Boleh Ke Buat Buku Merah Di Klinik Swasta Untuk Check Kehamilan? | Boleh ke buat buku merah (buku pink) di klinik swasta? Jawapannya boleh. Malah check up anak di klinik swasta juga boleh. Tak dinafikan ada yang buat buku merah untuk check up kehamilan ini di klinik swasta kerana kesibukan kerja, nak lebih selesa dan antara sebab lain kerana lambat buat buku merah, jadi takut kena bising dengan nurse kerajaan, terus pilih untuk buat buku merah di klinik swasta. 

Tak kisahlah apa jua alasannya, yang penting baik bersalin di klinik swasta atau bersalin di hospital kerajaan, tanpa buku merah memang akan masalah. Malah buku merah ini turut di minta oleh pihak pendaftaran ketika proses untuk sahkan kelahiran dan buat surat beranak untuk baby nanti. 

Klinik check up ibu mengandung swasta ini memang banyak sebenarnya, cuma mungkin ada yang tidak tahu kerana sudah terbiasa dengar yang urusan buku merah untuk check up mengandung ini selalunya di Klinik Ibu dan Anak yang disediakan oleh hospital kerajaan. 

Boleh Ke Buat Buku Merah Di Klinik Swasta

Mana Baik, Buat Buku Merah Pemeriksaan Ibu Mengandung Di Klinik Swasta Atau Kerajaan?

Hingga ke saat ini, masih ramai bakal ibu di luar sana masih teragak-agak antara nak buat pemeriksaan ibu hamil di klinik swasta ataupun di klinik ibu dan anak milik hospital kerajaan. Mana satu nak pilih? Masih ada yang buntu. 

Sebagai seorang ibu yang sudah lebih daripada 6 kali buat buku merah atau pink ini, cara terbaik untuk buat keputusan sama ada ingin buka buku merah dan buat pemeriksaan hamil di Klinik Kesihatan Kerajaan ataupun Private (swasta) mudah saja. 

#1 - Untuk Sahkan Kehamilan, Boleh Terus Ke Klinik Swasta 

Yang pertama, jika Klinik Kesihatan Kerajaan ramai pesakit dan memang kena perlu tunggu lama selalu, maka boleh buat scan di klinik swasta untuk betul-betul pastikan yang diri benar-benar dah mengandung. Ini selalunya selepas dapati diri dah lama tak datang bulan lebih dari tarikh sepatutnya. Jadi, sebelum mula buat buku merah tu boleh pergi ke mana-mana klinik yang ada buat rawatan pemeriksaan untuk ibu hamil bagi sahkan kehamilan tersebut dengan cara pemeriksaan air kencing dan juga scan.

Jika kandungan masih pada tahap yang terlalu awal, sebaiknya tunggu dulu hingga kandungan memasuki bulan bulan ke tiga, anggaran usia kandungan 12 minggu selewat-lewatnya kerana pada waktu ini, ianya satu tempoh yang sedang elok untuk mula buat buku merah. 


#2 - Ambil Kira Keadaan Dan Masa Bagi Ibu Yang Berkerjaya 

Setelah benar-benar doktor sahkan hamil dan kandungan telah berada pada tahap 12 minggu selewat-lewatnya, maka bolehlah buat keputusan tentang urusan buka buku merah atau pink ini. Antara perkara yang perlu diambil tahu adalah soal pekerjaan si ibu itu sendiri. 

Adakah dia berkerja swasta ataupun kerajaan dan adakah kerjanya itu mudah untuk minta cuti ataupun tidak. Jika terasa susah untuk bercuti bagi ke klinik kerajaan untuk urusan check up yang selalunya perlu mengikut masa dan tarikh yang nurse tetapkan (dalam waktu kerja) maka bolehlah pilih untuk buat checkup di klinik swasta yang boleh menerima pesakit mengikut masa kita sendiri. 

