Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Menu Diet 10 Resepi Ikan Singgang Mudah Dan Sedap

Menu Diet : 10 Resepi Ikan Singgang Mudah Dan Sedap | Menu resepi singgang ikan cukup terkenal di Kelantan dan Terengganu. Ada beberapa versi resepi singgang ikan ini seperti ikan masak singgang putih, ikan masak singgang kuning dan ikan masak singgang pedas. 

Singgang ikan bukan saja sedap dimakan sebagai menu harian malah sesuai dijadikan sebagai menu diet dan berpantang. Aku salah seorang yang suka makan lauk ikan singgang. 

Makin power bila dapat makan hidangan singgang ikan ini bersama ulam petai atau terung bakar, ikan selayang goreng dan cicah budu. 

Apa Itu Ikan Singgang 

Apakah ikan singgang ini seperti menu asam pedas?

Apa beza masak singgang ikan Kelantan dan Terengganu?

Apakah jenis-jenis ikan yang sesuai untuk masak singgang ikan ini?

Menu Diet : 10 Resepi Ikan Singgang Mudah Dan Sedap

Walaupun bahan-bahan untuk menu hidangan ikan masak singgang dan asam pedas ini hampir sama tetapi rasanya agak berbeza. Menu ikan singgang ini cukup sinonim dengan dua buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Beza masakan singgang ikan Kelantan dan Terengganu tidak terlalu ketara. Kedua-duanya hampir sama saja. Yang membezakan mungkin pada warna kuah sup lauk singgang ini sendiri. 

Ikan singgang Kelantan dan Terengganu boleh berwarna putih (tanpa kunyit hidup) dan boleh juga berwarna kuning kemerahan kerana menggunakan kunyit hidup dan cili. 

Selalunya resepi singgang ikan dimasak menggunakan ikan tongkol, ikan tenggiri, ikan kerisi, ikan kembung dan ikan selar. Paling kerap guna ikan tongkol. Ikan tongkol turut dikenali sebagai ikan aya atau ikan kayu.

Jika ikan itu besar, ada yang masak hanya guna bahagian kepala saja. Jika tak suka singgang ikan, masak singgang guna ayam dan daging juga boleh. 

Aneka Resepi Ikan Singgang Untuk Diet Dan Berpantang

Ikan singgang sesuai sebagai menu untuk orang berdiet dan sebagai makanan berpantang kerana ia tak menggunakan minyak. 

Menu ikan singgang ini juga sesuai sebagai menu untuk mereka yang kurang sihat dengan pantang larang makan kerana ia hanya menggunakan bahan asas masakan kampung dengan kaedah masak cara merebus. 

Paling penting, untuk menu berpantang dan makanan orang kurang sihat yang perlu pantang makan, pastikan hanya guna ikan yang boleh di makan dalam pantang

Di sini aku kongsikan lima resepi singgang ikan untuk panduan kita bersama. 

1. Resepi Singgang Ikan Tenggiri Kelantan Kuah Putih

Ini resepi singgang ikan tenggiri versi Kelantan yang memang sangat lazat. Singgang Ikan Tenggiri Kelantan memang sangat sedap. Terbaik jika menggunakan ikan tenggiri yang segar. Versi Kelantan memang tiada kunyit dengan kuah berwarna putih. 

Ikan masak singgang Kelantan ini juga memang tiada kunyit dan menggunakan banyak lengkuas. Masakan ini sangat sihat kerana tiada minyak dan sesuai untuk orang yang berdiet kerana sangat rendah kalori.

resepi-singgang-ikan-che-nom
Resepi Singgang Ikan Tenggiri Kelantan Kuah Putih


Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Memasak : 10 minit
Jumlah Hidangan : 3 orang

Bahan-Bahan :

  • 3 potong ikan tenggiri
  • 2 inci lengkuas, potong dan ketuk
  • 3 biji bawang merah, hiris nipis
  • 2 ulas bawang putih, hiris nipis
  • 1-2 keping asam gelugor
  • 5-6 biji cili padi
  • 4 batang sayur bendi
  • garam dan gula secukup rasa
  • serbuk perasa (jika suka)


Cara-cara :

Bersihkan ikan dan toskan.

Rebus air dalam anggaran 3 cawan dan masukkan lengkuas, bawang merah, bawang putih sehingga mendidih.

Masukkan ikan tenggiri, asam gelugor, cili padi dan diikuti sayur bendi di akhir sekali. 

Rebus sehingga ikan betul-betul masak. Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. 

Sedap jika dihidangkan bersama nasi panas dan budu.

