Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ulangtahun Blog Ke-4, Sejarah Dan Kejayaannya

Ulangtahun Blog Ke-4, Sejarah Dan Kejayaannya | Ulangtahun pertama untuk blog ini adalah pada 15 Januari 2018. Ini kerana blog Sis Hawa Dot Com dimulakan secara rasmi dengan perkongsian artikel yang pertama pada tarikh 15 Januari 2017.

Pada mulanya blog ini menggunakan link sishawa.blogspot.com dan seminggu selepas itu terus dinaiktaraf kepada www.sishawa.com dengan pemasangan domain. Blog ini masih lagi dengan plaftorm percuma kepunyaan blogspot dan tidak menggunakan hosting. Hanya domain saja semata-mata. Untuk tahu apakah maksud domain dan hosting, klik DI SINI. 

Ulangtahun Blog Ke-4,

Selamat Ulang Tahun Ke-4 Untuk Blog Sendiri

Masa yang berlalu membuatkan diri kembali mengingati kenangan demi kenangan berkaitan dengan blog ini.  Bagaikan tak percaya pun ada bila dapat merasai ulangtahun ke 4 blog ini. Mau taknya, pada saat mula bikin blog ni, memang tak pernah terlintas boleh capai kejayaan seperti sekarang. Niat asal hanya mampu berada di dalam dunia blogging untuk jana pendapatan. Tak dapat pageviews ramai pun tak apa, asalkan boleh juga cari duit lebih buat bantu suami.  

Sejarah mula berblog ini bukannya untuk jadi popular tetapi hanyalah untuk bantu suami semata-mata dan niat itu masih lagi kekal sampai sekarang. Kenapa boleh terlintas untuk buat blog? Jawapannya tak lain dan tak bukan kerana ada minat dalam dunia penulisan. Nak jadi penulis novel masih tak ada ilmu jadi tulis saja blog yang boleh beri info dan manfaat kepada orang lain. 

Sejarah : Cabaran Buat Blog Sangat Banyak Untuk Dilalui 

Banyak cabaran buat blog ini. Pada dasarnya, hati rasa tak yakin dan risau. Risau jika blog ini tidak ada kualiti. Risau jika blog ini tidak boleh diterima orang lain. Risau jika penulisan di blog ini sukar difahami. Risau jika blog ini hanya kelihatan seperti syok sendiri. Risau andainya sama sekali tak ada pembaca yang boleh menemui blog ini. 

Kerisauan itu pada mulanya agak menekan diri tapi sebaik saja daku berjaya tukarkan kerisauan itu kepada satu yang positif, alhamdulillah semuanya hilang begitu saja. Sebagai contoh, jika sebelum ini daku risau andainya blog ini tidak ada pembaca maka daku mulakan misi untuk mencari ilmu penulisan blog supaya blog ini dapat berada di tahap yang lebih baik. Sedikit demi sedikit ilmu berblog daku gali dan rupa-rupanya ilmu dunia blog ini sangat menarik dan luas. 

Tulis Blog Sampai Sakit Pinggang 

Sejarah mula berblog dulu, daku bermula dengan menggunakan laptop jadi boleh buat kerja di mana saja. Tapi pernah juga satu masa tu, menaip sampai tahap sakit pinggang. Sayangnya, laptop yang ku guna dulu telah rosak jadinya suami bagi cadangan untuk terus bertukar kepada PC. 

Bukannya apa, dah beberapa biji laptop rosak sebenarnya! Jadi cadangan suami daku terima. Dan disebabkan daku takut kalau-kalau leka menaip hingga tahap sakit pinggang lagi, maka PC yang ku gunakan sekarang ada dua. 

Untuk set PC pertama ini, ianya lebih kepada urusan company berkaitan Biters. Mudah nak print segala invoice dan lain-lain yang berkaitan. Set PC ini hadiah daripada suami. 

Ulangtahun Blog Ke-4

Dan untuk set PC yang ke dua, ianya diletakkan di atas lantai di dalam bilik. Yang ini sering daku guna jika perlu siapkan sesuatu artikel dalam masa yang agak lama. Set ini daku beli terlebih dulu dari set PC yang suami belikan tadi. 