Hal ini juga boleh dipertimbangkan untuk bakal ibu yang tidak berkerja tetapi dalam masa yang sama perlu buat check up dengan bantuan pasangan untuk urusan hantar dan jemput dari klinik untuk urusan pemeriksaan ini. Almaklumlah, urusan check hamil ini akan berlanjutan hingga tempoh hampir bersalin tau. 

#3 - Untuk Check Di Klinik Swasta Perlu Ada Kewangan Cukup  

Selain faktor masa, fikirkan juga faktor kewangan. Jujur cakap, klinik swasta ini lebih layak untuk mereka yang berada di dalam golongan berada dan untuk mereka yang benar-benar ada bajet khas untuk urusan pemeriksaan kehamilan sepanjang tempoh mengandung ini. 

Buku pink ibu mengandung untuk check di klinik swasta dan kerajaan sama saja tetapi yang membezakan adalah pada harga yang perlu di bayar. Untuk klinik swasta, setiap kali buat checking di klinik swasta selalunya jumlah yang perlu di bayar adalah sekitar RM100+ untuk setiap kali pemeriksaan. 

Mungkin akan ada yang cakap, tak mahal mana sebabnya pemeriksaan tersebut hanya sebulan sekali. Ya! Benar! Tapi itu hanya pada ketika usia kandungan masih di peringkat awal. Setelah kandungan semakin membesar, tempoh buat pemeriksaan adalah semakin kerap bermula dari sebulan sekali, sebulan dua kali dan akhirnya seminggu sekali, sama seperti yang dilakukan di klinik kesihataan kerajaan. 

Dan... sekiranya kandungan atau tahap kesihatan ibu ada masalah lain, maka caj pemeriksaan besar kemungkinan akan menjadi lebih tinggi. Belum lagi di kira dengan ubat-ubatan dan sebagainya. Kerana itu, sebelum terus buat keputusan untuk buat buku pink di klinik swasta ada baiknya berbincang dulu dengan pasangan supaya tidak timbul perkara yang tidak diingini di belakang hari.
 

Dah Lambat Buat Buku Merah?

Lambat buat buku merah tu bila? Bagiku jika kandungan sudah masuk ke minggu 16 dan ke atas. Jika dah lambat untuk buat buku merah akibat terlalu sibuk dengan kerja, boleh terus pergi buat di klinik swasta. Tapi, jika masih ingin berjimat redha saja dengan kelewatan tersebut dan terus ke klinik kerajaan untuk terus buat buku merah dengan segera. Terangkan nanti pada nurse kenapa dah lambat buat buku merah ini. 

Berapa Kerap Perlu Buat Temu Janji Pranatal?

Pemeriksaan pranatal anda yang pertama biasanya dilakukan di KKIA selepas pendaftaran. Temu janji seterusnya biasanya akan mengikut jadual berikut:
▫️Sekali sebulan hingga minggu ke 28 atau bulan ke 7 kehamilan
▫️Dua minggu sekali dalam bulan ke lapan kehamilan
▫️Sekali seminggu mulai minggu ke 35 hingga lah anda bersalin.

Apa Yang Akan Berlaku Semasa Pemeriksaan Pranatal?

Pemeriksaan rutin akan dilakukan pada setiap temu janji untuk memastikan anda dan bayi anda sihat.
▫️Temu ramah ringkas dengan jururawat (akan bertanya soalan-soalan asas mengenai keadaan kesihatan anda ketika itu dan pergerakan bayi )
▫️Pemeriksaan dengan doktor bertugas (apabila perlu, tidak semestinya pada setiap kali).
▫️Ujian air kencing untuk mengesan protein dan gula.
▫️Pemeriksaan tekanan darah
▫️Ukuran berat badan
▫️Merasa perut anda untuk memeriksa kedudukan bayi,saiz dan perkembangannya
Mendengar degupan jantung bayi. Ini boleh dilakukan menggunakan stetoskop khas (Pinard).
Memeriksa sekiranya anda mengalami bengkak kaki, tangan atau muka.