Kredit : Che Nom 

2. Resepi Ikan Kerisi Masak Singgang Pedas Versi Terengganu

singgang-ikan
Resepi Ikan Kerisi Masak Singgang Pedas Versi Terengganu

Singgang Pedas Ikan (versi Terengganu) lebih  kurang sama dengan resepi singgang pedas Kelantan cuma untuk resepi ini ada sedikit tambahan bahan lain di dalamnya. 

Bahan-bahan : 

  • 4 ekor ikan kerisi 
  • 5 biji cili api 
  • 4 biji bawang merah 
  • 3 ulas bawang putih 
  • 1 inci lengkuas 
  • 1/2 inci kunyit 
  • 3 cawan air 
  • 5 keping asam gelugor 
  • Garam secukup rasa 
  • 2 kuntum bunga kantan (dibelah 2) 
  • 8 tangkai daun kesum 

Cara Membuatnya : 

1. Ikan kerisi dibuangkan sisik dan dibersihkan. Kelarkan. 

2. Masukkan ciliapi, bawang merah, bawang putih, lengkuas, kunyit dan 1 cawan air ke dalam pengisar. Kisar halus. 

3. Masukkan bahan kisar, asam gelugor, 2 cawan air dan garam ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih. 

4. Masukkan ikan, bunga kantan dan daun kesum ke dalam periuk.

5. Biarkan mendidih lagi dengan perlahan-lahan selama 5 minit. Hidangkan.

Kredit : Hanieliza Kamarudin 

3. Resepi Ikan Kerisi Masak Singgang Pedas Cara Terengganu

resepi-ikan-singgang-pedas-terengganu
Resepi Ikan Kerisi Masak Singgang Pedas Cara Terengganu

Ini resepi singgang pedas ikan cara orang terengganu. Biasanya untuk buat singgang pedas guna ikan kerisi. Tapi, kalau nak guna ikan merah pun sedap juga. Buat sesiapa yang tengah diet sesuai sangatlah makan singgang pedas ni. 

Okay tak perlu cakap banyak. Jom semak resepi. 

Bahan-bahan :

  •  4 ekor ikan kerisi
  • 5 ulas bawang merah 
  • 3 ulas bawang putih 
  • 1 inci lengkuas 
  • 1/2 inci kunyit 
  • 7 biji cili api merah 
  • 3-5 keping asam gelugor
  • 1 ikat daun kesum 
  • 3 cawan air 1 biji tomato 
  • 7 biji bendi 
  • Garam secukup rasa 

Cara membuatnya :

Ikan kerisi dibersihkan dan dibuang sisik. 

Kisarkan bawang merah, bawang putih, lengkuas, cili api & kunyit dengan 1 cawan air. 

Masukkan bahan kisar, asam gelugor, garam  dan 2 cawan air ke dalam periuk. 

Air tu kalau suka cair boleh tambah. Masak ni ikut pada selera. Nak pedas lagi tambah cili api.

Masaklah hingga mendidih kemudian masukkan ikan, bendi dan daun kesum ke dalam periuk. 

Bila ikan sudah hampir masak boleh masukkan tomato. Kalau tidak mahu letakkan tomato pun tidak mengapa. 

Biarkan seketika. Siaplah singgang pedas ikan kerisi yang super yummy!

Kredit : Khadijah Jaafar Rasa Share Resepi

4. Resepi Masak Singgang Ikan Selar

resepi-singgang-ikan-selar
Resepi Masak Singgang Ikan Selar

Bahan-bahan : 

  • 3 ekor ikan selar 
  • 4 keping lengkuas 
  • 2 keping halia 
  • 8-19 ulas bawang putih diketuk 
  • 2 batang serai diketuk 
  • 2 biji tomato besar 
  • 3 keping asam gelugor 
  • 2 batang lada hijau 
  • 4 batang cili padi merah 
  • 1 camca besar rata garam halus

Cara memasak : 

Cuci bersih ikan selar, toskan airnya. 

Masukkan air ke dalam periuk. 

Masukkan serai, asam gelugor, lengkuas, halia, daun pandan dan bawang putih. 

Masukkan 1 biji tomato yang dibelah 4. 

Masak hingga menggelegak dan air sedikit surut. 

Rasa kuahnya, bila kuah sudah terasa masam, masukkan garam halus, gula merah dan ikan. 

Masak hingga menggelegak sekali lagi. 

Masukkan lada hijau, cili padi dan sebiji lagi tomato yang dibelah 4, seimbangkan rasanya biar cukup masam, manis dan masinnya. 

Sebelum dihidangkan, patah-patahkan cili padi yang ada di dalam kuahnya. 

Sedap dimakan panas bersama nasi putih. Kebiasaannya dihidangkan bersama ulam-ulaman dan budu sebagai pencicah.