Bayangkan, menaip dalam keadaan duduk bersila atau meniarap terus. Ini semua berkat bantuan suami juga kerana faham keadaan dan situasi kerja isterinya. Sambil buat kerja, adalah makanan dan minuman yang akan duduk kat sebelah. Buat kerja dalam bilik begini lebih tenang dan kurang gangguan anak-anak. Jika terlajak penat, rehat dan baring sekejap untuk lepaskan penat. 

Ulangtahun Blog Ke-4

Gagal Atau Berjaya, Diri Sendiri Mainkan Peranan 

Percubaan pertama daku menulis blog adalah pada sekitar tahun 2008 ke 2009 macam tu. Daku ingat lagi, di tahun tu ramai blogger berjaya menjana income sehingga 5 angka sebulan hasil daripada sebuah syarikat iklan bernama Nuffnang. Tapi blog itu akhirnya terkandas disebabkan faktor masa dan kekurangan ilmu yang tak menyebelahi. 

Hinggalah daku buat keputusan untuk kembali ke dunia blog pada tahun 2017. Sebenarnya idea nak kembali ke dunia blogging timbul sejak pertengahan tahun 2016 lagi. Tapi, daku ambil masa untuk study dulu apakah keadaan dunia blog terkini. Ternyata, ianya sangat berbeza antara blog dulu dengan blog sekarang.

Setelah study lebih kurang dengan nampak corak perbezaan blog lama dan baru, daku terus siapkan diri dengan menyediakan tapak menggunakan blogspot, membeli domain tanpa fikir panjang, memasang template bersifat responsive dan kongsikan artikel yang daku rasakan boleh memberi manfaat pada orang lain.

Pada mulanya, memang agak kekok kerana masih mencari identiti sendiri dengan gaya penulisan yang boleh diterima oleh orang lain. Tapi, berkat rajin blogwalking sebagai tanda salam perkenalan pada blogger yang lain, alhamdulillah trafik berjaya di bina sedikit demi sedikit hanya dengan rajin jalan dan komen di blog-blog kepunyaan blogger Malaysia lain yang aktif. 

Mereka tak balas komen itu biasa, yang penting daku dapat selitkan komen di artikel milik mereka. Berkat rajin praktik aktiviti blogwalking itu, daku mula rasa happy dengan hasil yang diterima. Serius cakap, daku nampak pola kenaikan trafik blog menggunakan kaedah blogwalking ini hanya dalam masa beberapa hari saja. Jemput baca Bukti Trafik Melonjak Naik Selepas Blogwalking untuk melihat sendiri.

Hasilnya, seorang demi seorang blogger sudi datang dan berkenalan dengan blog ini dengan klik pada button Followers. Komen daripada blogger juga semakin banyak sedangkan blog baru berusia sebulan pada ketika itu. Alhamdulillah, ternyata hasil usaha mencari ilmu dan praktikkan apa yang dirasakan berguna itu benar-benar berhasil. 

Menjadi Rujukan Pada Blogger Baru 

Artikel-artikel lama saat mula-mula berblog pada tahun 2017 itu, hingga kini masih lagi di baca dan sering dijadikan panduan untuk mereka yang mula berjinak dengan dunia penulisan blog. Buktinya artikel yang dikongsikan ketika baru sebulan usia blog ini (Feb/2017), masih terus di baca hingga sekarang walau sudah bertahun-tahun usianya. 

Ulangtahun Blog Ke-4


Paling tak sangka, blogger yang datang bukan hanya dari dalam Malaysia tapi dari Indonesia juga. Memang terkejut bila dapat tahu ada pengikut setia blog ini yang datang dari luar Malaysia, sudi singgah selalu untuk baca artikel-artikel yang ku tulis. Untuk menghargai mereka ini, daku terus kekalkan button 'Translate Blog' pada bahagian kanan blog ini. 

Dalam masa yang sama daku tubuhkan team Blogger Pantai Timur khusus untuk berkawan dengan blogger-blogger lain yang berdekatan. 

