Cara Buat Cili Hijau Jeruk Sedap Rangup Yang Tahan Lama | Cili jeruk in english disebut sebagai Chilies Pickles dan cili jeruk ni paling best kalau makan bersama dengan char kue teau. Memang terangkat habis! Untuk pantai timur (Kelantan terutamanya), cili jeruk ini dikenali sebagai lada jeruk yang sering dinikmati bersama nasi kerabu. Ibu mertuaku memang sering juga buat cili jeruk ni untuk dicampur bersama dengan budu tatkala makan nasi. 

Resepi untuk buat cili jeruk sedap dan rangup serta tahan lama secara homemade telah banyak dikongsikan. Antaranya ada resepi cili jeruk kak jee, resepi lada jeruk azie kitchen, resepi cili jeruk mat gebu, resepi cili jeruk ala thai dan banyak lagi.

Dalam banyak-banyak resepi yang ada di Google, daku paling tertarik dengan resepi cili jeruk cara mudah tapi tetap sedap dan rangup yang akan dikongsikan di sini. Bagi yang belum tahu cara-cara nak buat cili jeruk yang sedap, rangup dan tahan lama khususnya, bolehlah cuba buat ikut resepi ini bersama-sama. 

Cara Buat Cili Hijau Jeruk
Resepi Cara Buat Cili Hijau Jeruk


Resepi Cili Jeruk Homemade : Bahan Dan Cara Membuatnya

Hanya dengan menggunakan bahan yang sedikit, dah boleh buat cili jeruk yang tahan berbulan-bulan dan kekal sedap rangup untuk di makan sebagai pelengkap rasa. 

  • Bahan-Bahan:
  • 10 hingga 15 biji Cili Hijau - hiris nipis atau tebal ikut suka 
  • 1 cawan Cuka 
  • 1 cawan Air 
  • 3 sudu besar Gula 
  • 1 sudu teh Garam

  • Cara Membuat Cili Jeruk :
1. Letakkan hirisan cili di dalam botol kaca. 

2. Masak air, cuka, gula, garam sehingga mendidih kemudian tuangkan ke dalam botol dan tutup 

3. Biarkan sehingga cili bertukar warna kepada hijau pucat dan sejukkan di suhu bilik. 

4. Sedia untuk di hidangkan bersama segala jenis mee goreng/sup/basah.


Tips :

Antara tips utama yang menjadikan resepi cili jeruk ini rangup adalah dengan menggunakan cili besar hijau yang masih muda, jika di Kelantan jenis cili ini seringkali di buat solok dan dimasukkan di dalam gulai darat.

Buang biji nya kalau tak mahu pedas dan botol dan cili kena betul-betul kering. Jika tidak, cili jeruk tidak tahan lama dan akan diselaputi lapisan putih (kulat).

Cara Buat Cili Hijau Jeruk

Cara Buat Cili Jeruk Kicap Adakah Sama?

Okay untuk resepi cili jeruk kicap, ia tak sesuah cili jeruk yang perlu diperap lama ni. Untuk resepi cili jeruk kicap simple je sebenarnya. 

Bahan untuk buat resepi cili jeruk kicap adalah : 
  •  5 biji cili merah (kalau cili yang kecut lagi bagus) 
  • 1/2 cawan kicap manis 
  • 1 sudu makan cuka 

Cara untuk membuat cili jeruk kicap : 
1. Hiris cili nipis-nipis dan jika cili itu sudah kecut, guntingkan saja tanpa perlu dibuang bijinya. 
2. Tuangkan kicap manis dan cuka ke dalam mangkuk yang berisi cili tersebut dan biarkan seketika supaya rasanya menjadi lebih mesra. Nak lagi sedap, lebih baik jika disediakan sehari sebelum. Simpan dalam bekas bertutup

Itulah dia cara dan bahan yang diperlukan untuk buat cili jeruk dan juga cili jeruk kicap. Untuk buat cili jeruk, pastikan guna cili hijau yang masih muda okay, bukannya cili merah. Dan sebelum mula membuat cili jeruk ini pastikan juga untuk sedia botol untuk disimpan terlebih dahulu supaya tempoh penyediaan menjadi lebih senang. 
Cara-cara penyediaan cili jeruk bermula dari dipotong, disejat dan dicuci cili hingga bersih. Pengeringan juga penting dalam cara buat cili jeruk ini kerana jika tersilap ia tidak akan tahan lama sehingga berbulan-bulan sebagaimana yang diharapkan. 

Selain jeruk cili hijau seperti di dalam gambar, boleh juga buat jeruk cili padi yang juga sedap seperti rasa jeruk cili hijau biasa tu. Tak kisahlah, yang penting memang lebih jimat bila buat sendiri kerana harga cili jeruk ni kalau nak di beli, mahal juga tau! 









Terima kasih kerana membaca. Apa pendapat anda tentang artikel ini? Jemput komen di bawah.