Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sejarah Negeri Kelantan : Detik Detik Pengasasan Kerajaan Kelantan

Sejarah Awal Negeri Kelantan : Detik Detik Pengasasan Kerajaan Kelantan | Negeri Kelantan Darul Naim merupakan salah sebuah negeri dalam Malaysia. Negeri Kelantan ini disebut sebagai 'Klate' atau 'Kelate' mengikut dialek percakapan Melayu Kelantan. 

Kelantan mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km². Kelantan terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan Negeri Narathiwat, Thailand. 

asal-usul-kerajaan-kelantan
pintu gerbang Kelantan

Negeri Kelantan mengalami iklim tropika yang baik, di mana hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu. Biasanya, hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau selama beberapa bulan. 

Bulan-bulan yang mengalami hujan yang paling kerap ialah bulan November, Disember dan Januari, iaitu pada musim tengkujuh. Suhu setiap hari dianggarkan lebih kurang 28 °C.

Kapasiti Penduduk Negeri Kelantan

Kelantan ialah sebuah negeri pertanian yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi, kebun getah dan perkampungan nelayan. Kelantan mempunyai seramai 2,000,000 orang penduduk. 

Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar iaitu sebanyak 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. 

Berdasarkan bancian tersebut, 95% daripada penduduk Kelantan beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%. 

Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai peratus penduduk Melayu yang tinggi selain Terengganu iaitu sebanyak 95% berbanding negeri-negeri lain di pantai barat Semenanjung.

detik-asal-kelantan
pintu gerbang Kelantan dulu

asal-usul-kelantan
rakyat Kelantan berbilang kaum

Sejarah Asal Usul Nama Negeri Kelantan 

Terdapat beberapa teori yang dikaitkan dengan asal usul nama negeri Kelantan. 

1. Pokok Gelam

Teori pertama mengatakan bahawa perkataan "Kelantan" berasal daripada perkataan 'gelam hutan' yang diubah suai ke perkataan Melayu untuk pokok Gelam. 

2. Kilatan

Teori lain mendakwa bahawa nama Kelantan itu berasal daripada perkataan Melayu iaitu "kilatan". Ada juga mengatakan berasal daripada perkataan "kolam tanah". Kelantan juga dipanggil Kalantan (Bahasa Thai) oleh orang Siam ketika di bawah pengaruh mereka. 

3. Kolaan Thana

Satu lagi teori yang dikatakan Kelantan asalnya daripada perkataan India iaitu "Kolaan Thana" atau "Kolaam Thana" yang bermaksud "Tanah Kolaan" atau "Tanah Kolaam". Istilah kolaan atau kolaam merujuk kepada lukisan lantai atau gambar rajah dalam banyak kuil Hindu yang menghiasi tanah pada zaman dahulu. 

Teori ini mengatakan bahawa Kolaan Thana atau Kolaam Thana secara beransur-ansur menjadi Kelantan sesuai dengan pertuturan penduduk tempatan. 

Maksud Darul Naim

Gelaran Darul Naim yang diberikan kepada Negeri Kelantan bermaksud "Negeri/Kediaman yang menyenangkan". 

Perkataan "Darul" berasal daripada perkataan Arab iaitu "دار (dar)" yang bermaksud rumah atau kediaman dalam bahasa Melayu. 

Perkataan "Naim" pula jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu ianya bermakna menyenangkan. 

Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.

Detik Detik Sejarah Awal Pembukaan Negeri Kelantan 

Sejarah awal asal usul negeri Kelantan tidak begitu jelas tetapi penemuan arkeologi menunjukkan bukti Kelantan sebagai petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya, Majapahit dan Siam.  

Kira-kira pada tahun 1411, Raja Kumar yang merupakan raja Kelantan pada masa itu telah membebaskan negeri itu dari Siam. Baginda kemudiannya memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk agama Islam.

Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke-15. Baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada maharaja China itu. 

Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Negeri Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. 

Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Negeri Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. 

Pada 1477M, Raja Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Negeri Kelantan. Walaubagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah.

Pengasasan Kerajaan Kelantan : Permulaan Kesultanan Melayu Kelantan

Pada tahun 1499, Kelantan telah menjadi sebuah negeri di bawah Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. 

Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). 

Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang. 

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M. Pada waktu itu, puteri baginda Cik Siti Wan Kembang baru berusia 4 tahun. Oleh kerana Cik Siti Wan Kembang masih kecil maka aja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. 

Lagenda Cik Siti Wan Kembang Menjadi Warisan Sejarah Negeri Kelantan 

Legenda Cik Siti Wan Kembang dikatakan telah memerintah Kelantan dari abad ke-16 hingga ke-17.

Pada tahun 1603, Kelantan diancam oleh Siam dan menyebabkan kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan. 

Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai. 

Kira-kira pada tahun 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan wilayah Kelantan sekarang. 

Tidak lama kemudian, pada tahun 1764, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walau bagaimanapun, dengan kemangkatannya, Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.

Cik Siti Wan Kembang Pahlawan Wanita Terbilang

Cik Siti Wan Kembang Sangat Masyhur 

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". 

Baginda Cik Siti Wan Kembang mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan. 

Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda Cik Siti Wan Kembang mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). 

Baginda Raja Loyor dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong. Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. 

Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti. 

Kemunculan Puteri Saadong Menjadi Bualan Sejagat

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita. Puteri Saadong digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. 

Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai. 

Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688). 

Puteri Saadong sangat setia dengan suaminya dan kesetiaannya pada suami itu menyebabkan Puteri Saadong tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. 

Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong. Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara Raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. 

Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi. 

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "Kerajaan Mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675M (1086H).

Sejarah Permulaan Kota Bharu Sebagai Ibu Negeri Kelantan 

Pada sekitar tahun 1800, Sultan Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada 1812, baginda melepaskan Kelantan daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. 

Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang mempunyai penduduk terbanyak serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan juga pertikaian, seperti yang menimpa negeri-negeri di selatan dan barat. 


Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada seluruh abad ke-19. Beribu-ribu orang berbondong-bondong ke jalan raya Kota Bharu untuk menyaksikan Perarakan Burung Petala pada tahun 1933. 

Kematian Long Muhammad yang tidak mempunyai anak mencetuskan satu lagi perang saudara di kalangan penuntut takhta. Anak saudaranya dan anak kepada Long Tan (Temengggong), Long Senik Mulut Merah, berjaya mengatasi bapa saudaranya dan sepupunya dan menaiki takhta pada tahun 1835 sebagai Sultan Muhammad II. 

Sultan Muhammad II memanfaatkan pakatan longgarnya dengan Siam untuk membentuk negeri Kelantan moden, berpusat di kubu barunya di tebing timur sungai Kelantan, yang menjadi Kota Bharu pada tahun 1844. Until now, Kelantan capital is Kota Bharu.

Dengan kedatangan Penjajahan British Di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada British, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British. 

Video Ringkas Sejarah Kesultanan Melayu Kelantan

Kelantan Negeri Pertama Menyaksikan Kedatangan Tentera Jepun

Kedatangan tentera Jepun Kelantan merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya pada 8 Disember 1941. 

Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal oleh Siam. Selepas Jepun disahkan kalah pada Ogos 1945, Kelantan kembali kepada pemerintahan British semula. 

Persekutuan Kelantan menjadi sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 

Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Kelantan Memelihara Adat Dan Budaya 

Kelantan merupakan negeri yang berjiran dengan wilayah-wilayah selatan Thailand yang dikenali dahulu sebagai Negeri Patani Darul Salam. Dari segi sejarahnya, Kelantan mempunyai hubungan sejarah yang sangat akrab dengan Kesultanan Melayu Patani yang didokongi oleh Kesultanan Melayu Islam.

Kesultanan Melayu Kelantan juga mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Melayu Patani dan juga Kesultanan Melayu Negeri Champa. 

Setelah Kesultanan Melayu Patani dikhianati oleh Siam dan British maka ia telah didominasi oleh Thailand. Negeri Patani telah dipecahkan kepada wilayah-wilayah kecil yang terdiri dari Yala (Jala), Narathiwat (Menara), Patani dan Songkhla (Senggora). 

Di bawah perjanjian British-Siam pada tahun 1948, demografi pemerintahan selatan Siam telah dipisahkan. Kelantan di bawah Malaysia manakala negeri-negeri Patani di bawah Thailand. Oleh yang demikian Kelantan mempunyai budaya yang unik yang sangat berkait rapat dengan budaya Negeri Patani. 

rumah-dulu-kelantan
seni bina Kelantan

Asimilasi antara budaya Melayu, Siam dan Islam menghasilkan permainan rakyat seperti Dikir Barat, Main Puteri, Mak Yong dan seumpamanya. Mak Yong dipengaruhi oleh budaya Siam (Thailand), sementara Dikir Barat pula mempunyai unsur-unsur Islam. Main Puteri pula dikatakan diresapi oleh budaya Hindu. 

What is Kelantan famous for? Jawapannya adalah makanan! 

Kelantan kaya dengan makanan tradisional dan berlainan dengan makanan Melayu di negeri lain. Di antara makanan tradisional Kelantan yang berkhasiat dikenali sebagai budu. Budu salah satu makanan yang paling popular di negeri Kelantan. Kini, masyarakat semakin mengenali dan mengetahui khasiat budu. 

Nasi kerabu juga popular di negeri Kelantan. Masyarakat Kelantan biasanya dapat menghasilkan nasi kerabu yang sedap. Terdapat pelbagai makanan lain yang enak di negeri Kelantan antaranya nasi dagang, nasi berlauk, nasi tumpang, nasi kapit, nasi air, laksam, kuih akok, kuih talam, ayam percik dan ketupat sotong.

Kesimpulan : Sejarah Ringkas Negeri Kelantan

Negeri Kelantan boleh dianggap sebagai salah satu negeri "tradisional" orang Melayu. Dari bacaan sejarang ringkas Negeri Kelantan tadi, rupanya pemerintahan Kelantan bermula dari Raja Kumar. Kemudian pemerintahan Negeri Kelantan disambung pula dengan pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M.

Hingga kini, warisan sejarah asal usul Negeri Kelantan Darul Naim boleh dibaca di internet ataupun secara terus dengan mengunjungi muzium negeri Kelantan sendiri. Ada masa bolehlah bercuti di Kelantan

Semoga perkongsian berkaitan sebarang asal usul nama Negeri Kelantan ini boleh tambahkan pengetahuan kita bersama dan jangan lupa untuk teruskan bacaan pada artikel berikutnya untuk tahu sejarah ringkas asal usul nama negeri-negeri lain di Malaysia. 


Sumber Rujukan :

1 comment for "Sejarah Negeri Kelantan : Detik Detik Pengasasan Kerajaan Kelantan "

  1. tuari wak ada terbaca ada stesen minyak berhantu di Salor Kota Bharuu kann., ;p

    ReplyDelete