Menulis Blog Bukan Setakat Menaip Ayat 

Selama genap empat tahun usia laman blog ini, banyak silap daku dah buat. Dan semua kesilapan itu adalah guru secara semulajadi yang mengajar daku untuk membawa blog ke arah yang lebih baik. Antara pengajaran yang daku belajar :

#1 - penulisan sama seperti kata-kata yang tajam macam mata pedang, jadi perlu berhati-hati

#2 - nak menulis apa-apa, kena fikir panjang dulu 

#3 - tidak boleh menulis dengan mengikut emosi, lagi-lagi dalam keadaan marah 

#4 - penulisan yang bersifat ingin tegakkan fakta, perlu ada bukti-bukti yang nyata 

#5 - fikirkan manfaat yang boleh diberi dari artikel tersebut, kemudian baru fikirkan soal hasil daripadanya 

Bermula Dengan Niat, Dibalas Dengan Pendapatan 

Sebagaimana yang telah daku katakan di awal artikel ini tadi, daku juga mahu jana income. Jadi setelah daku rasakan yang blog ini sudah ada pembacanya yang tersendiri, maka daku teruskan niat untuk mendapatkan pendapatan. Kiranya, sambil menulis sambil buat hasil. 

Syarikat iklan pertama yang daku letakkan codenya di blog ini adalah Nuffnang. Tapi, sedihnya Nuffnang yang daku kenali mampu beri income hingga 5 angka kepada blogger sudah tidak serancak dulu lagi. 

Perlahan-lahan daku mula mencari apakah syarikat iklan yang sinonim dengan blogger terkini, dan jawapannya adalah AdSense yang diuruskan oleh Google. Ternyata ianya sangat releven kerana blog sekarang tidak bersifat seperti diari sebaliknya bersifat lebih kepada tempat bertanya soalan dan mencari jawapan. Sesuai dengan peningkatan Google itu sendiri yang kini telah mempunyai enjin carian (Google Search) yang sangat gah! 

Bermula dari detik itu, daku mulakan misi untuk mencari ilmu berkaitan dengan Google Search pula. Apa yang mampu menawan hatinya untuk memberi income, apa yang patut dan tak patut di buat, apa pantang larangnya dan apakah pula tips untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan darinya, alhamdulillah sedikit demi sedikit dapat dikumpulkan ilmu tersebut walaupun bukan dengan cara menghadiri mana-mana kelas secara profesional. 

Tanpa ada sikap terburu-buru, daku mulakan misi untuk kuatkan lagi trafik blog. Tapi, usahaku tidak berjaya kerana permohonan untuk lulus AdSense telah gagal beberapa kali. Walaupun sedih, daku teruskan lagi usaha untuk memperbaiki apa yang boleh. Satu demi satu forum blogger luar negara daku ikut. Apa yang mereka kongsikan, daku cuba faham maksudnya walaupun payah! Akhirnya, berkat try and error tak henti-henti, permohonanku dengan AdSense LULUS. 

Daku memulakan journey perjalanan blog ini bersama AdSense pada hari Rabu, 14 Aug 2019, 2 tahun 6 bulan selepas blog ini dimulakan. Ini bermakna dalam masa dua tahun itu daku fokus untuk bina trafik dan pembaca. Berkat pada keadaan blog yang daku rasakan dalam keadaan benar-benar bersedia, terus mula menjana income serta merta. 

Ulangtahun Blog Ke-4

Ujian Tiba-Tiba Datang Lagi 

Saat sedang bersenorok dengan kejayaan blog di mana AdSense terus memberi pulangan angka demi angka, Allah datangkan ujian secara tak di duga. Hancur rasanya hati ni bila AdSense makin meningkat tetapi daku tak boleh untuk tunaikan wang tersebut. Ini disebabkan kegagalan pihak AdSense untuk menghantar 'pin number' sahkan identiti untuk urusan pengeluaran wang. 

Daku dah cuba tukar alamat yang betul tetapi tetap juga gagal. Empat kali berbuat demikian tetapi tetap juga gagal untuk menerima surat yang ada 'pin number' tersebut. Jumlah wang yang masuk terus terkumpul tapi tidak boleh cash out, total keseluruhan yang sedang menunggu untuk ditunaikan itu adalah sebanyak USD395. 

Jika dicashkan ke dunia MYR, nilainya hampir RM1200 tapi daku hanya boleh lihat tanpa boleh ambil. Paling menyedihkan, disebabkan daku gagal untuk buat pengesahan diri untuk urusan cashout itu, akaun AdSense berhenti dari memberi income lagi bermula pada 22 Disember 2019. 

