Sebelum berkahwin perlu jalani kursus nikah tetapi jangan juga lupa untuk jalani ujian saringan HIV. Ini penting kerana ujian saringan HIV ini dapat menyelamatkan seseorang untuk masalah yang tidak sepatutnya. HIV adalah sejenis penyakit yang boleh berjangkit melalui hubungan kelamin dan dek kerana itulah ujian saringan ini wajib dilakukan untuk setiap pasangan yang ingin berkahwin.



Cara Memohon Ujian Saringan HIV

Langkah-Langkah Membuat Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan Untuk Bakal Pengantin di Malaysia adalah :

1. Dapatkan Borang Laporan Kesihatan Untuk Bakal Pengantin (Borang HIV)  di Klinik Kesihatan Kerajaan berdekatan. Borang adalah percuma. Senarai klinik kesihatan kerajaan di seluruh negeri di Malaysia boleh didapati di link ini.



2. Jumlah bayaran yang akan dikenakan untuk menjalani Ujian Saringan HIV ini adalah sebanyak RM1.

3. Proses pemeriksaan HIV adalah seperti berikut :-

i. Ujian Saringan HIV akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan , Pembantu Perubatan atau Jururawat Kesihatan yang bertugas .

ii. Ujian dijalankan dengan mengambil setitik darah bakal pengantin  dan dititiskan ke dalam alat Ujian Pantas HIV (HIV Rapid Test Kit)



iii. Keputusan ujian akan diperolehi dalam jangkamasa 15 hingga   30 minit .

iv. Keputusan akan dicatat di dalam Borang HIV dan disampulkan.

4. Kemukakan sampul yang berisi Borang HIV  bersama borang Permohonan Untuk Berkahwin kepada Pejabat Agama Daerah berkenaan.

Bagaimana jika keputusannya positif? Masihkah boleh berkahwin?




Jawapannya adalah ya, masih lagi boleh berkahwin TETAPI......

Bagi yang HIV Positif, kebenaran anda diperlukan untuk membuat ujian pengesahan susulan di mana 5 mililiter darah akan diambil. Kebiasaannya, keputusan ujian susulan dapat diketahui dalam tempoh 2 minggu. Setiap kes HIV Positif perlu dirujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga atau Klinik Penyakit Berjangkit. Anda akan diminta untuk datang kembali ke klinik kesihatan tersebut dalam tempoh 2 hingga 3 minggu berikutnya untuk mengambil keputusan ujian dan anda akan diberikan sesi bimbingan kaunseling di Pejabat Agama samada ingin meneruskan perkahwinan ataupun tidak.



Semoga dengan perkongsian ini akan dapat memberi sedikit sebanyak info untuk bakal pengantin di luar sana dan tahniah untuk kalian yang bakal mendirikan rumahtangga.