Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pengalaman Daftar dan Hantar Anak Ke Sekolah Berasrama Penuh SBP

Pengalaman Daftar dan Hantar Anak Ke Sekolah Berasrama Penuh SBP | Sebagaimana ibu yang lain, tatkala anak mencapai usia untuk menduduki UPSR dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana berdebarnya hati ni. Setelah segalanya selesai alhamdulillah, syukur gembira tak terkata apabila anak mendapat keputusan 4A 1B untuk peperiksaan tersebut.

Apabila keputusan telah diumumkan, terdetiklah di hati akan sekolah yang ingin menerima anakku ini. Almaklumlah, setelah selesai UPSR percubaan semua murid telahpun memohon kepada sekolah-sekolah pilihan yang diinginkan dan tidak terkecuali juga dengan diri aku sendiri.


Website untuk memohon tempat di sekolah berasrama penuh seperti SBP, MRSM dan lain-lain telah ku buat dengan lengkap. Kini apa yang perlu dibuat hanyalah menunggu panggilan daripada mana-mana pihak yang sudi untuk menerima anakku ini.

Akhirnya, tidak berapa lama selepas itu anakku telah di panggil oleh pihak SBP untuk salah sebuah sekolah berasrama penuh aliran sains di bumi Kelantan. Tidak hanya itu, anakku juga turut di panggil untuk MRSM dan MRSM ATM di Terendak Melaka. Dipendekkan cerita pilihan pertama, ke dua dan ketiga, semuanya dapat! Syukur sangat-sangat tapi dalam masa yang sama, hmmmm pening jugaklah kepala ni memikirkan dengan suami mana satu nak terima.

Untuk mendapat tawaran masuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh ini, terlebih dahulu kita selaku ibu bapa perlu membuat permohonan secara online melalui website SST.  Di sana, ibu atau ayah perlu isi borang permohonan berserta dengan segala info yang diperlukan. Dari sanalah segalanya di proses dan keputusan akan diberitahu secara online juga mengikut tarikh yang telah dimaklumkan.


Masa mula-mula dapat keputusan tu memang happy yang amat sangat! Lagi-lagi bila semua sekolah yang di pohon telah memberikan maklumbalas positif. Tetapi saat nak buat keputusan sekolah mana satu nak pergi, hmmmm naik pening jugalah kepala ni. Nak tak nak terpaksa juga berbincang satu family dengan menyenaraikan segala pro dan kontra. Tapi tak mengapa kerana itu juga satu pengalaman.

Setelah berbincang sesama sendiri dengan suami dan anak, maka kami sebulat suara membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada SBP. Tambahan pula SBPT yang anakku dapat itu adalah antara yang paling famous di Kelantan untuk kecemerlangannya dari segi akedemik dan juga kokurikulum. Jika kebetulan anak masih punya impian untuk ke MRSM ATM bagi memenuhi impiannya sebagai salah seorang tentera, selepas PT3 nanti baru daku dan suami akan cuba memohonnya sekali lagi.

Selepas membuat keputusan mengenai sekolah mana ingin diduduki, langkah seterusnya adalah dengan memberi maklumbalas sama ada terima atau tolak tawaran tersebut juga secara online melalui website yang sama. Kemudian cetak surat tawaran dan bolehlah terus ke sekolah untuk sesi ujian kemasukan pada tarikh dan hari yang telah ditetapkan sebagaimana yang tertera pada surat tawaran terbabit.

Haa ingat boleh terus 100% dapat? Tak juga.... kena hadap ujian kemasukan terlebih dahulu. Saat ini rasa macam nak gugur pulak jantung ni haa.

Inilah detik pada hari di mana ujian kelayakan untuk kemasukan itu diadakan. Pada hari tu suami kerja so daku sajalah ke sana dengan membawa semua anak-anak. Sebaik saja tiba perkara pertama yang dilakukan adalah semak nama pada papan kenyataan. Setelah itu terus bergerak ke bilik ujian mengikut info yang telah disediakan di sana.

Ingatkan kejap je rupanya dari pagi ujian tu dimulakan dan berlanjutan hingga ke tengahari. Makan masa berjam-jam jugalah lamanya. Nak tak nak menunggulah daku dan anak-anak di situ dari awal sampai selesai. Habis satu sekolah kami tawaf. Haha... 