Ulangtahun Blog Ke-4

Perlu Lakukan Sesuatu, Tiada Orang Boleh Bantu Melainkan Diri Sendiri!

Dengan lagak seorang yang memang 'tak ada ilmu' berkaitan perkara sebegini. Daku nekad untuk cari jalan keluar! Yelah, tak kan nak terus lihat wang yang ada tak boleh dicashkan. Takkan juga nak biarkan blog yang boleh bina income bersama AdSense terhenti begitu saja? 

Sekali lagi daku cuba mencari ilmu mengenai perkara ini. Merata forum daku join dan daku sekali lagi hampa apabila tidak ada sesiapa yang dapat membantu. Dalam forum yang daku join, daku tidak beroleh jawapan dan tips sebaliknya daku hanya menemui keluhan dari ramai orang yang mengalami nasib sama seperti ini. Akibatnya selama beberapa hari tu, daku hanya tidur 3 jam sehari (lebih kurang) demi untuk mencari jawapan untuk keluar dari keadaan ni. Mujurlah suami memahami.

Berkat Kesabaran, Akhirnya Berjaya!

Allah Maha Melihat, syukur alhamdulillah akhirnya daku berjaya mencari jalan keluar. Allah permudahkan dengan memberi daku idea dan usaha untuk meneruskan segalanya. Siapa sangka, daku berjaya menghubungi pihak Google walaupun sulit dan kelihatan payah. Sebenarnya, support Google memang benar telah berikan cara tetapi untuk faham maksud yang diterangkan itu, agak mengelirukan. 

Pengalaman ini daku kongsikan melalui artikel 3 Kali Minta, Pin Adsense Tetap Tak Sampai (Akhirnya Berjaya!)

Hasil daku berjaya mendapatkan cara ini, daku kongsikan semula dalam bentuk artikel secara lengkap step by step berserta gambar in English. Kenapa artikel dalam bahasa Inggeris? Ini kerana artikel ini daku kongsikan semula ke forum yang pernah daku sertai ketika sedang mencari info untuk keluar dari masalah ini. 

Dari Team BPT Kepada Biters 

Hasil kejayaan bersama AdSense dalam jangka masa yang agak singkat, membuatkan daku rasa terpanggil untuk kongsikan segalanya dengan orang lain. Mungkin juga disebabkan bermacam ujian yang telah ditempuh, membuatkan daku rasakan yang Allah SWT mudahkan semuanya untuk daku kongsikan semula dengan orang lain. Tapi dengan cara yang bagaimana?

Dari situ daku terlintas untuk bina team komuniti blogger Biters, khusus untuk berkongsi dan bertukar ilmu serta pendapat tentang blog. Konsep yang dibawakan adalah sharing and study dalam bentuk sebuah keluarga yang besar. 

Selain ilmu, daku juga mahu berkongsi rezeki tentang AdSense dan juga job-job yang lain. Tapi daku tahu, untuk berada di tahap yang lebih baik daku perlu buat cara tersusun. Dari situ daku terus siapkan office sendiri di rumah dan daftarkan syarikat sendiri dengan nama Bite Media Consultants. 

Sejak mula ditubuhkan pada bulan September 2019, alhamdulillah kini ahli telah mencecah lebih dari 100 orang. Daku fokus untuk bantu blogger yang masih baru atau boleh dikatakan hilang semangat dan arah. Daku turut dibantu oleh beberapa orang penasihat dalam memberi nasihat dan pandangan sebelum mengambil apa-apa keputusan. Yelah, takut terburu-buru.

Hasilnya, di dalam team komuniti Biters sekarang ini, ada golongan bloggers dan ada juga golongan PR yang dilantik. Masing-masing saling bantu membantu jika rakan blogger ada masalah yang berkaitan dengan blog dan dalam masa yang sama, masing-masing saling berkongsi cerita dan tips berkaitan kejayaan yang telah dapat terutama tentang Adsense dan bloggers juga dapat tambah pendapatan lain dari job-job yang berjaya di bawa masuk melalui PR yang bernaung di bawah company Bite Media Consultants ini sendiri. 

Hasilnya, jika dulu blogger seakan hilang tuju kerana tak tahu di mana nak mengadu bila ada masalah, di mana nak bertanya bila ada soalan, di mana nak cari income lebih bila tak ada job dan sebagaimananya. Kini peratus blogger yang ada masalah berkaitan itu semua sudah dapat dikurangkan. 

