Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi Halau Hantu

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi Halau Hantu | Kita sudah biasa dengar nama bunga tahi ayam yang dikatakan berguna untuk menghalau serangga seperti nyamuk dan sebagainya. Tapi, tahukah kalian selain pokok bunga tahi ayam , ada sejenis lagi pokok dengan nama pelik seakan sama iaitu Pokok Tambun Tahi.

Pernah dengar nama pokok tambun tahi / taik? Kalau tak pernah dengar, di sini daku akan kongsikan pengalaman sendiri guna duri pokok tambun taik untuk halau hantu. Ini kisah benar yang benar-benar aku lalui suatu ketika dulu, bukan satu rekaan. 

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi
duri pokok tambun tahi - sumber Google 

Apa Itu Pokok Tambun Tahi / Taik?

Untuk pengetahuan, pokok tambun tahi/taik bukan berbau busuk pun. Pokok ini merupakan sejenis pohon yang tumbuh meliar dengan duri yang agak panjang. Pohon tambun tahi ini, walaupun pohonnya nampak berduri kasar dan menggerikan, bahagian pucuk tumbuhan ini boleh dibuat ulam.

Pokok ini pelbagai kegunaan kerana pucuknya sedap untuk di buat nasi ulam Utara. 
Bahagian batang dahannya boleh dijadikan sebagai alat menangkap ikan dan memburu. Manakala duri yang berbisa itu sering dicari sebagai alat rawatan mistik. 

Kiranya pokok ini dianggap sebagai salah satu jenis pohon yang banyak manfaat tradisional. Bagi perdu pokok yang telah tua durinya akan semakin berkurangan di bahagian perdunya. 

Tak dinafikan hanya orang yang biasa guna saja akan mencari pokok tambun taik ini. Aku salah seorang yang pernah lihat, pegang dan guna duri pokok tambun tahi ini secara nyata. 

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi


Kenapa Namanya Pokok Tambun Tahi / Taik?

Berdasarkan cerita dari orang lama-lama, termasuk apa yang ibuku beritahu, bahagian duri pokok tambun tahi ini dikatakan sangat berbisa sehinggakan boleh menyebabkan orang yang tertusuk durinya tidak dapat bergerak kemana-mana.

Jika terkena duri pokok ini, di situlah akan terus terlantar untuk dirawat, makan minum dan membuang najis. Sehingga terjadilah perkataan tambun tahi akibat pembuangan najis di satu tempat sahaja akibat tidak boleh bergerak kemana-mana lagi. 

Kesahihan cerita ini tak dapat dipastikan kerana ini sekadar cerita secara lisan dari orang lama-lama yang di kumpul. Aku sendiri tak berani nak cuba buat. 

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi
pokok tambun tahi - sumber Google 

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi Halau Hantu 

Kejadian ini berlaku pada tahun 2003, saat aku tinggal di sebuah rumah flat dalam Bandar Teknologi Kajang. Waktu tu, anak sulungku baru berusia dalam 5 bulan macam tu. Pada waktu tersebut, suamiku berkerja shift malam direct. Maka tinggallah aku dan anak hanya berdua saban malam. 

Sebagai seorang surirumah sepenuh masa, aku menjaga anak dengan baik termasuk melakukan kerja-kerja rumah. Baju pakaian anakku pula, aku basuh dan lipat sepasang demi sepasang (baju bersama seluar) dan di simpan semuanya dalam sebuah almari khas untuk pakaian anak. 

Suatu masa, kejadian pelik mula berlaku. 

Saat aku ingin pakaikan baju pada anak, beberapa helai pakaian anak hilang. Bukan hilang terus sepasang tapi hilang secara rawak. Maksudnya, ada yang hanya hilang baju (seluar masih ada) dan ada yang hanya hilang seluar (baju masih ada). Kiranya, saat ambil baju yang sudah dilipat secara berpasangan, ada diantaranya sudah hilang.

Persoalannya di sini, siapa yang ambil sedangkan hanya aku, suami dan anak saja yang tinggal di dalam rumah itu. 

Makin rungsing apabila anakku yang biasanya tidur malam tepat pada waktu, kini sudah tidak mahu tidur. Tak menangis tapi seronok gelak ketawa seperti di agah. Seakan-akan ada seseorang sedang bermain bersamanya. 

Jadual tidur anakku mula bertukar. Waktu tengah malam dia akan berjaga dan waktu hampir subuh dia akan terlelap hingga ke tengah hari. 

Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi
kawasan flat ini pernah ku huni 18 tahun lalu - sumber Google 


Hubungi Emak Di Kampung Minta Bantuan 

Menyedari akan keadaan yang tak masuk akal itu, aku call emak di kampung. Dan emak sendiri dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku. Dengan rasa risau, emak mula mendapatkan bantuan dari seseorang yang agak terkenal dalam bidang perubatan Islam. 

Hasil dari bantuan perubatan secara Islam itu, emak telah poskan guna khidmat bas ekspress bahan-bahan yang disediakan untukku. Bila aku tanya emak, apakah yang sedang berlaku? Emak hanya minta aku lakukan mengikut arahan dan jangan banyak tanya. Aku terdiam!

Berkat tindakan emak kirim barang guna bas ekspress, aku terima semuanya dengan cepat, tak sampai 24 jam. Bila di buka sebuah kotak kecil yang emak kirimkan, di dalamnya ada beras kunyit dan juga sebatang duri. 

Bila ku tanya duri apa ni? Jawapan emak, itu duri pokok tambun taik. Pesan emak, duri itu jangan tertusuk ke mana-mana bahagian dan letakkan saja duri itu di bawah tilam tempat tidur. Manakala beras kunyit pula, taburkan keliling bilik. 

Misi Halau Hantu Seorang Diri Bermula 

Mendengar akan segala arahan yang emak sampaikan, aku dah boleh agak, ini semua ada kena mengena dengan alam mistik. 

Disebabkan tidak mahu berbalah atau berbeza pendapat dengan suami, maka aku nekad untuk lakukan ini semua seorang diri. Aku tak minta suami bercuti sebaliknya aku suruh suami pergi kerja seperti biasa. 

Dengan niat sebagai salah satu cara untuk berikhtiar berkat izin Allah, aku ikut arahan yang emak sampaikan. Aku buat sebagaimana yang di suruh sambil memohon doa pada Allah. 

Aku lakukan itu semua pada waktu siang hari dengan rasa debaran yang amat kuat saat menunggu malam hari tiba. 

Allah Tunjukkan Segalanya Depan Mata!

Malam itu, alhamdulillah anakku lena dengan nyenyak tak seperti kebiasaan. Aku pasang kelambu (Bandar Tech banyak nyamuk) dan lampu dalam bilik ku tutup. Tetapi pintu bilik ku buka supaya biasan lampu dari ruang tamu dapat menerobos masuk melalui langsir bilik yang ku pasang. 

Aku ikut berbaring dalam posisi tidur di sebelah anak. Anak ku letakkan di sebelah kiriku, betul-betul di tepi dinding. Saat itu ku hanya berdiam diri dengan penuh rasa berdebar menunggu apa saja yang terjadi. 

Lepas detik tengah malam, dengan tiba-tiba aku dapat melihat langsir bilik tidurku yang panjang mencecah lantai itu tersingkap. Ya, tersingkap langsir pintu bilik ku ke atas seperti sedang di angkat oleh seseorang. 

Setelah langsir pintu bilik tersingkap, aku dapat melihat dengan jelas bayang-bayang hitam seorang anak kecil setinggi paras lutut berjalan perlahan memasuki bilik dan langsir bilik kembali jatuh ke kedudukan asal.  

Ya! Depan mata aku telah melihat segalanya. Aku mula membuat andaian yang makhluk itu adalah toyol. Cepat-cepat ku pusingkan badan ke kiri dan merangkul anak ku ke dalam pelukan. Dalam hati, apa nak jadi... jadilah! Aku terus menerus memohon doa kepada Allah SWT.

Dalam sekelip mata aku dapat merasakan ada angin yang sejuk melintas di atas tangan kananku yang sedang memeluk anak. Angin sejuk itu bergerak laju dan terus hilang keluar dari tingkap bilik belakang yang ku huni. 

tingkap bilik belakang 


Dapat Mimpi Pada Malam Yang Sama 


Setelah segalanya berlaku, aku dapat rasakan mataku semakin berat dan mula terasa mengantuk yang amat sangat. Entah bilanya aku terlelap, tiba-tiba terasa sedang berada di satu tempat. 

Keadaan tempat itu seperti sebuah kantin sekolah dengan meja dan kerusi kayu panjang. Ramai orang di situ dan masing-masing berpakaian berwarna putih termasuk warna pakaian yang ku pakai. Aku duduk di sebuah kerusi panjang pada sudut yang paling hujung dan dari jauh kelihatan beberapa orang perempuan cantik sedang bersembang. 