Nasihat ikhlas daku nak kasi, jika temankan anak buat ujian kelayakan ni ada baiknya prepair dari awal. Bawalah makanan ringan ke, bahan bacaan ke, sebabnya memang agak makan masa yang lama. Daku sendiri hari tu tak prepair mana alamatnya naik bosan jugalah kami kat sana. 

Nasib baiklah ada jual makanan dan minuman di kantin sekolah pada hari tersebut. Dan nasib baik jugalah ada mesin vendor jual air kalau takkkk.... hmmm alamatnya memang stress la hari tu! 


Syukur juga ada si kucing yang berada dalam kawasan sekolah. Tak tahulah kucing ni datang dari mana dan siapa yang punya. Yang pasti dengan adanya si oren ni dapatlah tarik perhatian si Kasih Sufi yang tak reti nak duduk diam tu. 

Si kucing oren ni pun macam tau-tau je yang daku perlukan bantuannya untuk temankan Kasih. Langsung tak berganjak! Siap duduk baring lagi sambil perati je ke arah Kasih Sufi dengan diam. Lama jugalah si Oren ni main dan temankan si Kasih. Syukur alhamdulillah. TQ Oren! 



Akhirnya hampir jam 1 tengahari barulah segalanya tamat! 

Misi Menyiapkan Kelengkapan ke SBP Terus Dimulakan Segera !!

Setelah itu tunggu pula keputusan sekali lagi,.. dup dap dup dap jantung nak tahu benar-benar layak diterima atau sebaliknya. Dan tidak berapa lama kemudian dapatlah jawapan yang di tunggu. Kali ini alhamdulillah dah sah dapat jadi salah seorang murid untuk Sekolah Asrama Penuh Pilihan dan dapatlah mulakan persiapan untuk anak demi menjadi salah seorang pelajar di sekolah idaman. Rasa lega yang amat sangat lepas selesai urusan ujian kelayakan tu.

Langkah seterusnya, daku mulakan misi untuk melengkapkan segala borang dan barangan kelengkapan untuk urusan pendaftaran di sekolah SBP terbabit. Bila di lihat pada senarai barangan kelengkapan, fuhhhh bagai nak pengsan beb!! Banyak giler..... terus terlintas di fikiran, ini sekolah untuk orang kaya ke apa ni.. hehehe.....

Hmmm banyak jugalah barang yang perlu disiapkan. Kalau di hitung segalanya memang cecah ribuan ringgit! Mau pitam untuk pasangan suami isteri yang punya anak ramai macam kami. Untuk ibubapa yang ada masalah kewangan jangan risau boleh siapkan setakat mana yang termampu saja dulu dan pada hari pendaftaran boleh cuba mohon biasiswa dari pihak sekolah. 

Mujurlah di senarai barangan kelengkapan tersebut telah disusun dengan baik oleh pihak SBP mengikut kategori. Ini memudahkan lagi urusanku dan suami. Disebabkan daku dan suami ni ada 4 orang anak yang akan bersekolah untuk musim baru maka kami berdua memang perlu berjimat dan berbelanja dengan bijak. 

Antara tips yang daku dan suami gunapakai semasa menyediakan barangan asrama SBP adalah seperti berikut :

1. Gunapakai barangan yang ada di rumah tanpa perlu membeli baru semuanya. Kiranya jika kebetulan barangan tersebut memang ada di rumah maka tak perlu lagi di beli yang baru.

2. Beli barangan yang hanya bertanda wajib terlebih dahulu berbanding dengan barangan yang lain.

3. Beli dalam jumlah yang sedikit dulu dan tambahlah kemudian bila ada wang lebih nanti. 


Daku dan suami ada juga mohon biasiswa swasta tetapi sayangnya takde rezeki yang menyebelahi. Maka nak tak nak daku dan suami terpaksa berusaha juga siapkan apa yang termampu. 

Suasana Di Hari Pendaftaran Sekolah Berasrama Penuh

Dengan serba sedikit persiapan barangan untuk mula bersekolah, di tambah dengan sejumlah tunai di tangan, daku membawa anak ke sekolah tersebut sekali lagi. Jika sebelum ini untuk bawa anak duduki ujian kelayakan tetapi kali ini untuk urusan hari pendaftaran penuh secara rasminya. Untuk hari bersejarah ini suami sengaja mohon cuti untuk ikut bersama. 


