Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sebab Kenapa Jual Beli Cedok Cedok Tiktok Haram

Sebab Kenapa Jual Beli Cedok Cedok di Tiktok Haram | Dunia online sekarang ada saja yang berlaku dan inilah yang dikatakan ujian akhir zaman. Terbaru, sedang viral konsep jual beli cedok cedok live Tiktok hingga menjadi trend hangat. 

Sebenarnya jual beli kaedah cedok-cedok ini sudah banyak dilakukan oleh penjual asing di Tiktok mereka dan nampaknya kaedah ini sudah tular hingga ke penjual Malaysia. 

Apa Maksud Cedok?

Cedok maksudnya mengaut atau mengambil dengan senduk (cebok, gayung, dan lain-lain). Cedok in english is scoop.

Antara barangan yang dijual dengan cara cedok-cedok di Tiktok ini seperti kerongsang, gula-gula, barang alat makeup, emas saduran dan banyak lagi.

Cara Jual Cedok Yang Dijalankan Penjual Tiktok Live 

Contoh Jual Cedok Cedok Tiktok #1

Trend ini dilakukan contohnya penjual akan mencedok satu barang make-up bernilai RM80, pembeli pun mengambil keputusan untuk membeli satu cedok. 

Maka bergantunglah pada nasib semata-mata akan dapat barang makeup apa. 

Contoh Jual Cedok Cedok Tiktok #2

Untuk barangan yang kecil jual beli cedok ini selalunya serendah RM5. Pembeli hanya menetapkan nilai atau harga belian, dan peniaga akan mencedok sekali atau beberapa kali bagi pihak pembeli. 

Kiranya pembeli tak boleh pilih. penjual akan jual 1 cedok dan ikut nasib dapat berapa banyak barang. 

Contoh Jual Cedok Cedok Tiktok #3

Selain cedok, baru-baru ini ada juga penjual yang meletakkan barangan dalam bekas kecil-kecil. Pembeli buat keputusan mahu beli berapa bekas dengan syarat bayar dulu RM40 (contohnya) untuk 5 bekas. 

Penjual akan memilih 5 bekas kecil tersebut yang sememangnya tidak nampak apa isi di dalamnya, dan bergantunglah pada nasib semata-mata. 

Apa yang telah dipilih oleh penjual itu dikira telah dijual pada si pembeli tanpa ada sebarang pilihan pada pembeli lagi. 

Bila beli barang cedok, pelanggan tak tahu perincian barang yang mereka dapat. Jadi, sah ke jual beli itu? Jelas dan nyata jawapan ada di depan mata. Cuma mungkin sengaja dinafikan. 

Trend-jual-beli-cedok-live-tiktok
Trend jual beli cedok live

Jual Beli Yang Tidak Jelas Barangan Ada Unsur Gharar

Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW sangat-sangat menitikberatkan cara-cara berniaga. Tambahan pula Baginda sendiri merupakan seorang peniaga dulunya.  

Pakar syariah dan muamalat, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata, menjual dengan cara tersebut adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW. 

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) menegaskan bahawa kaedah tersebut sama seperti jual beli al-mulamasah yang diharamkan kerana begitu jelas terdapat unsur gharar fahisy.

Apa Maksud Gharar?

Gharar bermaksud ketidakpastian yang mana ia merupakan elemen tidak patuh syariah. 

Terdapat gharar dalam dua keadaan : 

1. Gharar Struktur / Gharar Wujud

Gharar jenis ini asas jual beli itu tidak dapat dipastikan sama ada barangan tersebut diperoleh atau tidak. 

2. Gharar Al-Siffah 

Ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi. 

Konsep Jual Beli Cedok Cedok Live Tiktok Haram

Menjual dengan cara cedok cedok di live Tiktok ini adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan oleh Nabi SAW. 

Ia sama bentuk seperti jual beli al-mulamasah yang diharamkan kerana unsur gharar fahisy yang jelas. 

