Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Berdengkur Boleh Bawa Maut? Ketahui Bahaya Dengkur

Berdengkur Boleh Bawa Maut? Ketahui Bahaya Dengkur | Dengkur dah sering berlaku pada sesiapa saja malah suami sis sendiri mempunyai masalah tidur berdengkur. Tapi dengkuran suami tidaklah berlaku setiap hari melainkan pada hari di mana dia penat berkerja. Kalau dulu sis anggap dengkur ini normal dan hanya setakat mengganggu tidur orang lain tetapi sekarang sis dah mula ikut risau. Kenapa? Ini kerana dengkur juga boleh membawa maut! 

Kalian sendiri macamana? Ada ahli keluarga yang alami masalah dengkur juga tak? Jika ada jangan sesekali anggap dengkur ini sebagai satu perkara biasa sebaliknya kena ambil tahu bahaya yang ada. Jika sekadar dengkuran biasa itu mungkin tidak mengapa tapi ditakutkan dengkuran yang kedengaran kuat hingga seakan tersekat-sekat. 



Apakah ciri-ciri dengkur yang berbahaya? Sama-sama kita kenali apa itu dengkur dan apakah juga bahaya dengkur ini. Kalau nak tahu juga, dengkur ini sepatutnya kena dapatkan rawatan. Rawatan itu pula bukan sekadar nak hilangkan dengkur untuk sementara waktu saja tapi perlu hilangkan terus dengkur tu supaya lena kembali nyenyak tidur dari malam sampai ke pagi. 




Bagaimanakah Dengkuran Terhasil?

Berdengkur adalah sejenis bunyi serak atau keras yang berlaku ketika udara mengalir melalui tisu relaks di leher, lalu menyebabkan tisu tersebut bergetar ketika bernafas. Dengkur berlaku disebabkan saluran pernafasan sempit dan tersumbat sewaktu tidur. Hampir semua individu mengalami masalah berdengkur ini, tetapi bagi sesetengah individu ia boleh menjadi satu masalah yang kronik. Kadangkala dengkuran juga boleh menunjukkan keadaan kesihatan yang serius.


Dengkuran dan apnea tidur obstruktif (OSA)

Dengkuran seringkali dikaitkan dengan satu gangguan tidur yang disebut sebagai apnea tidur obstruktif atau OSA. Bukan semua individu yang berdengkur memiliki OSA, tetapi sekiranya dengkuran yang berlaku diikuti dengan simptom-simptom tersebut, mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan bagi menentukan sekiranya memiliki OSA atau tidak. Simptom-simptom tersebut adalah:
  • Pernafasan terhenti semasa tidur
  • Rasa mengantuk yang berlebihan di siang hari
  • Kesukaran untuk memberikan tumpuan
  • Sakit kepala pada waktu pagi
  • Sakit tekak ketika bangun daripada tidur
  • Tidur yang tidak selesa
  • Tercungap-cungap atau tersedak ketika tidur
  • Tekanan darah tinggi
  • Sakid dada pada waktu malam
  • Bunyi dengkuran yang amat kuat
  • Dalam kalangan kanak-kanak, berlaku masalah berkaitan kelakuan, perhatian yang kurang baik dan juga prestasi yang kurang memberangsangkan di sekolah
OSA sering dicirikan melalui dengkuran yang kuat dan diikuti dengan tempoh senyap apabila berhenti bernafas atau hampir berhenti. Individu yang mempunyai OSA biasanya mengalami pemberhentian seketika apabila bernafas secara perlahan atau berhenti bernafas sekurang-kurangnya sebanyak lima kali bagi setiap jam waktu tidur.

Adakah dengkuran boleh menyebabkan kematian?

Dengkuran secara umumnya tidak menyebabkan kematian. Walau bagaimanapun, jika ia melibatkan atau berkaitan dengan OSA, mungkin berisiko untuk mengalami kematian. Persatuan Apnea Tidur Amerika Syarikat menganggarkan sekitar 38,000 individu di Amerika Syarikat meninggal dunia setiap tahun akibat daripada penyakit jantung dengan apnea tidur sebagai faktor komplikasi. 
Individu yang mempunyai apnea tidur atau OSA memiliki kesukaran untuk bernafas atau berhenti bernafas dalam tempoh yang pendek setelah tidur. Walau bagaimanapun, ia sering tidak didiagnosis. Berpandukan Persatuan Jantung Amerika, 1 dalam setiap 5 individu dewasa mempunyai apnea tidur pada tahap yang tertentu dan ia lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Kanak-kanak juga tidak terkecuali untuk mempunyai apnea tidur ini.
Untuk pengetahuan, apnea tidur boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius jika tidak dirawat. Ia boleh memburukkan beberapa keadaan kesihatan yang mengancam nyawa, seperti:
  • Tekanan darah tinggi
  • Strok
  • Kematian jantung secara tiba-tiba
  • Asma
  • COPD
  • Diabetes mellitus