Tahap kedudukan blogger itu sendiri telah berjaya dinaikkan dengan nasihat-nasihat dan tunjuk ajar tentang apa yang boleh dan tak boleh seseorang penulis blog itu lakukan, terutama dikalangan blogger baru demi menyeimbangkan kedudukan penulis-penulis di dalam dunia blog itu sendiri. 

Antara Kenangan Manis Yang Tak Akan Dilupakan 

#1 - Pembaca blog cecah 1000 orang dalam satu masa, boleh baca DI SINI 

#2 - Bersiaran langsung di Kelantan Kini TV untuk bercerita tentang blog, boleh baca DI SINI 

#3 - Pernah dapat AdSense sehingga USD70 sehari 

#4 - Genap 4 tahun usia blog, total pageviews 14 juta 

Ulangtahun Blog Ke-4

#5 - Punya ramai kenalan blogger sama ada dari dalam mahupun dari luar team Biters 

Rezeki Allah SWT Sama Adil Cuma Dengan Cara Yang Berbeza 

Melalui blog ini terselit segala suka duka dan susah payahku selama empat tahun ni. Jika dulu daku seorang ibu pada lima lelaki tetapi setahun selepas berblog, daku berjaya memperolehi seorang anak perempuan dan kenangan manis itu daku selitkan di sini

Hasil income AdSense keseluruhan selama 4 tahun berusaha menaikkan blog ini adalah sebanyak USD4774.63 . Jika dihitung secara kasar, USD4774.63 x 4 = MYR19098.52. 

Selain itu, blog ini juga telah berjaya diterima untuk memasang iklan online dari syarikat pengiklanan Innity. Tapi Innity tidaklah sekencang income AdSense kerana pengiraan dan pembayarannya totally dalam nilai Ringgit Malaysia. AdSense lebih besar kerana ia dalam nilai USD. 

Jangan Sesekali Putus Asa! Teruskan Usaha Selagi Terdaya 

Jujur di sudut hati, apa yang datang hari ini adalah ihsan Allah SWT. Allah SWT berikan rezeki ini berkat rezeki anak-anakku seramai 6 orang. Tanpa income tambahan dari blog dan Adsense ini pastinya daku dan suami akan menghadapi kesulitan dalam membesarkan anak-anak kami.

Kerana itu, selama berblog ini daku sama sekali tak rasa apa itu hebat, apa itu popular, apa itu demand dan sebagainya. Apa yang ku nampak, betapa besarnya kasih sayang Allah SWT padaku, betapa sayangnya Allah SWT pada kami, betapa murahnya rezeki Allah SWT untuk bantu daku dan suami. 

Disebabkan itu juga, tak ada istilah untukku rasa cemburu sebaliknya daku happy sangat-sangat apabila rakan-rakan di dalam team Biters berkongsi berita gembira. Melihat blog mereka makin meningkat membuatkan daku rasa terlajak happy kerana daku ikut rasa kesusahan dan kepayahan yang mereka dah berjaya harungi. 

Dan sememangnya daku amat bersyukur kerana selama 2 tahun Biters wujud, sama sekali tak ada sebarang masalah yang tak diingini. Kuncinya sangat senang iaitu HORMAT. 

Akhir kata, marilah kita sama-sama berusaha untuk majukan diri di dalam dunia blog ini. Berkawanlah dengan ramai blogger dan sama-sama berusaha untuk berada di tahap yang lebih tinggi. 

Amiin..... 

4 comments for "Ulangtahun Blog Ke-4, Sejarah Dan Kejayaannya "

  1. Selamat ulangtahun utk blog sis hawaa semoga terus share perkongsian dan info2 ye.

    ReplyDelete
  2. Hepi anniversary untuk blog Hawa. Walaupun baru 4 tahun tapi jauh lagi maju dari saya dan ramai blogger yang lebih senior. Tahniah atas penubuhan Biters. Niat baik Insha Allah berhasil. Teruskan usaha and good luck

    ReplyDelete
  3. Tahniah sis Awa utk ulangtahun blog yang ke-4. Macam-macam cabaran rupanya nak menaikkan nama & pendapatan dari blog. Alhamdulillah semoga terus sukses sis.

    ReplyDelete