Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bolehkah Isteri Beri Sedekah Pada Suami? Apa Hukumnya?

Bolehkah Isteri Beri Sedekah Pada Suami? Apa Hukumnya? | Beri sedekah dan derma pada orang yang meminta sedekah dan derma itu biasa. Dah sering kita semua buat pun! Tapi, persoalannya di sini, bolehkah isteri beri sedekah pada suami? 

Yelah, kan sepatutnya si suami tu beri nafkah pada si isteri kerana itu adalah tanggungjawabnya. Tapi, di sini tiba-tiba timbul isu beri isteri beri sedekah kepada suami. Bolehkah? Apa hukumnya? 

Sebagai seorang isteri, aku ada pandangan tersendiri mengenai perkara ini. Untuk isteri yang lain, jika anggap sedekah pada suami itu tak perlu, mungkin benar seandainya suami tahap gaji tinggi dengan jumlah tanggungan yang tidak ramai.

Tapi untuk ku yang punya 6 anak ini, aku sedar yang suami perlu dibantu. 6 orang anak kami adalah amanah yang perlu kami besarkan bersama. 

Perlu kami rasa susah senang bersama-sama tanpa ada istilah, 

"Awak suami! Awak yang kena cari duit! Awak yang kena bagi duit! Awak yang kena bagi nafkah, bukannya saya!"

Di sini aku akan kongsikan apakah sedekah itu sebenarnya. Apakah pula hukum isteri beri sedekah kepada suami, apakah ganjaran untuk si isteri dan bolehkah isteri memberi zakat kepada suami menurut hasil pencarian dan pembacaanku.  

Bolehkah Isteri Beri Sedekah Pada suami


Pertama sekali, kita kena tahu terdapat tiga jenis pemberian di dalam Islam iaitu : 

  • Zakat
  • Infak 
  • Sedekah 

Pengertian Sedekah Dalam Islam 

Untuk pengertian sedekah, ia sama dengan pengertian infak sama-sama dipakai dalam istilah membelanjakan harta. Makna sedekah sering menunjukkan makna memberikan harta untuk hal tertentu di jalan Allah, sebagaimana yang terdapat dalam banyak ayat-ayat Al-Quran. 

Sedekah sebenarnya mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam. Secara mudahnya, ia boleh didefinisikan sebagai pemberian bergantung kepada niat invdividu yang ingin memberi sedekah tersebut.

Sedekah atau sadaqah berasal dari perkataan Arab (صدقة‎) yang bermaksud benar.

Bersedekah suatu amalan yang suci murni lagi terpuji sebagai keperihatinan dengan nasib dan kesusahan orang lain seperti mana yang amat dituntut oleh Islam. 

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik amal adalah memberi makan (kepada fakir miskin dan anak yatim) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.”  (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Nasa’i r.a.)

Bolehkah Isteri Beri Sedekah Pada Suami? Apa Hukumnya? 

Okay! Sekarang soal isteri  beri sedekah kepada suami. 

Dalam Islam, pahala sedekah yang utama hingga boleh mendapat pahala yang besar adalah sedekah yang diberikan kepada kerabat terdekat. Senarai untuk kita beri sedekah dengan ganjaran pahala yang sangat besar ini adalah:

  • Ibu dan ayah
  • Suami / Isteri 
  • Anak Yatim
  • Fakir Miskin 

Niat sewaktu ingin memberikan sedekah itu adalah ikhlas kerana Allah Taala. Disebabkan itu seorang perempuan atau isteri boleh memberikan sedekah kepada suaminya sendiri walaupun suami yang sepatutnya memberi nafkah kepada si isteri. 

Untuk lebih mudah faham. 

NAFKAH - sara hidup yang suami WAJIB beri pada isterinya. 

SEDEKAH - isteri beri pada suami sebagai tanda kasih sayang. Hukumnya tidak wajib cuma jika isteri buat dapat pahala yang besar.

