Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pindah Rumah Baru, Ikut Tips Panduan & Persediaan Ini

Pindah Rumah Baru, Ikut Tips Panduan & Persediaan Ini | Pindah rumah baru, satu perkara yang menyeronokkan. Saat ingin berpindah ke rumah baru, pastinya hati rasa teruja kerana bakal mendiami rumah di tempat baru. Tidak kisahlah berpindah ke rumah baru sama ada rumah sewa atau baru beli (milik sendiri), tips panduan dan persediaan untuk pindah rumah ini sama saja. 

Daku sendiri sudah ada pengalaman berpindah ke rumah baru beberapa kali. Buat masa ini hanya mampu berpindah ke rumah sewa kerana masih belum ada rezeki untuk mendiami rumah sendiri. Tak mengapalah, soal rezeki Allah SWT yang atur jadi tiba masa adalah rezeki itu nanti. 

tips panduan pengalaman pindah rumah baru

Terus terang, pindah rumah baru ini memang ada rasa teruja tapi dalam masa yang sama ada juga rasa tertekan dan penat dengan segala macam kerja untuk perpindahan tersebut. Di sini, daku akan kongsikan tips panduan, persediaan dan perkongsian pengalaman dalam urusan pindah rumah baru ini. 

Persediaan Pindah Rumah Baru Yang Penting Untuk Dibuat 

Setelah jumpa rumah baru untuk diduduki, terdapat beberapa perkara penting yang daku dan suami lakukan sebelum mula menduduki rumah tersebut. Perkara-perkara ini boleh dianggap sebagai persediaan kami untuk berpindah ke rumah baru dan menghuninya dalam keadaan yang lebih selesa. 

tips panduan pengalaman pindah rumah baru


Antara perkara yang kami lakukan adalah :

1. Semak Keadaan Rumah Terkini Untuk Tahu Kerosakan Yang Ada 

Setelah setuju untuk menyewa rumah tersebut, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan memeriksa keseluruhan rumah luar dan dalam bagi mengetahui keadaan rumah tersebut dengan lebih tepat. Jika ada kerosakan di mana-mana, saat ini boleh terus maklumkan pada tuan rumah. Walau kerosakan itu kecil, pastikan tuan rumah tahu sebelum kita mula menghuninya. 

Saat ini bolehlah berbincang dengan si pemilik rumah sama ada si owner ingin membaikinya dengan segera atau mungkin ingin kita membaikinya dan kos tersebut ditolak dari jumlah sewa rumah nanti. 

2. Semak Bil Api Air Terkini 

Ambil bil api dan air (tidak kisah bila punya bil), kemudian bawa ke TNB dan syarikat air mengikut negeri bagi menyemak baki bil yang terkini. Seandainya ada tunggakan maka segera maklumkan pada pemilik rumah untuk segera di ambil tindakan. Ini bagi mengelakkan masalah bekalan air dan api tatkala kita sudah berpindah nanti. 

3. Buat Permohonan Pindah Line Internet Mengikut Alamat Baru 

Jika ada guna line internet dengan talian tetap rumah (Streamyx / Unifi), bolehlah buat permohonan pindah talian telefon rumah di mana-mana cawangan Telekom yang berhampiran dengan alamat rumah baru. Jangka masa yang diperlukan untuk proses pemindahan talian telefon rumah ini boleh memakan masa sehingga 2 minggu, jadi ada baiknya buat permohonan lebih awal. 

4. Basuh Rumah Dengan Bersih 

Setelah semuanya selesai, bolehlah mula membersihkan rumah. Basuh dengan bersih sebelum mula diduduki. 

5. Cat Rumah Jika Mahu

Seeloknya, tanya tuan rumah tentang cat juga. Ada dikalangan tuan rumah sanggup untuk cat semula rumah sebelum penyewa duduk dan ada pula yang boleh menolak kos cat dari sewa rumah jika si penyewa sanggup untuk cat sendiri rumah tersebut. Untuk daku dan suami, kami cat sendiri dan kos cat di claim dalam sewa rumah bulan pertama. 