Rasulullah SAW telah melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah. (Sahih Bukhari dan Muslim) 

Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti  baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual. 

Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual dan tidak boleh lagi ada pilihan. 

Jual beli sebegini, menurut Ibn Hajar al-Asqalani sebagai bentuk jual beli jahiliah. Imam Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil, tak sah kerana mengandungi unsur gharar. 

Kenapa Kaedah Jual Beli Ini Haram 

Hukum jual beli menggunakan kaedah cedok cedok di live Tiktok ini adalah haram di sisi syarak kerana wujudnya elemen berikut: 

1. Gharar iaitu ketidaktentuan semasa aqad barangan yang diperolehi secara tepat dengan bayaran yang dibuat. 

2. Jahalah, ketidaktentuan barangan yang diperolehi. Tak dapat dipegang dan dilihat dengan jelas dan bergantung pada nasib semata-mata. Tak pasti juga barangan akan diperolehi atau tidak.

3. Elemen maysir atau judi, iaitu satu pihak akan untung dan satu pihak akan rugi, yang untung atas kerugian orang lain.

jual-beli-cedok-cedok-live-tiktok
Jual beli cedok haram di Malaysia.

Rasulullah SAW Melarang Keras Bentuk Jual Beli Gharar 

Gharar ialah jual beli yang mana pembeli tidak dapat pastikan barangan yang akan diperolehi (mastur al-aqibah). Bahkan bentuk dan struktur jual beli tersebut sudah dicipta untuk mewujudkan unsur ketidakpastian. 

Gharar ada dua keadaan, sama ada gharar wujud, yang mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barangan diperoleh atau tidak. 

Keduanya gharar al-siffah, iaitu ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi. Cedok-cedok adalah sama sama dengan jual beli mulamasah yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar. 

Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.

Jual Beli Islam Ada Tatacaranya 

Sedangkan bila order nak beli burger sebiji, kejap lagi datang ambil patut didahulukan bayarannya. Jual beli juga ada akadnya selepas pembeli puashati dengan barangan. 

"Saya jual dengan harga tersebut" 

"Saya beli dengan harga yang tersebut."

Inikan pula sama sekali tidak dapat melihat barangan dengan jelas. Hanya bayar sesuatu jumlah dan bergantung pada nasib semata-mata, maka ianya bukanlah satu konsep jual dan beli yang dibenarkan dalam Islam. 

 Hati-hatilah sama ada penjual atau pembeli, kedua-duanya diharamkan terlibat dalam aktiviti seperti ini. 

Ia adalah amalan jahiliah yang tidak wajar dijadikan bisnes mahupun sengaja nak buat konten. Mungkin ada orang kata, ala, setakat jual 5 ringgit gula-gula saya. Sikit banyak jumlahnya, jika sudah ada ciri-ciri gharar maka ia tetap Haram!

Kesimpulan

Trend peniaga jual cara 'cedok-cedok' di TikTok, suka ataupun tidak hukumnya tetap Haram. Cedok-cedok adalah sama dengan jual beli yang ada unsur gharar maka ia tetap haram. Jangan terpedaya kerana harganya yang murah. 

Untuk pembeli diluar sana jika sudah terbeli maka jangan diulangi lagi. Untuk yang baru nak mencuba beli, jangan ikut bersubahat. 

Jauhilah trend jual beli cedok yang menjadi ikutan peniaga mempromosikan barangan di aplikasi Tiktok ini, jangan terjebak.

Kepada si penjual pula, harap dapat kaji semula konsep hukum jual termasuk unsur dan hukumnya. 

Boleh jual kerongsang, gula-gula, emas sadur, baju, tudung dan apa saja barangan halal di Tiktok tapi ambil kisah juga unsur hukum jual beli dan jangan kerana mengikut trend semata-mata. 


Rujukan : 



1 comment for "Sebab Kenapa Jual Beli Cedok Cedok Tiktok Haram"

  1. Terima kasih pencerahan..yg halal itu jelas yg haram itu jelas

    ReplyDelete