Kami tiba pada hari itu awal juga dan bila sampai dah ramai pun kat sana. Untuk pendaftaran hanya perlu pakai pakaian sekolah biasa berwarna putih dengan seluar sekolah hijau berserta dengan kasut hitam. Ini semua ada dijelaskan pada borang kemasukan sekolah. Barangan lain untuk duduki asrama turut kami bawa sekali. 

Urusan pendaftaran alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Lagi pula pihak sekolah memang telah siapkan segalanya untuk bantu ibubapa buat pendaftaran dengan cukup senang dan cepat. 


Selesai buat pembayaran untuk pembelian alat tulis dan barangan rasmi kena beli seperti pakaian asrama sekolah dan sebagainya, kami terus di bawa ke blok asrama. Disebabkan anakku lelaki maka daku tunggu saja di bawah dan hanya biarkan suami bantu selesaikan urusan kemas barang di dalam bilik asrama. 

Paling bagus, pihak sekolah turut sediakan seorang murid untuk bantu jadi 'pembantu dan penunjuk arah' bagi setiap ibubapa. Dengan adanya bantuan begini tak adalah nak sesat bagai dan jika ada apa-sapa soalan boleh tanya pada 'pelajar yang membantu' ini sekali. Nak tanya arah surau dan sebagainya juga boleh! 




Inilah gambaran bilik asrama tempat anakku tinggal bersama rakannya yang lain sepanjang pengajian di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan. Setiap pelajar akan diberikan sebuah almari pakaian berserta dengan sebuah katil individu. 


Tilam dan bantal juga sudah disediakan, tugas ibubapa hanya perlu membeli cadar dan sarung bantal di koperasi. Cadar dan sarung bantal ni memang sekolah dah tentukan supaya nampak seragam semuanya. 


Jika dihitung soal kos, untuk kemasukan tahun pertama memang kena prepair duit yang agak banyak untuk beli segala barang keperluan. Nak jimat boleh bawa baldi dan sebagainya yang memang ada di rumah tetapi untuk urusan yang lain memang kena beli yang baru juga. Barangan dengan logo dan lencara sekolah juga wajib di beli. 

Jumlah Yuran ke SBP Mahal atau Tidak?

Kalau di tanya secara kasar, berapa agak-agaknya kos yang dibelanjakan untuk Yuran Kemasukan Tingkatan 1 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP)? Daku boleh cakap kena sediakan lebih kurang RM1,400. 

Jika benar-benar tak mampu bawa saja seberapa yang ada dulu untuk permulaan. Kemudian bolehlah bayar secara ansuran pada pihak sekolah untuk kos tambahan lain termasuk yuran makan asrama dan sebagainya. Bagi yang kurang berkemampuan jangan cepat mengalah kerana pihak sekolah memang ada buka peluang untuk bantu pelajar dari keluarga yang tidak berkemampuan. 

Anakku sendiri, walau biasiswa yang di mohon dari pihak swasta tidak dapat kerana ada orang lain yang lebih memerlukan namun syukur alhamdulillah biasiswa bantuan dari pihak sekolah berjaya diperolehi. Dapatlah ringankan sikit beban kami yang punya anak ramai ni. 

Kerana itu, untuk semua ibubapa yang punya anak yang agak cemerlang. Jangan sesekali jadikan isu duit sebagai penghalang. Jangan juga malu untuk ceritakan masalah pada pihak sekolah jika ada sebarang isu yang berkaitan dengan perkara sebegini. InshaAllah, jika anak benar-benar ada semangat untuk belajar pasti ada jalan untuk kita ikhtiarkan. 

10 comments for "Pengalaman Daftar dan Hantar Anak Ke Sekolah Berasrama Penuh SBP"

  1. Salam..maaf bertanya..memang ada ujian kelayakan pula selepas terima tawaran ye? Ada ke calon yang tak lepas..huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya memang ada ujian kelayakan pula dr pihak sekolah lepas dpt surat tawaran. saya tak pasti pula tentang calon yg tak lepas tu.

      Delete
  2. Alhamdulillah tahniah buat puan sekeluarga. Moga dipermudahkan segala urusan hendaknya.

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah tahniah untuk anakanda tercinta ^_^

    ReplyDelete
  4. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.

    ReplyDelete
  5. Tahniah utk anak puan.. sgt membantu sy diatas perkongsian pengalaman puan ini.

    ReplyDelete
  6. UPSR tahun bila ni? hanya 5 subject

    ReplyDelete