Bahaya apnea tidur tanpa mendapatkan rawatan

Apnea tidur menyebabkan hypoxia, iaitu tahap oksigen yang rendah dalam tubuh. Apabila keadaan hypoxia ini berlaku, tubuh akan menjadi stres dan memberi reaksi dengan respon tindak balas tekanan akut. Ini kemudiannya menjadikan jantung berdegup dengan lebih laju dan menyempitkan arteri. Antara kesannya termasuklah:
  • Tekanan darah yang lebih tinggi
  • Kadar degupan jantung yang lebih tinggi
  • Jumlah aliran darah yang meningkat
  • Lebih banyak berlakunya keradangan dan stres
Kesan-kesan yang berlaku ini akan meningkatkan risiko masalah-masalah kardiovaskular. Kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine pada tahun 2010 menemui, seseorang individu yang mempunyai apnea tidur berpotensi mempunyai peningkatan risiko untuk mengalami strok sehingga dua atau tiga kali ganda. 
Kajian yang dilakukan pada tahun 2007 oleh Yale School of Medicine pula menyatakan bahawa, apnea tidur boleh meningkatkan risiko untuk mendapat serangan jantung atau kematian sehingga 30 peratus dalam tempoh empat atau lima tahun. Manakala kajian yang dijalankan pada tahun 2013 yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Cardiology menyatakan, individu yang mempunyai apnea tidur mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kematian akibat komplikasi berkaitan jantung. Kajian tersebut juga mendapati bahawa apnea tidur juga boleh meningkatkan risiko kematian jantung secara tiba-tiba. Kita akan lebih berisiko jika mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  • Berumur lebih daripada 60 tahun
  • Mempunyai 20 atau lebih episod apnea dalam setiap jam tidur kita
  • Mempunyai tahap oksigen darah yang kurang daripada 78% semasa kita tidur

Adakah terdapat cara untuk kurangkan bunyi dengkuran?

Memang ada cara untuk menghilangkan dengkuran. Ada cara moden dan ada juga petua kurangkan dengkuran. Untuk mengurangkan atau merawat dengkuran, doktor mungkin akan menyarankan perubahan gaya hidup terlebih dahulu seperti menurunkan berat badan, mengelakkan pengambilan alkohol ketika waktu tidur, merawat hidung yang tersumbat, mengelakkan kekurangan tidur dan elakkan daripada tidur menelentang.
Jika dengkuran yang berlaku bersama-sama dengan OSA, doktor mungkin akan mencadangkan perkara-perkara berikut:
  • Peralatan mulut (oral appliance)
Peralatan mulut adalah sejenis alat yang diletakkan pada mulut yang membantu memperbaiki posisi rahang, lidah dan selaput lembut untuk memastikan laluan udara terbuka
  • Tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP)
Kaedah ini melibatkan pemakaian topeng pada hidung atau mulut semasa tidur. Topeng ini mengarahkan udara bertekanan dari pam kecil di tepi katil ke saluran udara untuk memastikan ia dibuka semasa kita tidur
  • Pembedahan saluran udara atas
Terdapat beberapa prosedur yang bertujuan untuk membuka saluran udara atas dan mencegah penyempitan yang ketara semasa tidur melalui pelbagai teknik


5 Petua Hilangkan Dengkur Cara Tradisional

Ada masalah dengkur tetapi tidak terlalu serius? Mungkin boleh atasi masalah tidur berdengkur itu dengan beberapa cara yang akan dikongsikan ini. Antara tips atau cara untuk hilangkan dengkur secara tradisional adalah :

1. letakkan bantal sebagai alas kepala supaya kedudukan menjadi lebih tinggi agar nafas dapat berjalan dengan lebih lancar dan lega.

2. Turunkan berat badan kerana salah satu daripada punca dengkur berlaku adalah disebabkan oleh saiz dan berat badan yang besar. 

3. Jangan ambil sebarang jenis alkohol lagi-lagi sebelum tidur kerana ia akan menyebabkan saluran pernafasan menjadi tersumbat hingga boleh berlakunya dengkur. 

4. Pastikan posisi semasa tidur itu baik, sebagai contoh tidur dengan cara mengiring di sisi untuk mengurangkan bunyi dengkuran. 

5. "Dengkur Saya Dah Hilang”. Ya, yang ke lima ini adalah salah satu petua yang dikongsi oleh salah seorang wanita di media sosial setelah berjaya hilangkan dengkurnya. Cara ini adalah dengan mengamalkan minum air kunyit. Petua orang lama ini caranya adalah dengan mengambil 2 ruas jari kunyit hidup (lebih kurang saiz 2 inci). Kupas kulit, bersihkan dan hiris nipis-nipis. Kemudian masukkan semua hirisan kunyit ke dalam segelas air suam dan biarkan selama 5 minit. Kemudian tambahkan 1 sudu madu dan kacau sebati semuanya. Air ini elok diamalkan setiap malam sebelum tidur. 


Kesimpulan

Jelas sekali bahawa dengkuran semasa tidur bukanlah satu perkara yang perlu dirisaukan melainkan jika mempunyai OSA. Bagaimana untuk mengetahui jika kita memiliki OSA atau tidak? Jika mendapati diri mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan, mendapatkan kepastian mengenai keadaan semasa dan seterusnya mendapat rawatan yang berkaitan. Sekurang-kurangnya, pasangan kita tidak lagi terganggu semasa tidur setelah dengkuran berjaya dirawat.
Dengkur boleh berlaku pada sesiapa saja lelaki mahupun wanita daripada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah ke golongan warga emas. Berdengkur juga boleh menyebabkan gangguan tidur yang boleh memberi kesan kepada sistem tubuh sehingga mendedahkan kepada risiko penyakit. 

Bahaya utama bagi penghidap dengkur mempunyai OSA yang teruk kerana ia boleh menyebabkan berhenti bernafas lebih 30 saat berulang kali. Cubalah mana-mana kaedah untuk kurangkan dengkur yang dirasakan sesuai, mana tahu dengkur boleh hilang terus.

Sumber : Muhammad Wa'iz | HelloDoktor

3 comments for "Berdengkur Boleh Bawa Maut? Ketahui Bahaya Dengkur "

  1. dengkur ni boleh mengganggu tidur orang lain jugak, hehe

    ReplyDelete
  2. banyak kali baca pasal ni. risau jugak bila dgr ade yg berdengkur kuat tu.

    ReplyDelete
  3. wak mmg dengkur tdo mlm ni terutama kalo tdo sorg2.. huhuhu

    ReplyDelete