6. Potong Rumput Di Halaman

Sebelum mula menghuni, halaman hendaklah dibersihkan juga. Untuk rumah sewa yang daku duduki ini, alhamdulillah tuan rumah sanggup mengupah orang untuk membersihkan halaman termasuk potong rumput, tebang pokok mana yang menyemak pandangan, bersihkan longkang dan sebagainya. 

tips panduan pengalaman pindah rumah baru
- bersih halaman, potong rumput dll - 

7. Minta Izin Tuan Rumah Untuk Deko 

Jika suka berdeko, ada baiknya beritahu minat yang ada itu pada tuan rumah. Jadi tuan rumah boleh tahu kehendak kita. Bila beritahu awal begini, tuan rumah sendiri sedia maklum yang besar kemungkinan dinding rumahnya akan ditebuk untuk gantung frame dan lain-lain lagi. 

Bila ikut persediaan untuk masuk rumah baru ini secara tidak langsung dapat jimatkan duit kerana semua kerosakan sudah diperiksa. Jika ada kerosakan seperti paip tersumbat, lampu tidak mau hidup, longkang tersumbat, cat sudah berkulat dan sebagainya, semua ini boleh dibincangkan dengan tuan rumah. Secara tak langsung ia dapat menjimatkan kos. 

Tidaklah nanti sudah berpindah baru nampak ada pelbagai kerosakan hingga perlu dibaiki menggunakan duit poket sendiri. Sudahlah duit terpaksa keluar untuk bayar sebagai deposit. 

Panduan Tips Kemas Barang Untuk Pindah Rumah Baru

Selesai semua persediaan di atas, bolehlah mula kemas barangan di rumah lama untuk di bawa ke rumah baru. Untuk pindah ke rumah baru atau pindah rumah ini, sebaiknya semua barangan di dalam rumah lama hendaklah di kemas supaya mudah ketika proses angkat keluar. Barangan yang dikemas ini juga boleh membantu kita melihat barang apa yang selalu guna, jarang guna dan sama sekali tidak lagi digunakan.

Untuk barangan yang sama sekali tidak digunakan itu, andai telah rosak seeloknya buang saja dan jika masih boleh digunakan sedekahkan pada jiran terdekat, rakan ataupun saudara. Barang tersebut jarang guna jadi untuk apa hendak dibawa ke rumah baru. Buat sepah saja! Masa berpindah inilah boleh lihat barangan penting apa yang perlu di bawa bersama. 

Untuk lebih mudah pindah ke rumah baru, ikut panduan tips kemas barang di bawah ini : 

#1 - Sediakan Kotak-Kotak Atau Bekas Yang Besar

#2 - Mula Simpan Barang Ke Dalam Kotak 

#3 - Boleh Juga Guna Plastik Sampah Hitam Saiz Besar 

#4 - Letak Label Untuk Semua Barangan 

#5 - Hubungi Pihak Yang Ada Buat Servis Sewa Lori

#6 - Ambil Saiz Ukuran Ruang Rumah Baru Untuk Mudah Susun Atur 

#7 - Ambil Cuti Pada Hari Akan Berpindah 

#8 - Sehari Dua Sebelum Berpindah Masukkan Barang Kegunaan Selalu Dalam Kotak

#9 - Hubungi Rakan Atau Saudara Yang Boleh Membantu Angkat Barang 

#10 - Hari Berpindah, Pastikan Tiada Barangan Yang Tertinggal 


tips panduan pengalaman pindah rumah baru

tips panduan pengalaman pindah rumah baru


Doa Pindah Rumah Baru Menurut Islam 

Selalunya urusan pindah rumah baru ini akan turut di buat dengan majlis doa selamat tetapi ada juga yang sekadar membaca doa pindah rumah saja tanpa sebarang majlis sama sekali. Tak nak buat majlis doa selamat pun tak apa, lagi-lagi untuk yang berpindah ke rumah sewa. 

Walaubagaimanapun, sebagai seorang muslim kita digalakkan untuk menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah baru itu bagi mengindarkan syaitan turut masuk dan tinggal bersama. 

