Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pengalaman Hantar Anak Untuk Pembukaan Semula Prasekolah

Pengalaman Hantar Anak Untuk Pembukaan Semula Prasekolah | Bermula 01 Julai 2020, semua pra sekolah di Malaysia kembali di buka seperti biasa. Sebagai ibu sudah semestinya pembukaan semula prasekolah ini benar-benar membuatkan hatiku risau. Bohonglah kalau tak risau kerana anak yang berada di prasekolah ini masih kecil lagi (antara usia 5 ke 6 tahun). 

Walaubagaimanapun, hati ini terasa sedikit lega saat menerima gambar di bawah ini melalui group whatsapp yang dikendalikan oleh guru kelas anak. Tahniah untuk guru kelas dan pembantu guru kelas anakku (Teacher Zarina dan Kak Na ), kerana telah berjaya mengendalikan anak-anak pra sekolah ini dengan baik. Sekolah tempat anakku belajar ini adalah di dalam negeri Kelantan. 

suasana pembukaan semula prasekolah malaysia


Pembukaan Semula Prasekolah Memerlukan Kerjasama Ramai Pihak

Sehari sebelum sekolah mula di buka, pihak sekolah telah menjemput ibubapa ke suatu perjumpaan. Pada hari tersebut suamiku tak dapat pergi sekali  (tarikh untuk beliau terima gaji - tak guna akaun bank). Jadi, nak tak nak suami terpaksa ke tempat kerja dan dakulah yang akan pergi ke perjumpaan tersebut. 

Anak sulung dah pun mula bersekolah (SPM) jadi daku terpaksa tinggalkan lima anakku di rumah dengan di jaga oleh anak ke dua (usia 14 tahun). Kesian juga bila lihat anak ke dua terpaksa jaga ke empat-empat adiknya, 3 lelaki pula tu, tapi apakan daya. Untuk hal-hal begini kenalah bagi kerjasama pada pihak sekolah. 

Perjumpaan dijadualkan bermula sekitar jam 11.30 pagi. 

suasana pembukaan semula prasekolah malaysia
- banner turut disediakan sebagai peringatan -


Alhamdulillah daku sempat hadir tepat pada masanya walau agak kelam kabut untuk selesaikan urusan anak-anak di rumah terlebih dulu. Saat mula-mula tiba di pintu pagar sekolah, kena ambil suhu dulu oleh pakcik guard. Kemudian tulis nama pada buku pelawat.

Selesai scan suhu dan beri nama pada buku pakcik guard, sekali lagi scan suhu dan tulis nama pada tempat pendaftaran. Selepas itu daku di beri satu borang untuk memberi maklumbalas sama ada setuju atau tidak setuju untuk hantar anak ke sekolah bermula pada tarikh 01 Julai tersebut. 

Perjumpaan ini dilakukan dalam sebuah dewan dan setiap ibubapa disediakan tempat duduk dengan jarak 1 meter. Fuh dah macam duduk dalam bilik peperiksaan (lama dah tak rasa suasana begini). Pada hari tersebut boleh dikatakan hampir 90% ibu bapa yang hadir walaupun jemputan di hantar sehari sebelum hanya dengan menggunakan aplikasi whatsapp (ada group khas antara ibubapa dan guru kelas anak).

prasekolah
- perjumpaa ibubapa yang mengikut SOP -

Antara isi penting (SOP prasekolah) yang diberitahu oleh Puan Pengetua untuk sekolah anakku ini adalah :
  • sediakan penutup hidup dan mulut
  • pastikan anak bersarapan di rumah
  • anak yang ada simptom demam, batuk, selsema dan sebagainya tidak boleh hadir ke sekolah
  • tidak boleh membawa apa-apa makanan dan minuman dari rumah
  • tidak perlu membawa apa-apa beg sandang dari rumah
  • ibubapa juga perlu di periksa suhu saat hantar anak ke sekolah
  • anak-anak perlu guna laluan khas sahaja dan sebagainya

prasekolah
- sekolah sediakan penanda arah -
Kiranya, memang padat jugalah info yang disampaikan dan semua info ini adalah mengikut garis panduan permbukaan semula sekolah berpandukan pada arahan pihak kementerian. Semua pihak mempunyai tugasan masing-masing dalam menjayakan misi ini termasuklah juga ibubapa dan anak-anak pra itu sendiri.

Suasana Hari Pertama Saat Sekolah Dibuka

Saat yang dinanti pun tiba dan esoknya suamiku mula menghantar anak kami ke sekolah sama seperti sebelum datangnya virus corona ini dahulu. Apa yang membezakan adalah pada panduan jarak pergerakan yang perlu dipatuhi. 

Sesi persekolahan tahun ini juga menyaksikan bagaimana anak-anak belajar untuk mengikut arahan dengan penuh disiplin. Masing-masing belajar untuk mengikut arahan yang diberikan oleh guru. Syukurlah, tak ada pula nampak situasi anak menangis meraung mahu balik dan sebagainya. 

Jam 7.30 pagi suami hantar anak ke sekolah. Jam 11.45 pagi masa daku ambil anak dari sekolah. Bayangkan, masa empat jam anak-anak ini di sekolah perlu dilalui tanpa boleh bergerak bebas ke sana ke mari untuk bermain dengan rakan bagai dulu.