5. Resepi Masak Singgang Ikan Merah

resepi-singgang-ikan-merah
Resepi Masak Singgang Ikan Merah

Bahan-bahan : 

  • 1 ekor ikan merah saiz sedang 
  • 2 ulas bawang merah 
  • 4 ulas bawang putih 
  • 1 inci halia 
  • 1 inci kunyit hidup 
  • 1 inci lengkuas 
  • 1 batang serai 
  • 2-3 keping asam keping 
  • 1 tangkai akar ketumbar (jika ada) 
  • Garam secukup rasa 

Cara memasak : 

Bawang merah dipotong 6. Serai dan bawang putih dititik. Lengkuas dihiris nipis. 

Halia dan kunyit di racik. Ikan dibasuh dan digaul dengan garam. 

Masukkan semua bahan termasuk air dalam periuk. 

Sukatan air hanya separuh daripada paras bahan sebab nanti air ikan akan keluar juga. 

Angkat periuk ke atas dapur, hidupkan api dan tutup periuk. 

Biarkan dalam 7-10 minit, ikan akan masak dan kuah akan menggelegak. 

Jangan masak lama sangat, nanti ikan hancur. 

Taburkan daun ketumbar sedikit ketika menghidang dan siap!


6. Resepi Singgang Asam Pedas Ikan Kunyit

ikan-kuning-masak-singgang
Resepi Singgang Asam Pedas Ikan Kunyit

Bahan-bahan: 

  • 17 ekor ikan kunyit disiang 
  • 2 sudu besar bawang besar – dikisar 
  • 3 keping asam kepung 
  • Segenggam daun kesum 
  • 1 jag air 
  • 2 sudu teh garam 
  • 1 biji tomato dibelah 4 
  • 1 1/2 sudu besar cili boh 

Cara memasak : 

Siang ikan kunyit dan bersihkan. 

Masukkan air ke dalam periuk. Tambahkan bawang yang dikisar, cili boh dan asam keping. 

Masukkan ikan dan daun kesum. Apabila hampir masak, masukkan tomato. 

Apabila kuah dah menggelegak, tutupkan api dan sedia untuk dihidang. Siap.

Resepi 4, 5, 6 Kredit : Daily Makan


7. Resepi Singgang Tenggiri Menu Orang Bujang

ikan-masak-singgang-orang-bujang
Resepi Singgang Tenggiri Menu Orang Bujang

Resepi ni untuk masak sikit buat makan seorang atau berdua. Orang bujang molek sangat la tu. Makan pula bersama sambal belacan, memang padu!

Bahan-bahan:  

  • Air 
  • Ikan tenggiri 1 potong 
  • Bawang besar 1 biji saiz sederhana 
  • Bawang putih 2 ulas 
  • Asam keping 2 keping (boleh tambah kalau suka lagi masam) 
  • Lengkuas 2, 3 hiris 
  • Garam 
  • Bendi *optional 
  • Kunyit hidup/serbuk *optional 
  • Ajinomoto/gula *optional 
Cara Memasak : 

Masuk semua bahan kecuali bendi ke dalam periuk. 

Air jangan banyak sangat, sekadar tenggelamkan ikan.

Masak guna air kecil dan bila dah menggelegak, masukkan bendi.

Setelah bendi layu, tutup api dan siap untuk dihidangkan. 

Kredit : YatiMiza

8. Resepi Singgang Ikan Aya Paling Simple Guna 3 Bahan Asas

resepi-ikan-singgang
Resepi Singgang Ikan Aya Paling Simple

Selain ikan, hanya 3 bahan asas saja yang digunakan iaitu lengkuas, asam keping dan bawang putih. Ini tak termasuk air, gula dan garam sebagai perasa. Bahan lain? Semuanya tambahan saja. 

Ada orang letak serai, ada orang letak kunyit, ada orang letak cili, macam-macam. Tak salah pun. Untuk resepi ini hanya letak bawang merah, cili, dan bendi. Ringkas sangat. Bahan tambahan (bawang merahm cili dan bendi), jika tak nak letak pun tak apa.

Ikan pula biasanya guna ikan aya (ikan tongkol). Nak guna ikan kembung, ikan selar atau ikan kerisi pun boleh. Pernah buat singgang ikan siakap guna resepi begini, alhamdulillah sedap juga rasanya. Yang penting, ikan perlu fresh segar untuk dapatkan rasa singgang ikan yang terbaik. 

Cara Memasak :

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan juga air. Hidupkan api dan tunggu mendidih.