Sedekah pada suami ini boleh di beri dalam pelbagai bentuk. Isteri buat kerja rumah hari-hari niat kerana Allah Taala itu sedekah. Isteri sediakan minuman sewaktu suami balik kerja, itupun di kira sedekah. Bahkan, kita tolong buang ranting kayu yang jatuh ditengah jalan juga di anggap sebagai sedekah.

Terpulanglah pada si isteri nak beri sedekah hingga tahap mana dan dalam bentuk yang bagaimana. Nak beri dalam bentuk wang ringgit pun tak apa. 

Beri Sedekah Kepada Suami, Isteri Dapat DUA Pahala 

Ketika seorang istri bersedekah kepada suaminya, ia mendapatkan dua pahala, seperti sabda Rasulullah SAW , “Bagi kedua wanita itu mendapatkan dua pahala, yaitu pahala (menyambung) kerabat dan pahala sedekah.” (Muttafaqun ‘alaih).


Hukum Sedekah Menurut Islam

Allah SWT menetapkan bahawa hukum sedekah ini adalah SUNAT tak kira masa. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 245 bermaksud: 

“Sesiapa yang memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkah hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak”.


Hadith Isteri Beri Sedekah Pada Suami 

Hadits tentang sedekah kepada keluarga terutama suami. 

Bersedekah kepada suami, tercantum dalam hadis yang diriwayatkan dari Zainab ats-Tsaqafiyah, istri Abdullah bin Mas’ud, ia berkata, 

Rasulullah SAW bersabda, “Wahai kaum wanita bersedekahlah kamu sekalian walaupun dari perhiasanmu.” 

Kemudian Zainab kembali bertutur , “Saya pulang menemui Abdullah bin Mas’ud (suamiku), dan menyatakan, “Sesungguhnya engkau laki-laki yang sedikit penghasilannya sedangkan Rasulullah SAW memerintahkan kami bersedekah maka datangilah dan bertanyalah kepada beliau. Kalau boleh, saya bersedekah kepadamu dan kalau tidak boleh saya berikan kepada orang lain.’’

Abdullah berkata, ‘’Kamu sendirilah yang datang kepada beliau.’’ Maka saya pun berangkat ke tempat Rasulullah SAW dan di sana ada seorang perempuan Anshar yang berada di pintu beliau untuk menyampaikan permasalahan yang sama. Zainab diizinkan masuk. 

Ia bertanya, "Wahai Nabiyullah! Engkau hari ini memerintah kami bersedekah. Aku memiliki perhiasan dan ingin menyedekahkannya. Namun, Ibnu Mas'ud menganggap bahwa dirinya dan anaknya adalah orang yang paling pantas memperoleh sedekahku." 

Nabi SAW bersabda, "Benar kata Ibnu Mas'ud. Suami dan anakmu adalah orang yang paling pantas mendapatkan sedekahmu tersebut." (HR. Bukhari)


Bolehkah Isteri Membayar Zakat Kepada Suami?


Jika tadi tentang sedekah, ini pula tentang zakat. Apakah hukum isteri membayar zakat kepada suaminya? 

Menurut apa yang dijelaskan menurut website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mereka menyatakan bahawa hukum isteri membayar zakat kepada suaminya adalah HARUS DAN SAH jika sekiranya suaminya daripada golongan yang berhak menerima zakat, dengan bersandarkan kepada pandangan jumhur ulama’. 

Namun begitu, kita turut dinasihati untuk membina keluarga dan rumahtangga yang harmoni tenteram hendaklah ada sikap saling membantu dan berkongsi susah-senang antara pasangan. 

Baginda Nabi Tak Terima Sedekah! Baginda Hanya Terima Hadiah

Hukum memakan makanan yang diniatkan untuk bersedekah adalah harus dan tidak berdosa. Akan tetapi, Baginda Nabi Muhammad SAW hanya menerima dan makan dari makanan yang diberikan sebagai hadiah, tapi tidak akan makan dari makanan yang diberikan dengan niat untuk sedekah. Keturunan Nabi Muhammad SAW juga tidak makan harta sedekah (zakat).