Pengalaman Sendiri Buka Buku Pink Setiap Kali Hamil

Untuk diriku sendiri, setiap kali merasakan diri ini hamil, perkara pertama yang daku lakukan adalah dengan buat urine test dan check bp serta scan untuk sahkan kehamilan dari doktor di klinik swasta. Ini untuk memastikan dengan betul berapakah usia kandungan. 

Jika kandungan belum memasuki minggu ke 12, daku akan tunggu sekejap sambil jaga makan dengan baik di rumah. Setelah usia kandungan memasuki minggu ke 12, daku akan pergi ke klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran dengan tempat kediaman untuk urusan buka buku pink. 

Untuk urusan buka buku merah di klinik kerajaan ini, nurse akan melakukan pemeriksaan sama seperti check up di klinik swasta tadi. Si ibu perlu memasukkan maklumat dalam buku pink, melakukan urine testcheck bp, tinggi, berat, ambil darah dan scan akan dilakukan bagi mengambil maklumat tentang kesihatan diri ibu dengan detail. 

Setelah siap semuanya bermulalah pemeriksaan kandungan bermula dari tarikh awal buat buku merah hingga ke saat-saat hampir melahirkan.

Dokumen Yang Perlu Di Bawa Untuk Buka Buku Merah 

  1. Salinan fotostat si bapa (suami)
  2. Salinan fotostat si ibu (isteri) 
  3. Salinan fotostat surat nikah / kad kahwin (ibu tunggal tidak perlu) 
  4. Surat nikah / kad kahwin yang asal (ibu tunggal tidak perlu) 
  5. Buku merah check kehamilan anak terdahulu sebagai rujukan kesihatan (jika ada)
  6. keputusan air kencing dan scan dari klinik swasta (jika ada)
  7. Alamat lengkap tempat kediaman, jika kurang pasti boleh bawa bil elektrik 

Negeri Johor Perkenalkan Pendaftaran Kehamilan (Buku Pink) Secara Online


Untuk penduduk negeri Johor, sangat bernasib baik kerana dalam keadaan norma baru ini, negeri Johor telah memperkenalkan cara terbaru buka buku merah dengan pendaftaran kehamilan secara atas talian (Buat Buku Pink Online) 
Boleh Ke Buat Buku Merah Di Klinik Swasta


Langkah yang perlu dilakukan adalah : 
1. Scan QR
2. Pilih tarikh appointment bila nak datang
3. Isi maklumat buku pink
4. Print screen temu janji
5. Datang pada tarikh tersebut
6. Buku pink dah siap!

Boleh jumpa misi atau doktor. Lepas selesai jumpa dah boleh balik. Kalaulah semua negeri buat cara begini alangkah bagusnya. Tentu bakal ibu rasa lebih selamat dan senang tanpa perlu tunggu lama.

Kelebihan Buat Buku Merah Di Klinik Kerajaan Berbanding Klinik Swasta 

Kelebihan utama yang membuatkan daku terus buat buku merah di Klinik Kerajaan adalah kerana daku ingin terus segera di refer pada doktor jika kebetulan ada apa-apa masalah kesihatan yang berlaku. Dengan buat check up di klinik kerajaan ini, jika ada masalah kesihatan akan terus di refer dengan doktor yang bertugas dan jika ada hal yang lebih berat maka akan terus di buat temujanji dengan doktor pakar yang lebih terlatih. Untuk hal yang lebih serius, boleh terus ke wad kecemasan untuk rawatan segera. 

Manakala jika buat pemeriksaan kehamilan di klinik swasta, doktor di klinik swasta akan membuat surat untuk refer ke hospital kerajaan. Di sini, secara tak langsung sudah perlu membayar kos pemeriksaan di klinik swasta dan dalam masa yang sama perlu pula ke klinik kerajaan untuk rawatan selanjutnya. 