2. Apabila mendidih, masukkan garam, gula dan bendi. Biarkan mendidih sekali lagi (hingga bendi lembut).

3. Dah siap! Rasa ikan tu dengan sup/kuah masam, masin, manis, subhanallah memang sedap sangat-sangat.

Kredit : Syahr Musafir

9. Resepi Ikan Singgang Simple Tapi Power - Hidangan Restoran Cafe Carca Marba

resepi-singgang-ikan-jimat
Resepi Ikan Singgang Simple Tapi Power - hidangan restoran


Untuk penggemar ikan singgang, nah resepi mudah untuk masak ikan singgan sedap. Nak buat ikan singgang ni tersangatlah mudah hingga orang tua dedulu selalu cakap, kalau tak pandai buat ikan singgang jangan berangan nak berlaki. 

Yang mana nak mencuba boleh mula masak sendiri resepi ikan masak singgang ni kat rumah. InshaAllah cik abang tambah sayang nanti. 

Bahan-bahan : 

  • 1 ekor ikan tongkol size sederhana (ikan lain pun boleh, ikut selera) 
  • 3 - 4 keping asam gelugur atau asam keping (lagi masam lagi terangkat) 
  • Bawang putih 8 ulas (letak banyak lagi sedap) *
  • Bawang merah kecil 2 ulas jer  *
  • Kunyit 1 inci (untuk bagi tambah cantik warna dan rasa yang lagi ummphh)  *
  • Lengkuas 2 inci  *
  • 1 biji cili besar 
  • 5 - 6 biji cili padi 
  • Garam 
  • Ajinomoto (jika tak suka tak perlu letak) 

Cara memasak :

Mayang semua bahan bertanda * dan hiris cili besar ikut suka hati saiznya. 

Cili padi campak terus ke dalam periuk tanpa perlu dihiris sebab nanti jika terlalu pedas boleh terkedip-kedip anak sebab tak boleh nak makan. 

Masukkan semua bahan dalam periuk, rahsia nak kuah lagi sedap, bahan-bahan ni letak di bahagian bawah ikan dan susun ikan kat atas semua bahan tadi. 

Ikan tu potong la ikut suka. Selain ikan tonggol boleh guna ikan tenggiri atau ikan selar kuning. Jangan dibuat masak singgang guna ikan bawal hitam, lain pulak kejadiannya nanti. 

Sukatan air tu cukup sedap lepas-lepas ikan untuk kekalkan rasa manis ikan. Jika nak jimat, guna air sampai tahap penuh periuk pun tak apa tapi rasa nikmat dari kemanisan ikan tu dah tak ada.

Boleh tambah sayur bendi kalau nak. Tak suka, tak perlu letak. 

Bila dah hampir menggelegak, boleh tambah garam dan perasa sesedap rasa.

Siap dan boleh dihidangkan. Jika sedang berdiet memang sesuai sangat kerana resepi ikan singgang ini antara menu sihat kerana dimasak dengan kaedah rebus sepenuhnya.

10. Video Resipi Panduan Cara Masak Singgang Ikan Kembung  

Tonton video ini untuk tahu cara masak singgang ikan. Video ini berkongsi resipi sedap dan mudah untuk Ikan Kembung Masak Singgang.

Jika tak nak guna ikan kembung, boleh tukar resepi ini dengan ikan tenggiri dan lain-lain mengikut selera masing-masing. Memang berbaloi untuk dicuba.

Tips Masak Singgang Ikan Buat Pertama Kali 

1. Guna ikan kembung jika baru nak cuba masak 

Untuk masak resepi ikan singgang paling mudah, aku syorkan kalian buat singgang ni guna ikan kembung. Ada juga yang gunakan ikan tongkol (di Kelantan panggil ikan aya) untuk masak singgang, tapi ikan kembung paling cepat dan mudah berbanding masak singgang guna ikan tongkol.

2. Masak singgang mesti guna ikan yang masih segar

Lauk singgang ini sangat ringkas dan senang untuk dimasak. Tetapi kena cukup bahan dan cukup rasa masam dan manisnya. Ikan kena guna ikan yang segar. Ikan yang dah tak segar tak sesuai untuk masak singgang.

3. Mesti ada lengkuas dan asam keping

Tak ada lengkuas dan asam keping, rasa masakan singgang akan menjadi kurang sedap. Tanpa tiga bahan ini rasa sudah tak ada rasa singgang macam masakan kampung asli yang sering dijadikan hidangan di kedai-kedai makan dan restoran.

4. Kesedapan lauk ikan masak singgang terletak pada kuah 'sup' nya

Masak singgang ikan kena pandai seimbangkan rasa masam, masin, masin dan pedas pada kuahnya. Sebab itu harus guna ikan segar untuk dapatkan rasa manis-manis ikan pada kuah singgang tersebut. Kuah ikan singgang ini yang akan membuatkan ia sedap untuk makan bersama nasi.