Ada beberapa alasan yang disimpulkan oleh para ulama mengapa nabi dan keluarganya tidak diperbolehkan menerima sedekah (zakat). Antaranya, zakat dan sedekah merupakan ibadah yang sering dilakukan dengan niat untuk membersihkan harta yang dimiliki. 

Beri Duit Dengan Niat Sebagai Hadiah Adalah Lebih Baik! 

Seorang isteri yang bersedekah kepada pasangan atau ahli keluarganya merupakan satu perbuatan yang terpuji. Terpulanglah nak bersedekah dalam bentuk apa kerana sebuah senyuman itu sudah di kira sebagai satu sedekah. Cuma dengan memberi wang ringgit, kadangkala timbul salah faham. 

Untuk diriku sendiri, aku memberi wang pada suami dengan niat sebagai hadiah kerana Allah Taala buat meringankan beban suami. Tak pernah sesekali aku anggap ini sedekah (walaupun hakikatnya ia adalah satu sedekah) kerana aku tak pernah sekalipun berniat untuk menjatuhkan maruah suami. 

Sesungguhnya, suami sama sekali tidak pernah meminta sepanjang kami berkahwin selama hampir 20 tahun ini. 

Contoh, wang seperti di dalam gambar di bawah (simpan sikit-sikit dari hasil berblog), aku beri untuk suami gunakan sebagai backup perbelanjaan anak-anak buka sekolah. 

Selain dari hadiah sebegini ada juga beri khusus untuk suami sebagai tanda kasih sayang. Suami pun ada juga kasi hadiah padaku macam-macam. Antaranya beri ku kereta, bantu uruskan urusan itu dan ini yang aku sendiri tak tahu nak buat dan bermacam-macam lagi. 

Bolehkah Isteri Beri Sedekah Pada Suami?

ketika beri, boleh niat sahaja aku bantu suami dengan ikhlas kerana Allah Taala. InshaAllah dapat hilangkan sikap mengungkit! 


Suami Suka Minta Duit Isteri, Itu Dayus Namanya!

Aku cukup tak suka sikap pada sikap mana-mana suami yang suka minta duit isteri! Lagi-lagi jika si suami itu seorang yang malas berkerja. Terus terang si isteri dengan sendirinya akan membantu suami dengan seikhlas hati andainya si suami itu bersikap baik, penyayang, rajin kerja mencari nafkah dan bertanggungjawab. 

Jika sedang bercinta si lelaki sudah mula minta duit, segera elakkan diri. Itu bukan ciri-ciri seorang suami yang baik!


Dalam Rumahtangga Kena Ada Sikap Give And Take

Untuk diri ini, soal nafkah suami tetap suami beri macam biasa tanpa gagal dan sedekah hadiah yang ku beri pada suami ini hanyalah sebagai tanda kasih seorang isteri di atas segala pengorbanan yang telah suami lakukan.

Rezki ini semuanya datang dari Allah SWT. Kadangkala ia datang lebih ke tangan suami, ke tangan isteri, ke tangan anak-anak dan ke tangan ibu bapa. 

Jadi, atas kita bagaimana untuk membelanjakan rezki lebih yang Allah SWT beri. Yang pasti, dalam AlQuran sudah di sebut yang sedekah itu adalah 'kunci' untuk mendapatkan rezeki yang lebih banyak lagi. 

P/s: Bagi isteri yang ingin bersedekah kepada orang lain di atas nama suaminya, dengan menggunakan wang kepunyaan suami. Si isteri perlu meminta izin daripada si suami atas harta yang ingin disedekahkan itu.


Jemput join :

Telegram Rasmi Sis Hawa Blog 👉  https://t.me/sishawadotcom

Telegram Rasmi Info Ibu Hamil & Baby 👉  https://t.me/ibuhamilmalaysia


3 comments for "Bolehkah Isteri Beri Sedekah Pada Suami? Apa Hukumnya? "