Antara amalan dan doa untuk pindah rumah baru ini adalah :
  • laungkan azan
  • baca surah Al-Baqarah
  • banyakkan solat dan mengaji AlQuran di rumah baru
  • baca surah Yassin, Al Ikhlas dan Al Fatihah
  • perdengarkan bacaan AlQuran di dalam rumah 

Doa yang sesuai di baca saat melangkah masuk ke rumah baru ini pula adalah : 

doa Pindah Rumah Baru


Selain dari perkara di atas, boleh juga lakukan perbuatan 'memagar rumah' mengikut kaedah Islam dengan cara merenjiskan air bacaan surah Yassin ke segenap penjuru rumah. Ohya jangan sesekali digantung apa-apa pula pada bahagian pintu dan sebagainya kerana itu adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. 

Bila masa terbaik untuk pindah ke rumah baru, maksudnya untuk mendiami atau mula tidur di rumah tersebut? Tidak pula ada sebarang nas berkaitan tarikh, hari atau sebagainya. Nak masuk bila-bila tak apa mengikut kehendak masing-masing. 

Pengalaman Pindah Rumah Baru 

Pengalaman sendiri pindah rumah baru, selalunya daku dan suami akan berpindah dalam masa yang terdekat. Jadi agak suntuk juga masanya untuk selesaikan semua perkara di atas. Tapi disebabkan semuanya di buat satu persatu maka segalanya dapat berjalan dengan lancar. 

Untuk urusan kemas rumah baru pula, kami akan menyusun barang perabot yang besar dulu. Mujurlah daku ini seorang yang suka membayangkan sesuatu ruang dengan perabor yang ada terlebih dulu jadi saat berpindah sudah tahu perabot yang ada ingin letak pada bahagian mana. Jika rasa tak okay sekalipun, boleh susun semula kemudian sedikit demi sedikit. 

Bila semua barang dari rumah lama ke rumah baru siap di angkat, terasa sedih pula. Manakan tidak, tempoh daku tinggal di rumah sewa yang lama ini sudah lama. Hampir 10 tahun! Terpaksa berpindah ini kerana rumah sewa lamaku ini banyak yang sudah rosak. Bila difikir-fikir akhirnya tuan rumah ambil keputusan untuk renovate.

Selamat Tinggal Rumah Lama Yang Banyak Kenangan Suka Duka 

tips panduan pengalaman pindah rumah baru


tips panduan pengalaman pindah rumah baru

Untuk tuan rumah yang daku sekeluarga duduki sekarang alhamdulillah baik sangat! Mana yang rosak jika kami baiki, maka tunjukkan saja bil dan seterusnya akan di potong pada sewa rumah nanti. 

Banyak jugalah yang suamiku bantu baiki sendiri dan untuk cat pula, daku sendiri yang cat bersama suami dan anak sulung seminggu sebelum tibanya hari berpindah. Nasib baik tuan rumah beri kunci awal untuk kami settle segala persiapan sebelum tarikh masuk barang. 

tips panduan pengalaman pindah rumah baru


Pantang Larang Pindah Rumah Baru 

Nabi SAW tidak mensyariatkan sebarang amalan khusus semasa berpindah ke rumah baru. Ini diterangkan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam video di bawah.

Itulah serba sedikit info mengenai cara pindah rumah baru tidak kiralah rumah sewa ataupun rumah kosong baru dibina dan sebagainya. Sebelum berpindah ke rumah baru atau rumah yang sudah lama kosong, eloklah diikut semua cara di atas dan jangan lupa perbanyakkan solat, berdoa, membaca AlQuran dan lain-lain amalan yang baik. 

Sedang dalam proses untuk pindah ke rumah baru? Semoga segalanya dipermudahkan. Aamiin. 


3 comments for "Pindah Rumah Baru, Ikut Tips Panduan & Persediaan Ini"

  1. seronok pindah rumah bru dpt rsa suasana baru enn tpi tu la penat..hihi

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Memang perlu tips begini sebab setiap orang ada pengalaman sendiri. Setiap pengalaman ini berbeza dan berguna kepada tuan rumah baru.

    ReplyDelete
  3. Perkongsian menarik. Seronoknya dapat pindah rumah baru

    ReplyDelete