5. Boleh tambah bendi seperti masak gulai

Jika suka menu singgang berkuah bersama sayur, boleh guna bendi. Selalunya hanya sayur bendi yang digunakan untuk masak bersama singgang ikan, bukannya jenis sayur yang lain.

6. Sukatan air jangan terlalu banyak 

Singgang yang sedap kena masak guna api kecil. Air jangan banyak sangat, elok-elok agak tenggelam ikan. Barulah kuah tu manis hingga tahap boleh hirup kuah singgang tu macam makan sup.

Kesimpulan 

Ikan singgang in english disebut sebagai sardines jer. Bila lihat anak-anak melayu yang tinggal di luar negara masak ikan singgang di Youtube, ternyata bukan mudah nak kikis selera kampung yang dah sebati dengan diri. 

Ikan singgang sesuai untuk mereka yang berdiet, menu orang berpantang dan untuk mereka yang sakit (pantang makan). 

Semoga perkongsian resepi sedap dan mudah untuk ikan masak singgang ini dapat membantu kalian yang suka makan hidangan lauk ikan singgang. Ada masa boleh mencubanya untuk dinikmati bersama insan yang tersayang. 


Jemput join di telegram:


Semoga bermanfaat. 

Terima kasih kepada yang membaca Menu Diet : 10 Resepi Ikan Singgang Mudah Dan Sedap




26 comments for "Menu Diet 10 Resepi Ikan Singgang Mudah Dan Sedap"

  1. Masakan singgang memang sedap, sihat dan berkhasiat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu kak. takde minyak minyak ikan singgang ni. nk makan x risau

      Delete
  2. singgang makan nasi dengan budu dan ulam, sedap nya uiiii

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah. ikan singgang ngan sambal belacan pun jadi. memang sedap!! makan bertambah2

      Delete
  3. sedap..ikan singgang ni..makanan sihat..thanks sharing

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama2. boleh la masak lepas ni, antar kat sis sekali hehe

      Delete
  4. Sedapnyaa singgang.. sy orang Johor selalu makan yang betul betul kuning kalernya . mcm org Ganu masak tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. oo johor punya singgang ikut ganu ye. sis baru tahu. singgang ni sedap, walaupun simple tapi terangkat betoi

      Delete
  5. wah ...antara menu yang sangat menyelerakan.

    tanpa minyak itu memang antara yang tersedap dan sihat

    ReplyDelete
  6. Sedap, berkhasiat dan menjadi kegemaran PC sebenarnya. Sebab PC suka hirup kuah ikan singgang ni.

    ReplyDelete
  7. Menu ni memang baik untuk diet....

    ReplyDelete
  8. masak singgang memang pilihan no 1 he he

    ReplyDelete
  9. laaa.. ada macam-macam rupanya resepi ikan singgang nih

    ReplyDelete
  10. Adududu.. sedap betul la.. memang suka singgang ni .. ayam pun akk masak singgang

    ReplyDelete
  11. Singgang kelantan. Cikza paling suka buat. Suami sampai hiruppppp

    ReplyDelete
  12. Sedap ja semua resipi ikan singgang. Kalau saya guna halia n serai pun dah ok. Tapi tengok ikan la juga kan. Kalau tenggiri n ikan putih, sedap sesedapnya. Tapi harga mahal berbanding ikan biasa la pulak ...

    ReplyDelete
  13. Mudah masakannya, sedap dan hidangan sihat. Terima kasih share resepi.

    ReplyDelete
  14. Wah resipi singgang ni semua menarik. Mulut pahit elok sangat makan singgang ni. masam² singgah tu boleh buka selera sebenarnya

    ReplyDelete
  15. Fevret sangat masak camni.. Menu nak kurus.. Hihi

    ReplyDelete
  16. geram aih tgok gmbr2..terliur..mcm nk masak skg juga.

    ReplyDelete
  17. Masak singgang menu diet , suka sangat dengan singgang

    ReplyDelete
  18. Semua menu diet nampak menarik. Tak pasti pernah atau tak makan ikan singgang ni. Sebab jarang dekat rumah ada ikan. Masak dengan ikan lain pun boleh kan hehe

    ReplyDelete
  19. oh kena letak lengkuas eh.. kedah pun ada juga masak lebih kurang gini ..asam rebus pun orang panggil

    ReplyDelete
  20. wow sedap2 resepi singgang. hirup kuah lepas nasi habis mmg sedap awa

    ReplyDelete