Masing-masing perlu sentiasa duduk di tempat sendiri, makan dan minum juga di tempat sendiri, buat aktiviti belajar juga secara sendiri tidak seperti dulu yang boleh berlari riang seronok dengan rakan-rakan. 

suasana pembukaan semula prasekolah malaysia
- suasana belajar di dalam kelas -

Ketika ingin pulang juga turut mengikut garis panduan SOP yang telah ditetapkan. Anak-anak beratur dengan jarak 1 meter di luar kelas berhampiran pintu pagar utama. Masing-masing berdiri dalam satu barisan panjang dengan baik tanpa cuba bergerak ke sana ke mari. 

Ibu bapa pula sedang menunggu di luar kawasan pagar, juga dengan menjaga jarak 1 meter. Pakcik Guard akan bertanya pada ibubapa siapakah nama anak yang ingin di jemput, seterusnya akan memaklumkan pada guru bertugas yang turut berada di situ bersama anak-anak prasekolah ini. Kemudian guru akan memberi arahan supaya si anak bergerak sambil melihat apakah benar yang datang ambil murid ini adalah si penjaganya yang sah. 

suasana pembukaan semula prasekolah malaysia
- sedang menanti ibubapa masing-masing -

Dalam masa yang sama, pihak sekolah turut memahami keadaan ibubapa. Di mana, mungkin dalam perjalanan untuk jemput anak tersebut, tiba-tiba ada sebarang halangan yang tak dapat dielakkan. Sebagai contoh dalam perjalanan terpaksa mengharungi kesesakan jalanraya, tayar pancit dan sebagainya.

Untuk perkara ini, pihak sekolah telah menyediakan sebuah bilik yang disebut sebagai bilik transit sebagai persediaan. Setidak-tidaknya anak-anak ini tidak perlu terus berdiri jika ditakdirkan ibubapa terpaksa lewat dari jadual biasa. 

suasana pembukaan semula prasekolah malaysia
- bilik transit sebagai langkah persediaan untuk ibubapa -

Dalam masa yang sama, guru kelas akan menelefon penjaga untuk bertanyakan situasi ketika itu. Manalah tahu ada sebarang kecemasan yang tak dapat dielakkan atau sebagainya. Jika ibubapa sudah dalam perjalanan maka semuanya baik-baik saja. 

Kesimpulannya, walaupun ketika ini bersentuh, bermain dan bersalaman dengan rakan-rakan adalah dilarang, namun anak-anak ini tetap kelihatan ceria dengan pola baru persekolahan mereka. Walaupun sudah tidak boleh dipeluk dan dicium guru saat datang dan pulang namun anak-anak ini tetap menunjukkan rasa kasih mereka dengan cara yang lain. 

Sesungguhnya, kedatangan virus ini sedikit sebanyak mengajar anak-anak prasekolah ini untuk cuba memahami apakah situasi yang sedang berlaku. Walaupun kelihatan kekok namun mereka cuba menahan diri sedaya upaya dengan memberi kerjasama yang baik pada guru. Even ketika pakai kasut untuk pulang boleh berdiri dengan baik untuk tunggu rakan-rakan lain pakai kasut seorang demi seorang. 

suasana pembukaan semula prasekolah malaysia
- berbaris dan menanti rakan-rakan dengan penuh kerjasama -


Anakku sendiri saat ini, walaupun baru berusia 5 tahun tapi nampaknya dia dapat menerima dengan baik. Cuma itulah, bab aktiviti kerja sekolah sepanjang PKP... aduhai.. letih mama abah dan abang-abangnya ni minta buat dan buat. Tapi... hmmmm.. tak semua arahan dari kami dia nak follow. Aduhai sayang oiii...  

Mungkin kerana di rumah ni ada ramai beradik dan dia pula nombor dua terakhir dalam famili jadi agak manja perangainya di rumah. Bukan kami manjakan tapi dia sendiri bawa diri dengan sikap begitu. Moga-moga akan makin berubah dan semakin pandai berdikari seperti abang-abangnya yang lain.

Itulah serba sedikit pengalaman dalam menghantar anak kembali ke sekolah sempena permbukaan kembali prasekolah. Sebagai seorang ibu, daku mohon agar kita semua dapat sama-sama berdoa kepada pada guru-guru dan anak-anak kita sendiri yang sedang mengharungi situasi ini. 

Semoga urusan kita semua dipermudahkan dan walau corona sudah semakin menipis tapi itu tidak bermakna ia tidak boleh kembali semula. Teruskan dengan sikap berhati-hati dan kekalkan jarak pergerakan supaya tidak mendapat risiko yang boleh membawa padah.

p/s : saya sengaja tak dedahkan nama sekolah demi keselamatan anak-anak ini 

2 comments for "Pengalaman Hantar Anak Untuk Pembukaan Semula Prasekolah "

  1. Cucu wak pu dah sambung kelas prasekolahnya

    ReplyDelete
  2. woaaahh. Tahniah buat guru2 dan juga ibu bapa sbb komited dengan kerja masing2. Walaupon last minit, tetap gigih hadir.

    Saya tertanya jugak mcm manalah budak2 tadika nk gi kelas, tak susah ke untuk ikut SOP. tapi bila tgk gambar tu, Alhamdulillah. rupanya budak prasekolah pon mampu berdisiplin sebegitu rupa

    ReplyDelete