Rambut mereka lurus panjang mengurai, berpakaian serba putih dengan wajah yang agak cantik. Mereka berjalan bersama menghampiri tempatku duduk dan salah seorang daripadanya tersenyum dan memulakan bicara dengan aku.

Kata-katanya masih tetap ku ingat hingga ke hari ini : 

Dia : Nama saya _____ (tak perlu ku beritahu di sini), saya nak kawan dengan Aiman (nama anakku), tapi saya mati dah.

Saat ku dengar ayat terakhir yang disebutnya, menggeletar satu tubuh. Menggigil tanganku. Namun jawapan balas yang ku beri dalam mimpi itu bernada agak tegas. Masih juga ku ingat iaitu : 

Aku : Kalau mati dah, tak boleh kawan! Dunia kita tak sama. 

Sebaik saja tersedar dari mimpi, segera ku toleh lihat anak di sebelah, alhamdulillah dia masih tidur dengan baik dan nyenyak.   

Siangnya Terus Call Emak 

Bila aku beritahu semuanya pada emak, barulah emak menceritakan segala apa yang berlaku. Kata emak, semasa dapatkan bantuan rawatan Islam itu, emak diberitahu yang itu adalah kerja toyol. Ada toyol telah dihantar ke rumahku untuk mencuri pakaian anak.

Pakaian yang dicuri itu dikatakan untuk di buat sebagai pelaris untuk kedai makan. Pakaian anak yang di curi itu dimasukkan ke dalam air rebusan di kedai. 

Air rebusan itu digunakan untuk buat minuman atau makanan buat pelanggan. Hasilnya sebagaimana orang suka pada anakku, tahap masa orang tertarik dengan anakku, begitulah juga orang suka dan tertarik dengan kedai makan tersebut. 

Tak dinafikan anakku pada waktu itu memang comel dengan kulitnya yang putih gebu. Anakku juga seorang yang cukup mudah di dekati. Siapa saja boleh ambil dan dukung. Orang agah dengan mudah anakku akan suka dan tersenyum. 

Kata emak lagi, tuannya suruh si toyol ini curi baju saja tapi.... si toyol telah jatuh suka pada anakku. Disebabkan itu si toyol kembali saban malam untuk bermain dengan anak. 

Sejak dari hari itu, alhamdulillah kehidupan kami kembali aman. Sudah tak berlaku lagi kejadian hilang pakaian dan aku juga sudah tidak bermimpi yang bukan-bukan lagi. Berkat bantuan Allah SWT bersama ikhtiar yang ibuku dapatkan, aku berjaya lalui semuanya. 


Kenangan Guna Duri Pokok Tambun Tahi Tak Akan Kulupakan!

Teringat lagi saat aku lihat sendiri duri pokok tambun taik tersebut. Memang panjang durinya! Hujungnya juga sangat tajam dan halus. Ternyata pokok yang Allah SWT hadirkan ada kegunaannya.

Adakah hantu takut dengan duri pokok ini? Entahlah! Tapi memang ramai juga yang cakap bahawa hantu ada rasa takut dengan duri pokok tambun taik ini. 

Ada juga cerita yang mengatakan bahawa orang tua-tua yang ada tanam pokok ini, amat melarang keras sesiapa saja dari mendekati pokok tambun tahi terumata pada waktu hampir senja. 

Itulah salah satu kenangan bagaimana aku berdepan dengan makhluk alam lain a.k.a hantu toyol secara sendirian di dalam rumah demi anak. Syukur alhamdulillah, segalanya berakhir dengan baik. 

Selain kejadian ini, aku ada juga alami kejadian berkaitan dengan hantu langsuir. Aku sendiri dah pernah dengar dengan jelas suara hantu langsuir tersebut. Memang lain macam bunyi gelaknya! 

Kalian di sana bagaimana? Pernah berdepan dengan perkara seperti ini? Jika ada boleh kongsikan di ruangan komen. 


Kredit gambar : http://qudriusahawantani.blogspot.com/
 
 

Join Geng Telegram

 
 


4 comments for "Pengalaman Sendiri Guna Pokok Duri Tambun Tahi Halau Hantu "

  1. Seram sejuk abe kie membaca kisah awa ni. Mujur segalanya happy ending.

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah abam kie, sedar x sedar dh dekat 18y kisah ni berlalu tapi sampai skrg tak leh lupa

      Delete
  2. Hai kak awa. Rabia singgah ke sini. Lama betul tak bw blog kak. Kak sihat?

    ReplyDelete
    Replies
    1. hi Rabia. alhamdulillah sihat. terima kasih sudi singgah :D

      Delete