Kerana itu, daku terus proses untuk buat check up di klinik kerajaan berbanding di klinik swasta. Dari urusan buat buku merah hinggalah kepada urusan check kehamilan dan bersalin, semuanya di hospital kerajaan saja. 

Jadi, jika ditanya mana yang lebih baik? Buat buku merah di klinik swasta ataupun buat buku merah di klinik kerajaan? Jawapanku, dua-duanya baik dan dua-duanya okay. Tak kisah nak buat check up di klinik swasta ataupun kerajaan yang penting ada buat buku merah tersebut! 

Jika mampu, buat saja check up di klinik swasta dalam suasana yang lebih selesa dan jika dirasakan kurang berkemampuan dan sayang nak bayar kos check up yang agak mahal untuk setiap kali pemeriksaan, boleh terus buku merah di klinik hospital kerajaan. 

Buku Merah Sangat Penting! Bukalah Walau Di Klinik Swasta Atau Kerajaan 

Tak ada masalah nak check up klinik swasta kemudian bersalin di hospital kerajaan ye. Jangan ingat jika buka buku merah di klinik swasta maka perlu bersalin di hospital swasta juga. Tak. Jangan risau, hospital kerajaan menerima mana-mana pesakit yang penting jika benar-benar nak bersalin di hospital kerajaan maka jika kandungan sudah sampai 8 bulan ke atas, ada baiknya mula refer ke klinik kerajaan supaya mudah untuk pihak hospital take alert. 

Jangan sampai tak nak buat buku merah dan hanya sekadar check up dengan alasan untuk melahirkan di hospital swasta sudahlah. Buku merah tu penting tau! Dengan buku merah tersebut semua rekod kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan ada direkodkan. Jika ke mana-mana dalam jarak yang jauh, pastikan bawa sekali buku merah supaya jika ada apa-apa berlaku dengan senang boleh ke mana-mana klinik untuk buat pemeriksaan dengan tunjuk sekali buku merah tersebut pada doktor. 

Buat Buku Merah Untuk Anak Tak Sah Taraf 

Ohya, daku ada juga terbaca soalan bagaimana untuk buat buku merah untuk anak tak sah taraf (anak luar nikah), dan antara jawapan yang paling bernas daku boleh berikan, adalah lebih baik untuk buat buku merah di klinik kerajaan supaya urusan bersalin di hospital kerajaan nanti menjadi lebih mudah! 
Jangan ada dalam fikiran takut nurse marah, halau dan sebagainya kerana nurse ini semuanya sudah terlatih. 

Klinik Kesihatan di Malaysia sudah dilatih untuk bersikap profesional walaupun si pesakit tidak membawa sijil nikah. Yang penting, jangan sengaja ingin menyembunyikan sesuatu. 

Bersikap terus terang saja demi keselamatan ibu dan anak kerana kakitangan di klinik kerajaan ini dengan sendirinya akan faham keadaan situasi apa yang sedang berlaku dan akan merahsiakan segalanya berkaitan si pesakit. Ibu yang hamil anak tidak sah taraf ini juga tidak akan sama sekali dihalau, jangan bimbang okay! 

Boleh Ke Buat Buku Merah Di Klinik Swasta


Kesimpulannya, buku pink dan ibu mengandung berpisah tiada. Nak tak nak memang kena buat buku pink ini baik di klinik kesihatan kerajaan mahupun di klinik kesihatan swasta. Ibu yang pergi check-up ke klinik swasta atau kerajaan, itu adalah pilihan masing-masing. Tak kisah nak check up di mana asalkan ada buat buku merah tersebut!

Semoga perkongsian mengenai buat buku merah untuk check up kehamilan di klinik swasta dan kerajaan ini dapat memberi info pada mana-mana bakal ibu yang sedang tertanya-tanya tentang buku merah ini.