergi hari tu

    ReplyDelete
  5. Cantik nya rumah Ronald McDonald ni...banyak kemudahan pula tu

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah..x semua org mampu checked in hotel..ini sgt2 membanru bg yg kurg berkemampuan

    ReplyDelete
  7. wah, serius best sangat rumah ni. good job McD

    ReplyDelete
  8. Masha Allah indah sekali.. semoga bermanfaat bagi banyak orangg.

    ReplyDelete
  9. alhamdulillah, semoa bermanfaat kepada semua... cantik rumahnya dan lengkap semuanya

    ReplyDelete